Sabtu, 16 Ogos 2014

Ubat Gegat? Jangan! Jangan! Jangan!

Hari ini saya ada posting ruang menanam yang dibiarkan terdedah. Saya timbulkan masalah kucing yang mungkin akan membuat jamban bila ada ruang tanah yang terdedah. Saya terima beberapa saranan yang bernas yang boleh dimanfaatkan. Bagaimanapun ada satu saranan yang membuatkan saya tergamam, bukan teruja tetapi terkejut dan berfikir sejenak. Dalam hati ada terlintas, mungkin pengunjung baru dan tidak tahu bahawa laman tanamsendiri adalah berkenaan menanam sayur atau tanaman makanan di rumah. Walau apa pun, saya perlu sentuh atau ulas tetang bahan yang disarankan kerana bimbang kalau-kalau ada rakan-rakan yang akan terlintas untuk menggunakan bahan tersebut untuk menghalang kucing daripada mengganggu ruang tanaman. Menjadi tanggungjawab saya memberitahu bahawa penggunaan bahan tersebut di kebun laman rumah adalah suatu yang amat berbahaya dan harus dielakkan, kerana ulasan tersebut diletakkan dalam laman tanamsendiri.
Bahan yang saya maksudkan ialah ubat gegat. Walaupun bahan ini mudah didapati dan biasa digunakan dalam masyarakat kita, jika disalah guna ia amat berbahaya. Jangan sekali-kali digunakan di luar rumah terutamanya di ruang tanaman sayur atau bahan makanan. Di negara lain, penggunaan ubat gegat selain dari yang disasarkan adalah menyalahi undang-undang.
Penggunaan ubat gegat untuk menghalau, malah membunuh kucing diakui amat berkesan, tapi ia juga mungkin akan membunuh ahli keluarga sendiri. Adakah ini berbaloi?
Apa itu ubat gegat?
Ubat gegat dihasilkan dengan tujuan untuk melindungi pakaian yang disimpan di dalam almari daripada dirosakkan oleh kupu-kupu dan makhluk perosak yang lain. Baca label dan ikut arahan cara penggunaannya. Ingat, walaupun ubat gegat mudah didapati, ini tidak bermakna bahan tersebut tidak berbahaya.
Ubat gegat mudah larut dalam air (hujan) dan mudah mengeluarkan wap yang mampu menyebabkan iritasi pada mata dan kulit. Ubat gegat amat berbahaya kepada manusia (terutamanya kanak-kanak), haiwan peliharaan, tanaman, serta alam sekitar. Apabila larut, larutan tersebut mampu mencemarkan air bawah tanah yang mungkin akan berakhir di dalam longkang, sungai, serta air minuman kita. Ubat gegat mengandungi naftalena dan paradiklorobenzena iaitu bahan aktif yang jika mencemar sayuran, jika termakan sayur yang tercemar tersebut boleh menyebabkan rasa mual, ceret beret, sawan dan kerosakan pada sistem saraf.
Bukan gurauan, Jangan! Jangan! Jangan! Jangan guna ubat gegat dalam laman kebun anda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan