Jumaat, 8 Ogos 2014

Woksyop Maya; Cendawan Dari Dapur -- Minggu 1, Hari 3

Kita telah dapatkan cendawan untuk pembenihan.  Saya telah ceritakan serba sedikit tentang perkara yang perlu disediakan untuk hasilkan spawn cendawan (benih cendawan).  Hari ini kita akan inokulat (tanam) benih cendawan ke dalam media supaya ia membiak menjadi spawn cendawan.  Saya akan buat dua jenis media iaitu media agar agar dan media alternatif.  Media  agar agar saya gunakan serbuk agar agar atau boleh juga guna serbuk gelatin.  Untuk media alternatif (yang lain), saya gunakan pisang yang ranum.
Sebelum itu kita perlu sterilkan dulu bekas yang kita nak guna supaya ia bebas kuman.  Jika guna kukusan, isi air kira-kira setengah periuk.  Letakkan bekas kaca dengan mulutnya ditelengkup ke bawah.
Jika anda tidak memiliki balang kaca, boleh gunakan gelas dan aluminium foil sebagai penutup.  Kukus pisau dan gunting dapur sekali.  Kukus selama 30 minit.  Pastikan kukusan ditutup supaya kuman tidak masuk selepas bekas dan alatan dikukus.  Kemudian biarkan sejuk.  Jangan buka tudung kukusan sehingga anda sedia untuk tuang media ke dalamnya.

Mensterilkan (bunuh kuman) bekas media spawn cendawan (makanan benih cendawan)  menggunakan kukusan.


Anda juga boleh gunakan periuk tekanan (pressure cooker).  Jika guna periuk tekanan, isi air sebanyak 1/4 periuk.  Apabila stim mula keluar, teruskan pemanasan selama 10 minit.  Tutup api dan biarkan sejuk.  Jangan buka periuk sehingga periuk sejuk dan sedia untuk tuang media ke dalamnya.

Anda boleh juga siram balang dan alatan dengan air yang sedang mendidih.  Tutup bekas atau simpan di dalam plastik zip hingga sedia untuk dituang media.

Jika gunakan bekas plastik, anda tidak boleh gunakan kaedah pemanasan kerana bekas akan berubah bentuk bila panas.  Jika bekas plastik baru, jangan buka plastik pembungkus sehingga sedia untuk dituang media. Ia dah bebas kuman. Jika anda dah buka plastik pembungkus, celup bekas ke dalam air yang ditambah peluntur (klorox), pembasmi kuman (dettol), atau air basuh (detergen).  Keringkan dengan menelengkup bekas.  Jangan lap bekas.  Biarkan kering di udara.  Seeloknya jemur di tengah panas.

Pastikan anda pakai sarung tangan plastik dan mulut ditutup ketika mengendali bekas.

Apa yang kita ingin lakukan ialah menyediakan bekas media agar seperti piring petri berisi agar ketika di zaman sekolah dulu.  Gambar contoh piring petri ada diselitkan dalam gambar.
-------------------------------------

Penyediaan Media
Bahan yang boleh digunakan sebagai media untuk hasilkan spawn cendawan termasuklah agar agar, gelatin, pisang yang ranum.  Banyak lagi bahan lain, tapisaa akan gunakan bahan ini sahaja.  Untuk bahan yang lain, saya akan ceritakan di dalam ebook.


Bahan yang boleh digunakan sebagai medium spawn cendawan.
Cara Menyediakan Media Agar Agar
Seeloknya gunakan agar agar yang tidak dicampur perisa. Gambar di atas menunjukkan serbuk agar agar yag saya gunakan (pembungkus hijau).

1. Bancuh 1g untuk serbuk agar-agar di dalam 100mL air di dalam periuk kecil.
2. Panaskan hingga mendidih. Tutup api dan biarkan larutan di daam periuk.
3. Tutup kipas untuk kurangkan risiko pencemaran dari dalam udara.
4. Pakai sarung tangan plastik, tutup mulut serta rambut.
5. Keluarkan balang kaca daripada bekas kukusan atau bekas plastik daripada tempat simpanan.
6. Tuang larutan agar-agar kira-kira 1 cm tebalnya. Tutup bekas dan simpan di dalam peti sejuk, iaitu sehingga agar-agar beku.

Anda sedia untuk inokulat benih cendawan ke dalam medium agar.

Bekas yang telah diisi agar agar. 


Jika anda gunakan serbuk gelatin, ikut langkah di atas.  Gantikan serbuk agar agagr dengan serbuk gelatin.
Jika anda gunakan pisang ranum, ikut langkah berikut:
1. Siram air panas ke atas bilah pisau dan kayu alas pemotong untuk basmi kuman.
2. Kerat isi pisang setebal 1/2 cm membentuk kepingan bulat dan letakkan ke dalam bekas media.
3.  Tutup bekas.  Anda sedia untuk inokulat benih cendawan.

-------------------------------

2 ulasan:

  1. huhuhu .. bahasa tanaman .. napa la Nat blur sgt nak paham ni

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasihNat kerana bagi feedback. Maaf kerana menggunakan lenggok bahasa yang sukar difahami. Saya cuba gunakan bahasa biasa, tapi kadang-kadang terpaksa juga guna bahasa teknikal. Terbawa-bawa.
      Pensterilan maksudnya kita bunuh kuman.
      Spawn cendawan ialah kulat benih cendawan, kita nakkan spawn untuk disuntik ke dalam bekas cendawan nanti.
      Media, makanan cendawan, dalam contoh ini agar agar, gelatin atau bisang ranum.
      inokulat,maksudnya kita suntik benih cendawan supaya ia menjadi spawn.

      Padam