Ahad, 31 Ogos 2014

Panduan Menyiram


  1. Mesti siram apabila bekas tanaman ringan hingga 1/2 dari berat asal (selepas disiram).
  2. Mesti siram apabila tanaman tunjuk tanda akan layu, iaitu apabila tahah kering sebelum mencapai tahan layu.
  3. Siram apabila permukaan tanah kering sedalam 1/2 inci atau 1/2 cm.


Berkebun Di Rumah Banyak Discovery

Ada saja perkara baru yang kita akan temui setiap kali kita berkebun di rumah.  Tak kiralah dah berapa lama kita lakukan aktiviti ini, saya yakin mesti ada perkara baru yang kita akan temui.  Sebab itulah laman Tanamsendiri sentiasa hidup.  Ada saja topik yang boleh dibincangkan.  Sebab itulah rakan-rakan perlu sentiasa menjenguk laman ini.

Pokok cli dengan tunas baru yang lebat dengan tunas berkudup.

Ahad, 24 Ogos 2014

Tawaran Hari Ini -- Tawaran 24 Ogos

Tawaran 24 Ogos,
2 pek benih terung bujur baka sedap,
2 pek benih cili kapsikum pelangi,
2 pek benih cili besar hijau muda,
Hanya RM30.
Poslaju percuma.
Tunggu, ada lagi.... Satu unit booster cili/Terung percuma, bernilai RM10 jika pesan hari ini.
Pesan segera, SMS/WhatsApp 0175009364.


Sabtu, 23 Ogos 2014

Tanamsendiri -- Pokok Bunga Matahari

Pokok bunga matahari


Pokok bunga matahari adalah antara pokok yang mudah ditanam, mampu menceriakan laman dan menghasilkan biji kuaci yang berkhasiat jika dimakan.

Merendam
Renda benih dalam air suan dengan suhu antara 40 hingga 60 darjah Celsius sehingga air kembali ke suhu bilik atau selepas 2 jam direndam. Lepas merendam, terus semai.

Menyemal
Gunakan tanah adunan semaian atau tanah kompos yang mampu menyimpan air.  Lembapkan tanah, jangan terlalu basah.  Tanam benih dengan bahagian tajam (bahagian tunas akar keluar) ke arah bawah di dalam lubang sedalam 5 cm.  Letakkan 1 hingga 3 benih dalam satu lubang.  Jarakkan antara lubang kira-kira 15 cm.  Jika semai di dalam dulang semaian modular, semai 3 benih dalam satu sel.  Jika gunakan jiffy-7 letakkan 2 benih dalam satu sel.  Benih akan bercambah dalam masa satu minggu.  Selepas benih tumbuh kukuh, kerat cambahan yang lemah.  Tinggalkan 1 atau 2 cambahan dalam 1 lubang.

Mengalih
Sementara itu sediakan bekas yang besar sekurang-kurangnya dengan kedalaman 30 cm.  Jika ingin alih ke tanah, gali lubang sedalam 30 cm dan gaulkan tanah yang digali dengan baja organik (pellet tinja ayam) setebal 5 cm.  Kawasan tersebut akan tertimbun keluar dengan busut setinggi 5 hingga 10 cm.  Siram dan biarkan sehingga cambahan sedia untuk dialih.  Jika ingin tanam dalam bekas, gaulkan 20 cm tanah kebun dengan 5 cm tinja ayam, isikan sehingga ¾ bekas dan siram.

Apabila cambahan telah tumbuh antara 3 hingga 4 helai daun, atau 2 minggu selepas bercambah, ia sedia untuk dialih.  Letakkan bekas semaian di tengah panas 2 hingga 3 jam sehari untuk kukuhkan cambahan.   Pastikan tanah kekal lembap.  Selepas 3 hari, alih cambahan.
Tanah ke tanah atau dalam bekas hingga ke paras set daun pertama.  Lakukan aktiviti mengalih di sebelah petang.  Siram untuk basahkan tanah tapi jangan sampai air bertakung.

Menjaga
Siram setiap hari di sebelah pagi jika tidak hujan.  Apabila kudup bunga utama keluar, kerat tunas sisi, untuk dapatkan bunga dengan saiz yang besar.  Cabut rumpai untuk elakkan persainagn air dan baja.

Menuai
Jika ingin tuai biji, tunggu sehingga pokok kering.


Khamis, 21 Ogos 2014

Woksyop Maya; Cendawan Dari Dapur, Minggu 3


Minggu lepas kami telah tunjukkan cara untuk sediakan spawn cendawan menggunakan benih daripada spora dan miselia daripada induk cendawan yang dibeli daripada pasar/pasaraya. Ada yang bertanya, kenapa tidak ditanam terus benih ke dalam subtrat, iaitu makanan cendawan. Sebenarnya tak boleh, sebab kita inginkan benih (spawn) yang tulen, iaitu yang tidak dicemar dengan spora kulat yang lain.

Saya yakin ramai antara rakan-rakan yang ikuti posting ini dan telah menyediakan spawn cendawan. Bagaimanakah nak tentukan tompok miselia yang terbentuk adalah benih cendawan yang tulen?

Ok, begini. Cendawan membiak dengan menghasilkan spora. Kulat juga menghasilkan spora, tetapi kulat tidak membentuk cendawan. Oleh kerana bahagian yang membentuk spora pada kulat adalah kecil, bila spora terbentuk, warna tompok kulat berubah mengikut warna spora.
Jadi, jika ada tompok dengan warna yang lain daripada warna tompok miselia, kita boleh buat kesimpulan bahawa spawn cendawan tersebut telah tercemar dan tidak tulen. Spawn tersebut tidak boleh digunakan. Sebab itulah minggu lepas saya ada sarankan supaya disediakan banyak bekas spawn cendawan supaya pelunag untuk hasilkan spawn yang tulen lebih tinggi.

Gambar menunjukkan tompok miselia cendawan yang tidak tulen. Kulat cemar dibulatkan. 

Gambar ke dua menunjukkan spawn cendawan yang tulen.

Spawn cendawan yang berjaya dihasilkan.

Saya perhatikan pertumbuhan miselia cendawan pada medium agar lebih perlahan berbanding dengan medium pisang ranum. Jika ingin pertumbuhan miselia yang lebih galak kita perlu tambahkan nutrien. Saya syorkan ketika menyediakan medium agar agar, tambah tepung kacang hijau dan tepung kentang.

Isnin, 18 Ogos 2014

Hidangan Pagi Ini -- Laksa

Laksa dan teh bangun bangun.

Untuk sarapan, laksa. Ulam dan sambal sayur tanamsendiri. Sayur segar, petik, basuh, potong dan hidang.
Set ulam hanya RM30. Sms/WhatsApp 0175009364.

Ahad, 17 Ogos 2014

Gambar Oleh Rakan Tanamsendiri -- Semaian Mulberi

Pokok mulberi hasil semaian Puan Norhalimawati.  Gambar milik Puan Norhalimawati Mat Hussin.

Gambar Oleh Rakan Tanamsendiri; Mulberi
Hari ini saya pamerkan gambar yang dikirim oleh Puan Norhalimawati. Gambar menunjukkan pokok mulberi yang disemai melalui keratan. Memang cantik keratan tersebut tumbuh, dimulakan dengan beberapa biji buah mulberi.
Untuk pengetahuan rakan-rakan, Puan Norhalimawati mempunyai blog sendiri yang boleh dicapai melalui pautan berikut:
http://shahadah28.blogspot.com

Terima kasih Puan Norhalimawati kerana sudi berkongsi gambar.

Rendam Benih, Rendam Benih, Rendam Benih

 Saya masih ingat lagi, semasa di zaman kanak-kanak dulu, ada jiran yang mengadu pada mak saya, semai benih tapi tak tumbuh.  Mak tanya, “Rendam tak?”
Masa tu rendam adalah seperti “magic”.  Isu klorin tak timbul sebab orang kampung guna air telaga.  Telaga di kampung kami airnya manis (sweet water) kerana kawasan kampung berpasir, tanah bekas kawasan lautan, kaya dengan mineral bermanfaat.  Sungai pun airnya payau.
Ok, balik semula kepada topik kita; Rendam Benih.
Mungkin ada rakan-rakan yang dah perasan, benih yang direndam cepat tumbuh!  Mengapa ya?
OK, saya akan jelaskan mengikut apa yang orang tua-tua (lebih tepat orang dulu dulu, sebab saya sendiri pun dah tua) jelaskan kepada saya ketikita itu.
Dua di luar sana amatlah kejam.  Panas terik, hujan lebat, malam pula dingin.  Jadi Allah buat benih tahan didera.  Bayangkan ada buah dimakan haiwan, bila haiwan “pooped,” keluar benih.... masih juga bernas!  Semua itu penderaan terhadap biji benih.  Jadi Allah buat benih tahan semua itu.  Bila dah habis penderaan tersebut, benih sedia untuk bercambah.

Boleh pakai ker penjelasan tersebut?  Boleh.  Maksudnya benih ada cara untuk melindungi daripada keadaan yang mencabar.  Jadi jika kita dapat pecahkan perlindungan tersebut, benih sedia untuk bercambah.Merendam adalah satu cara yang boleh memecahkan perlindungan pada benih.  Sebab itu, selepas merendam, benih sedia untuk bercambah.

Lagi pun, air adalah tanda kepada benih bahawa tiba masanya untuk bercambah.  Ini kerana satu daripada bahan yang perlu untuk bercambah ialah air.

Jadi, dengan merendam, anda telah “memberitahu” bahawa keadaan di luar sama selamat untuk bercambah.  Ada air yang cukup.

Oh ya, satu lagi, ada benih diselaputi enzim atau cecair yang menghalang benih daripada bercambah.  Enzim tersebut mesti dibersihkan terlebih dahulu.  Secara semula jadi, benih “dibersihkan” selepas hujan yang lebat.  Dengan merendam, kita dah secara tidak langsung membershkan benih daripada selaput yang menghalangnya daripada bercambah.  Jadi benih akan bercambah dengan lebih cepat.  Tak perlu tunggu hujan. :)

Ok, sekarang dah jelas, perlu rendam.  Tapi bagaimana nak rendam?
Dari bacaan saya, ada yang sarankan supaya direndam dalam larutan berasid, kerana nak samakan keadaan seperti asid dalam perut haiwan.  Saya pernah ingat ada jiran yang sarankan kepada mak saya, kalau rendam dalam air kopi atau air teh benih cepat bercambah.  Nah, nampak kaitannya?  Air the atau kopi mempunyai sifat asid sedikit.  Tapi tak sama dengan asid perut.  Asid perut asid kuat!  Kalau benih liat sangat nak tumbuh, boleh cuba rendam dalam larutan asid, misalnya larutan kopi, the, atau larutan air cuka.  Air kopi tu, jaganlah diletak gula.  Bimbang juga, kalau kalau ada rakan yang rendam benih dalam kopi atau teh tarik. :)  Kang tetiba benih berkulat!

Oklah, lazimnya rendam dalam air biasa tanpa klorin dah memadai.  Kalau guna air paip, didihkan dulu atau biarkan terdedah di dalam baldi selama beberapa hari.  Air hujan lagi elok, bebas klorin dan berasid sedikit.

Guna air panas atau suam kuku.  Suhu antara 40 hingga 80 darjah Celsius.  Biar betul.  Betul, tapi jangan guna air mendidih sebab kalau air mendidih benih akan mati.  Jika benih saiz kecil, 40 hingga 60 darjah Celsius dah memadai.

Caranya, isikan air suam atau air panas ke dalam mangkuk.  Kemudian masukkan benih dan biarkan sehingga suhu air kembali kepada suhu bilik.  Biasanya 2 jam dah cukup.  Ada juga yang rendam hingga 12 jam (bermalam), pun masih OK.  Tapi jangan rendam lama sangat sebab proses percambahan perlukan oksigen.  Jika direndam lama, bimbang benih akan mati.  Jika selepas rendam, tiba-tiba sibuk dan tak dapat menyemai terus, paling lama, 48 jam.  Jangan rendam lebih daripada 48 jam kecuali benih yang tertentu yang sememangnya ditulis pada peket.

Kadang-kadang ada benih yang perlu dilukakan terlebih dahulu sebelum merendam.  Dalam bahasa Inggeris, “scarification.”  Jika perlu lukakan, boleh gosok dengan kertas pasir atau toreh benih.  Biasanya benih yang besar saiznya perlu dilukakan terlebih dahulu.

Lepas tu buat apa?  Lepas itu, semailah.  Tunggu apa lagi.

Oh ya, biasanya benih yang halus, saya beritahu, jangan rendam.  Sebab benih halus biasanya cepat bercambah.  Kalau benih halus dah liat, lambat bercambah?  Tunggu apa lagi?  Rendamlah.  Tapi suhu air jangan tinggi sangat, bimbang benih masak!

Jadi, benih lambat bercambah?  Malas nak tunggu lama untuk benih bercambah?  Ikut cara orang dulu-dulu.  Rendam benih, rendam benih, rendam benih!

-------------------------------------------
Sila kongsi supaya dapat dimanfaatkan oleh rakan-rakan.  Nyatakan sumbernya, tanamsendiri.com

Tanamsendiri Bayam (Amaranthus)

Bayam Amaranthus dari baka Bayam Merah Autumn.

Bayam (Amaranthus) adalah sayur yang terkenal di negara kita.  Ada jenis bayam yang tumbuh liar, misalnya bayam duri yang biasanya tumbuh di kampung yang mempunyai tanah berpasir.  Semua jenis bayam boleh dimakan.  Biasanya bahagian daun, batang dan biji dimakan.  Bayam kaya dengan protein, Vitamin A, Vitamin C, protein, zait besi, dan kalsium.  Kami di tanamsendiri.com ada menyimpan benih bayam yang boleh dijual dengan harga RM2 satu pek.  Setiap pek mengandungi 100 benih.
Tanah
Bayam adalah pokok yang kukuh.  Bagaimanapun paling elok gunakan tanah yang elok salirannya, iaitu tidak menakung air, kaya dengan bahan organik serta mempunyai julat pH antara 5.5 hingga 7.  Anda boleh tanam di atas batas atau di dalam bekas.
Menyemai
Gaulkan 1 bahagian benih dengan 6 bahagian tanah yang ringan untuk menjarangkan benih.  Jika tanam di atas batas, basahkan batas, buat alur sedalam 2 cm dengan jarak 6 inci antara alur dan tabur benih.  Kemudian tutup dengan tanah.  Jika tanam dalam bekas, basahkan tanah dan tabur benih.  Kemudian tabur dengan tanah yang ringan untuk tutup benih.
Anda juga boleh semai dalam bekas semaian.  Jika semai dalam bekas semaian, alih selepas 4 minggu benih bercambah.
Penjagaan
Sembur dengan air dengan aliran yang lembut untuk basahkan tanah.  Kekalkan tanah supaya lembap.  Benih akan bercambah dalam masa 5 hingga 14 hari.  Setiap minggu, merumput untuk kurangkan persaingan antara bayam dengan rumpai.  Ketika pokok masih kecil, tutu batas dengan pelepah kelapa atau sungkup plastik untuk melindungi cambahan daripada panas terik.  Saya perhatikan, anak bayam tumbuh dengan lebih cepat jika kawasan terlindung daripada panas terik.  Jika tanam dalam bekas, letak di tempat teduh terutamanya di waktu petang.  Biar anak pokok mendapat cahaya pagi sepenuhnya.
Selepas 2 minggu benih bercambah, buka semua penghadang cahaya.  Biarkan pokok mendapat cahaya sepenuhnya.  Setiap 2 minggu, kerat pokok yang telalu rapat, jarangkan supaya pokok berada dengan jarak 15 cm antara pokok.  Pokok yang dikerat boleh dimakan.  Teruskan menjarang setiap 2 minggu sehingga jarak antara pokok yang paling subur berada antara 45 cm.  Tuai pucuk dari tunas utama apabila pokok mencecah 30 cm untuk rimbunkan pokok.  Siram selalu supaya daun besar dan rangup.  Jangan biarkan pokok berbunga.
Jika ingin tuai biji, biaran pokok kering sedikit.  Jika pokok berbunga, daunnya tidak lagi besar dan batangnya berserat.

Berikut adalah fakta tentang bayam amaranthus.
Suhu benih bercambah, antara 10 hingga 32 darjah Celsius.
Jangkamasa bercambah, 5 hingga 14 hari.
Jangkamasa benih bernas, 7 tahun.
Kadar percambahan, lebih daripada 70%.
Suhu yang sesuai untuk pertumbuhan pokok yang galak, 20 hingga 32 darjah Celsius.
Jumlah pokok yang sesuai ditanam (ditanam secara kerat dan tumbuh lagi), 10 pokok untuk setiap ahli keluarga yang makan sayur.
Jumlah pokok bagi setiap 1 kaki persegi, 1 pokok dengan tuaian 4 helai daun (kerat dan tumbuh lagi).
Jarak antara waktu menyemai, semai setiap 6 minggu untuk hasil yang berterusan.
Waktu tuaian, 95 hari (secara kerat dan tumbuh lagi, sebelum itu tuaian sambil menjarang pokok).  

Sabtu, 16 Ogos 2014

Ubat Gegat? Jangan! Jangan! Jangan!

Hari ini saya ada posting ruang menanam yang dibiarkan terdedah. Saya timbulkan masalah kucing yang mungkin akan membuat jamban bila ada ruang tanah yang terdedah. Saya terima beberapa saranan yang bernas yang boleh dimanfaatkan. Bagaimanapun ada satu saranan yang membuatkan saya tergamam, bukan teruja tetapi terkejut dan berfikir sejenak. Dalam hati ada terlintas, mungkin pengunjung baru dan tidak tahu bahawa laman tanamsendiri adalah berkenaan menanam sayur atau tanaman makanan di rumah. Walau apa pun, saya perlu sentuh atau ulas tetang bahan yang disarankan kerana bimbang kalau-kalau ada rakan-rakan yang akan terlintas untuk menggunakan bahan tersebut untuk menghalang kucing daripada mengganggu ruang tanaman. Menjadi tanggungjawab saya memberitahu bahawa penggunaan bahan tersebut di kebun laman rumah adalah suatu yang amat berbahaya dan harus dielakkan, kerana ulasan tersebut diletakkan dalam laman tanamsendiri.
Bahan yang saya maksudkan ialah ubat gegat. Walaupun bahan ini mudah didapati dan biasa digunakan dalam masyarakat kita, jika disalah guna ia amat berbahaya. Jangan sekali-kali digunakan di luar rumah terutamanya di ruang tanaman sayur atau bahan makanan. Di negara lain, penggunaan ubat gegat selain dari yang disasarkan adalah menyalahi undang-undang.
Penggunaan ubat gegat untuk menghalau, malah membunuh kucing diakui amat berkesan, tapi ia juga mungkin akan membunuh ahli keluarga sendiri. Adakah ini berbaloi?
Apa itu ubat gegat?
Ubat gegat dihasilkan dengan tujuan untuk melindungi pakaian yang disimpan di dalam almari daripada dirosakkan oleh kupu-kupu dan makhluk perosak yang lain. Baca label dan ikut arahan cara penggunaannya. Ingat, walaupun ubat gegat mudah didapati, ini tidak bermakna bahan tersebut tidak berbahaya.
Ubat gegat mudah larut dalam air (hujan) dan mudah mengeluarkan wap yang mampu menyebabkan iritasi pada mata dan kulit. Ubat gegat amat berbahaya kepada manusia (terutamanya kanak-kanak), haiwan peliharaan, tanaman, serta alam sekitar. Apabila larut, larutan tersebut mampu mencemarkan air bawah tanah yang mungkin akan berakhir di dalam longkang, sungai, serta air minuman kita. Ubat gegat mengandungi naftalena dan paradiklorobenzena iaitu bahan aktif yang jika mencemar sayuran, jika termakan sayur yang tercemar tersebut boleh menyebabkan rasa mual, ceret beret, sawan dan kerosakan pada sistem saraf.
Bukan gurauan, Jangan! Jangan! Jangan! Jangan guna ubat gegat dalam laman kebun anda.

Khamis, 14 Ogos 2014

Gambar Hari Ini -- Tomato Plum Ranum

Tomato plum yang sedang ranum.
Hujan dua tiga hari ni.... Tomato plum yang ranum kelihatan begitu ceria. Alhamdulillah.

Woksyop Maya; Cendawan Dari Dapur

Minggu lepas kita telah sediakan spawn cendawan.  Minggu ini kita tunggu dan lihat hasilnya.  Tujuan membuat spawn cendawan ialah kita nak dapatkan miselium cendawan yang betul dan bukannya kulat dari bahan cemar.  Oleh kerana ada banyak cara untuk spora kulat lain masuk ke daam medium yang kita sediakan, tidak semua bekas berjaya menghasilkan miselium yang diharapkan.  Gambar berikut menunjukkan satu dari bekas yang berjaya menghasilkan miselium cendawan.  Di peringkat awal, miselium kelihatan seperti kapas.

Spawn cendawan dari spora menggunakan medium agar agar.

Lagi Catatan Tentang Timun

Jika guna bekas, guna pasu sedalam 30 cm.  Gaulkan tanah lom dengan baja pellet tinja ayam.  Gaulkan 2 inci (5 cm) pellet tinja ayam dengan 8 inci (20 cm) tanah lom.  Boleh juga guna tanah kebun yang digaul dengan pasir.  Jika pH tanah terlalu berasid, tambah kapur tawar. pH yang sesuai ialah antara 6.0 hingga 7.0.  Biarkan selama 1 hingga 3 minggu.  Kemudian alih cambahan timun ke dalam pasu.
Jika tanam di tanah, gali lubang dengan lebar 1 1/2 kaki (45 cm) sedalam 1 kaki (30 cm).  gaulkan tanah lom dengan baja pellet tinja ayam.  Gaulkan 1 kaki (30 cm) tanah dengan 6 inci (15 cm) baja.  Biarkan tanah membentuk busut setinggi 6 inci.  Jarakkan lubang untuk semaikan anak pokok sejauh 3 kaki (90 cm).  Timbun untuk membentuk batas.  Biarkan selama 1 hingga 3 minggu sebelum alih anak pokok.


Catatan Tentang Timun

Jika semai beni timun, tanam menggunakan dulang bersel atau pasu (pot) kecil bersaiz 2 hingga 3 inci (5 hingga 7.5cm). Elok gunakan tanah semaian (Sowing Mix). Anda boleh adun sendiri tanah semaian. Boleh gunakan rumusan berikut:
50% daun kering yang telah reput (kompos), 50% tanah berasaskan gambut (biasanya dijual dinurseri). Untuk maklumat lanjut tentang tanah semaian, dapatkan ebook "Menyediakan Tanah Semaian". Hubungi melalui sms/whatsapp 0175009364 untuk buat pesanan.

Bekas semaian benih timun.



Gambar Oleh Rakan Tanamsendiri -- Timun Mini

Timun mini, gambar kiriman Puan Haslina Hassan.

Timun adalah antara sayur buah yang cepat dapat dituai, iaitu lebih kurang 40 hari selepas disemai.  Benihnya pun cepat bercambah.  Paling seronok jika semai timun mini kerana buahnya kecil dan pokok berbuah lebat.  Pokok timun memanjat menggunakan sulur paut.  Bagaimanapun, anda boleh memilih untuk tanam tanpa memanjat.  Jika ingin pokok merayap tanpa memanjat, jangan letak kayu pancang.  Tabur jerami kering atau kertas suratkhabar lama untuk lindungi buah daripada "luka" terkena tanah.
Hari ini kita dapat nikmati gambar kiriman Puan Haslina Hassan.  Gambar menunjukkan pokok terung mini yang sedang berbuah.  Terima kasih Haslina Hassan kerana sudi berkongsi gambar.

Selasa, 12 Ogos 2014

Woksyop Maya; Cendawan Dari Dapur--Cara Menyediakan Medium Agar

Video menunjukkan cara untuk menyediakan agar agar untuk medium spaawn cendawan.  Tujuan inokulat (tanam) cendawan ke dalam media terlebih dahulu ialah untuk mendapatkan benih (miselia) yang tidak tercemar dengan benih kulat atau bakteria.

http://www.youtube.com/watch?v=Kf_2tyXZrX0

Video ini pula menunjukkan cara untuk menuang agar agar ke dalam bekas yang telah disteril.

http://www.youtube.com/watch?v=9TyMQMEPOzs

Selain daripada agar-agar, boleh juga guna bahan lain, misalnya pisang ranum.

http://www.youtube.com/watch?v=ivLbdRrgQVc

Video ini menunjukkan cara kami inokulat mengggunakan insang dari cendawan.

http://www.youtube.com/watch?v=fBU67-6Eb2E

Video ini menunjukkan cara untuk inokulat benih cendawan menggunakan cendawan yang dibeli dari pasaraya.

http://www.youtube.com/watch?v=yI3y0WJICMk

Video ini menunjukkan cara kami simpan bekas medium spawn cendawan.

http://www.youtube.com/watch?v=UfAEaGLoHOQ

Jumaat, 8 Ogos 2014

Woksyop Maya; Cendawan Dari Dapur -- Minggu 1, Hari 3

Kita telah dapatkan cendawan untuk pembenihan.  Saya telah ceritakan serba sedikit tentang perkara yang perlu disediakan untuk hasilkan spawn cendawan (benih cendawan).  Hari ini kita akan inokulat (tanam) benih cendawan ke dalam media supaya ia membiak menjadi spawn cendawan.  Saya akan buat dua jenis media iaitu media agar agar dan media alternatif.  Media  agar agar saya gunakan serbuk agar agar atau boleh juga guna serbuk gelatin.  Untuk media alternatif (yang lain), saya gunakan pisang yang ranum.
Sebelum itu kita perlu sterilkan dulu bekas yang kita nak guna supaya ia bebas kuman.  Jika guna kukusan, isi air kira-kira setengah periuk.  Letakkan bekas kaca dengan mulutnya ditelengkup ke bawah.
Jika anda tidak memiliki balang kaca, boleh gunakan gelas dan aluminium foil sebagai penutup.  Kukus pisau dan gunting dapur sekali.  Kukus selama 30 minit.  Pastikan kukusan ditutup supaya kuman tidak masuk selepas bekas dan alatan dikukus.  Kemudian biarkan sejuk.  Jangan buka tudung kukusan sehingga anda sedia untuk tuang media ke dalamnya.

Mensterilkan (bunuh kuman) bekas media spawn cendawan (makanan benih cendawan)  menggunakan kukusan.


Anda juga boleh gunakan periuk tekanan (pressure cooker).  Jika guna periuk tekanan, isi air sebanyak 1/4 periuk.  Apabila stim mula keluar, teruskan pemanasan selama 10 minit.  Tutup api dan biarkan sejuk.  Jangan buka periuk sehingga periuk sejuk dan sedia untuk tuang media ke dalamnya.

Anda boleh juga siram balang dan alatan dengan air yang sedang mendidih.  Tutup bekas atau simpan di dalam plastik zip hingga sedia untuk dituang media.

Jika gunakan bekas plastik, anda tidak boleh gunakan kaedah pemanasan kerana bekas akan berubah bentuk bila panas.  Jika bekas plastik baru, jangan buka plastik pembungkus sehingga sedia untuk dituang media. Ia dah bebas kuman. Jika anda dah buka plastik pembungkus, celup bekas ke dalam air yang ditambah peluntur (klorox), pembasmi kuman (dettol), atau air basuh (detergen).  Keringkan dengan menelengkup bekas.  Jangan lap bekas.  Biarkan kering di udara.  Seeloknya jemur di tengah panas.

Pastikan anda pakai sarung tangan plastik dan mulut ditutup ketika mengendali bekas.

Apa yang kita ingin lakukan ialah menyediakan bekas media agar seperti piring petri berisi agar ketika di zaman sekolah dulu.  Gambar contoh piring petri ada diselitkan dalam gambar.
-------------------------------------

Penyediaan Media
Bahan yang boleh digunakan sebagai media untuk hasilkan spawn cendawan termasuklah agar agar, gelatin, pisang yang ranum.  Banyak lagi bahan lain, tapisaa akan gunakan bahan ini sahaja.  Untuk bahan yang lain, saya akan ceritakan di dalam ebook.


Bahan yang boleh digunakan sebagai medium spawn cendawan.
Cara Menyediakan Media Agar Agar
Seeloknya gunakan agar agar yang tidak dicampur perisa. Gambar di atas menunjukkan serbuk agar agar yag saya gunakan (pembungkus hijau).

1. Bancuh 1g untuk serbuk agar-agar di dalam 100mL air di dalam periuk kecil.
2. Panaskan hingga mendidih. Tutup api dan biarkan larutan di daam periuk.
3. Tutup kipas untuk kurangkan risiko pencemaran dari dalam udara.
4. Pakai sarung tangan plastik, tutup mulut serta rambut.
5. Keluarkan balang kaca daripada bekas kukusan atau bekas plastik daripada tempat simpanan.
6. Tuang larutan agar-agar kira-kira 1 cm tebalnya. Tutup bekas dan simpan di dalam peti sejuk, iaitu sehingga agar-agar beku.

Anda sedia untuk inokulat benih cendawan ke dalam medium agar.

Bekas yang telah diisi agar agar. 


Jika anda gunakan serbuk gelatin, ikut langkah di atas.  Gantikan serbuk agar agagr dengan serbuk gelatin.
Jika anda gunakan pisang ranum, ikut langkah berikut:
1. Siram air panas ke atas bilah pisau dan kayu alas pemotong untuk basmi kuman.
2. Kerat isi pisang setebal 1/2 cm membentuk kepingan bulat dan letakkan ke dalam bekas media.
3.  Tutup bekas.  Anda sedia untuk inokulat benih cendawan.

-------------------------------

Selasa, 5 Ogos 2014

Woksyop Maya; Cendawan Dari Dapur, Minggu 1 Hari 2

Alat/bahan untuk hasilkan media untuk pembenihan (iaitu untuk menghasilkan spawn.)


Semalam kami tunjukkan cara untuk memilih cendawan untuk pembenihan.  Hari ini kita akan sediakan bekas yang mengandungi media atau agar untuk hasilkan benih cendawan atau spawn.  Jadi, dari 6 langkah yang disenaraikan semalam, hari ini (minggu ini) kita akan lakukan langkah 2, iaitu "hasilkan spawn".

Oleh kerana bekas yang digunakan perlu bebas kuman (steril), langkah pertama yang perlu dibuat ialah sterilkan bahan-bahan yang ingin digunakan.

Ilustrasi 6:  Langkah-langkah untuk hasilkan spawn cendawan.
Ilustrasi 6 menunjukkan perkara yang berkait dengan penghasilan spawn cendawan. Semalam, kita telah pilih induk cendawan, iaitu cendawan yang masih mempunyai spora atau cendawan yang mempunyai haifa yang masih hidup. Jenis cendawan adalah mengikut pilihan anda sendiri.
Untuk inokulasi, iaitu proses menyuntik benih cendawan, anda perlukan bahan nutrien. Dalam aktiviti ini saya akan gunakan agar-agar atau gelatin. Sebagai bahan alternatif, saya akan gunakan pisang yang ranum. Jadi jika anda tiada kemudahan untuk hasilkan agar-agar, anda boleh gunakan pisang ranum sebagai bahan nutrien.  Bahan nutrien perlu bebas daripada kuman atau bahan cemar. Tujuannya ialah supaya kita dapat spawn cendawan yang tulen, bukannya spawn kulat lain yang tidak dikehendaki.  Oleh sebab itu, bekas yang digunakan perlu disterilkan.  Kejayaan menghasilkan spawn cendawan bergantung kepada kebersihan bahan atau alat yang digunakan.  
Kaedah pensterilan mungkin berkait dengan jenis bekas. Misalnya, jika bekas kaca, anda boleh gunakan air panas. Jika bekas plastik, air panas tidak sesuai digunakan. Anda boleh gunakan bahan kimia, misalnya natrium hipoklorat (klorox) atau detergen.
Selepas menyuntik benih, bekas perlu disimpan pada suhu yang sesuai supaya benih cendawan daat tumbuh membentuk spawn cendawan. Objektif fasa ini ialah untuk menghasilkan spawn cendawan. Rupa spawn cendawan adalah seperti kulat yang lain, biasanya berwarna putih.

SMS dari Puan Suraya; Tentang Menyemai Benih

Salam Tuan,
Benih bendi singa yang saya semai selalu tak jadi, kali ini jadi. Semalam saya semai dari ini dah bercambah. Sejak saya baca artikel tentang kenapa benih tidak bercambah, tuan kata mungkin punca air mengandungi klorin yang tinggi, jadi saya guna air hujan.
Semuanya bercambah dalam masa 2 hari.
Sebelum ini bendi singa tidak bercambah, bendi hijau, bendi jackpot, bendi putih, semuanya bercambah selepas satu minggu disemai. Kini semuanya cepat bercambah.
Terima kasih.

Isnin, 4 Ogos 2014

Woksyop Maya; Cendawan Dari Dapur, Minggu Pertama

Woksyop Maya Cendawan Dari Dapur, Isnin 4/8
Proses menanam cendawan sebenarnya mudah.  Apa yang menjadikan ia rumit ialah, medium atau bahan makanan cendawan yang kita gunakan mudah tercemar.  Kita tak mahu bahan tersebut tercemar kerana kita hanya mahu cendawan yang kita tanam tumbuh.  Kita tak mahu kulat dari jenis yang lain tumbuh di dalam medium cendawan kita.  Untuk hal hal cemar, kita akan atasi dengan amalan kebersihan ketika menanam cendawan.
Kalau ingat balik pantang orang dulu-dulu ketika membuat tapai, sebenarnya ialah untuk mengekalkan kebersihan atau mengelakkan tapai daripada tercemar.  Antara larangan orang dulu-dulu, jangan buka bekas tapai, jangan bercakap semasa mencampur ragi, jangan berlari ketika bekas tapai dibuka.  Semua ini adalah untuk elakkan pencemaran.  Misalnya, jika bercakap, kuman dari dalam mulut akan tersebar dan mencemar bahan tapai, buka bekas tapai akan mengundang spora kulat kerana udara yang bergerak banyak spora kulat.  Berlari?  Rumah orang dulu-dulu rumah kayu.  Jika ada yang berlari, papan bergetar dan akan menyebabkan habuk dan spora berterbangan dan mungkin akan masuk ke dalam bekas tapai.

Ok, kembali kepada aktiviti kita.  Secara asasnya, ada lima langkah penting dalam menanam cendawan.  Kita akan suaikan supaya ia sesuai untuk tanam cendawan menggunakan bahan dari dapur.  Apabila ikuti langkah yang dibincangkan, rakan-rakan akan sedar ada perkara lain yang perlu ditekankan ketika menjalankan proses dalam langkah yang dinyatakan.  Walaupun begitu, janganlah risau.  Kita akan ringkaskan supaya semua orang boleh hasilkan cendawan dari bahan dapur.  Jika saya tersasar ke arah perkara yang terlalu teknikal dan rumit, sila tegur kerana bidang saya ialah biologi, jadi saya mungkin akan hanyut kepada perkara-perkara teknikal yang biasanya diamalkan dalam makmal.  Walaupun kita cuba cara biasa, ia perlu diubahsuai dari kaedah yag dijalankan di dalam makmal.

Oleh kerana dalam Facebook lebih interaktif, saya syorkan rakan-rakan kunjungi laman kami di sana untuk ambil bahagian.  Oleh kerana hanya satu gambar boleh diletakkan dalam satu posting tanpa mengelirukan pembaca, saya akan letakkan gambar dan video ke dalam blog ini (tanamsendiri.com).  InsyaAllah saya akan cuba letakkan video sekali, apabila line Internet saya dah ok.  Hari ini line Internet macam siput.

Bahan yang dibincangkan akan ditambah ke dalam status yang sama menggunakan Edit, jadi bahan baru akan ada di bahagian bawah posting (Status/Posting).

Jadi langkah-langkah utama dalam menghasilkan cendawan (dari dapur) adalah seperti berikut.  Untuk minggu ini (4, 5, 6, 7, dan 8 Ogos, kita akan tumpukan kepada langkah 1 dan 2).

1)  Memilih Cendawan
2)  Hasilkan spawn (benih cendawan)
3)  Sediakan substrate (media makanan cendawan)
4)  Menyuntik spawn ke dalam substrate
5)  Menuai
6)  Memasak atau menyimpan cendawan

--------------------------------------------
Memilih cendawan.
Yalah, kita nak tanam cendawan.  Cendawan apa yang kita nak tanam?  Sebab cendawan ada banyak jenis.  Soalan kedua, mana nak dapat cendawan ni?  Kalau saya kata boleh dapat kat dapur, memanglah mustahil kecuali kalau kita dah ada simpan cendawan kering yang kita beli.  Jadi kena beli.  Cendawan yang macamana kita nak beli?

Ok, kita jawab satu satu.
Cendawan apa kita nak tanam?
Pada pendapat saya lah, pilih cendawan yang kita makan.  Misalnya kalau kita tak makan cendawan tiram, jangan beli cendawan tersebut.  Pilih cendawan yang kita makan sahaja.  Banyak cendawan yang ada kat pasar, antaranya yang biasa ditanam ialah cendawan tiram dan cendawan mutiara.  Cendawan lain termasuk cendawan jerami, cendawan ketam, cendawan sisek, cendawan telinga kera, cendawan inoki, cendawan shiitake, dan entah apa lagi.
Dari bacaan saya, ada yang kata pilih cendawan yang hidup kat negara kita.  Hmmm... Mohon maaf tapi pernyataan ini tak perlu dirisaukan sangat sebab kita bukan nak tanam kat padang.  Kita nak tanam kat dalam rumah.  Asalkan tempat kita tanam nanti lembap dan suhu serasi, cendawan jenis apa sekalipun kita boleh tanam.

Soalan kedua, mana nak dapat cendawan ni?
Mana lagi kalau tidak kat pasar atau kat pasaraya.  Kadangkala kat gerai tepi jalan ada jual cendawan sisek dan cendawan busut.  Semuanya boleh digunakan. Jangan pula bei cendawan dalam tin atau cendawan goreng.  Yang itu cendawan dah mati.  Kita nak cendawan yang masih ada benih atau akarnya.  Benih tersebut dipanggil spora.  Akarnya dipanggil mycelium.

Ok, macamana nak pilih cendawan yang masih hidup atau yang ada benih?
Ilustrasi berikut menunjukkan gambarfoto cendawan yang saya pilih serta alasannya.

Ilustrasi 1:  Cendawan kering dari jenis tiram.  Di bawah payung cendawan terletak jalur-jalur insang.  Debu atau spora, iaitu benih disebarkan melalui insang 


Ilustrasi 2:  Cendawan kering dari jenis mutiara.  Cendawan ini mempunyai payung cendawan yang matang.  Debu atau spora yang terdiri daripada benih cendawan boleh dituai dari insang yang terletak di bawah payung cendawan.

Ilustrasi 3:  Cendawan butang kering yang dibeli dari pasaraya boleh digunakan untuk pembenihan cendawan.  Debu spoora, iaitu benih cendawan terdapat di dalam insang.

Ilustrasi 4:  Bahagian pangkal batang cendawan mengandungi haifa yang berselirat membentuk miselium.  Rupanya seperti kapas putih.  Bahan ini boleh digunakan untuk menghasilkan cendawan.
Ilustrasi 5:  Cendawan Inoki, mengandungi pangkal dengan haifa yang boleh digunakan untuk dijadikan benih.

Cara kendalian cendawan yang saya tunjukkan sebenarnya kurang mantap kerana cendawan terdedah kepada jangkitan. Ini kerana cendawan tersebut tidak seharusnya didedahkan. Tujuan saya dedahkan cendawan tersebut untuk tujuan ilustrasi. Untuk pastikan cendawan kekal bersih dan tidak tercemar, jangan keluarkan cendawan daripada plastik pembungkus. Simpan dalam peti sejuk di dalam bahagian nyaman, bukan di dalam bahagian beku. Jika perlu sentuh cendawan, gunakan sarung tangan plastik yang bersih atau basuh tangan dengan sabun.
Basuh semua alatan dengan sabun, atau rendam dalam larutan peluntur (Clorox) dengan larutan 1:10, satu bahagian peluntur dan 10 bahagian air, atau siram alatan dengan air yang sedang mendidih.

Video menunjukkan cendawan yang saya pilih serta alasan cendawan tersebut dipilih.


Cendawan apakah yang anda akan pilih? Nyatakan dari mana rakan-rakan dapat cendawan tersebut.

Ahad, 3 Ogos 2014

Tuaian Hari Ini

Tomato, bendi dan cili.
Tuaian hari ini, untuk makan malam. Alhamdulillah.
Bukti tanamsendiri di laman rumah berbaloi.

Cendawan Dari Dapur; Masalah Perosak

Dari pengalaman saya "bermain" dengan cendawan di rumah, perosak tetap main peranan mematahkan semangat untuk tanamsendiri cendawan. Cabarannya sama juga seperti tanamsendiri sayur. Ini kerana persekitaran yang sesuai untuk cendawan juga amat sesuai untuk semut dan kulat lain.
Jadi satu dari perkara yang kita akan tekan dalam aktiviti woksyop maya nanti ialah tentang kebersihan.
Jangan lupa ya, esok aktiviti bermula. Bahan-bahan yang diperlukan telah dipamerkan.

Semut ceroboh ke dalam bongkah cendawan.

Gambar Hari Ini -- Bayam Malabar

Bayam malabar di ruang depan rumah.


Pokok Bayam Malabar, saya tanam atas tanah. Jarang jarang siram tapi pokok tetap subur. Pokok ni memang kukuh. Khabarnya pokok ni ada banyak khasiat dalam perubatan. Saya tanam sebab bila goreng dengan ikan bilis, makan nasi tiga kali tambah.
Yang hitam hitam tu benih.

Sabtu, 2 Ogos 2014

Benih Melon Santa Claus

Soalan Pengunjung;
En Iskandar ada tak benih melon baru? Melon Bulan Madu yang saya beli tempoh hari dah selamat kami tuai. Alhamdulillah, enak, manis. Ni nak cuba benih melon baru pula.
-----------------------------------
Alahai, segan pula saya bila dapat tahu melon bulan madu dah dapat tuai. Yang saya tanam, satu malam tu, kekabuh timun serang. Terus bantut. Benih pula dah habis. Sedih,

Ok, melon baka baru ada. namanya Melon Santa Claus. Saya ingat pembekal benih bergurau, rupanya memang betul. Harganya RM10 untuk 2 pek. Satu pek ada 5 benih.
SMS/WhatsApp 0175009364. Jika beli 6 pek, PosLaju percuma.

Gambar ini saya pinjam dari Wikipedia, diedarkan di bawah lesen Creative Commons/Public Domain. Gambar diambil oleh Tomwsulcer.

Melon Santa Claus, sumber:  http://commons.wikimedia.org/wiki/File:Santaclaus_melon.jpg 

Jumaat, 1 Ogos 2014

Woksyop Maya: Cendawan Dari Dapur


Bahan/alatan untuk aktiviti fasa pertama.

Cendawan Dari Dapur; Bahan/alatan Fasa Pertama


Alhamdulillah, dapat juga kita lakukan aktiviti bersama walaupun secara maya melalui Woksyop Maya untuk hasilkan cendawan dari dapur.  Untuk itu, kita akan namakan aktiviti ini, Woksyop Maya Tanamsendiri; Cendawan Dari Dapur.

Sebagaimana yang dijanjikan, hari ini saya akan berikan senarai bahan/alatan yang diperlukan untuk aktiviti hari Isnin nanti.  Untuk fasa pertama, kita akan hasilkan kulat (benih) atau dalam bahasa sains, mycelium sebagai bahan baka dalam aktiviti ini.  Rakan-rakan bebas pilih baka yang diidamkan.  Jika minat cendawan tiram, guna cendawan tiram, jika minat cendawan mutiara guna cendawan mutiara, jika minat shiitake, guna cendawan shiitake.

Untuk baka cendawan:
Cendawan kering atau cendawan segar.  Jika guna cendawan segar, pastikan bahagian pangkalnya masih ada.  Jika guna cendawan kering, pastikan bahagian payung yang ada insang masih ada.  Bahan ini boleh didapati dari pasar atau pasaraya.  Simpan di dalam bekas tertutup dan letak dalam peti sejuk.

Untuk bahan makanan cendawan:
Serbuk agar-agar atau serbuk gelatin.  Jika tiada bahan tersebut, boleh gunakan pisang yang ranum.

Alatan untuk isi bahan benih:
Balang kaca, misalnya balang bekas makanan bayi atau balang jem.  Cawan kaca yang tahan haba pun boleh digunakan.  Jika tiada balang kacang, boleh guna bekas plastik bertutup (tupperware).

Alatan untuk basmi kuman:
Periuk kukusan atau periuk tekanan.
Lilin/Api.
Boleh juga guna peluntur (Clorox)

Alatan lain:
Pisau, piring kaca, gelas yang bersih.
Sarung tangan plastik, topeng mulut, tutup rambut (boleh guna anak tudung).

Jika ada sebarang kemusykilan jangan segan untuk bertanya.
----------------------------
Sila Like/Share supaya rakan-rakan juga dapat manfaatkan aktiviti ini.