Halaman

Cari Blog Ini

Isnin, 4 Ogos 2014

Woksyop Maya; Cendawan Dari Dapur, Minggu Pertama

Woksyop Maya Cendawan Dari Dapur, Isnin 4/8
Proses menanam cendawan sebenarnya mudah.  Apa yang menjadikan ia rumit ialah, medium atau bahan makanan cendawan yang kita gunakan mudah tercemar.  Kita tak mahu bahan tersebut tercemar kerana kita hanya mahu cendawan yang kita tanam tumbuh.  Kita tak mahu kulat dari jenis yang lain tumbuh di dalam medium cendawan kita.  Untuk hal hal cemar, kita akan atasi dengan amalan kebersihan ketika menanam cendawan.
Kalau ingat balik pantang orang dulu-dulu ketika membuat tapai, sebenarnya ialah untuk mengekalkan kebersihan atau mengelakkan tapai daripada tercemar.  Antara larangan orang dulu-dulu, jangan buka bekas tapai, jangan bercakap semasa mencampur ragi, jangan berlari ketika bekas tapai dibuka.  Semua ini adalah untuk elakkan pencemaran.  Misalnya, jika bercakap, kuman dari dalam mulut akan tersebar dan mencemar bahan tapai, buka bekas tapai akan mengundang spora kulat kerana udara yang bergerak banyak spora kulat.  Berlari?  Rumah orang dulu-dulu rumah kayu.  Jika ada yang berlari, papan bergetar dan akan menyebabkan habuk dan spora berterbangan dan mungkin akan masuk ke dalam bekas tapai.

Ok, kembali kepada aktiviti kita.  Secara asasnya, ada lima langkah penting dalam menanam cendawan.  Kita akan suaikan supaya ia sesuai untuk tanam cendawan menggunakan bahan dari dapur.  Apabila ikuti langkah yang dibincangkan, rakan-rakan akan sedar ada perkara lain yang perlu ditekankan ketika menjalankan proses dalam langkah yang dinyatakan.  Walaupun begitu, janganlah risau.  Kita akan ringkaskan supaya semua orang boleh hasilkan cendawan dari bahan dapur.  Jika saya tersasar ke arah perkara yang terlalu teknikal dan rumit, sila tegur kerana bidang saya ialah biologi, jadi saya mungkin akan hanyut kepada perkara-perkara teknikal yang biasanya diamalkan dalam makmal.  Walaupun kita cuba cara biasa, ia perlu diubahsuai dari kaedah yag dijalankan di dalam makmal.

Oleh kerana dalam Facebook lebih interaktif, saya syorkan rakan-rakan kunjungi laman kami di sana untuk ambil bahagian.  Oleh kerana hanya satu gambar boleh diletakkan dalam satu posting tanpa mengelirukan pembaca, saya akan letakkan gambar dan video ke dalam blog ini (tanamsendiri.com).  InsyaAllah saya akan cuba letakkan video sekali, apabila line Internet saya dah ok.  Hari ini line Internet macam siput.

Bahan yang dibincangkan akan ditambah ke dalam status yang sama menggunakan Edit, jadi bahan baru akan ada di bahagian bawah posting (Status/Posting).

Jadi langkah-langkah utama dalam menghasilkan cendawan (dari dapur) adalah seperti berikut.  Untuk minggu ini (4, 5, 6, 7, dan 8 Ogos, kita akan tumpukan kepada langkah 1 dan 2).

1)  Memilih Cendawan
2)  Hasilkan spawn (benih cendawan)
3)  Sediakan substrate (media makanan cendawan)
4)  Menyuntik spawn ke dalam substrate
5)  Menuai
6)  Memasak atau menyimpan cendawan

--------------------------------------------
Memilih cendawan.
Yalah, kita nak tanam cendawan.  Cendawan apa yang kita nak tanam?  Sebab cendawan ada banyak jenis.  Soalan kedua, mana nak dapat cendawan ni?  Kalau saya kata boleh dapat kat dapur, memanglah mustahil kecuali kalau kita dah ada simpan cendawan kering yang kita beli.  Jadi kena beli.  Cendawan yang macamana kita nak beli?

Ok, kita jawab satu satu.
Cendawan apa kita nak tanam?
Pada pendapat saya lah, pilih cendawan yang kita makan.  Misalnya kalau kita tak makan cendawan tiram, jangan beli cendawan tersebut.  Pilih cendawan yang kita makan sahaja.  Banyak cendawan yang ada kat pasar, antaranya yang biasa ditanam ialah cendawan tiram dan cendawan mutiara.  Cendawan lain termasuk cendawan jerami, cendawan ketam, cendawan sisek, cendawan telinga kera, cendawan inoki, cendawan shiitake, dan entah apa lagi.
Dari bacaan saya, ada yang kata pilih cendawan yang hidup kat negara kita.  Hmmm... Mohon maaf tapi pernyataan ini tak perlu dirisaukan sangat sebab kita bukan nak tanam kat padang.  Kita nak tanam kat dalam rumah.  Asalkan tempat kita tanam nanti lembap dan suhu serasi, cendawan jenis apa sekalipun kita boleh tanam.

Soalan kedua, mana nak dapat cendawan ni?
Mana lagi kalau tidak kat pasar atau kat pasaraya.  Kadangkala kat gerai tepi jalan ada jual cendawan sisek dan cendawan busut.  Semuanya boleh digunakan. Jangan pula bei cendawan dalam tin atau cendawan goreng.  Yang itu cendawan dah mati.  Kita nak cendawan yang masih ada benih atau akarnya.  Benih tersebut dipanggil spora.  Akarnya dipanggil mycelium.

Ok, macamana nak pilih cendawan yang masih hidup atau yang ada benih?
Ilustrasi berikut menunjukkan gambarfoto cendawan yang saya pilih serta alasannya.

Ilustrasi 1:  Cendawan kering dari jenis tiram.  Di bawah payung cendawan terletak jalur-jalur insang.  Debu atau spora, iaitu benih disebarkan melalui insang 


Ilustrasi 2:  Cendawan kering dari jenis mutiara.  Cendawan ini mempunyai payung cendawan yang matang.  Debu atau spora yang terdiri daripada benih cendawan boleh dituai dari insang yang terletak di bawah payung cendawan.

Ilustrasi 3:  Cendawan butang kering yang dibeli dari pasaraya boleh digunakan untuk pembenihan cendawan.  Debu spoora, iaitu benih cendawan terdapat di dalam insang.

Ilustrasi 4:  Bahagian pangkal batang cendawan mengandungi haifa yang berselirat membentuk miselium.  Rupanya seperti kapas putih.  Bahan ini boleh digunakan untuk menghasilkan cendawan.
Ilustrasi 5:  Cendawan Inoki, mengandungi pangkal dengan haifa yang boleh digunakan untuk dijadikan benih.

Cara kendalian cendawan yang saya tunjukkan sebenarnya kurang mantap kerana cendawan terdedah kepada jangkitan. Ini kerana cendawan tersebut tidak seharusnya didedahkan. Tujuan saya dedahkan cendawan tersebut untuk tujuan ilustrasi. Untuk pastikan cendawan kekal bersih dan tidak tercemar, jangan keluarkan cendawan daripada plastik pembungkus. Simpan dalam peti sejuk di dalam bahagian nyaman, bukan di dalam bahagian beku. Jika perlu sentuh cendawan, gunakan sarung tangan plastik yang bersih atau basuh tangan dengan sabun.
Basuh semua alatan dengan sabun, atau rendam dalam larutan peluntur (Clorox) dengan larutan 1:10, satu bahagian peluntur dan 10 bahagian air, atau siram alatan dengan air yang sedang mendidih.

Video menunjukkan cendawan yang saya pilih serta alasan cendawan tersebut dipilih.


Cendawan apakah yang anda akan pilih? Nyatakan dari mana rakan-rakan dapat cendawan tersebut.

4 ulasan:

  1. Ok saya menunggu dgn tak sabarnya.Excited senghoti :)

    BalasPadam
  2. Terbaik En. Is..x sabar nak tggu ni.hehehe

    BalasPadam
  3. En is terima kasih sgt2 sebb sudi ajar...sebb sy byk research kat google n youtube....tp kurg jelas...mcmne nak dptkn spawn tu.

    BalasPadam
  4. Salam encik,sy cuba cari sambungan entri ini tp xjpe2 pulak.mcmna ya nk mncuba menanam cendawan tiram di rumah..ada jual pek benih n medium cendawan ke?tq

    BalasPadam