Selasa, 29 September 2015

Kobis Di Tempat Panas



Kobis hasil usaha sahabat tanamsendiri. Di Semenyih ambil masa sikit untuk membentuk bola, tapi akhirnya membentuk juga, cuma saiz tak sebesar yang di pasar. Jika tuai, daun kobis yang tak tertutup juga boleh dimakan, masak seperti kailan.
Tanam kobis perlu bersabar sebab ambil lebih masa untuk matang, sama seperti tanam cauliflower, brokoli dan kohlrabi.
Jika ingin tanam sebagai pokok hiasan, boleh tanam kobis hijau dan kobis merah.
Sila Share
----------------------------------
Set Keluarga Kobis ada stok. 15 pek benih daripada 5 jenis keluarga kobis, hanya RM30. Whatsapp 0175009364 untuk pesanan.

Isnin, 28 September 2015

Khasiat Halia

Halia, ada banyak khasiat.


Sekarang ni jerebu tahap melampau.  Pelbagai masalah kesihatan menjadi-jadi akibat situasi tersebut.  Yang ketara, pelbagai masalah berkait dengan saluran pernafasan meningkat.  Di sana sini kita boleh dengar bunyi orang batuk.  Ramai yang berhingus.

Jika berhingus, maksud saya hidung tersumbat (sinus) enak juga kalau dapat minum teh halia.  Rasa halia yang pedas berempah amat melegakan terutamanya sinus dan tekak.

Minum teh halia untuk melegakan selesema adalah amalan orang dahulu.  Sebenarnya apa-apa bahan yang mengandungi halia boleh melegakan selesema.  Halwa halia, serbuk halia, jeli hali, dan ada juga yang telan kapsul halia.  Amalan orang dahulu ada kebenarannya, bukan setakat melegakan sinus.  Ada banyak kajian saintifik telah dilakukan terhadap halia.   Ia mengandungi pelbagai bahan yang dapat bertindak melawan virus selesema.  Halia mampu menyembuhkan kita daripada selesema.

Sila Share

Selasa, 22 September 2015

Idea dalam berkebun di rumah

Tanam sawi dalam cawan.

Satu daripada keseronokan menjalankan aktiviti berkebun di rumah ialah ia memberikan ruang untuk kita mencuba.  Misalnya, jika tiada ruang yang banyak, mengapa tidak tanam dalam cawan pakai buang.  Ada yang kata, ia mustahil sebab tanah terhad.  Akar tak dapat pergi jauh.

Tapi tumbuhan hijau perlukan cahaya, udara, nutrien dan air serta ruang untuk pertumbuhan.  Tanam di dalam cawan dan letak tempat cerah dah menepati keperluan tersebut.  Akar tumbuh jauh untuk dapatkan nutrien, air dan udara.  Jika bahan tersebut boleh dicapai dekat dengan tumbuhan, akarnya tak perlu pergi jauh.

-------------------------------------------------
Set Sawi Renek, ada 15 pek sawi baka renek seperti yang di dalam gambar ini, hanya RM30 satu set.
Set Sawi Besar, ada 15 pek sawi daripada pelbagai jenis. Hanya RM30.
Ebook "Menyediakan Tanah Semaian" hanya RM20.
Buku "Mudahnya Tanam Sawi" hanya RM12.
Beli Semua, Nyatakan Tawaran Semua Sawi, Hanya RM80. Jimat RM12.
WhatsApp 0175009364 untuk pesanan.

Khamis, 17 September 2015

Cerita Tentang Menanam Sendiri, Bahagian 3

OK, dan pilih tempat dan perhati ciri-ciri lokasi tersebut.  Sampai waktunya untuk merancang laman kebun.  Oh ya, lupa nak nyatakan, simpan jurnal.  Apa-apa berkait dengan aktiviti berkebun, catat di dalam jurnal tersebut.  Jurnal tak perlu buku cantik harga ribu-ribu.  Buku latihan bergaris biru pun boleh digunakan.  Simpan di dalam plastik zip sebab bila berkebun boleh dilindungi daripada tanah dan air.  Gantung di tempat yang mudah dicapai.  Untuk memudahkan kerja, ikat sekali pen pada buku.  Setiap kali buat aktiviti berkebun, letak jurnal dalam poket belakang seluar.  Catat, catat, catat.  Kita bukannya superman, boleh ingat segalanya.  Jurnal dapat membantu kita faham tentang persekitaran serta waktu dan kaedah yang sesuai untuk berkebun.

Saya sendiri pun ada simpan jurnal.  Buku latihan 60 muka surat dengan kulit berwarna cokelat.  Setiap helaian saya lipat dua supaya bentuk jurnal lebih kecil dan muat poket belakang seluar.  Jurnal tersebut saya simpan di dalam plastik zip digantung pada gerigi besi (grill) di depan rumah.  Bila lakukan aktiviti berkebun, saya capai jurnal.

Berbalik semula kepada topik yang ingin dikongsi hari ini -- Rancang Laman Kebun.  Apabila disebut rancang laman kebun, ada orang guna program khas.  Lepas berkebun buka tab.  Ada yang guna apps khas dalam smartfon.  Wah, saya kagum.  Anak-anak di zaman wifi tak kan sama dengan anak-anak selepas perang jepun.  Mestilah jauh lebih canggih.  Saya sendiri masih selesa dengan cara lama.  Apa-apa pun ikut keselesaan.  Tab dan smartfon juga bagus.  Jurnal buku latihan pun bagus.  Apa-apa pun media jurnal, semua bagus.  Yang penting ada simpan jurnal.  Buat perancangan awal.

Dulu di zaman persekolahan, cikgu ajar di dalam kelas geografi.  Malaysia iklim khatulistiwa, suhu tinggi, udara lembap, dan hujan sepanjang tahun.  Saya angkat tangan, buat kenyataan.  Tak betul tu cikgu sebab saya dengan ayah berkebun di rumah.  Hujan tak sepanjang tahun, ada waktu bah besar, ada waktu kering kontang.  Suhu juga tak selalu tinggi, malam dingin siang panas.  Sebab itu ada bayu laut dan bayu darat.  Saya tahu sebab saya dari kampung nelayan.  Orang kampung masih guna perahu layar.  Mereka turun kelaut waktu awal pagi, bayu darat, angin dari kampung meniup ke arah laut.  dan pulang waktu bayu laut, angin bertiup daripada laut ke darat.  Perubahan arah angin ini berlaku kerana ada perubahan suhu.

Cikgu berbisik kat telinga. saya.  Iskandar, kalau awak jawab benda yang betul, awak tak dapat markah nanti.  Awak kena jawab ikut Sukatan Pelajaran.  Di dalam hati, ooo begitu.  Aku belajar susah susah bukan nak belajar tentang perkara yang betul.  Cikgu tahu apa yang aku fikirkan melhat daripada raut wajah saya.  Cikgu tersebut tambah lagi.  Kalau di zaman dulu ada peperiksaan, awak kata bumi ni bulat sedangkan sukatan pelajaran kata bumi ni rata, awak fail SRP, tahu tak?  Saya tergamam.  Akur nasihat cikgu.  SRP ialah peperiksaan dalam tingkatan 3.  Tak lulus tingkatan 3, tak naik ke tingkatan 4.  Saya akur.

Tapi pokok tak ikut sukatan pelajaran, ia ikut keperluan.  Jadi kita perlu tahu persekitaran.  Kita perlu peka dengan perubahan musim.  Bagaimana nak akur, buat catatan supaya kita tahu.  Dengan adanya jurnal, tahun depan kita ikut dan refine lagi.  Lama kelamaan kita akan menjadi mahir tentang iklim setempat.

Di peringkat awal ni, gunakan pengalaman yang sedia ada dan buat perancangan.  Jika tak serasi boleh ubahsuai di kemudian hari.  Perancangan dibuat untuk dijadikan panduan, bukannya sebagai buku program, mesti ikut bulat bulat.  Kita yang berkebun sebagai hobi, buat suka suka aja.  Walaupun begitu, sasaran kita sama dengan pekebun profesional.  Kita nakkan tuaian.

Berbeza dengan pekebun profesional yang nakkan tuaian yang banyak dan besar sebab jualan timbang kilo, kita nak tuaian yang enak sebab kita tak jual, dan tak kira kilo.  Kita nak makan.  Lagi enak tuaian, lagi bagus.

Dalam perancangan, catatkan jenis tanaman, lokasi, bila nak semai dan bila anggaran nak tuai.  Kemudian tanaman apa pula untuk diganti.  Ini penting kerana kita perlu ubah jenis tanaman untuk kurangkan risiko serangan serangga perosak.  Dapatkan benih awal awal.  Jangan pula bila dah sediakan tanah, tanah terdedah benih yang diharapkan tak dapat dicari atau belum tiba sebab lambat pesan melalui atas-talian.  Akibatnya, rumpai tumbuh dulu.

Jika ingin pesan benih secara atas-talian, boleh pesan dari kami (promosi sikit, ;))  Beli benih dalam peket kecil yang dijual di pasaraya pun boleh.  Ada orang kata, benih tersebut tak bernas.  Mana ada.  Benih tersebut juga bernas.  Jika tak bernas, mana mungkin mereka dapat jual.  Jika semai tapi tak tumbuh, mungkin kaedah menyemai kurang serasi, ubah tanah, ubah persekitaran.

Jika menyemai menjadi masalah besar, boleh skip langkah tersebut.  Dapatkan semaian anak pokok.  Biasanya kat nurseri ada jual.  Walaupun pilihan tak banyak, opsyen tersebut ada.  Ketika merancang, jangan pilih satu jenis tanaman sahaja.  Ini kurang elok sebab akan mendedahkan tanaman kepada serangan serangga perosak.  Gabungkan dengan tanaman lain untuk menghalang serangan serangga perosak.  Misalnya jika tanam cili, lalat putih gemar serang pokok cili yang kurang subur.  Tanam selasih wangi bersama cili.  Lalat putih benci bau harum selasih wangi.  Pokok cili akan selamat daripada serangan lalat putih.  Daun selasih wangi boleh dibuat teh, dan juga boleh buat perisa makanan.      

Kalau tanam tomato, selang selikan dengan pokok bunga tahi ayam (marigold).  Ia dapat menghalang serangan cacing nematod.  Tapi awas, kalau kawasan ada masalah kutu labah-labah jangan tanam bunga tahi ayam, sebab kutu labah-labah suka berlindung di celah-celah daun pokok ini.

Bagaimana pula dengan air?  Nak siram secara manual, nak buat sprinkler, sistem titis, semua boleh. Tapi rancang dulu supaya tanaman tidak mati kehausan atau mati basah kerana terlebih air.  Yang penting, rancang.

Bersambung....

--------------------

Tawaran September, dapat 16 pek benih yang mudah disemai dan dijaga (iaitu kangkung (3 pek), bendi (3 pek), lobak putih (3 pek), sawi (3 pek), kailan (3 pek) dan basil (1 pek), buku bercetak berjudul tanamsendiri.com versi buku, jilid 1, 2 dan 3, dan ebook "Menanam Secara Organik di Rumah."
Kesemuanya hanya RM100. Jimat RM67.
SMS/Whatsapp 0175009364 untuk pesanan. Rugi kalau tak grab tawaran ini.

Isnin, 14 September 2015

Cerita Tentang Menanam Sendiri, Bahagian 2

Berbalik semula kepada langkah-langkah yang perlu diambil sebelum menanam.
Pertama pilih tempat.  Tempat menanam biarlah masuk akal.  Kalau tinggal di kampung di rumah kayu bertiang, jangan tanam di bawah rumah.  Mana ada pokok boleh tumbuh di bawah rumah.  Ini kerana pokok perlukan cahaya.  Di bawah rumah mana ada cahaya.  Benih mungkin akan bercambah tapi lepas itu cambahan akan mati.  Kecualilah kalau tanam cendawan.  Itu pun sempat sekali tuai aja, lepas tu rumah runtuh sebab tiang reput dimakan kulat.

Perlu ingat, kita yang meananm secara hobi tidak akan menjaga tanaman sepenuh masa.  Kita berkebun celah-celah masa aja.  Jadi pilihlah ruang yang dekat dengan rumah, supaya kita tidak membuang masa berjalan ke ruang kebun.  Kalau jauhpun pastikan tidak lebih daripada 5 minit berjalan kaki.  Jika jauh dah tak praktikal.  Bukan sahaja tak sempat menelek pokok.  Sekarang penyangak ramai.  Kalau mereka tahu kita ambil masa ke ruang menanam, ini peluang mudah untuk mereka mencuri.  Nanti, kita menanam, mereka menuai.

Paling elok, depan atau belakang rumah, di dalam perkarangan rumah.  Jadi, sebelum keluar kerja, boleh siram pokok, tuai apa-apa yang patut buat ulam makan tengahari nanti.  Balik kerja belek-belek pokok sebentar sebelum rehat.

The best, kalau ruang tersebut ada sumber air.  Nak membasuh tangan, nak menyiram atau membersihkan perkakas berkebun mudah.  Ketika zaman kanak-kanak dulu, saya menanam di belakang rumah.  Zaman tu mana ada air paip.  Perigi di sebelah satu lagi, jadi saya terpaksa masuk ke merentas dapur untuk angkut air.  Bayangkan masa tu baru darjah tiga.  Umur 9 tahun berkebun sendiri sendiri aja.  Sebelum pokok merimbun, setiap pagi selepas subuh, saya angkut 3 baldi air ke ruang menanam dan menyiram.  Mula mula perlu karau air dengan timba.  Perigi sedalam 8 meter, angkut naik tangga, masuk ke ruang dapur, buka pintu belakang, turun tangga dan menyiram.  Petang selepas mengaji, ulangi perkara yang sama.

Begitulah setiap hari sehingga pokok dah merimbun, tanah (pasir) dah mula ada akar dan mampu menyimpan air.  Ketika itu saya senyiram sekali sahaja setiap dua atau 3 hari apabila hari tidak hujan.  Tapi alhamdulillah, tuaian lumayan.

Bayangkan kalau ketika itu ada sumber air yang lebih mudah dicapai, mungkin lebih banyak tanaman yang dapat saya tanam.  Pasti lebih menyeronokkan.

Tanaman perlukan cahaya matahari, terutamanya cahaya pagi.  Tapi kawasan terlindung dengan dinting rumah, pohon besar, papan tanda dan pelbagai halangan lagi.  Anda perlu manfaatkan apa sahaja yang ada.  Pilih tanaman yang serasi dengan keadaan tempat.  Setiap ruang, lain sifat iklimnya.  Ini disebut mikroiklim, krana menerima cahaya yang berbeza, akibatnya suhu pun berbeza.  Keadaan angin pun berbeza.  Kawasan terhalang tiada angin.
Walaupun begitu, nagara kita terima cahaya yang banyak, walaupun teduh kemungkinan cahaya tersebut dah mencukupi.  Pokok tak mati, cuma ambil masa lebih lama untuk matang atau menghasilkan tuaian.  Tak apalah, lambat sedikit masih ada hasil.

Anda boleh pilih pokok yang serasi dengan keadaan cahaya dan suhu.  Air tiada masalah, anda boleh siram ikut keperluan.  Jika tak sempat menyiram boleh pasan sistem titis lengkap dengan timer.

Ada juga yang mengadu tinggal di kawasan perumahan, ada ruang tetapi berbatu, tak sesuai untuk menanam.  Yang penting kita ada ruang menanam.  berbatu, boleh kutip.  Satu ketul seminggu, lama lama habis juga.  Sementara itun, tanam dalam bekas, tanam atas batas.  Tiada masalah.  Kita tak boleh harapkan semuanya berpihak kepada kita.  Aktiviti berkebun ada banyak cabarannya.  Menanam untuk orang yang sabar sahaja.

Perlu ingat, ruang depan depan tak sama dengan ruang sisi atau ruang belakang.  Jika tanam tomato di dalam satu ruang, tak menjadi, daun aja besar tapi tak berbuah.  Lain kali tanam tomato di ruang lain.  Ruang tersebut tanam sawi atau kailan atau sayur daun kerana ruang tersebut elok untuk pokok hasilkan daun besar-besar.

Ambil cakna, perhatikan tanaman dalam ruang tersebut.  Buat catatan, simpan jurnal supaya lain kali aktiviti berkebunj menjadi lebih sempurna.

Bersambung....


Tuaian Hari Ini

Tuaian hari ini, 14 September 2015.

Tuaian pagi ini, ulam raja untuk dijus, bayam untuk rencah mee buat sarapan, basella untuk ulam, asparagus (5 keratan aja) telah habis dimakan anak-anak, kacang mata hitam muda untuk rencah mee, dan cili mutiara merah untuk dijeruk dalam cuka asli.
Alhamdulillah.

Apabila menanam secara organik, tanaman lebih kukuh dan rasanya lebih jelas, ada juga yang kata, lebih manis. Ini amat ketara kerana kebanyakan sayur yang dipetik boleh dimakan terus tanpa dimasak terlebih dahulu.

Pagi ini saya tak lama di luar kerana jerebu semakin teruk. Hanaya keluar tuar dan topup tanah dengan sedikit bahan kompos. Ini tujuannya untuk kekalkan keseimbangan di dalam tanah. Semua ini ada di bincangkan dalam ebook "Menanam Secara Organik Di Rumah". Hari ini ada offer. Sila Share posting ini dengan rakan-rakan. Mana tahu mereka dapat manfaatkannya.
Ada juga yang merasakan mustahil nak berkebun untuk makan sendiri. Sebenarnya ia tidak mustahil. Jika kita menanam d rumah, aktiviti boleh dilakukan awal kerana ruang menanam di depan rumamh sahaja.

Lepas solat subuh, tuai, kemudian sediakan sarapan. Bila ke tempat kerja rasa segar sebab bangun awal, dah exercise ketika berkebun dan dapat makanan segar. Kalau ada lebih boleh juga kongsi dengan rakan sekerja. Nak tambah pendapatan, jual.

Tak susah. Misalnya ulam raja. Petang, sediakan sambal, isi dalam bekas plastik kecil, simpan dalam peti sejuk. Tuai pucuk ulam raja, renjiskan air dan simpan di dalam bekas plastik bertutup yang besar, tutup kemas. Pagi, ulam raja masih segah. Isikan ulam raja ke dalam plastik zip, masukkan bekas sambal dan tutup zip plastik. Buat 10 pek, bawa ke ofis. RM2 satu plastik rakan-rakan akan ngap habis sebelum lunch. Ok, ofis staf ramai, buat 25 pek. Dah dapat duit tambahan RM50. Tolah perbelanjaan sambal dan plastik, dapatlah RM40 duit belanja sehari. Seminggu kerja 5 hari, dah RM200, empat minggu sebulan, dah RM800. Mana lagi nak dapat? Preparation hanya 10 minit sebelah petang, 10 minit awal pagi sebelum pergi kerja.
Tak yakin? Cuba dulu, baru tahu.

--------------------------------------
Sila Share

Ahad, 13 September 2015

Tanam dalam kelambu?

Ada lagi ruang di seberang jalan. Kadang kadang terlintas juga nak buka patch khas untuk anak dan cucu berkebun. Biar mereka ada aktiviti yang positif yang kekal di dalam ingatan mereka.  Tanam sayur yang mereka gemar, misalnya salad, lobak merah, cauliflower, brokoli, kailan dan collard. Untuk pastikan daun sempurna dan mereka tak digigit nyamuk ketika gardening, tak janggal ker kalau saya pasang kelambu?

Ruang di seberang jalan yang masih boleh dimanfaatkan untuk berkebun.

Ruang yang ada cukup untuk 2 petak kecil.

Kelambu, yang collapsible, dalam RM70
Kayu bendera, 5 batang, dalam RM30
Bata untuk buat 2 batas, 16 keping cinderblock (RM32@RM2 sekeping)
Pasir 2 guni (RM20)
Kompos, dari sisa dapur. Jika beli tanah (RM40)
Bahan simen untuk pancang tiang (RM20)
Salur, bucket dan fittings untuk sistem titis (RM40)
Tikar getah untuk tutup tanah (laluan anak-anak dan penghalang rumpai) (RM16 sebidang)


Kain tak ditenun (unwoven cloth) boleh digunakan sebagai kelambu.


Aduh, kos asas jadi tinggi juga. Pulangan,
1. Pengalaman berkebun yang akan diingati anak cucu sampai bila bila (priceless)
2. Sayur (RM10 sekali tuai selama 2 bulan berterusan untuk 2 cycle, RM2,400)
Masih untung banyak.
----------------------
Salad, satu Set Salad, RM30
Lobak merah, RM10 untuk 5 pek
Cauliflower, RM10 untuk 5 benih
Brokoli, RM10 untuk 5 benih.
Kailan, RM10 untuk 5 pek benih.
Collard, RM10 untuk 5 pek benih.

Sabtu, 12 September 2015

Aktiviti Tanamsendiri

Setiap Ahad bermula 12.00 am, saya ada letakkan puzzle di laman facebook, iaitu di www.facebook.com/Tanamsendiri
Puzzle berakhir pukul 12 tengahari ahad atau apabila saya setelah terima dua set jawapan awal yang tepat melalui mesej di laman tersebut.  Hadiah ialah 2 set benih bernilai RM50, jadi jumlah hadiah bernilai RM100.
Jangan lupa ya, singgah di laman facebook Tanamsendiri malam ini.  

Kaedah Penyediaan Tanah Adunan Semaian


Pensterilan (Nyahkuman) dan Pempasteuran

Pekebun yang menggunakan bahan kimia serta pengusaha tanaman semaian lazimnya sterilkan tanah yang mereka gunakan untuk melawan penyakit kulat iaitu penyakit reput batang dengan memanaskan atau membakar tanah hingga ke suhu 70 º C hingga 80 º C atau dengan mencampur bahan kimia misalnya metil bromida, peluntur (Clorox) atau larutan antiseptik (Dettol).  Masalah dengan kaedah ini, mereka telah membunuh semua hidupan dalam tanah dan ini mengganggu kesinambungan hidupan di dalam tanah.  Kaedah ini sebenar kurang elok jika kita ingin amalkan berkebun secara organik.

Kaedah yang lebih baik ialah dengan ....

Untuk bacaan seterusnya sila dapatkan ebook "Menyediakan Tanah Semaian."
Harganya hanya RM20.
Whatsapp/sms 0175009364 untuk pesanan.

Cerita Tentang Menanam Sendiri, bahagian 1

Kebelakangan ini celaru sedikit posting yang saya buat.  Terlalu banyak perkara yang ingin dikongsi sehinggakan tak tahu bagaimana nak mulakan. Mungkin juga kerana sambil sambil berkongsi cerita, masih terpaksa buat duit sikit sikit.  Ya lah, walaupun ramai yang berkata, sayur dan buah sepatutnya percuma, apa lagi jika kita tanam sendiri, banyak lagi yang masih perlukan belanja.  Sambil nak buat posting, anak perlu ke sekolah.  Nak hantar kena tuang petrol.  Petrol bukannya boleh digali sendiri, kena beli.  Nak online pun, bil Internet kena bayar, elektrik kena bayar, semua guna duit.  Mungkin sebab itu, tumpuan jadi agak celaru.  Maklum sajalah seperti kata orang perempuan dengan bangganya, orang lelaki fokus pada satu perkara aja dalam satu masa.  Orang perempuan buat 10 benda dalam satu masa.

Ok, apa-apa pun yang penting ilmu yang dikongsi dapat dimanfaatkan semua.  Semua tu, maksudnya orang yang ada Internet dan pada browsing. Yang pandai berFacebook.  Yang degil masih nak bermesin taip, tak dapatlah berkongsi kecuali kalau suka merayap di kedai buku, sekali sekala mungkin terjumpa buku yang saya tulis yang telah diterbitkan.  Semua ini tidak mungkin menjadi kenyataan jika tiada sokongan daripada rakan-rakan semua.

Dunia persekolahan saya (pemilik blog tanamsendiri.com) adalah di zaman 70an.  Ibu bapa dan cikgu-cikgu serta orang tua tiua di kampung saya pernah melalui kesengsaraan di zaman perang.  Walaupun perang telah lama tamat, dan orang dah mula laungkan "make love not war", trauma perang masih jelas.  Guru Besar tempat saya belajar ketika itu masih buat war drill.  Seronok kami, sebab dapat terjun dalam longkang besar.  Cuma mak mak menangis tengok.  Maklum sajalah masa tu mana ada mesin basuh.  Semua basuh pakai tangan.  Ada yang membasuh guna air sungai.  Silap haribulan kena ngap di Sang Bedal.

Semua orang tua-tua bercerita tentang perang.  Orang Jepun datang kononnya nak bebaskan daripada penjajah.  Tapi mereka yang janji nak tolong adalah punca kesengsaraan akibat jajahan.  Orang lain punya dendam, mereka yang perlu membayarnya.  Sebelum itu hidup memang susah.  Tapi makanan tak putus.  Datang orang yang nak bebaskan mereka daripada penjajah, daripada makan nasi, terpaksa makan ubi kayu.  Daripada makan ikan selayang, terpaksa makan ikan belukang.  Tanah yag kaya raya dengan rezeki menjadi bumi yang gersang akibat kerakusan manusia yang gila perang.

Perang itu menyebabkan mereka ketakutan.  Rezeki yang ada di depan mata mungkin lenyap jika ada kaum yang datang menjajikan kemerdekaan dengan sebilah pedang.  Mereka nampak, ketika mereka kelaparan, orang yang ada kebun menghulurkan bantuan.  Mereka sedar, kebun sayur mampu menghalang mereka daripada mati kebuluran.  Budaya menanam sendiri menjadi tren.  Bukan rakyat sahaja yang sedar.  Kerajaan juga sedar betapa pentingnya rakyat berkebun.  Arwah perdana menteri ketika itu melancarkan program Buku Hijau.  Tanamlah walaupun satu pokok cili.  Rayu arwah dalam tv.  Maka ramailah suri rumah kerah suami mereka buat para tinggi supaya pasu ada depan tingkap dapur.  Nak buat sambal, buka aja tingkap.  Cili ada depan mata.

Itulah zaman persekolahan saya.  Tak sedar bila budaya tersebut hilang.  Mungkin ledakan Apollo 11 merubah segalanya.  Telan vitamin dan makan sardin dalam tin menjadi tren.  Sayur kimia mula muncul.  Sayur kampung dah dilupakan.  Pohon kelapa yang melambai  dengan buah yang kering yang menakutkan diganti getah dan kelapa sawit.  Kebun sayur tak lagi glamour.  kebun komoditi menjanjikan sorga.

Lama kelamaan kita seperti hilang punca.  Penyakit baru mula datang.  Rokok daun diganti rokok berputing.  Mungkin seksi bila hisap rokok berputing.  Tibi, kanser mengucapkan selamat datang, obesiti membuka ruang.  Badan sixpack berganti dengan perut boroi, gadis berkebaya berganti jubah, bukan sebab keinsafan, kebaya dah tak padan, kalau dipaksa terpelanting butang.  Makanan organik menjadi makan binatang, makanan kimia menjadi kebanggaan.

Tanpa kita sedar, makanan idaman lebih dasyat daripada makanan di zaman perang.  Saya adalah seorang dari mereka cuma sebab pernah melihat zaman kegemilangan, merasa tertekan melihat nikmat yang hilang.  Tapi kesibukan menyempurnakan tanggungjawab, nikmat sebenar tak mampu disempurnakan.  Bila anak dah besar dan merasa ringan sedikit, barulah mampu lakukan sesuatu.  Itu pun kerana adanya Internet dan sokongan rakan-rakan.  Tolong like dan share supaya tulisan perkongsian dapat disebarkan.  Semangat untuk hidupkan nikmat berkebun di rumah menjadi semakin berkobar.  Maka lahirlah blog ini.

Alhamdulillah, makin ramai yang dapat nikmati apa yang pernah kami nikmati, hasil trauma ayah dan datuk kami.  Ramai yang telah kembali ke pangkal jalan, menyuap makan yang bebas racun.  Walaupun tidak seperti di zaman itu, yang mana nak makan ayam terpaksa tangkap ayam atau ambush bila ayam pulang ke reban, setidak-tidaknya ramai yang dapat menikmati sayur yang segar tanpa perlu merempuh jem, kerana nak beli segenggam sayur segar di pasaraya.

Untuk membantu rakan-rakan supaya tidak terjun di dalam gelap, kami sediakan sedikit cahaya dengan berkongsi sedikit pengalaman tentang cara menanam.  Alhamdulillah, dah lebih dari 3 ribu posting.  Sedikit demi sedikit terkumpul.  Itu pun bukanlah banyak sangat, kalau berbanding dengan ilmu di luar sana.

Semua ini untuk kesejahteraan kita semua, untuk anak cucu.  Tidak kira siapa kita kerana semua orang tinggal di planet yang sama.  Tak kiralah bangsa apa atau sebesar mana darjatnya.  Bumi ini hanya satu.  Menanam di rumah dapat membantu mengurangkan kemusnahannya.  Sisa yang dulunya dibuang kini diperam menjadi baja.  Racun yang dulu ditabur kini diganti bahan organik.

Walau apa pun yang kita tanam, langkah yang kita ambil biasanya sama atau seakan-akan.  Rakan-rakan boleh gunakan maklumat tersebut sebagai panduan.  Mula mula pilih tempat, di mana nak menanam?  Dalam pasu, belakang rumah, di dalam rumah?  Tepuk dada tanyalah selera.  Kemudian rancang nak tanam apa?  Sawi, kobis, kangkung, cili, tomato dan terung, semuanya tak mustahil.  Dah ada tempat, dah rancang nak tanam apa.  Dapatkan benih, sediakan tanah.  Kalau nak menanam secara organik, tambah bahan atau baja organik.  Kalau tak mahu tanam secara organik, tidak salah kalau digaul dengan baja organik.  Pokok nak air, jadi fikirkan tentang pengairan.  Kalau nak siram secara manual, bimbang tak termampu.  maklum sajalah kita semua sibuk, manalah ada masa nak menyiram.

Ahhh, orang di zaman teknologi maklumat, peka benar dengan masalah.  Menanam pokok pasti juga ada masalahnya.  Walaupun masalah belum muncul, kita dah gugur rambut mmikirkan bagaimana nak selesaikan masalah tersebut, bila ia benar-benar berlaku.  Fikirkan bagaimana nak hindarkan masalah.  Tak cukup plan B, buatlah plan C, atau plan D kalau masalah terlalu liat.  Oklah, semua dah sedia, kita mula menyemai, kemudian mengalih, dan tuai.
Wah mudahnya, ingatkan susah.  Pernah rasa keseronokan menuai hasil tanaman sendiri?  Jika belum, anda tidak akan  faham apa yang saya maksudkan.

Bersambung...

---------------------------------------
Sila Share.
Untuk maklumat tentang berkebun di rumah, dapatkan Ebook "Menanam Secara Organik Di Rumah."
SMS/Whatsapp 0175009364 untuk buat pesanan.

Jumaat, 11 September 2015

PROSES PENGURAIAN BAHAN ORGANIK, bahagian 5


Bakteria pengurai bertindak pantas apabila sumber organik (makanan mereka, iaitu sisa dapur kita) mempunyai perkadaran karbon:nitrogen antara .....

------------
Untuk bacaan selanjutnya, sila dapatkan ebook "Buat Kompos Sendiri"
Ebook dijual dengan harga RM20 sahaja.
SMS/Whatsapp 0175009364 untuk pesanan.

Ciri-ciri Tanah Adunan Semaian

Tanah adunan semaian mengandungi beberapa bahan dari sumber yang berbeza, diadunkan untuk mendapat ciri yang tertentu.  Setiap bahan yang digunakan ada fungsinya.
Hampir semua adunan tanah semaian mengandungi bahan organik sebagai bahan yang utama.  Bahan organik ini termasuk lumut gambut (peat moss), kompos, dan/atau tanah daun (leaf mold).  Bahan ini mampu menyimpan air serta udara.

Adunan tanah semaian harus mengandungi bahan yang kasar, misalnya vermikulit, dan/atau perlit.  Ia dapat membantu aliran air yang elok kerana bahan organik secara bersendirian akan lecak apabila disiram.  Jadi dengan menambah bahan kasar, tanah adunan semaian akan mangalirkan air dengan elok.

Tanah adunan semaian harus mengandungi sumber nutrien.  Namun begitu ia tidak seharusnya mengandungi nutrien dalam kuantiti yang banyak.  Sumber nutrien tersebut biasanya diperolehi daripada kompos, tanah kebun iaitu tanah lapisan atas, atau daripada campuran baja.  Nutrien tidak perlu diletak banyak kerana cambahan masih dapat nutrien daripada simpanan di dalam benih.  Lagipun jika terlalu banyak nutrien, akar tidak akan tumbuh jauh kerana cambahan telah mendapat nutrien yang diperlukan dengan secukupnya.  Dengan menambah hanya sedikit nutrien, akar akan merayap jauh untuk mencari nutrien.  Inilah perbezaan antara tanah adunan semaian dengan tanah untuk diisi di dalam pasu (selepas ini disebut tanah pasu).  Tanah pasu mengandungi lebih banyak nutrien kerana pokok yang besar atau matang memerlukan lebih banyak nutrien.

Tanah adunan semaian mengandungi pH keseluruhan yang neutral iaitu pH antara 6.0 dan 7.0.  Nilai ini hampir sama dengan pH tanah pasu yang bermutu.
Tanah adunan semaian seharusnya bebas daripada benih rumpai.  Ini amatlah jelas.  Kita ingin tanam tanaman, bukannya rumpai.
Tanah adunan semaian juga mesti bebas daripada makhluk perosak, telur atau larvanya.
Tanah adunan semaian mesti bebas daripada penyakit.   Tanah tersebut seharusnya tidak mengandungi spora atau sumber patogen misalnya kulat, bakteria atau virus.
Tanah adunan semaian seharusnya mengandungi kandungan garam yang sedikit sahaja kerana garam akan menyebabkan akar cambahan melecur.  Sebab itulah tanah adunan yang mengandungi abu atau bahan bakar daripada tumbuhan tidak sesuai digunakan kerana bahan tersebut mengandungi garam yang tinggi.


Sila Share
Dipetik daripada ebook "Menyediakan Tanah Semaian."
Harganya hanya RM20.
Whatsapp/sms 0175009364 untuk pesanan.

Khamis, 10 September 2015

PROSES PENGURAIAN BAHAN ORGANIK, bahagian 4


Selain daripada bahan organik, hidupan di dalam tanah memerlukan air (lembapan) dan oksigen (udara) yang secukupnya.  Bakteria juga memerlukan karbon dan nitrogen.  Oleh sebab itu imbangan karbon dan nitrogen perlu serasi dengan keperluan bakteria di dalam timbunan kompos untuk menghasilkan kompos dengan cepat dan “cantik”.
Tidak hairanlah, apabila dibincangkan tentang ramuan kompos, nisbah karbon dan nitrogen diulaskan dengan panjang lebar.    
Kita dikira bernasib baik kerana iklim negara kita yang panas lembap menggalakkan aktiviti bakteria pengurai yang menyebabkan proses membuat baja kompos menjadi lebih cepat berbanding dengan negara yang mempunyai 4 musim.

------------
Sila Share

Dipetik daripada ebook "Buat Kompos Sendiri"
Ebook dijual dengan harga RM20 sahaja.
SMS/Whatsapp 0175009364 untuk pesanan.

Beli Atau Adun Sendiri Tanah Semaian?



Jika ingin gunakan kuantiti yang sedikit, mungkin lebih mudah dan murah jika anda beli tanah adunan semaian.  Bagaimanapun, dengan membeli adunan tanah semaian, anda tiada kawalan terhadap kandungan adunan tersebut.  Jika anda pilih untuk membeli tanah adunan semaian, pastikan adunan tersebut 100% organik dan dirumuskan khas untuk menyemai benih.
 Jika perlukan tanah adunan semaian yang banyak, lebih murah jika diadun sendiri.  Lagipun anda dapat tentukan kandungannya dan mempunyai kawalan 100% terhadap bahan yang digunakan.

Sila Share
Dipetik daripada ebook "Menyediakan Tanah Semaian."
Harganya hanya RM20.
Whatsapp/sms 0175009364 untuk pesanan.

Rabu, 9 September 2015

Pudina selepas hujan

Pudina biasanya saya semai keratan cucuk dalam tanah pasir yang diperkaya dengan bahan organik. Masih ada stok beberapa pokok. Saya perasan bila hujan turun secara regular, daunnya besar, pokok subur. Nah lihatlah sendiri.

Pokok pudina ditanam di dalam polibeg.

PROSES PENGURAIAN BAHAN ORGANIK, bahagian 3 daripada 5


Bahan organik yang kita letak di dalam timbunan kompos menjadi makanan asas kepada komuniti di dalam tanah.  Selain daripada makanan, komuniti juga perlukan air dalam bentuk lembapan serta oksigen di dalam udara.  Aktviti juga berlaku dengan galak jika suhu di dalam timbunan kompos serasi.
Jadi, hidupan di dalam tanah menjadi pemangkin di dalam proses membuat kompos.  Anda perlu bekalkan makanan iaitu bahan organik, air dan pastikan timbunan kompos longgar supaya udara dapat masuk.

Bahan seperti karbohidrat dan protein dimakan oleh hidupan yang besar seperti cacing serta ulat gonggok.  Bahan tersebut dicerna dan dengan bantuan enzim, karbohidrat dipecahkan kepada bahan yang lebih ringkas, iaitu gula ringkas, asid organik dan karbon dioksida.  Gula ringkas dan asid organik menjadi makanan kepada kulat, aktinomiset, bakteria serta hidupan yang lain.  Protein dipecahkan menjadi peptida, asid amino, sebatian ammonia, gas nitrogen dan nitrat.  Nitrat adalah bahan yang diserap oleh tumbuhan.

------------
Sila Share

Dipetik daripada ebook "Buat Kompos Sendiri"
Ebook dijual dengan harga RM20 sahaja.
SMS/Whatsapp 0175009364 untuk pesanan.

Ciri Tanah Adunan Semaian Yang Elok Digunakan


Tanah adunan semaian yang elok digunakan untuk aktiviti semaian di dalam bekas mempunyai ciri sebagaimana dalam penjelasan berikut.
Tanah adunan semaian seharusnya mempunyai ketumpatan yang rendah, atau dalam bahasa biasa, tanah yang ringan.  Tanah tidak padat serta mempunyai ruang yang banyak di antara zarah-zarah tanah,  Apabila dipegang dengan tangan, ia terasa ringan.

Tanah adunan semaian mudah menyerap air dan udara.  Maksudnya ia mempunyai saliran yang elok.  Air tidak mudah bertakung apabila disiram ke atas tanah tersebut.  Apabila disemai, benih perukan udara untuk proses percambahan.  Udara digunakan untuk menukar makanan di dalam benih menjadi tenaga untuk membantu proses pembibitan dan percambahan.

Tanah tersebut mampu menyimpan air yang banyak serta tidak mudah kering.  Ia berfungsi seperti sepan.  Ini penting kerana benih perlukan air untuk pembibitan dan percambahan.  Pembibitan adalah proses benih bangkit dari tidur (dorman).  Apabila mendapat air, embrio iaitu bahagian yang akan membentuk menjadi pokok mula membesar.  Jika air kehabisan ketika proses pembibitan, benih mungkin akan mati kehausan.  Begitu juga dengan proses percambahan.  Sebahagian besar daripada cambahan adalah terdiri daripada air.  Jika air tidak cukup, cambahan akan menjadi lemah dan mati.

Tanah adunan semaian mempunyai pH yang neutral, iaitu sekitar 7.0.  Tanah  tersebut tidak terlalu masam (berasid) dan tidak terlalu manis (beralkali).  Keasidan tanah disukat dalam unit pH.  Lazimnya benih boleh bercambah dalam pH antara 6 hingga 7.  pH 7 adalah nilai neutral iaitu tidak berasid dan tidak beralkali.  Bahan yang masam mempunyai sifat asid, misalnya jus limau.  Baja organik dan belerang (sulfur) juga mempunyai sifat asid.  Alkali adalah sifat yang berlawanan dengan asid.  Ia mempunyai nilai pH yang lebih daripada 7.  Kulit kerang mempunyai sifat alkali.  Kapur juga mempunyai sifat alkali.

Tanah adunan semaian yang elok tidak mudah membentuk kerak di permukaannya.  Kebiasaannya benih disemai di dalam bekas yang kecil.  Oleh kerana bekas kecil, perubahan pada tanah adalah ketara dan berulang.  Tanah menjadi basah dan kering dengan cepat.  Perubahan ini menyebabkan tanah menjadi lesu terutamanya di bahagian permukaan kerana bahagian permukaan terdedah kepada udara.  Sekiranya tanah membentuk kerak, ia akan menghalang air daripada meresap masuk ke dalam tanah dengan mudah.   Ini akan mengurangkan keupayaan tanah untuk menyerap air.

Walaupun tanah adunan semaian sepatutnya tidak mampat, strukturnya mesti kukuh.  Ini penting kerana tanah yang mempunyai  struktur yang kukuh diperlukan untuk menyokong pertumbahan akar, dan  seterusnya memegang cambahan supaya tidak mudah tumbang.

Walaupun tanah adunan mempunyai ruang yang banyak, ia seharusnya mempunyai struktur yang kukuh serta kalis mampat.

  Ciri-ciri yang dinyatakan di atas mampu dicapai jika adunan yang dipilih dan diadunkan serasi.  Ebook ini seharusnya dapat membantu anda memilih bahan yang sesuai untuk menghasilkan adunan tanah semaian yang sesuai dan seterusnya membantu anda menghasilkan cambahan yang subur dan berkualiti.

Jadi, secara ringkasnya tanah adunan semaian harus mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Mempunyai ketumpatan yang rendah.
2. Mudah menyerap air dan udara.
3. Mampu menyimpan air yang banyak.
4. Neutral, tidak terlalu berasid atau beralkali.
5. Tidak membentuk kerak.
6. Mempunyai struktur yang kukuh.
7. Kalis mampat.

Sila Share
Dipetik daripada ebook "Menyediakan Tanah Semaian."
Harganya hanya RM20.
Whatsapp/sms 0175009364 untuk pesanan.

Selasa, 8 September 2015

PROSES PENGURAIAN BAHAN ORGANIK, bahagian 2 daripada 5



Perlukah difahami aktiviti penguaraian untuk membuat kompos?  Tidak perlu.  Bagaimanapun, memahami aktiviti penguraian adalah suatu yang boleh dimanfaatkan.  Seperti memandu kereta juga, kita tidak perlu faham apa yang berlaku di dalam enjin, giar dan sebagainya. Bagaimanapun, pengetahuan tersebut boleh dimanfaatkan.

Di dalam timbunan kompos ada pelbagai hidupan yang saling berkait serta saling bergantungan antara satu dengan yang lain. Jaringan hidupan tersebut disebut komuniti.
Komuniti di dalam timbunan kompos termasuk hidupan seni yang disebut mikrob, termasuk bakteria,kulat, aktinomiset serta makroorganisma, iaitu hidupan yang dapat dilihat dengan mata kasar atau kanta pembesar seperti anai-anai, semut, kutu tanah, cacing, nematod, semut, lipan dan ulat gonggok.


------------
Sila Share

Dipetik daripada ebook "Buat Kompos Sendiri"
Ebook dijual dengan harga RM20 sahaja.
SMS/Whatsapp 0175009364 untuk pesanan.

Apa Itu Tanah Adunan Semaian?



Orang yang baharu berkebun di rumah kadangkala membuat kesilapan dengan menggunakan tanah kebun atau tanah bakar yang dibeli daripada nurseri untuk menyemai benih.  Jika gunakan tanah kebun, menyemai terus di tanah kebiasaannya tiada masalah.  Bagaimanapun, tanah yang sama kurang sesuai digunakan jika menyemai di dalam bekas kerana persekitaran di atas tanah (di kebun atau di laman rumah) berbeza jika dibandingkan dengan persekitaran di dalam bekas atau dulang semaian.

Apabila menyemai di dalam bekas atau di dalam dulang semaian, persekitaran adalah terhad kepada ruang bekas tersebut.  Di dalam bekas yang kecil, apabila gunakan tanah kebun, air tidak dapat mengalir dengan elok.  Tanah tersebut cepat basah (apabila disiram walaupun dengan air yang sedikit) dan cepat kering (tidak lama selepas disiram) dan perubahan dari basah kepada kering yang berulang kali dalam masa yang singkat menyebabkan tanah mudah menjadi keras dan berkeping.
Apabila tanah menjadi keras, ia menjadi mampat dan tidak lagi mengandungi ruang udara yang cukup dan menyebabkan akar sukar tumbuh di dalamnya.  Ini kerana akar memerlukan udara (oksigen) dan ruang untuk tumbuh.

Tanah kebun mungkin mengandungi benih rumpai atau telur organisma perosak atau punca penyakit.
Jadi, tanah adunan semaian adalah berbeza dengan tanah kebun.
Proses mengadun tanah semaian adalah suatu aktiviti yang penting yang bakal menentukan kejayaan aktiviti berkebun di rumah.
Jika tidak mengadun sendiri tanah untuk semaian, panduan ini masih berguna, iaitu untuk membantu anda memilih tanah adunan semaian yang sesuai.


Sila Share
Dipetik daripada ebook "Menyediakan Tanah Semaian."
Harganya hanya RM20.
Whatsapp/sms 0175009364 untuk pesanan.

Isnin, 7 September 2015

PROSES PENGURAIAN BAHAN ORGANIK, bahagian 1 daripada 5



Bila disebut “proses penguraian”, yang dimaksudkan ialah perkara yang berlaku ketika membuat kompos.

Sebenarnya, apabila disebut buat kompos, maksud sebenarnya ialah membantu mencepatkan proses penguraian.  Ini kerana, jika tidak dibuat kompos, bahan organik akan tetap  terurai dan menghasilkan kompos.  Proses penguraian akan berterusan sehingga humus dihasilkan, iaitu kompos yang telah stabil.
Semua yang dinyatakan di atas adalah hasil daripada aktiviti komuniti hidupan di dalam timbunan kompos, atau secara amnya di dalam tanah.

------------
Sila Share

Dipetik daripada ebook "Buat Kompos Sendiri"
Ebook dijual dengan harga RM20 sahaja.
SMS/Whatsapp 0175009364 untuk pesanan.

Tanah Semaian


Satu daripada cabaran untuk aktiviti berkebun di rumah ialah menyediakan tanah atau medium yang sesuai digunakan untuk menyemai benih. Kebiasaannya tanah semaian dibeli daripada nurseri atau pasaraya. Tanah tersebut serasi digunakan. Bagaimanapun kadangkala ada tanah yang tidak serasi, menyebabkan benih yang disemai gagal bercambah atau cambahan terbantut dan seterusnya mati sebelum matang.

Kadangkala tanah yang digunakan serasi untuk satu bekas tetapi tidak serasi untuk bekas yang lain. Ini kerana ruang di dalam bekas juga mempengaruhi tabiat tanah yang ada di dalamnya.
Ada juga berlaku tanah yang dibeli tidak seragam. Ia mungkin serasi pada satu masa, apabila dibeli yang baru, kandungan adunan berubah dan tanah daripada jenama tersebut tidak lagi serasi.
Ini mungkin berlaku kerana bahan yang digunakan adalah daripada batch yang berlainan atau apabila pekerja telah bertukar ganti. Lain orang lain pula cara kerjanya. Kaedah megadun tanah mungkin telah berubah.

Kebiasaannya tanah yang dijual diadun bukan untuk tujuan menyemai, sebaliknya diadun untuk mengalih pokok yang telah besar dan matang. Tanah tersebut diperkaya dengan bahan baja yang tidak sesuai untuk cambahan.

Adunan tanah yang tidak sesuai adalah antara punca utama benih yang disemai gagal bercambah. Kegagalan ini bukan sahaja merugikan benih, ia juga menyebabkan kerugian masa dan menjadi punca utama ramai orang patah semangat untuk melakukan aktiviti berkebun di rumah.
Dengan memahami keperluan asas benih di dalam proses percambahan, anda dapat mengadun sendiri medium cambahan yang sesuai supaya anda mendapat cambahan yang subur dan seterusnya mendapat tuaian seperti yang diharapkan serta memuaskan.

Sila Share
Dipetik daripada ebook "Menyediakan Tanah Semaian."
Harganya hanya RM20.
Whatsapp/sms 0175009364 untuk pesanan.

Rabu, 2 September 2015

Semaian hilang!

Ouch, ke mana perginya cambahan curly kale?
Dua hari lepas saya ada semai benih curly kale di dalam dulang semaian. Dulang semaian diletak di luar pagar untuk manfaatkan teduh kanopi yang kami pasang.
Semalam dah bertaburan tumbuh.

Pagi ini seolah olah benih tak bercambah langsung.
Kalau saya tak check bekas semaian sudah pasti saya akan kata benih semaian tersebut tidak bercambah. Rupa-rupanya benih bercambah aja, dah ada serangga perosak yang meratahnya.
Frust juga sebab benih yang ada tak sampai 20 biji dipesan dari luar negara, dan semua telah disemai untuk ujicambah. Semua telah habis dimakan.

Ini adalah satu daripada cabaran menyemai benih. Biasanya orang baru akan mengatakan benih tidak bercambah atau tidak bernas. Sebenarnya benih telah bercambah tetapi telah dimakan oleh serangga perosak atau siput babi yang menyerang di waktu malam.

Dalam kes ini, cambahan telah dimakan oleh belalang tanah. Belalang ini saiznya kecil aja, iaitu 1 cm. Warnanya kehitaman sama dengan warna tanah.

Untuk selesaikan masalah serangan makhluk perosak amalkan kaedah pengurusan makhluk perosak. Ia terdiri daripada beberapa langkah menghindar.
-------------------------------
Semua ini ada dibincangkan di dalam ebook "Menanam Secara Organik Di Rumah". Harganya cuma RM50. Berbaloi membacanya. SMS/Whatsapp 0175009364 untuk buat pesanan.