Selasa, 5 Ogos 2014

Woksyop Maya; Cendawan Dari Dapur, Minggu 1 Hari 2

Alat/bahan untuk hasilkan media untuk pembenihan (iaitu untuk menghasilkan spawn.)


Semalam kami tunjukkan cara untuk memilih cendawan untuk pembenihan.  Hari ini kita akan sediakan bekas yang mengandungi media atau agar untuk hasilkan benih cendawan atau spawn.  Jadi, dari 6 langkah yang disenaraikan semalam, hari ini (minggu ini) kita akan lakukan langkah 2, iaitu "hasilkan spawn".

Oleh kerana bekas yang digunakan perlu bebas kuman (steril), langkah pertama yang perlu dibuat ialah sterilkan bahan-bahan yang ingin digunakan.

Ilustrasi 6:  Langkah-langkah untuk hasilkan spawn cendawan.
Ilustrasi 6 menunjukkan perkara yang berkait dengan penghasilan spawn cendawan. Semalam, kita telah pilih induk cendawan, iaitu cendawan yang masih mempunyai spora atau cendawan yang mempunyai haifa yang masih hidup. Jenis cendawan adalah mengikut pilihan anda sendiri.
Untuk inokulasi, iaitu proses menyuntik benih cendawan, anda perlukan bahan nutrien. Dalam aktiviti ini saya akan gunakan agar-agar atau gelatin. Sebagai bahan alternatif, saya akan gunakan pisang yang ranum. Jadi jika anda tiada kemudahan untuk hasilkan agar-agar, anda boleh gunakan pisang ranum sebagai bahan nutrien.  Bahan nutrien perlu bebas daripada kuman atau bahan cemar. Tujuannya ialah supaya kita dapat spawn cendawan yang tulen, bukannya spawn kulat lain yang tidak dikehendaki.  Oleh sebab itu, bekas yang digunakan perlu disterilkan.  Kejayaan menghasilkan spawn cendawan bergantung kepada kebersihan bahan atau alat yang digunakan.  
Kaedah pensterilan mungkin berkait dengan jenis bekas. Misalnya, jika bekas kaca, anda boleh gunakan air panas. Jika bekas plastik, air panas tidak sesuai digunakan. Anda boleh gunakan bahan kimia, misalnya natrium hipoklorat (klorox) atau detergen.
Selepas menyuntik benih, bekas perlu disimpan pada suhu yang sesuai supaya benih cendawan daat tumbuh membentuk spawn cendawan. Objektif fasa ini ialah untuk menghasilkan spawn cendawan. Rupa spawn cendawan adalah seperti kulat yang lain, biasanya berwarna putih.

1 ulasan:

  1. tuan, saya nk tnya adakah pisang yg digunakan sebagai medium perlu disterilkan juga.jika perlu,ia direbus atau bagaimana?

    Hadi

    BalasPadam