Isnin, 6 April 2015

Perkara Asas Tentang Berkebun Di Rumah (Bahagian 1 daripada 10)

Semaian yang baru bercambah.
Tumbuhan bukannya perkara baru untuk kita. Sekeliling kita, sememangnya dipenuhi dengan tumbuhan. Ruang halaman rumah, semak, padang, belukar, kebun, hutan belantara, paya dan ladang. Semuanya hijau. Ada insan yang cuba halang pertumbuhan yang menjadi asas kepada kehidupan di bumi ini, dengan menampal konkrit, menutup bumi, namun ada tumbuhan yang degil yang akan muncul juga di celah-celah rekan konkrit ini.

Apa yang penting sangat tentang tumbuhan?

Penting.... amat penting.
Ia menjadi asas kepada kehidupan kita, kerana tumbuhan membekalkan sumber tenaga kita. Makanan yang kita makan, walaupun daging, bermula daripada tumbuhan.

Ini kerana punca tenaga di bumi ini adalah suria. Ia dituai oleh tumbuhan menggunakan daunnya yang menghijau dan menyimpan dalam bentuk makanan.

Saya perhatikan, orang baru yang berkebun di rumah mempunyai harapan yang tinggi terhadap tanamannya – setara dengan harapan terhadap anak sulungnya.

Ini tidak menghairankan kerana mereka mengharapkan yang terbaik. Jika ada cela sedikit pada daun, mereka akan bertanya, mengapa dan bagaimana mengatasinya? Jika tanaman lambat besar, mengapa lambat membesar? Jika pokok bunga tidak lebat bunganya, mengapa mengapa, dan mengapa? Jika daun sayurnya bertukar menjadi kekuningan, mengapa mengapa mengapa? Jika ada serangga perosak singgah, mengapa, mengapa, dan mengapa?

Ketika cuba memahami dan mencari penyelesaian kepada soalan mengapa, mengapa dan mengapa, kadang kadang kami terjebak menjadi seperti sifu sedangkan kami sebenarnya bukan sifu.
Kami hanya mencari punca masalah yang kadangkala bukan masalah pun, dan cuba mencadangkan penyelesaiannya. Maka timbullah petua-petua yang entah apa-apa, entah betul entahkan tidak. Petua ini mungkin berubah mengikut pengalaman yang dilalui.

Dan jika tidak memahami apa yang berlaku mungkin akan muncullah istilah yang dimistikkan, misalnya tangan sejuk dan tangan panas. Petua yang diberi kadang-kadang “menjadi”, kadang-kadang hampa.

Ada yang mengikut ajaran sifu mereka membuta tuli seperti mengikut ajaran agama, tidak berani menyoal kerana bimbang dicop wahabi – wahabi berkebun.

Kami di tanamsendiri tidak ingin menjadi sifu dan sememangnya bukan sifu dan tidak terlintas untuk menjadi sifu. Kami hanya ingin berkongsi, daripada pengalaman kami ketika berkebun di rumah serta bersandarkan sedikit pengetahuan dalam sains hayat kerana first degree kami daripada disiplin tersebut, serta daripada literatur yang sedia ada yang dapat kami baca. Cara pemerhatian kami juga terhad kerana perkakas yang kami ada terhad, kebanyakannya pun daripada teknologi lama sisa aktiviti terdahulu. Jadi cadangan yang kami beri bersandarkan sumber yang terhad.

Berkebun skopnya luas. Baka, cuaca, lokasi (persekitaran), tanah; semuanya mempengaruhi tanaman. Apa yang kami kongsi mungkin serasi di laman kami tetapi disebabkan faktor luaran, ia mungkin tidak serasi di laman rakan-rakan. Oleh itu, janganlah pula ikut cadangan kami tanpa mencari cara lain yang lebih serasi. Cari, cari dan cari; sehingga temui kaedah yang serasi. Yang penting, enjoy gardening.

Siri artikel ini akan membincangkan perkara asas yang kami fikir perlu untuk membantu rakan-rakan membuat keputusan yang lebih baik ketika menjalankan aktiviti berkebun di rumah.
–-----------------------------
Bahagian 1 daripada 10

Tiada ulasan:

Catat Ulasan