Halaman

Cari Blog Ini

Sabtu, 12 September 2015

Cerita Tentang Menanam Sendiri, bahagian 1

Kebelakangan ini celaru sedikit posting yang saya buat.  Terlalu banyak perkara yang ingin dikongsi sehinggakan tak tahu bagaimana nak mulakan. Mungkin juga kerana sambil sambil berkongsi cerita, masih terpaksa buat duit sikit sikit.  Ya lah, walaupun ramai yang berkata, sayur dan buah sepatutnya percuma, apa lagi jika kita tanam sendiri, banyak lagi yang masih perlukan belanja.  Sambil nak buat posting, anak perlu ke sekolah.  Nak hantar kena tuang petrol.  Petrol bukannya boleh digali sendiri, kena beli.  Nak online pun, bil Internet kena bayar, elektrik kena bayar, semua guna duit.  Mungkin sebab itu, tumpuan jadi agak celaru.  Maklum sajalah seperti kata orang perempuan dengan bangganya, orang lelaki fokus pada satu perkara aja dalam satu masa.  Orang perempuan buat 10 benda dalam satu masa.

Ok, apa-apa pun yang penting ilmu yang dikongsi dapat dimanfaatkan semua.  Semua tu, maksudnya orang yang ada Internet dan pada browsing. Yang pandai berFacebook.  Yang degil masih nak bermesin taip, tak dapatlah berkongsi kecuali kalau suka merayap di kedai buku, sekali sekala mungkin terjumpa buku yang saya tulis yang telah diterbitkan.  Semua ini tidak mungkin menjadi kenyataan jika tiada sokongan daripada rakan-rakan semua.

Dunia persekolahan saya (pemilik blog tanamsendiri.com) adalah di zaman 70an.  Ibu bapa dan cikgu-cikgu serta orang tua tiua di kampung saya pernah melalui kesengsaraan di zaman perang.  Walaupun perang telah lama tamat, dan orang dah mula laungkan "make love not war", trauma perang masih jelas.  Guru Besar tempat saya belajar ketika itu masih buat war drill.  Seronok kami, sebab dapat terjun dalam longkang besar.  Cuma mak mak menangis tengok.  Maklum sajalah masa tu mana ada mesin basuh.  Semua basuh pakai tangan.  Ada yang membasuh guna air sungai.  Silap haribulan kena ngap di Sang Bedal.

Semua orang tua-tua bercerita tentang perang.  Orang Jepun datang kononnya nak bebaskan daripada penjajah.  Tapi mereka yang janji nak tolong adalah punca kesengsaraan akibat jajahan.  Orang lain punya dendam, mereka yang perlu membayarnya.  Sebelum itu hidup memang susah.  Tapi makanan tak putus.  Datang orang yang nak bebaskan mereka daripada penjajah, daripada makan nasi, terpaksa makan ubi kayu.  Daripada makan ikan selayang, terpaksa makan ikan belukang.  Tanah yag kaya raya dengan rezeki menjadi bumi yang gersang akibat kerakusan manusia yang gila perang.

Perang itu menyebabkan mereka ketakutan.  Rezeki yang ada di depan mata mungkin lenyap jika ada kaum yang datang menjajikan kemerdekaan dengan sebilah pedang.  Mereka nampak, ketika mereka kelaparan, orang yang ada kebun menghulurkan bantuan.  Mereka sedar, kebun sayur mampu menghalang mereka daripada mati kebuluran.  Budaya menanam sendiri menjadi tren.  Bukan rakyat sahaja yang sedar.  Kerajaan juga sedar betapa pentingnya rakyat berkebun.  Arwah perdana menteri ketika itu melancarkan program Buku Hijau.  Tanamlah walaupun satu pokok cili.  Rayu arwah dalam tv.  Maka ramailah suri rumah kerah suami mereka buat para tinggi supaya pasu ada depan tingkap dapur.  Nak buat sambal, buka aja tingkap.  Cili ada depan mata.

Itulah zaman persekolahan saya.  Tak sedar bila budaya tersebut hilang.  Mungkin ledakan Apollo 11 merubah segalanya.  Telan vitamin dan makan sardin dalam tin menjadi tren.  Sayur kimia mula muncul.  Sayur kampung dah dilupakan.  Pohon kelapa yang melambai  dengan buah yang kering yang menakutkan diganti getah dan kelapa sawit.  Kebun sayur tak lagi glamour.  kebun komoditi menjanjikan sorga.

Lama kelamaan kita seperti hilang punca.  Penyakit baru mula datang.  Rokok daun diganti rokok berputing.  Mungkin seksi bila hisap rokok berputing.  Tibi, kanser mengucapkan selamat datang, obesiti membuka ruang.  Badan sixpack berganti dengan perut boroi, gadis berkebaya berganti jubah, bukan sebab keinsafan, kebaya dah tak padan, kalau dipaksa terpelanting butang.  Makanan organik menjadi makan binatang, makanan kimia menjadi kebanggaan.

Tanpa kita sedar, makanan idaman lebih dasyat daripada makanan di zaman perang.  Saya adalah seorang dari mereka cuma sebab pernah melihat zaman kegemilangan, merasa tertekan melihat nikmat yang hilang.  Tapi kesibukan menyempurnakan tanggungjawab, nikmat sebenar tak mampu disempurnakan.  Bila anak dah besar dan merasa ringan sedikit, barulah mampu lakukan sesuatu.  Itu pun kerana adanya Internet dan sokongan rakan-rakan.  Tolong like dan share supaya tulisan perkongsian dapat disebarkan.  Semangat untuk hidupkan nikmat berkebun di rumah menjadi semakin berkobar.  Maka lahirlah blog ini.

Alhamdulillah, makin ramai yang dapat nikmati apa yang pernah kami nikmati, hasil trauma ayah dan datuk kami.  Ramai yang telah kembali ke pangkal jalan, menyuap makan yang bebas racun.  Walaupun tidak seperti di zaman itu, yang mana nak makan ayam terpaksa tangkap ayam atau ambush bila ayam pulang ke reban, setidak-tidaknya ramai yang dapat menikmati sayur yang segar tanpa perlu merempuh jem, kerana nak beli segenggam sayur segar di pasaraya.

Untuk membantu rakan-rakan supaya tidak terjun di dalam gelap, kami sediakan sedikit cahaya dengan berkongsi sedikit pengalaman tentang cara menanam.  Alhamdulillah, dah lebih dari 3 ribu posting.  Sedikit demi sedikit terkumpul.  Itu pun bukanlah banyak sangat, kalau berbanding dengan ilmu di luar sana.

Semua ini untuk kesejahteraan kita semua, untuk anak cucu.  Tidak kira siapa kita kerana semua orang tinggal di planet yang sama.  Tak kiralah bangsa apa atau sebesar mana darjatnya.  Bumi ini hanya satu.  Menanam di rumah dapat membantu mengurangkan kemusnahannya.  Sisa yang dulunya dibuang kini diperam menjadi baja.  Racun yang dulu ditabur kini diganti bahan organik.

Walau apa pun yang kita tanam, langkah yang kita ambil biasanya sama atau seakan-akan.  Rakan-rakan boleh gunakan maklumat tersebut sebagai panduan.  Mula mula pilih tempat, di mana nak menanam?  Dalam pasu, belakang rumah, di dalam rumah?  Tepuk dada tanyalah selera.  Kemudian rancang nak tanam apa?  Sawi, kobis, kangkung, cili, tomato dan terung, semuanya tak mustahil.  Dah ada tempat, dah rancang nak tanam apa.  Dapatkan benih, sediakan tanah.  Kalau nak menanam secara organik, tambah bahan atau baja organik.  Kalau tak mahu tanam secara organik, tidak salah kalau digaul dengan baja organik.  Pokok nak air, jadi fikirkan tentang pengairan.  Kalau nak siram secara manual, bimbang tak termampu.  maklum sajalah kita semua sibuk, manalah ada masa nak menyiram.

Ahhh, orang di zaman teknologi maklumat, peka benar dengan masalah.  Menanam pokok pasti juga ada masalahnya.  Walaupun masalah belum muncul, kita dah gugur rambut mmikirkan bagaimana nak selesaikan masalah tersebut, bila ia benar-benar berlaku.  Fikirkan bagaimana nak hindarkan masalah.  Tak cukup plan B, buatlah plan C, atau plan D kalau masalah terlalu liat.  Oklah, semua dah sedia, kita mula menyemai, kemudian mengalih, dan tuai.
Wah mudahnya, ingatkan susah.  Pernah rasa keseronokan menuai hasil tanaman sendiri?  Jika belum, anda tidak akan  faham apa yang saya maksudkan.

Bersambung...

---------------------------------------
Sila Share.
Untuk maklumat tentang berkebun di rumah, dapatkan Ebook "Menanam Secara Organik Di Rumah."
SMS/Whatsapp 0175009364 untuk buat pesanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan