Selasa, 20 Disember 2016

Burung Di Perkarangan Rumah

Kita yang berkebun secara organik, burung boleh jadi rakan kebun.  Ada yang risau sangat buah yang kurang sebab burung makan buah.  Alahai, biasanya burung makan buah yang dah ranum sahaja.  Biasanya buah yang terlebih ranum, kita pun tak tuai.  Dibiarkan luruh begitu sahaja.

Apa yang bestnya tentang burung?

Ia makan bena, ulat, belalang, dan benih rumpai.  Tanpa burung, semuanya bermaharajalela.  Pokok dalam perkarangan rumah kita akan tumbuh subur.

Kita boleh pujuk burung supaya singgah di tempat kita.  Bagaimana?
Dengan menyediakan tempat berlindung, makanan, serta air mandian.  Sediakan kotak sarang di tempat yang selamat.  Makanan?  Sediakan penyap makanan yang diisi dengan bijirin, atau elok lagi tanam pokok yang menarik burung, misalnya pokok bunga matahari, kemunting, senduduk, atau betik.  Jika tanam betik, tinggalkan sebiji buah yang meranum untuk burung.  Tempat mandi, isikan air di dalam dulang atau buatkan bird bath.

Pohon yang rimbun jadi tempat berlindung.  Tanam beberapa pohon untuk burung.  Tak rugi.  Dengan kehadiran burung, tuaian sayur kita pun lumayan.

Jika bela kucing, kurung di waktu pagi kerana masa itu burung bertandang mengutip serangga yang menyerang tanaman.  Kalau tak dapat kurung kucing, pasang loceng di tengkuknya.  Apabila bergerak, loceng berbunyi tanda amaran kepada burung yang bertandang.

Di perkarangan rumah kami ada pelbagai burung yang singgah termasuk merbah putih, ciak, dan gembala kerbau.  Habis biji rumpai, bena dan kelkkatu dikutipnya.  Ulat bulu pun tiada peluang meratah sayur yang kembang subur.

Pernah semasa di kampung, kami sengaja beli burung puyuh dan dilepaskan bebas.  Sekali sekala kami tambah yang baharu kerana ada aja yang jadi korban buruan kucing.  Lama kelamaan puyuh menjadi mahir menyusur perkarangan rumah mengelak kucing yang mahir menyerang hendap.  Lama kelamaan terlihat kelibat puyuh sepasang dan beberapa ekor anaknya.  Warna pun yang terang berkilau tidak lagi pudar seperti puyuh kurungan.

Puyuh jantan di atas tiang.  Gambar milik Mrs Brown.

Subuh kedengaran puyuh berkukuk dari atas seludang kelapa di tepi tingkap rumah.  Rahmat.  Tiada lagi kekabuh terung, lalat putih mengacau cili, bena hitam mengacau kacang.  Semua tanaman seperti di zaman kegemilangan.  Tuaian, sukar diceritakan.

2 ulasan: