Halaman

Cari Blog Ini

Khamis, 27 Ogos 2015

Buat Kompos Sendiri

Ebook "Buat Kompos Sendiri"

Ada banyak alasan yang diberikan oleh orang yang menanam sendiri sayur di halaman atau keliling rumah mereka sebab mereka berbuat demikian.  Antara alasan yang diberikan termasuk yang disenaraikan berikut, iaitu untuk
menghasilkan makanan sendiri,
menghasilkan makanan yang bebas racun,
beriadah,
bersosial, dan
untuk menjimatkan belanja dapur.

“Menjimatkan belanja dapur,” itu adalah alasan yang ada kaitan dengan kewangan.  Alasan ini tidak menghairankan kerana kini kos perbelanjaan rumah telah meningkat dengan mendadak sedangkan pendapatan isi rumah masih terhad.  Ramai antara kita yang mengambil keputusan untuk menanam sendiri sayur di rumah untuk menjimatkan perbelanjaan dapur.  Malangnya, kadang-kadang sasaran ini tidak dapat dicapai kerana kita terpaksa berbelanja lebih untuk membekalkan keperluan ketika menjalankan aktiviti berkebun di rumah.  Perbelanjaan tersebut kadang kala melebihi harga sayur jika dibeli di pasar.

Jadi untuk kurangkan kos menanam sayur, kita perlu mencari alternatif untuk bekalkan keperluan tanaman secara percuma atau dengan lebih murah.

Misalnya jika kita gunakan air tadahan hujan, kita tidak lagi perlu bergantung kepada air paip untuk menyiram pokok.  Dengan cara itu, kita dapat kurangkan bayaran bil air.  

Bagaimana pula dengan baja yang sememang mahal harganya?
Sebenarnya, kita tidak perlu membeli baja.  Lihatlah sendiri semak dan belukar di sekeliling kita, tiada seorang pun pergi menabur baja supaya semak dan belukar tumbuh dengan subur.  Rumpai dan pohon di dalam semak dan belukar semuanya subur belaka.

Jika tahu caranya, kita boleh membuat baja sendiri menggunakan sisa dapur dan sisa kebun.  Baja yang dimaksudkan ialah baja kompos, iaitu baja yang terdiri daripada bahan organik.

Setiap hari kita membuang sisa makanan, kertas dan lain-lain bahan organik begitu sahaja.  Alangkah membazirnya.  Sisa makanan serta kertas tersebut bukannya percuma, semuanya dibeli.  Semuanya berbayar.  Mengapa pula kita harus membuangnya sedangkan kita boleh menggunakan sisa tersebut untuk membuat baja kompos?
Perhatikan saya gunakan dua istilah, organik dan kompos secara saling berganti.

Baja kompos, atau ada orang menyebut perkataan kompos sahaja adalah terdiri daripada bahan organik, iaitu tumbuhan dan haiwan yang telah mati yang telah terurai menjadi bahan yang lebih ringkas melalui proses penguraian oleh mikroorganisma dan hidupan kecil.  Hidupan kecil, seperti lipan, cacing tanah, ulat gonggok, bubuk, serta anai-anai memecahkan daun yang luruh, ranting kayu, haiwan yang mati kepada bahan yang lebih ringkas dan kemudian hidupan seni atau mikroorganisma termasuk bakteria, kulat, dan aktinomiset meleraikan bahan tersebut menjadi kompos yang kaya dengan nutrien yang diperlukan oleh tumbuhan.  Kompos sangat elok untuk tumbuhan kerana ia berasal daripada tumbuhan, jadi ia mengandungi bahan yang diperlukan oleh tumbuhan.
Selain daripada itu, baja kompos juga mampu menyimpan lembapan, membaiki strukur tanah, serta menjadi penimbal pH tanah, iaitu mengekalkan tanah di dalam keadaan neutral.

Baja kompos juga menjadi rumah kepada mikroorganisma dan hidupan kecil.

Bahan organik adalah lebih besar jika dibandingkan dengan bahan tak organik.  Sebab itulah kita perlu uraikannya terlebih dahulu supaya dapat dimanfaatkan oleh tanaman.  Ini dapat dilakukan dengan proses membuat kompos.

Sasaran ebook ini adalah untuk mendedahkan serta membincangkan tentang cara untuk menghasilkan baja kompos daripada sisa kebun dan sisa dapur.

Diharapkan selepas membaca buku ini anda akan dapat menghasilkan baja kompos sendiri dan hasilnya akan dapat menjimatkan kos menanam sayur di rumah.
-----------------------------------
Dipetik daripada ebook "Buat Kompos Sendiri", hanya RM20 untuk format PDF Versi peribadi.  SMS/Whatsapp 0175009364 untuk pesanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan