Halaman

Cari Blog Ini

Isnin, 25 Mei 2015

BAKTERIA DAN ORGANISMA LAIN DI DALAM TIMBUNAN KOMPOS

Kompos masak mengandungi serbuk dan cebisan ranting dan akar yang sukar mereput.  Penguraian dilakukan oleh bakteria dan organisma lain.

Bakteria!  Oh ya, perkataan ini menakutkan ramai orang di luar sana.  Ini kerana bakteria lazimnya dikaitkan dengan penyakit berjangkit.
Jangan begitu, sebenarnya ada bakteria baik.  Tak semua bakteria jahat.  Ada di antara bakteria yang mampu menghindar penyakit.  Jika tidak masakan ramai di antara kita yang minum yogurt, susu yang telah ditapai dengan bakteria!

“Ada ada saja Iskandar ni,” mungkin ada di antara pembaca yang berfikir begitu.

Walau pun kita tidak nampak bakteria dengan mata kasar, ia ada.  Malahan di dalam badan kita jumlah bakteria dikatakan lebih 10 kali ganda daripada jumlah sel badan.  Jika tiada bakteria, pasti kita akan jatuh sakit kerana bakteria banyak membantu kita, misalnya di dalam proses pencernaan makanan.  Bakteria juga adalah penghuni yang paling banyak di Bumi ini, lebih banyak daripada bilangan manusia dan haiwan lain jika digabungkan semuanya.  Mahu atau tidak, kita perlu menghargai kehadiran makhluk halus ini.

Hari ini biarlah saya sentuh tentang peranan bakteria dalam aktiviti menghasilkan kompos daripada bahan organik yang diperoleh daripada sisa dapur dan sisa kebun.  Pembaca pasti telah jangka, bakteria adalah hidupan yang paling banyak yang berada di dalam timbunan kompos.  Organisma atau hidupan yang ada di dalam timbunan kompos boleh dibahagikan kepada dua iaitu mikroorganisma, iaitu hidupan seni yang tidak dapat dilihat dengan mata tanpa bantuan peralatan optik, dan makroorganisma, iaitu hidupan kecil yang dapat dilihat tanpa memerlukan bantuan beralatan optik. Lebih daripada 90% hidupan di dalam timbunan kompos adalah bakteria.

Secara amnya, bakteria di dalam timbunan kompos dikategorikan kepada 3 kumpulan, iaitu psikrofil, mesofil dan termofil.

Psikrofil adalah bakteria pengurai yang mula menjalankan proses penguraian.  Kumpulan bakteria ini adalah bakteria sejuk.  Ia kaif di dalam timbunan kompos yang suhunya sehingga 12 darjah celsius.  Jika kawasan seperti di tempat yang saya tinggal, bakteria psikrofil tiada kecuali di musim tengkujuh.  Ia bekerja bersama mikroorganisma yang lain termasuk kulat yang kelihatan seperti benang putih yang rapuh, dan aktinomiset yang kelihatan juga seperti kulat, tetapi dengan warna hijau.

Pada suhu yang rendah, bakteria psikrofil menguraikan bahan organik, membebaskan asid amino ke dalam timbunan kompos, dan tenaga dalam bentuk haba. Ini menyebabkan kompos mula menjadi suam, kerana suhu timbunan kompos meningkat.

Ada buku yang saya rujuk mengatakan haba ini menyebabkan kompos terurai.  Sebenarnya ini tidak benar.  Penguraian kompos bukannya berlaku kerana haba tetapi oleh bakteria yang berada di dalamnya, apabila kompos mengandungi air dan udara.  Persekitaran ini elok untuk pertumbuhan bakteria.

Apabila suhu semakin meningkat, bakteria psikrofil tidak lagi aktif dan mati.  Bakteria daripada kumpulan mesofil pula yang akan aktif menguraikan bahan organik di dalam timbunan kompos tersebut.  Kumpulan ini dinamakan Mesofil.  Ia membiak dengan cepat dan aktif pada suhu di antara 10 hingga 45 darjah Celsius.   Ada juga yang berpendapat bakteria ini aktif dalam suhu di antara 21 hingga 32 darjah Celsius.  Di negara kita, biasanya bakteria daripada kumpulan ini akan memulakan aktiviti penguraian.

Penguraian bahan organik oleh bakteria mesofil juga membebaskan haba menyebabkan timbunan kompos semakin panas.  Apabila suhu timbunan kompos mencecah 37 darjah Celsius, bakteria mesofil mula kurang aktif.  Ia tidak tahan panas.  Ia mula mati kepanasan.  Kompos ketika mesofil aktif masih mengandungi benih rumpai dan maikroorganisma pembawa penyakit.

Bila kompos semakin panas, bakteria kumpulan lain mengambil alih.  Bakteria ini dikenali sebagai Termofil.  Kumpulan ini seolah-olah memasak timbunan kompos.  Pada suhu yang tinggi, benih rumpai dan mikroorganisma pembawa penyakit akan mati.  Biasanya bakteria termofil akan terus aktif menguraikan timbunan kompos sehingga suhu mencecah 71 darjah Celsius!  Suhu akan kekal pada tahap ini selama seminggu.  Ia bergantung pada saiz timbunan kompos, jumlah air dan udara persekitaran.  Jika kita tambah kompos, suhu akan turun sekejap dan bakteria mesofil akan mengambil alih.  Apabila suhu meningkat, bakteria termofil akan mengambil alih semula.

Selain daripada mikroorganisma, makroorganisma juga menguraikan bahan organik di dalam timbunan kompos. Ia memecahkan bahan organik kepada saiz yang lebih kecil, memudahkan bakteria, kulat dan aktinomiset menguraikan bahan tersebut.  Kadang-kadang, kulat dan aktinomiset dirujuk sebagai mikroorganisma pelengkap erana ia menyempurnakan proses penguraian timbunan kompos.

Makroorganisma, iaitu hidupan kecil yang dapat dilihat dengan mata kasar tanpa bantuan alatan optik, misalnya anai-anai, semut, kutu layu, lipan, ulat gonggok, nematod, cacing tanah, ulat kekek, kekabuh dan siput babi memakan bahan organik yang besar, misalnya ranting, kayu dan tempurung, membina rangkaian terowong yang berselirat di dalam timbunan kompos.  Ia meninggalkan perca organik sisa tinja yang membekalkan makanan yang digemari mikroorganisma.  Rangkaian terowong pula membekalkan udara serta memudahkan air mengalir melalui timbunan membuatkan timbunan kompos tidak terlalu basah.

Aktiviti komuniti di dalam tanah yang saling berkait mencepatkan lagi proses penguraian timbunan kompos.  Untuk menghasilkan kompos yang bermutu tinggi, anda perlu imbang kandungan kompos supaya serasi dengan komuniti tersebut.



Untuk panduan menghasilkan kompos yang elok, dapatkan Ebook “Buat Kompos Sendiri”.  Hanya RM20.  SMS/Whatsapp 0175009364 atau emel [email protected] untuk buat pesanan.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan