Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Selasa, 14 Jun 2011

Lima Petua Tanam Sendiri

Ada antara kawan yang bertanya bagaimana nak mula tanam sayur sendiri. Sebenarnya tiada petua yang perlu diikut sebab pokok adalah sangat flexible. Maksud saya, dalam apa-apa keadaan sekalipun, pokok akan cuba suaikan untuk terus hidup. Jadi walau apa sekalipun cara yang kawan-kawan gunakan, pasti kawan-kawan akan dapat nikmati hasilnya. Cuma, lain kedaan, lainlah hasilnya.

Walaupun begitu saya cuba juga cari perkara-perkara asas yang boleh dijadikan panduan untuk kawan-kawan yang ingin menanam sendiri tapi tak tahu di mana nak mula. Kalau nak diceritakan sepenuhnya, 1001 malam pun tak habis sebab kita akan bincang perkara yang kita sama-sama minat, iaitu berkebun di halaman rumah. Ini sebenarnya berbeza dengan berkebun secara professional. Setelah difikir-fikir, saya boleh pecahkan lima perkara.

1. Mulakan dengan ruang yang kecil tapi tempat itu mesti kena cahaya matahari.

Kalau nak rancang yang besar-besar kita pasti tidak akan mulakan menanam sendiri. Sebabnya, projek besar perlukan ruang besar, masa dan yang pastinya wang. Sedangkan kita menanam sendiri untuk jimatkan duit dapur dan siapa yang ada masa yang banyak? Semua orang dapat 24 jam aja sehari.

Jadi mulakan kecil dulu. Bila dah menjadi nanti barulah berkembang. Macam lain-lain juga, buka cawangan...

Kalau saya, saya mulakan dengan ruang 2 meter kali 3 meter. Pilih tempat yang ada cahaya matahari. Macam zaman sekolah dulu kita belajar. Pokok perlukan cahaya matahari untuk membuat makanan. Tanpa cahaya matahari, pokok tak dapat makan. Kecualilah kalau kawan-kawan nak tanam cendawan. Ah kita juga perlu siram pokok dengan air. Jadi pilihlah ruang yang dekan dengan paip air. Kalau jauh, jenuh ulang alik ketika menyiram. Kalau tempat jauh dari paip air, dapatkan salur getah yang panjang.

Kalau tak ada juga ruang sebesar itu? Tak apa, jangan risau selagi ada kawasan yang boleh diletakkan bekas atau pasu yang besar. Kalau duduk apartment, ruang veranda pun jadi. Asalkan dapat cahaya matahari yang banyak.


2. Gali. Ya, gali, korek.

Maksud saya, dah pilih kawasan nak menanam, tinggallah tanda. Ini bakal jadi ruang tanam sendiri. Gunakan cangkul, garpu untuk mengorek tanah. Bukan sekadar gali lubang. Kawan-kawan perlu pecahkan tanah supaya akar pokok boleh mencari air dan baja. Kutip batu dalam ruang bertanam. Kalau ada tanah yang padat, pecahkan. Dengan berbuat demikian kawan-kawan juga dapat longgarkan akar rumpai. Masa menyangkul atau mengorek bolehlah cabut rumpai hingga kawasan tersebut bebas rumpai. Masa ini juga anda boleh tambahkan kompos atau apa-apa bahan organik. Ketika ini lah kalau ingin campur tinja ayam, lembu, kambing, perut ikan, kepala ikan bilis atau kalau waswas baja organik.

Dalam peringkat ini anda mungkin perlukan sedikit alatan, misalnya cangkul, pencakar dan lain-lain.

3. Pilih benih atau anak pokok.

Anda dah sedia semuanya, sekarang nak tanam apa? Kalau tanam sayur untuk makan sendiri tanamlah sayur yang anda makan. Kalau anda tak suka makan peria, jangan tanam peria sebab nanti anda tak akan teruja dengan hasil tanaman anda sendiri. Pilih tanaman yang tersenarai dalam resepi anda. Kalau tiap-tiap hari makan kangkung, tanam kangkung banyak banyak. Dari pengalaman saya, pokok berikut mudah mendapat hasil.

Sawi
Bendi
Serai
Daun kesom
Cekur manis
Cili merah
Cili padi
Bawang
Roselle
Tomato
Mentimun
Pokok kari
Kailan
Kacang panjang
Kemangin
Selasih
Pak choy
Pudina
Rosemary
Halia
Lengkuas
Kunyit
Ubi keledek

Semasa ke nurseri membeli anak pokok, jangan lupa beli tanah. Walaupun anda tidak menanam dalam bekas, tanah boleh diguna untuk baiki struktur tanah atau tampal kalau-kalau pokok digali ayam atau kucing. Cari tanah kompos yang dicampur sabut atau tanah gambut. Tanah begini mampu menyimpan banyak air. Jadi kalau masa projek menjadi dan tiada masa menyiram, pokok masih boleh bertahan.


4. Perhatikan pertumbuhan pokok. Dah tanam, jangan ditinggalkan begitu saja dan berangan nak kutip hasil saja. Tengok pokok tu membesar. Mana tahu kalau ada sang ulat menikmati daun-daun yang segar sebelum kawan-kawan sempat menuai. Atau mungkin jumlah air yang kawan-kawan siram pagi-pag tidak mencukupi. Kalau petang pokok nampak layu, elok siram lebih banyak. Perhatikan juga tanda-tanda kekurangan nutrien, misalnya daun kuning, pokok bantut, batang sayur tidak mampat dan lain-lain tanda kekurangan nutrien. Kalau pokok merayap ke pagar jiran, kerat. Jangan ganggu ketenteraman jiwa jiran. :)

5. Tuai dan nikmati hasil titik peluh sendiri. Tanam sendiri banyak khasiat dan sayur lebih manis. Itu kalau kawan-kawan kurangkan racun. Kalau meracun sampai tahap campur racun dengan gam dan tempek pada sayur, errr.... Itu pun kira ok. Sekurang-kurangnya, makan racun sendiri, tak perlu salahkan orang lain.

Harap petua ni dapat membantu kawan-kawan cuba-cuba tanam sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan