TanamSendiri.com adalah blog tentang berkebun di rumah. Selain daripada maklumat, anda juga boleh dapatkan benih serta perkakas berkebun di rumah. Hubungi kami melalui emel [email protected]
Selasa, 25 Ogos 2015
Ebook "Kucing Sahabat Taman"; Tabiat Kucing, Bahagian 2 daripada 3
Bagaimanapun, kucing melihat warna berbeza daripada manusia melihat warna. Mata kucing hanya peka terhadap warna merah dan hijau berbanding dengan mata manusia yang peka terhadap warna merah, hijau dan biru. Kucing tidak nampak warna biru. Jadi, apa yang kita nampak tidak sama dengan apa yang kucing nampak.
Keupayaan kucing merasa juga berbeza daripada manusia. Ini mungkin kerana kucing pada asalnya adalah pemakan daging. Lidah kucing kurang peka terdadap rasa manis. Ia lebih peka terhadap rasa asid amino, iaitu bahan asas yang ada di dalam protein (daging, ikan, telur dan susu). Jadi kucing dapat merasa daging dengan lebih terperinci berbanding dengan manusia. Rasa daging lebih enak untuk kucing jika dibandingkan dengan keenakan daging untuk manusia.
Kucing amat cekap memburu. Keistimewaan ini ada kaitan dengan keupayaan organ derianya. Kebolehan kucing menyorok kukunya menyebabkan kucing dapat bergerak tanpa mengeluarkan bunyi. Ini membolehkan kucing menerkam mangsanya tanpa disedari.
Lazimnya kucing memburu secara bersendirian. Ini berbeza dengan anjing yang gemar memburu secara berkumpulan. Oleh sebab itu, kucing mengambil masa sehingga 8 jam sehari untuk memuaskan keperluan pemakanannya dengan cara memburu.
Kini kucing tidak lagi memburu untuk mendapatkan makanan kerana kebanyakan kucing telah diberi makan oleh tuannya. Kucing memburu hanya untuk kepuasan nalurinya. Selain dari tikus, kucing, mampu memburu dan membunuh burung, ular, cicak, mengkarung dan berbagai jenis haiwan kecil.
Tikus dan haiwan kecil lazimnya menghasilkan bunyi dengan kelangsingan yang amat tinggi untuk berkomunikasi. Bunyi tersebut dapat dikesan oleh kucing. Sebab itulah kucing mampu memburu tikus walaupun di waktu malam yang gelap.
Misai kucing juga bertindak sebagai organ deria. Kucing menggunakan hujung misainya untuk mengesan getaran yang dihasilkan oleh haiwan yang diburu.
Selain dari itu, secara fizikal kucing amat tangkas. Kucing mampu berlari dengan pantas, melompat, memanjat, dan mengintai mangsa tanpa disedari.
Ciri ini lebih hebat daripada anjing yang hanya mampu berlari dan melompat.
------------------------------------
Dipetik daripada ebook "Kucing Sahabat Taman"
Satu salinan hanya RM20
SMS/Whatsapp 0175009364 untuk pesanan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan