Alhamdulillah,
semalam sempat juga saya berkunjung ke MAHA 2010. Kami hanya sempat
berada di sana selama 3 jam, jadi tidak banyak booth yang sempat kami kunjungi. Walaupun begitu, banyak
juga yang dapat dilihat.
Ada
beberapa perkara yang menarik perhatian saya. Misalnya dalam Dewan A,
sebuah booth yang mempamerkan
maklumat tentang penternakan ayam. Mak oiii, saiz ayamnya besar seperti
ayam belanda. Untuk rakan yang menyambut hari natal, kalau ayam belanda
terlalu mahal, panggang ayam ini aja, boleh juga dinikmati oleh semua ahli
keluarga.
Sebelum
ini saya teringin melihat sendiri dari dekat pokok loquat, yang mana buahnya
dijual di pasaraya sehingga RM75 sekilo di musim perayaan Tahun Baru Cina.
Daun pokok ini bersifat antivirus (telah terbukti melalui kajian saintifik) dan
digunakan dalam sirap ubat batuk serta lozen sakit tekak. He he... Saya
minta beli pokok ni. Malangnya ia tidak dijual.
Satu
khemah menjual pokok Johor. Saiznya dah besar dan memang cantik.
Bila ditanya, ia hanya akan dijual di hari akhir expo. Harganya... saya
kira agak mahal. Dia minta RM200 untuk satu pokok. Kalau sempat ke
sana di hari akhir, mungkin saya akan bawa pulang pokok ini. My dream
tree.
Dalam Dewan A, MARDI ada mempamerkan hasil penyelidikan mereka. Antara yang menarik minat saya ialah hasil pemprosesan gentian tumbuhan untuk dijadikan bahan pakej menggantikan styrofoam. Mesin pengupas kelapa dan mengasing biji jagung daripada empulurnya ada juga dipamerkan.
Batang kenaf diproses untuk dijadikan bekas menggantikan styrofoam.
Di luar dewan saya hanya sempat berkunjuung ke dua kelompok khemah. Peminat orkid jangan ketinggalan ke MAHA 2010, kerana ada banyak pokok orkid dijual di sana dengan harga yang murah.
Kebanyakan
gerai yang saya kunjungi ada menjual herba seperti pokok stevia (dengan harga
RM8 - RM12), lavender, ketumbar jawa, selasih, kemangi (basil), mint,
sage, sambung nyawa, bangun-bangun, peria pantai serta banyak herbal perubatan.
Pokok Remayung Merah rupa-rupanya berasal dari negara kita. Daun dan batangnya enak dibuat sayur.
Antara pokok yang jarang ditemui yang dijual di sana termasuk pokok sentul, keranji, kerkup (ceri kampung saya tu), pokok johor, pokok ajaib (miracle berry) dan banyak lagi.
Buah Kerkup, lazimnya rasa kelat. Selepas digentel dan lemau akan terasa manis.
Dalam
Dewan A, terdapat booth National Seed
Organisation. Di sana, MARDI ada dijual benih yang berkualiti tinggi. Orang
ramai berebut membeli benih sehingga tidak terlayan oleh kakitangan yang
menjaga booth tersebut. Saya
sempat juga mencapai benih tomato dan kacang panjang renek. Kacang ini
amat istimewa kerana ia tidak memanjat. InsyaAllah tidak perlulah saya
memancang kayu bila tanam kacang panjang itu nanti. Sebelum ini saya
ada tanam kacang mata hitam dari jenis renek. Ia lebih mudah
diurus berbanding dengan jenis yang memanjat. Jadi, lepas ini dapatlah
saya tanam kacang panjang dalam pasu. kalau berbuah akan saya simpan
benih untuk kita kongsi bersama melalui blog ini.
Benih yang dipamerkan oleh NSO.
Bagi yang meminati tanaman secara fertigasi, terdapat beberapa booth yang mempunyai maklumat tentang cara penanaman fertigasi. Anda juga boleh dapatkan maklumat tentang kursus yang ditawarkan.
Pokok Cili Kulai ditanam secara fertigasi.
Pokok tomato juga ditanam secara fertigasi.
Untuk rakan-rakan yang minat tanam sendiri, jangan terlepas MAHA 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan