Halaman

Cari Blog Ini

Khamis, 17 September 2015

Cerita Tentang Menanam Sendiri, Bahagian 3

OK, dan pilih tempat dan perhati ciri-ciri lokasi tersebut.  Sampai waktunya untuk merancang laman kebun.  Oh ya, lupa nak nyatakan, simpan jurnal.  Apa-apa berkait dengan aktiviti berkebun, catat di dalam jurnal tersebut.  Jurnal tak perlu buku cantik harga ribu-ribu.  Buku latihan bergaris biru pun boleh digunakan.  Simpan di dalam plastik zip sebab bila berkebun boleh dilindungi daripada tanah dan air.  Gantung di tempat yang mudah dicapai.  Untuk memudahkan kerja, ikat sekali pen pada buku.  Setiap kali buat aktiviti berkebun, letak jurnal dalam poket belakang seluar.  Catat, catat, catat.  Kita bukannya superman, boleh ingat segalanya.  Jurnal dapat membantu kita faham tentang persekitaran serta waktu dan kaedah yang sesuai untuk berkebun.

Saya sendiri pun ada simpan jurnal.  Buku latihan 60 muka surat dengan kulit berwarna cokelat.  Setiap helaian saya lipat dua supaya bentuk jurnal lebih kecil dan muat poket belakang seluar.  Jurnal tersebut saya simpan di dalam plastik zip digantung pada gerigi besi (grill) di depan rumah.  Bila lakukan aktiviti berkebun, saya capai jurnal.

Berbalik semula kepada topik yang ingin dikongsi hari ini -- Rancang Laman Kebun.  Apabila disebut rancang laman kebun, ada orang guna program khas.  Lepas berkebun buka tab.  Ada yang guna apps khas dalam smartfon.  Wah, saya kagum.  Anak-anak di zaman wifi tak kan sama dengan anak-anak selepas perang jepun.  Mestilah jauh lebih canggih.  Saya sendiri masih selesa dengan cara lama.  Apa-apa pun ikut keselesaan.  Tab dan smartfon juga bagus.  Jurnal buku latihan pun bagus.  Apa-apa pun media jurnal, semua bagus.  Yang penting ada simpan jurnal.  Buat perancangan awal.

Dulu di zaman persekolahan, cikgu ajar di dalam kelas geografi.  Malaysia iklim khatulistiwa, suhu tinggi, udara lembap, dan hujan sepanjang tahun.  Saya angkat tangan, buat kenyataan.  Tak betul tu cikgu sebab saya dengan ayah berkebun di rumah.  Hujan tak sepanjang tahun, ada waktu bah besar, ada waktu kering kontang.  Suhu juga tak selalu tinggi, malam dingin siang panas.  Sebab itu ada bayu laut dan bayu darat.  Saya tahu sebab saya dari kampung nelayan.  Orang kampung masih guna perahu layar.  Mereka turun kelaut waktu awal pagi, bayu darat, angin dari kampung meniup ke arah laut.  dan pulang waktu bayu laut, angin bertiup daripada laut ke darat.  Perubahan arah angin ini berlaku kerana ada perubahan suhu.

Cikgu berbisik kat telinga. saya.  Iskandar, kalau awak jawab benda yang betul, awak tak dapat markah nanti.  Awak kena jawab ikut Sukatan Pelajaran.  Di dalam hati, ooo begitu.  Aku belajar susah susah bukan nak belajar tentang perkara yang betul.  Cikgu tahu apa yang aku fikirkan melhat daripada raut wajah saya.  Cikgu tersebut tambah lagi.  Kalau di zaman dulu ada peperiksaan, awak kata bumi ni bulat sedangkan sukatan pelajaran kata bumi ni rata, awak fail SRP, tahu tak?  Saya tergamam.  Akur nasihat cikgu.  SRP ialah peperiksaan dalam tingkatan 3.  Tak lulus tingkatan 3, tak naik ke tingkatan 4.  Saya akur.

Tapi pokok tak ikut sukatan pelajaran, ia ikut keperluan.  Jadi kita perlu tahu persekitaran.  Kita perlu peka dengan perubahan musim.  Bagaimana nak akur, buat catatan supaya kita tahu.  Dengan adanya jurnal, tahun depan kita ikut dan refine lagi.  Lama kelamaan kita akan menjadi mahir tentang iklim setempat.

Di peringkat awal ni, gunakan pengalaman yang sedia ada dan buat perancangan.  Jika tak serasi boleh ubahsuai di kemudian hari.  Perancangan dibuat untuk dijadikan panduan, bukannya sebagai buku program, mesti ikut bulat bulat.  Kita yang berkebun sebagai hobi, buat suka suka aja.  Walaupun begitu, sasaran kita sama dengan pekebun profesional.  Kita nakkan tuaian.

Berbeza dengan pekebun profesional yang nakkan tuaian yang banyak dan besar sebab jualan timbang kilo, kita nak tuaian yang enak sebab kita tak jual, dan tak kira kilo.  Kita nak makan.  Lagi enak tuaian, lagi bagus.

Dalam perancangan, catatkan jenis tanaman, lokasi, bila nak semai dan bila anggaran nak tuai.  Kemudian tanaman apa pula untuk diganti.  Ini penting kerana kita perlu ubah jenis tanaman untuk kurangkan risiko serangan serangga perosak.  Dapatkan benih awal awal.  Jangan pula bila dah sediakan tanah, tanah terdedah benih yang diharapkan tak dapat dicari atau belum tiba sebab lambat pesan melalui atas-talian.  Akibatnya, rumpai tumbuh dulu.

Jika ingin pesan benih secara atas-talian, boleh pesan dari kami (promosi sikit, ;))  Beli benih dalam peket kecil yang dijual di pasaraya pun boleh.  Ada orang kata, benih tersebut tak bernas.  Mana ada.  Benih tersebut juga bernas.  Jika tak bernas, mana mungkin mereka dapat jual.  Jika semai tapi tak tumbuh, mungkin kaedah menyemai kurang serasi, ubah tanah, ubah persekitaran.

Jika menyemai menjadi masalah besar, boleh skip langkah tersebut.  Dapatkan semaian anak pokok.  Biasanya kat nurseri ada jual.  Walaupun pilihan tak banyak, opsyen tersebut ada.  Ketika merancang, jangan pilih satu jenis tanaman sahaja.  Ini kurang elok sebab akan mendedahkan tanaman kepada serangan serangga perosak.  Gabungkan dengan tanaman lain untuk menghalang serangan serangga perosak.  Misalnya jika tanam cili, lalat putih gemar serang pokok cili yang kurang subur.  Tanam selasih wangi bersama cili.  Lalat putih benci bau harum selasih wangi.  Pokok cili akan selamat daripada serangan lalat putih.  Daun selasih wangi boleh dibuat teh, dan juga boleh buat perisa makanan.      

Kalau tanam tomato, selang selikan dengan pokok bunga tahi ayam (marigold).  Ia dapat menghalang serangan cacing nematod.  Tapi awas, kalau kawasan ada masalah kutu labah-labah jangan tanam bunga tahi ayam, sebab kutu labah-labah suka berlindung di celah-celah daun pokok ini.

Bagaimana pula dengan air?  Nak siram secara manual, nak buat sprinkler, sistem titis, semua boleh. Tapi rancang dulu supaya tanaman tidak mati kehausan atau mati basah kerana terlebih air.  Yang penting, rancang.

Bersambung....

--------------------

Tawaran September, dapat 16 pek benih yang mudah disemai dan dijaga (iaitu kangkung (3 pek), bendi (3 pek), lobak putih (3 pek), sawi (3 pek), kailan (3 pek) dan basil (1 pek), buku bercetak berjudul tanamsendiri.com versi buku, jilid 1, 2 dan 3, dan ebook "Menanam Secara Organik di Rumah."
Kesemuanya hanya RM100. Jimat RM67.
SMS/Whatsapp 0175009364 untuk pesanan. Rugi kalau tak grab tawaran ini.

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum En. Iskandar,

    Saya sokong. Bandar-bandar kita sekarang sudah menjadi "food desert". Dan skill survival seperti bercucuk tanam semakin lama semakin terhakis. Cabaran menjadi semakin sukar sebab ramai suka beli di pasaraya sebab mudah, tak perlu pikir panjang.

    BalasPadam