![]() |
Bayam Amaranthus dari baka Bayam Merah Autumn. |
Bayam (Amaranthus) adalah sayur yang terkenal di negara kita. Ada jenis bayam yang tumbuh liar, misalnya bayam duri yang biasanya tumbuh di kampung yang mempunyai tanah berpasir. Semua jenis bayam boleh dimakan. Biasanya bahagian daun, batang dan biji dimakan. Bayam kaya dengan protein, Vitamin A, Vitamin C, protein, zait besi, dan kalsium. Kami di tanamsendiri.com ada menyimpan benih bayam yang boleh dijual dengan harga RM2 satu pek. Setiap pek mengandungi 100 benih.
Tanah
Bayam adalah pokok yang kukuh. Bagaimanapun paling elok gunakan tanah yang elok salirannya, iaitu tidak menakung air, kaya dengan bahan organik serta mempunyai julat pH antara 5.5 hingga 7. Anda boleh tanam di atas batas atau di dalam bekas.
Menyemai
Gaulkan 1 bahagian benih dengan 6 bahagian tanah yang ringan untuk menjarangkan benih. Jika tanam di atas batas, basahkan batas, buat alur sedalam 2 cm dengan jarak 6 inci antara alur dan tabur benih. Kemudian tutup dengan tanah. Jika tanam dalam bekas, basahkan tanah dan tabur benih. Kemudian tabur dengan tanah yang ringan untuk tutup benih.
Anda juga boleh semai dalam bekas semaian. Jika semai dalam bekas semaian, alih selepas 4 minggu benih bercambah.
Penjagaan
Sembur dengan air dengan aliran yang lembut untuk basahkan tanah. Kekalkan tanah supaya lembap. Benih akan bercambah dalam masa 5 hingga 14 hari. Setiap minggu, merumput untuk kurangkan persaingan antara bayam dengan rumpai. Ketika pokok masih kecil, tutu batas dengan pelepah kelapa atau sungkup plastik untuk melindungi cambahan daripada panas terik. Saya perhatikan, anak bayam tumbuh dengan lebih cepat jika kawasan terlindung daripada panas terik. Jika tanam dalam bekas, letak di tempat teduh terutamanya di waktu petang. Biar anak pokok mendapat cahaya pagi sepenuhnya.
Selepas 2 minggu benih bercambah, buka semua penghadang cahaya. Biarkan pokok mendapat cahaya sepenuhnya. Setiap 2 minggu, kerat pokok yang telalu rapat, jarangkan supaya pokok berada dengan jarak 15 cm antara pokok. Pokok yang dikerat boleh dimakan. Teruskan menjarang setiap 2 minggu sehingga jarak antara pokok yang paling subur berada antara 45 cm. Tuai pucuk dari tunas utama apabila pokok mencecah 30 cm untuk rimbunkan pokok. Siram selalu supaya daun besar dan rangup. Jangan biarkan pokok berbunga.
Jika ingin tuai biji, biaran pokok kering sedikit. Jika pokok berbunga, daunnya tidak lagi besar dan batangnya berserat.
Berikut adalah fakta tentang bayam amaranthus.
Suhu benih bercambah, antara 10 hingga 32 darjah Celsius.
Jangkamasa bercambah, 5 hingga 14 hari.
Jangkamasa benih bernas, 7 tahun.
Kadar percambahan, lebih daripada 70%.
Suhu yang sesuai untuk pertumbuhan pokok yang galak, 20 hingga 32 darjah Celsius.
Jumlah pokok yang sesuai ditanam (ditanam secara kerat dan tumbuh lagi), 10 pokok untuk setiap ahli keluarga yang makan sayur.
Jumlah pokok bagi setiap 1 kaki persegi, 1 pokok dengan tuaian 4 helai daun (kerat dan tumbuh lagi).
Jarak antara waktu menyemai, semai setiap 6 minggu untuk hasil yang berterusan.
Waktu tuaian, 95 hari (secara kerat dan tumbuh lagi, sebelum itu tuaian sambil menjarang pokok).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan