Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Khamis, 8 September 2011

Seminggu Ditinggalkan Ketika Balik Kampung

Masalah bila menanam sendiri tetapi tidak tinggal di kampung ialah apabila tinggalkan rumah lama dari biasa, terutamanya ketika pulang ke kampung berhari raya.  Dahulu, ketika berjiran dengan jiran berketurunan cina, mudah.  Cuti raya saya cuma pesan pada jiran tersebut dan serahkan kunci.  Ketika di kampung, jiran tersebut akan datang dan tolong siram pokok serta beri makan pada kucing dan binatang kesayangan yang lain.  Sekarang, bila cuti raya, jiran terdekat semuanya juga pulang berhari raya.  Semua rumah yang terdekat sepi.
Jadi terpaksalah gunakan plan B.  Semua haiwan kesayangan (pet) iaitu sugar glider dan hedgehog dibawa ke kedai pet untuk dijaga.  Anggapkan pet pergi bercuti di hotel pet.  Kucing kena jaga rumah, diberikan makanan extra.
Ayam belanda, burung api, itik, semuanya bertembolok.  Bagi makanan extra pasti dihabiskan dalam satu hari.  Untuk pastikan ternakan tersebut tidak kebuluran, saya lepaskan dari reban supaya dapat meratah tanaman, dan diharapkan mereka akan pilih rumpai sahaja. Mungkin saya bermimpi, :)  Haiwan ternakan pasti akan pilih apa yang ada dalam pasu dan di atas batas.

Selepas seminggu kami kembali ke  rumah.  Inilah hasilnya.  Rumpai tumbuh dengan gembira hingga ke paras lutut.  Lihatlah patch rosemary kami.  Memang jelas, haiwan ternakan tidak menjamah rumpai dan rumpai mula berpesta.  Nampaknya hujung minggu nanti saya terpaksa bekerja keras menyelesaikan isu rumpai. 


Patch Rosemary penuh rumpai.

Buah-buahan juga berpesta tumbuh bebas.  Buah markisa ini berbuah di luar pagar, hanya 2 inci dari tanah.  Buah akan diikat ke pagar supaya kelihatan lebih menarik dan lebih bersih.

Buah Merkisa tumbuh di luar pagar.
Pokok bayam yang tidak disiram dengan teratur mula tergugat.  Untuk pastikan spesiesnya kekal dihalaman rumah, bayam mula berbunga dan menghasilkan benih.  Bila pokok bayam berbunga, daun yang dihasilkan kecil dan berserat, tidak lagi enak dimakan.

Sawi Merah berbunga (bolting).
Yang pasti, ayam belanda dan ternakan lain tidak kelaparan sepanjang ketiadaan kami.  Lihatlah patch bawang kami.  Gersang.  Tiada sedikitpun kesan bawang ditinggalkan.  Habis bekalan ramuan cucor bawang kami.  :)

Patch Bawang, kosong
Bukan itu sahaja.  Sawi, bak choy dan kobis cina juga menjadi santapan haiwan ternakan kami.  Keadaan pasu yang sebelum ini teratur dan penuh dengan sayuran yang subur kelihatan seperti ditinggalkan berkurun lamanya.  Pandai haiwan ternakan pilih makanan.Tak mengapa, nanti boleh semai semula.
 
Pasu Sawi, bertaburan
Bunga telang juga berebut ruang dengan lalang.  Namun ia tetap berbunga menawarkan salad bunga yang enak.

Bunga Telang
Bendi meninggalkan buah yang tua seperti torpedo sedia untuk membuat serangan.  Buah dah liat dan tidak lagi enak dimakan.  Mujurlah pokok tidak merajuk dan masih subur.  Masih juga menawarkan bunga yang mekar. Roselle pula merajuk kerana buah yang ditawarkan tidak dipetik.  Seluruh pokok menjadi tua dan mati.  InsyaAllah akan disemai lagi.


Bunga Bendi
Pokok remayung merah pula tumbuh subur dengan gembira.  Buah yang ranum menawarkan bekalan benih yang tidak putus-putus.

Pokok Remayung
Pokok kacang botor juga mula berbunga dengan lebat walaupun seminggu tidak disiram.  Mungkin dah matang dan boleh mencari air sendiri.  :)

Pokok Kacang Botor berbunga
Pokok buah, seperti delima, markisa, bidara, belimbing, seribu manis dan kemunting terus berbunga dan berbuah.  Alhamdulillah, syukur.

Buah Delima
xx
Buah Markisa
Pokok Pelican juga berbunga dengan lebat sepanjang ketiadaan kami.  Ia mengeluarkan bau busuk untuk memerangkap serangga.  Maklum sajalah tuan tak ada di rumah untuk membaja.  Terpaksa cari makanan sendiri.

Bunga Pelican, Aristolochia grandiflora
Daunnya juga mula perayap ke ruang terlarang.  Bahagian longkang juga diteroka.  Tiada peluang dilepaskan.
Pokok Pelican
Pokok cili wangi seperti merajuk kerana tidak mendapat air yang teratur.  Mutu pokok mula merosot.


Cili Wangi
Pokok bayam dalam pasu mati kekeringan.  Namun begitu ia bukannya berputus asa.  Benih disebarkan di seluruh ruang dalam bekas. 
Bayam Putih
Ketika kami pulang, benih bayam dan disemai sendiri oleh induknya tumbuh memenuhi ruang dalam bekas.  Beginilah tumbuhan apabila ditinggalkan sepanjang cuti raya.  :)  Ada banyak isu perlu diselesaikan supaya di waktu akan datang tiada pokok akan merajuk.

Anak bayam putih

8 ulasan:

  1. Assalammualaikum sdr.Iskandar.Wah seminggu ditinggalkan.
    Markisa bersandar di luar pagar,
    Rosmary lemas di dalam semak,
    Lama bercuti diluar bandar,
    Tentu seronok,kenangan melambak.

    Tolong kirimkan saya bibit rosmery itu, boleh?

    BalasPadam
  2. :)
    Begitulah, walaupun tiada bertuan kehidupan diteruskan. Tidak sangka tumbuhan juga begitu.

    BalasPadam
  3. hehehe... nampaknya bukan saya sorang ada masalah ni...
    tapi untuk pulang bercuti raya kali ini Maria lebih bersedia utk tanaman pasu - tak mahu lagi pokok kering bila ditinggalkan...
    Maria siapkan sebotol mineral besar 5liter setiap pasu sebagai bekalan air utk pokok... alhamdulillah pokok pasu ok... tp banyak kerja juga la Maria kena buat sblm balik kampung... nak pastikan berfungsi... ;p

    BalasPadam
  4. Bagus juga idea tu. Kalau boleh Maria kirim gambar (emel iskandar.abdulrashid@gmail.com) supaya dapat kita semua manfaatkan bersama. :)

    BalasPadam
  5. idea yg menarik pn ejaMaria, boleh kongsi dgn saya jugak? (adniksda2@yahoo.com)...seminggu beraya,pokok dalam pasu saya boleh dikatakan semua mati, daun kesum, daun pandan,pokok kunyit,cili...semua mati..utk bendi daun semua gugur, tinggal buah 2 biji yg sudah tua, boleh buat benih....tapi yg kt tanah, alhamdulillah ok..sedihh sgt sbb bela pokok2 tu semua dh gemoks..

    BalasPadam
  6. Memang benar. Pokok yang ditanam di atas tanah biasanya akan teus hidup ketika ketiadaan tuan kerana pokok tersebut boleh mencari air sendiri. Kalau hujan sekali sekala pun tidak mengapa. Pokok dalam pasu, jumlah keupayaan menyimpan air adalah terhad. Lebih kecil bekas lebih sedikit air boleh disimpan dalam tanah. Teknik drip yang dicadangkan oleh Pn Maria memang boleh digunakan. Satu lagi cara ialah menggunakan jel. Jel bertindak menyimpan air dan membebaskannya secara perlahan-lahan. Biasanya jel menyimpan air berbentuk bulat dan berwarna-warni sesuai digunakan dalam pasu kaca.

    BalasPadam
  7. Salam En.Iskandar, terhibur baca entry yang ini kerana ditulis dengan gaya bahasa yang mencuit hati :) alhamdulillah saya sudah terima kiriman benih yang dibeli dari en.iskandar tempoh hari. tak sabar nak menyemai! harapnya semua akan hidup subur bila ditanam.

    BalasPadam