Halaman

Cari Blog Ini

Rabu, 26 Ogos 2015

Ebook "Kucing Sahabat Taman, Tabiat Kucing Bahagian 3"

Kucing mampu bertindakbalas dengan pantas apabila terdapat rangsangan.  Ia mampu bergerak dengan pantas tanpa menghasikan  bunyi yang bising.
Kucing berkomunikasi atau “bercakap” dengan kucing lain menggunakan pelbagai nada.  Misalnya ketika bermanja, kucing mengeluarkan bunyi “purrr”, ketika meminta makanan kucing mengiau, ketika bergaduh, lain pula bunyinya.  Begitu juga bila kucing memujuk pasangannya untuk mengawan, lain bunyinya.
Manusia sering tidak memahami tabiat dan cara kucing berkomunikasi.  Ini menyebabkan mereka sering salah sangka terhadap kucing.  Inilah kadang- kadang yang menjadi punca masalah antara manusia dan kucing.  Masalah lebih ketara ketara kepada orang yang berkebun di rumah seperti kita.

Selain daripada mengeluarkan suara, kucing juga berkomunikasi menggunakan bahasa badan.
Raut wajah, kedudukan telinga dan ekor, serta meninggalkan tanda yang dapat dilihat; misalnya dengan meninggalkan tanda cakaran dan tinja (tahi). Kucing juga meninggalkan tanda bau yang hamis, iaitu dengan menggunakan semburan air kencing.
Kucing adalah haiwan bebas yang mampu hidup berdikari.  Kucing boleh hidup sendirian tanpa perlu bergantung kepada kucing-kucing yang lain.  Ia tidak patuh kepada ketua.  Anjing sentiasa patuh kepada ketua, tetapi kucing tidak begitu.

Kucing boleh mencari sendiri makanannya (iaitu dengan memburu atau mengorek tong sampah), melindungi diri sendiri, menjaga kebersihan serta melindungi  kawasannya. Jika mahu, kucing memilih pasangan atau kawannya.
Oleh kerana kucing kadangkala bersosial, ia juga menunjukkan kemampuan untuk cemburu, irihati dan dendam.
Kucing mampu melakukan kerosakan kerana marah, dendam, irihati atau untuk memfitnah kucing lain.  Jadi jika anda ada memiliki kucing, laman kebun di rumah anda mungkin dirosakkan oleh kucing lain hanya kerana kucing tersebut ingin memfitnah kucing milik anda.
Ya, kucing mengawal kawasannya. Jika ada kucing lain yang menceroboh, kucing sedia untuk bertarung demi untuk mempertahankan kawasannya.
Kucing menggunakan pelbagai kaedah untuk menanda kawasannya.  Ini termasuk mencakar, kencing, dan meninggalkan tinja.
Walaupun di rumah ada yang memberi kucingnya makan nasi, kucing adalah pemakan daging.  Ia perlukan nutrien (zat) yang hanya boleh didapati dengan memakan daging (atau ikan).
Jumlah gigi kucing tidak sebanyak gigi haiwan pemakan daging yang lain.   Misalnya anjing ada 42 batang gigi manakala kucing hanya memiliki 30 batang.  Semua gigi kucing disuaikan untuk memakan daging.
Kucing juga gemar tidur sekejap-sekejap.  Misalnya, kucing rumah tidur antara 12 hingga 18 jam sehari.  Sebenarnya, ini ada kaitan dengan tabiat memburu.  Dengan mendapat tidur yang cukup, kucing mempunyai tenaga yang sepenuhnya untuk memburu apabila perlu.
Kucing juga gemar bermain.  Ia perlukan rangsangan mental dan fizikal.  Bermain adalah aktiviti penting bagi anak kucing dan kucing dewasa.
Dengan bermain, kucing dapat sempurnakan kemahiran mengawal ototnya. Ini menjadikannya pemburu yang lebih cekap. Ia juga melatih kucing supaya mahir berfungsi dalam kumpulannya.
Kucing adalah haiwan yang bersih.  Ia begitu cerewet menjaga penampilan dirinya.  Lidah kucing mengandungi bonjol bercangkuk yang mampu membantu kucing membersihkan bulu badan dengan menjilat.  Dengan membersihkan bulunya, ia memastikan bulu kucing kelihatan sihat dan menarik.  Ia juga membantu menghindari kutu dan parasit daripada membiak pada badan kucing.

--------------------------------------------
Dipetik daripada ebook "Kucing Sahabat Taman"
Hanya RM20
SMS/Whatsapp 0175009364 untuk pesanan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan