Musim hujan begini kalau pekena ubi kayu rebus cicah kelapa bersama ikan kering atau ikan masin memang best. Kira macam dejavu lah bila ada rentak rintik-rintik hujan begini, sebab zaman kanak-kanak dulu musim tengkujuh orang kampung tak kelaut. Kami dibesarkan di kampung nelayan. Jadi bekalan ikan adalah dari stok ikan yang direndam garam di dalam tempayan atau ikan kering. Ubi kayu pula hasil tuaian orang ulu, terpaksa tuai kerana air mula naik dan bertakung. Kalau tak dituai, pasti ubi akan rosak terjeruk dalam air banjir.
Ia menjadi makanan biasa bila tiba musim tengkujuh.
Kalau tanya orang yang lebih lama lagi, mereka akan merintih kerana di zaman perang jepun, ubi kayu menjadi makanan ruji akibat bekalan beras yang terputus. Oleh kerana ketika itu aktiviti memasak dilakukan dengan cepat atau untuk jimat kayu api (orang dulu guna dapur kayu untuk memasak), kadang-kadang ubikayu yang dimasak belum empuk betul. Akibatnya berlaku kematian akibat keracunan.
Jika memasak dengan cara yang betul ubi kayu selamat dimakan. Ia kaya dengan karbohidrat (kanji), kalsium, fosforus, serta vitamin C. Daunnya pula kaya dengan protein (lysine).
Bagaimana pun, ubi kayu mengandungi bahan yang berpotensi menjadi racun, iaitu cyanogenic glucosides (sebatian linamarin dan lotaustralin). Bahan ini apabila terurai membebaskan hydrogen cyanide (HCN) iaitu bahan yang sangat beracun. Jadi ubi kayu itu sendiri tidak beracun tetapi apabila berlaku proses menguraian melalui enzim yang ada di dalam ubi kayu itu sendiri atau daripada aktiviti mikrob di dalam sistem pencernaan kita, membebaskan racun yang amat berbahaya.
Di kampung saya dulu, ada orang tua yang tunjukkan jenis ubi kayu yang beracun. Sebenarnya semua ada mengandungi bahan potensi beracun cuma kandungannya berbeza. Satu kilogram ubi kayu jenis manis mengandungi kira-kira 50mg bahan potensi beracun manakala ubi kayu jenis pahit mengandungi 400mg.
Jika sedikit bahan ini masuk ke dalam badan kita, ia mampu menyebabkan kerosakan pada otak, kelenjar pituitari, pankreas, dan ginjal (buah pinggang). Jika banyak, bahan ini mampu membunuh. Tanda tanda keracunan ubi kayu termasuk pernafasan yang laju, tekanan darah jatuh, denyut nadi yang layu, pening, sakit perut, ceret beret, keliru, serta muntah.
Orang lama yang biasa makan ubi kayu tahu akan risiko keracunan dan mereka tahu cara untuk memasaknya. Masalah timbul apabila orang tidak tahu menyediakannya. Pada pendapat saya, ubi kayu rebus selamat dimakan. Anda cuma perlu pastikan ia empuk. Masalahnya jika membakar (memanggang) ubikayu. Kadang-kadang ubi tersebut masak dengan tidak sekata. Ini amat berbahaya.
Oh ya, saya pilih untuk ketengahkan ubi kayu minggu ini sebagai makanan beracun kerana saya ada terbaca satu laman yang mencadangkan supaya dilumatkan pucuk ubi kayu mentah untuk dijadikan ubat ceret beret. Mana dapat idea ni, bahaya kalau dituruti. Ia boleh menyebabkan maut.
Bukti keracunan? Oh memang dah banyak. Pernah syarikat yang menjual kerepek ubi dari Australia terpaksa menarik balik satu batch kerepek yang dijual di Hong Kong kerana mengandungi kandungan hydrogen cyanide yang tinggi. Di Bohol, Filipina, tahun 2005, 27 kanak-kanak yang tinggal di sebuah asrama maut kerana pihak yang menyediakan makanan tidak kupas kulit ubikayu dengan semupurna. Aktiviti bakteria di dalam kulit menyebabkan kandungan racun yang tinggi dihasilkan.
Jadi jika nak makan ubi kayu rebus, pastikan dikupas kulitnya dan direbus hingga empuk. Jika nak makan pucuk ubi kayu, rebus atau celur dulu. Jangan sekali-kali dibuat ulam daun yang mentah.
---------------------------
Sila share
Tiada ulasan:
Catat Ulasan