Khamis, 19 Februari 2015

Menyemai Benih Salad

Ada banyak cara menyemai salad. Ia tidak terlalu terhad kepada cara tertentu. Yang penting apabila temui cara menyemai yang serasi, kekal dengan cara itu. Ubahsuai sehingga kaedah yang digunakan sempurna. Kebiasaannya, saya semai salad di dalam bekas terlebih dahulu kerana jika semai di tanah sebahagian benih akan hilang dikutip semut, atau dimakan ayam dan burung.
Anda boleh semai dalam dulang semaian modular, dulang semaian rata, besen air yang ditebuk, kotak susu tetrapek yang dikerat dia dan ditebuk dipangkalnya, botol yogurt, bekas telur dan apa sahaja.

Dalam contoh ini saya gunakan bakul yang dilapis dengan kertas suratkhabar. Tujuan saya gunakan bakul adalah supaya lebihan air tersejat keluar. Ini penting kerana saya akan letakkan bekas ini di tempat teduh. Tujuan meletakkan di tempat teduh ialah supaya suhu tanah tidak terlalu tinggi, yang mungkin akan membantutkan percambahan benih.

Untuk tanah pula saya gunakan campuran kompos iaitu sisa kebun yang telah diperam sehingga hancur dan pasir yang kasar iaitu pasir yang dibeli daripada kedai pembekal bahan binaan. Anda boleh juga gunakan tanah kebun (topsoil). Jika tanah mengandungi terlalu banyak tanah liat, gaulkan dengan sedikit pasir supaya tanah tidak menakung air. Tanah yang diidamkan ialah tanah yang mempunyai saliran yang elok tetapi masih menyimpan air.
Gabungan terbaik ialah tanah lom atau keladak dan pasir dengan nisbah 2:1, dua bahagian tanah lom dan satu bahagian pasir.

Basahkan tanah menggunakan penyembur. Memadai sekadar tanah lembap. Anda sedia untuk menyemai.

Secara amnya, benih tidak perlu direndam kerana benih salad halus sahaja. Bagaimanapun, jika anda ingin cepatkan proses percambahan, rendam dulu benih dalam air suam. Rendam selama 2 jam sahaja di dalam air suam. Jangan rendam terlalu lama kerana apabila kita merendam, proses pembibitan bermula, iaitu benih mula bagun dari tidur dan dan sel di dalam benih mula menggunakan oksigen. Jika terendam lama, benih tidak dapat serap oksigen dan akan mati lemas.

Tabur benih di atas permukaan tanah dan sembur dengan air supaya ia lekat pada permukaan tanah dan tidak diterbangkan angin. Kemudian tutup dengan kertas suratkhabar. Basahkan kertas suratkabar supaya ia tidak mudah terbuka. Tujuan ditutup dengan kertas suratkabar ialah supaya permukaan tanah tidak terdedah. Simpan di tempat yang teduh.

Selepas 2 hari periksa tanah. Jika kering, sembur dengan penyembur. Jika anda gunakan meter lembapan, sembur hingga 10% lembap sudah memadai. Jika anda gunakan dulang semaian modular, siram dengan merendam bekas dalam dulang dengan air pada aras 0.5 inci. Elakkan menyiram dengan air yang disiram secara terus. Gunakan penyembur. Benih tidak perlukan air yang banyak tetapi memerlukan lembapan yang berterusan.

Jangkamasa benih bercambah bergantung pada baka, jangka masa benih tersimpan, suhu persekitaran dan medium semaian ang digunakan.

https://www.youtube.com/watch?v=oHrdfzX06w8

Sabtu, 14 Februari 2015

Tuaian Hari Ini -- Lobak Putih, Bayam Malabar, dan Salad Merah

Sesiapa saja berhak menikmati makanan berkhasiat, yang enak hasil tanaman yang subur serta bebas racun. Mengapa disia siakan hak itu?

Tuaian hari ini.




Sistem Titis Yang Ringkas


Sistem titis yang ringkas menggunakan baldi (bucket) lama.

Dapatkan ebook "Koleksi Tip Tanamsendiri, jilid 1"  Ebook edisi peribadi format PDF untuk dibaca menggunakan smartfon dan tab, hanya RM20 satu salinan.
Ebook mengandungi tip tentang memilih benih, memilih tanaman, membuat benih sendiri, menyimpan benih, menyemai benih, menyemai menggunakan keratan, keperluan benih ketika menyemai, mengawal penyakit yang menyerang cambahan, mengalih semaian, memilih tempat menanam, membaiki struktur tanah, mengawal rumpai, mengawal serangga perosak, mengurangkan risiko serangan kulat, menyiram, membaja, membuat baja sendiri, menuai, menyimpan tuaian sambil mengekalkan kesegaran, memilih tuaian yang segar, memasak hasil tuaian dengan ringkas.
Mengandungi 50 tip berguna untuk berkebun di rumah.

Gambar Hari Ini -- Daun Moringa


Pokok moringa adalah sayur pohon yang mudah ditanam dan tidak perlu penjagaan yang rapi. Akar, perahan batang, daun, bunga, lenggai dan bijinya boleh dimakan. Daunnya mengandungi asid amino perlu yang lengkap yang tidak dapat dihasilkan sendiri oleh badan, lebih lengkap dari telur, susu, daging atau ikan. Daunnya enak digoreng, masak sayur air, atau masak lemak.

Amalkan makan sayur daun ini, insyaAllah lebih ceria kerana mendapat pemakanan yang lengkap. Orang yang ceria biasanya panjang umur. Jadikan sayur daun moringa sebagai hidangan tetap untuk keluarga, supaya anak-anak lebih ceria, cerdas dan pintar.

Alatan -- Cangkul Hula

Cangkul Hula mempunyai mata berbentuk gelung dengan bilah yang tajam dilekatkan pada kayu pemegang yang ringan dan panjang. Alat ini diguna untuk mengikis rumpai yang baru tumbuh dengan mengikis permukaan tanah. Alat ini membantu meringankan kerja merumput.


Selasa, 10 Februari 2015

Aktiviti atau Budaya Mengawet Dalam Masyarakat Kampung Beberapa Dekad Yang Lalu

Mengawet makanan telah lama diamalkan dalam masyarakat kita.  Saya perhatikan ia amat ketara di kampung sebelum peti sejuk digunakan secara meluas.
Pergi ke mana-mana rumah di kampung nelayan di Pantai Timur, di satu sudut di dapur pasti ada tempayan ikan jeruk.  Lebihan tangkapan ikan yang tidak terjual pasti akan rosak jika tidak diawet.  Kebiasaannya ikan di sapu garam dan dijemur hingga kering.  Jika lebihan ada ketika hari mendung, ikan direndam di dalam air garam di dalam tempayan.
Buah pauh dan mempelam berbuah ikut musim.  Sekali berbuah, memang tak termakan.  Nak dijual, zaman dulu, tak dapat pegang harga kerana pokok mangga orang lain juga berbuah.  Jadi, buah dijeruk di dalam air cuka (asid) yang dicampur sedikit lada.
Telur itik jika disimpan cara biasa tak tahan lama, cepat menjadi tembelang.  Ia dijeruk di dalam air garam atau tanah bercampur sekam padi yang telah direndam dalam air garam.
Lebihan nasi, pulut, dan ubi  pula ditapai dan dihidangkan ketika karbohidrat telah bertukar menjadi gula, ketika rasanya amat manis.
Pergi ke kampung yang ada dusun, pasti ada tempayan tempoyak, lempuk, jeruk maman dan jeruk petai.
Itu zaman sebelum adanya peti sejuk.  Bila ada peti sejuk, aktiviti mengawet telah berkurangan kecuali untuk tujuan komersial atau untuk dinikmati rasa makanan awet yang unik dan enak.  Mengawet itu sendiri tidak lagi menjadi tujuan utama kerana makanan dapat diawet dengan lebih mudah iaitu menggunakan peti sejuk.
Rakan-rakan mungkin tertanya, kenapa pula nak dihidupkan aktiviti ini?
Mudah, pertama, kan elok kita kekalkan aktiviti orang dulu-dulu menjadi warisan generasi yang akan datang.
Kedua, ada rasa makanan yang diawet lebih enak berbanding makanan awet yang ditinkan.  Cari kat kedai jeruk mana-mana pun di Malaysia, anda tak akan jumpa jeruk mempelam atau mangga seenak jeruk Terengganu.  Saya berani bet tentang yang ini.
Budu, cencalok, sambal belacan, jeruk lada, memang dah serasi sebagai pembuka selera ketika memakan nasi.
Lagipun tariff elektrik sekarang tinggi.  Menyimpan makanan dalam peti sejuk secara tidak langsung meningkat bil elektrik.  Bila awet dan simpan dalam botol atau balang kaca di dalam almari, tiada kos tamabahn untuk  penggunaan elektrik.  Walaupun nampak kecil, untuk rakan-rakan yang bekerja dengan pendapatan yang terhad ia banyak membantu.
Lagupun ia juga mengurangkan pembaziran lebihan makanan terutamanya rakan-rakan yang menanam di rumah.  Ia juga suatu amalan yang elok secara sosial.  Rakan-rakan dan saudara mara amat gembira jika menerima makanan awet sebagai buah tangan.  Jem betik, jem nenas, sirap roselle, jeruk pauh dan mempelam, jeruk bandi, salad, ... semua best belaka.

Mengawet Makanan


Jika ada lebihan sayur, mengapa tidak disimpan dalam balang/botol.  Jika kaedah penyediaan betul, makanan tak perlu disimpan di dalam peti sejuk.  Lepas buka barulah simpan dalam peti sejuk.
Bukan setakat sayur dan buah-buahan, anda juga boleh simpan makanan bayi dengan cara begini, jadi taklagi  perlu masak bayi setiap hari.
Saya dah kira, jika amalkan kaedah menyimpan begini, kita boleh jimat lebih daripada 50% berbanding dengan membeli makanan dalam tin/botol.

Ahad, 8 Februari 2015

Menyemai Sawi Di Musim Panas


Sawi seeloknya disemai jarang, dengan jarak 10 cm antara cambahan.  Bagaimanapun di musim kemarau elok juga kalau dusemai rapat.  Pokok yang rapat akan menghalang permukaan tanah daripada terdedah dan ini dapat mengurangkan kadar kehilangan air melalui sejatan di permukaan tanah.  Saya tidak risau sangat tentang perebutan cahaya kerana ketika musim begini keamatan cahaya amat tinggi.
Cuma saya pastikan tanah diletak baja secukupnya dan kekalkan kelembapan tanah dikekalkan dengan menyiram lebih kerap atau menggunakan air yang banyak setiap kali menyiram.
Sementara itu saya akan tuai sambil menjarang.  Dapat makan anak sawi yang rangup dan rapuh.  Saya akan terus menjarang hingga jarak antara pokok 20 cm.  Pada jarak ini pokok sawi akan membesar lebih cepat.
Oh ya, ketika menjarang, saya akan alih kedudukan pokok yang ingin dikekalkan.  Ini kerana sawi yang dialih akan lebih cepat besar berbanding dengan anak pokok sawi yang tidak dialih.  Jadi apabila tanam cara ini, saya dapat tuaian pertama pada minggu ketiga (anak pokok) dan saya tuai semuanya pada minggu ke 8.  Jika pertumbuhan perlahan, tuaian terakhir pada minggu ke 10.
Saya akan semai batch baru setiap 3 minggu untuk pastikan bekalan sawi tak putus.
Saya akan semai baka yang berbeza untuk mendapat tuaian yang berbeza.  Lebihan sawi dijeruk dan disimpan dalam balang (botol jem) kaca.  Sawi yang dijeruk tahan lebih lama.

Soalan Pengunjung -- Benih disemai tidak bercambah

Soalan pengunjung --
En. Iskandar, saya semai exactly sebagaimana yang En. Iskandar sarankan menggunakan tanah semaian yang dibeli dari tanamsendiri.com. Mengapa benih tidak tumbuh juga?
-------------
Banyak cabaran menyemai benih, walaupun negara kita bukan negara 4 musim. Tapi jangan putus asa. Biar saya jelaskan.
Ok, sekarang, kriteria tanah dah dituruti, kriteri lembapan juga telah dituruti.
Satu lagi perkara yang saya terlepas pandang selama ini kerana sebelum ini cuaca tidak melampau. Suhu adalah faktor yang sama penting. Betul untuk benih bercambah, ia perlukan haba. Lebih tiggi suhu persekitaran, lebih cepat benih tumbuh. Jadi orang yang tinggal di kawasan empat musim sentiasa terpaksa menunggu musim bunga atau apabila bebas daripada fros baru boleh mula menanam.
Kita di Malaysia dirahmati dengan suhu yang tinggi, jadi masalah suhu biasanya tidak dibincangkan kerana ia bukan suatu masalah. Bagaimanapun, suhu yang terlalu tinggi memberitahu benih musim kemarau akan tiba, jika bercambah pokok akan mati kepanasan.
Jadi, pada suhu yang tinggi atau ketika panas melampau, benih akan "tidur'. Sekarang, bulan Januari, di kawasan Selangor telah tiba musim kering atau kemarau. Suhu di siang hari mencecah 32 darjah Celsius, jika dengan kesan kelembapan, suhu yang dirasa mencecah hingga 38 darjah dan kadang-kadang hingga 40 darjah Celsius. Pada suhu ini, sesetengah benih tidak akan bercambah walaupun telah disemai menggunakan tanah yang serasi dengan kelembapan yang mencukupi.
Saya sarankan semai di tempat teduh, kalau boleh di dalam bangunan yang mempunyai suhu yang tidak terlalu tinggi. InsyaAllah benih akan bercambah.

Isnin, 2 Februari 2015

Klip Video Tuaian Hari Ini -- Lobak Putih


Makanan Yang Biasa Dimakan Yang Mengandungi Toksik -- Pegaga

Pegaga (Centella asiatica) adalah herba yang banyak tumbuh di kawasan basah di kampung yang biasa dimakan sebagai ulam.  Herba ini mempunyai rasa yang enak serta unik dan amat popuar di pantai timur.  Biasanya pegaga dihidangkan sebagai ulam laksam.  Memang pegaga best.
Ada pembaca bertanya, adakah pegaga selamat dimakan?
Pegaga ada dalam masyarakat kita lama dahulu dan ia sememangnya selamat dimakan, jika dimakan sebagai ulam dan dimasak sebagai sayur.
Jadi, mengapa minggu ini saya pilih pegaga?
Beberapa tahun dahulu saya pernah diberitahu oleh rakan yang amalkan memakan herba yang ada jenis pegaga yang tidak boleh dimakan.  Saya tidak pasti jenis yang mana, mungkin jenis pegaga yang dijadikan hiasan.  Sebab dari pengetahuan saya, jika dimakan secara biasa, pegaga selamat dimakan.
Seperti biasa, bila suatu bahan itu berkhasiat, akan ada golongan yang taksub yang akan makan lebih lebih.  Jadi, kita cerita tentang khasiatnya terlebih dahulu.
Sebenarnya pegaga bukan hanya herba yang dimakan sebagai ulam dan sayur.  Sejak dulu lagi pegaga dimakan sebagai ubat, terutamanya dalam perubatan sinseh dan ayurveda.  Ini kerana ada bahan di dalam pegaga yang mampu mengurangkan bengkak serta melancarkan perjalanan darah.  Kesan daripada ini, pegaga dikatakan boleh cepatkan proses menyembuh luka, mengurangkan kesan penuaan serta mengembalikan nafsu seks.  Ada juga artikel yang mengatakan orang yang rambut uban jika amalkan makan pegaga rambut akan hitam kembali.  
Jadi, dalam keadaan biasa pegaga selamat dimakan.  Bagaimanapun ada kajian yang dibuat tentang kesan sampingan memakan pegaga secara berlebihan melalui smoothie.  Khabarnya meminum air pegaga berlebihan boleh merosakkan hati.  Jadi, jika ada menghadapi penyakit yang berkaitan dengan hati, misalnya hepatitis, elakkan meminum air pegaga.  Ada juga kajian menunjukkan bahan di dalam pegaga mampu bergabung dengan ubat yang dimakan, misalnya analgesik (ubat penahan sakit) mampu menyebabkan kerosakan pada hati.  Jadi, jika sedang memakan ubat serta pil penahan sakit, elakkan meminum air pegaga.
Orang yang menjalani pembedahan dan meminum pegaga akan merasa terlebih mengantuk dan akan tidur berlebihan.  Disarankan, jika telah disuntik ubat bius, jangan minum air pegaga.  Tunggu sehingga 2 minggu selepas pembedahan barulah makan pegaga seperti biasa.
Ada juga kajian yang  menimbulkan isu risiko keracunan logam berat, misalnya arsenik.  Pada pendapat saya ini berkait dengan kaedah penanaman dan penyediaan herba tersebut.  Jika ingin memakan ulam dan sayur mentah atau ingin buat smoothie, tanamsendiri.  Jika ingin beli, beli daripada orang yang anda percaya sahaja.  Basuh betul betul dan jika ingin buat smoothie, elakkan memakan pegaga yang telah disembur pestisid.
-----------------
Sila share