Isnin, 20 Oktober 2014

Woksyop Maya; Cendawan Dari Dapur (Fasa 2, Bahagian 1)

Cendawan tumbuh dalam bahan kompos dalam bekas tanaman selepas hujan.
Woksyop Atas-Talian;  Cendawan Dari Dapur (Fasa 2)
Alhamdulillah setelah lama rakan-rakan sabar menunggu, kita dapat sambung aktiviti menanam atau menghasilkan cendawan dari bahan dapur.

Bila dibincangkan topik tentang cendawan ada yang respons seoalah-olah aktiviti menanam cendawan ni suatu yang "sacred" yang hanya boleh dilakukan oleh sesetengah orang sahaja.

Mereka menyangka cendawan akan tumbuh hanya bila ditanam dengan cara tertentu sahaja.  Sebenarnya cendawan tidaklah cerewet.  Jika ada sisa tumbuhan mati, udara lembap serta kawasan pula redup, insyaAllah cendawan akan muncul.  Sebahagian besar daripada bahan pengurai adalah daripada keluarga fungi iaitu keluarga kulat/cendawan.  Kita di Malaysia faham benar tentang bila (waktu) cenndawan membiak dengan banyak.  Seperti kata orang dulu dulu, seperti cendawan selepas hujan.

Minggu ini, hujan hampir setiap petang.  Jika rakan-rakan keluar awal pagi dan perhati kawasan daun-daun mereput saya yakin rakan-rakan akan ternampak cendawan.  Saya sendiri keluar "mencari" cendawan dalam bekas tanmaman kerana saya gunakan rumpai kering sebagai sungkup.  Saya dapati ada beberapa cendawan jerami tumbuh di dalamnya.

Cendawan tidak membuat makanan sendiri.  Ia tak sama dengan pokok.  Cendawan memakan makanan yang sedia ada, iaitu bahagian daripada tumbuhan yang telah mati.  Dalam proses tersebut, cendawan membantu menguraikan bahan organik daripada tumbuhan yang mati menjadi kompos dan akhirnya menjadi humus.

Jadi, kita perlu sediakan makanan cendawan, akan disebut subtrat.  Makanan tersebut mesti terdiri daripada sumber tumbuhan.  Hampas kopi, jerami padi, hampas teh, surat khabar lama, kotak, semuanya sumber yang berasal dari tumbuhan.  Semua boleh dijadikan makanan cendawan.

Apa lagi sumber dari tumbuhan yang boleh didapati dari dapur yang rakan-rakan rasa boleh digunakan sebagai makanan cendawan?

Bersambung....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan