Tanah adunan semaian mengandungi beberapa bahan dari sumber yang berbeza, diadunkan untuk mendapat ciri yang tertentu. Setiap bahan yang digunakan ada fungsinya.
Hampir semua adunan tanah semaian mengandungi bahan organik sebagai bahan yang utama. Bahan organik ini termasuk lumut gambut (peat moss), kompos, dan/atau tanah daun (leaf mold). Bahan ini mampu menyimpan air serta udara.
Adunan tanah semaian harus mengandungi bahan yang kasar, misalnya vermikulit, dan/atau perlit. Ia dapat membantu aliran air yang elok kerana bahan organik secara bersendirian akan lecak apabila disiram. Jadi dengan menambah bahan kasar, tanah adunan semaian akan mangalirkan air dengan elok.
Tanah adunan semaian harus mengandungi sumber nutrien. Namun begitu ia tidak seharusnya mengandungi nutrien dalam kuantiti yang banyak. Sumber nutrien tersebut biasanya diperolehi daripada kompos, tanah kebun iaitu tanah lapisan atas, atau daripada campuran baja. Nutrien tidak perlu diletak banyak kerana cambahan masih dapat nutrien daripada simpanan di dalam benih. Lagipun jika terlalu banyak nutrien, akar tidak akan tumbuh jauh kerana cambahan telah mendapat nutrien yang diperlukan dengan secukupnya. Dengan menambah hanya sedikit nutrien, akar akan merayap jauh untuk mencari nutrien. Inilah perbezaan antara tanah adunan semaian dengan tanah untuk diisi di dalam pasu (selepas ini disebut tanah pasu). Tanah pasu mengandungi lebih banyak nutrien kerana pokok yang besar atau matang memerlukan lebih banyak nutrien.
Tanah adunan semaian mengandungi pH keseluruhan yang neutral iaitu pH antara 6.0 dan 7.0. Nilai ini hampir sama dengan pH tanah pasu yang bermutu.
Tanah adunan semaian seharusnya bebas daripada benih rumpai. Ini amatlah jelas. Kita ingin tanam tanaman, bukannya rumpai.
Tanah adunan semaian juga mesti bebas daripada makhluk perosak, telur atau larvanya.
Tanah adunan semaian mesti bebas daripada penyakit. Tanah tersebut seharusnya tidak mengandungi spora atau sumber patogen misalnya kulat, bakteria atau virus.
Tanah adunan semaian seharusnya mengandungi kandungan garam yang sedikit sahaja kerana garam akan menyebabkan akar cambahan melecur. Sebab itulah tanah adunan yang mengandungi abu atau bahan bakar daripada tumbuhan tidak sesuai digunakan kerana bahan tersebut mengandungi garam yang tinggi.
Sila Share
Dipetik daripada ebook "Menyediakan Tanah Semaian."
Harganya hanya RM20.
Whatsapp/sms 0175009364 untuk pesanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan