Halaman

Cari Blog Ini

Rabu, 9 September 2015

Ciri Tanah Adunan Semaian Yang Elok Digunakan


Tanah adunan semaian yang elok digunakan untuk aktiviti semaian di dalam bekas mempunyai ciri sebagaimana dalam penjelasan berikut.
Tanah adunan semaian seharusnya mempunyai ketumpatan yang rendah, atau dalam bahasa biasa, tanah yang ringan.  Tanah tidak padat serta mempunyai ruang yang banyak di antara zarah-zarah tanah,  Apabila dipegang dengan tangan, ia terasa ringan.

Tanah adunan semaian mudah menyerap air dan udara.  Maksudnya ia mempunyai saliran yang elok.  Air tidak mudah bertakung apabila disiram ke atas tanah tersebut.  Apabila disemai, benih perukan udara untuk proses percambahan.  Udara digunakan untuk menukar makanan di dalam benih menjadi tenaga untuk membantu proses pembibitan dan percambahan.

Tanah tersebut mampu menyimpan air yang banyak serta tidak mudah kering.  Ia berfungsi seperti sepan.  Ini penting kerana benih perlukan air untuk pembibitan dan percambahan.  Pembibitan adalah proses benih bangkit dari tidur (dorman).  Apabila mendapat air, embrio iaitu bahagian yang akan membentuk menjadi pokok mula membesar.  Jika air kehabisan ketika proses pembibitan, benih mungkin akan mati kehausan.  Begitu juga dengan proses percambahan.  Sebahagian besar daripada cambahan adalah terdiri daripada air.  Jika air tidak cukup, cambahan akan menjadi lemah dan mati.

Tanah adunan semaian mempunyai pH yang neutral, iaitu sekitar 7.0.  Tanah  tersebut tidak terlalu masam (berasid) dan tidak terlalu manis (beralkali).  Keasidan tanah disukat dalam unit pH.  Lazimnya benih boleh bercambah dalam pH antara 6 hingga 7.  pH 7 adalah nilai neutral iaitu tidak berasid dan tidak beralkali.  Bahan yang masam mempunyai sifat asid, misalnya jus limau.  Baja organik dan belerang (sulfur) juga mempunyai sifat asid.  Alkali adalah sifat yang berlawanan dengan asid.  Ia mempunyai nilai pH yang lebih daripada 7.  Kulit kerang mempunyai sifat alkali.  Kapur juga mempunyai sifat alkali.

Tanah adunan semaian yang elok tidak mudah membentuk kerak di permukaannya.  Kebiasaannya benih disemai di dalam bekas yang kecil.  Oleh kerana bekas kecil, perubahan pada tanah adalah ketara dan berulang.  Tanah menjadi basah dan kering dengan cepat.  Perubahan ini menyebabkan tanah menjadi lesu terutamanya di bahagian permukaan kerana bahagian permukaan terdedah kepada udara.  Sekiranya tanah membentuk kerak, ia akan menghalang air daripada meresap masuk ke dalam tanah dengan mudah.   Ini akan mengurangkan keupayaan tanah untuk menyerap air.

Walaupun tanah adunan semaian sepatutnya tidak mampat, strukturnya mesti kukuh.  Ini penting kerana tanah yang mempunyai  struktur yang kukuh diperlukan untuk menyokong pertumbahan akar, dan  seterusnya memegang cambahan supaya tidak mudah tumbang.

Walaupun tanah adunan mempunyai ruang yang banyak, ia seharusnya mempunyai struktur yang kukuh serta kalis mampat.

  Ciri-ciri yang dinyatakan di atas mampu dicapai jika adunan yang dipilih dan diadunkan serasi.  Ebook ini seharusnya dapat membantu anda memilih bahan yang sesuai untuk menghasilkan adunan tanah semaian yang sesuai dan seterusnya membantu anda menghasilkan cambahan yang subur dan berkualiti.

Jadi, secara ringkasnya tanah adunan semaian harus mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Mempunyai ketumpatan yang rendah.
2. Mudah menyerap air dan udara.
3. Mampu menyimpan air yang banyak.
4. Neutral, tidak terlalu berasid atau beralkali.
5. Tidak membentuk kerak.
6. Mempunyai struktur yang kukuh.
7. Kalis mampat.

Sila Share
Dipetik daripada ebook "Menyediakan Tanah Semaian."
Harganya hanya RM20.
Whatsapp/sms 0175009364 untuk pesanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan