Ahad, 17 Ogos 2014

Rendam Benih, Rendam Benih, Rendam Benih

 Saya masih ingat lagi, semasa di zaman kanak-kanak dulu, ada jiran yang mengadu pada mak saya, semai benih tapi tak tumbuh.  Mak tanya, “Rendam tak?”
Masa tu rendam adalah seperti “magic”.  Isu klorin tak timbul sebab orang kampung guna air telaga.  Telaga di kampung kami airnya manis (sweet water) kerana kawasan kampung berpasir, tanah bekas kawasan lautan, kaya dengan mineral bermanfaat.  Sungai pun airnya payau.
Ok, balik semula kepada topik kita; Rendam Benih.
Mungkin ada rakan-rakan yang dah perasan, benih yang direndam cepat tumbuh!  Mengapa ya?
OK, saya akan jelaskan mengikut apa yang orang tua-tua (lebih tepat orang dulu dulu, sebab saya sendiri pun dah tua) jelaskan kepada saya ketikita itu.
Dua di luar sana amatlah kejam.  Panas terik, hujan lebat, malam pula dingin.  Jadi Allah buat benih tahan didera.  Bayangkan ada buah dimakan haiwan, bila haiwan “pooped,” keluar benih.... masih juga bernas!  Semua itu penderaan terhadap biji benih.  Jadi Allah buat benih tahan semua itu.  Bila dah habis penderaan tersebut, benih sedia untuk bercambah.

Boleh pakai ker penjelasan tersebut?  Boleh.  Maksudnya benih ada cara untuk melindungi daripada keadaan yang mencabar.  Jadi jika kita dapat pecahkan perlindungan tersebut, benih sedia untuk bercambah.Merendam adalah satu cara yang boleh memecahkan perlindungan pada benih.  Sebab itu, selepas merendam, benih sedia untuk bercambah.

Lagi pun, air adalah tanda kepada benih bahawa tiba masanya untuk bercambah.  Ini kerana satu daripada bahan yang perlu untuk bercambah ialah air.

Jadi, dengan merendam, anda telah “memberitahu” bahawa keadaan di luar sama selamat untuk bercambah.  Ada air yang cukup.

Oh ya, satu lagi, ada benih diselaputi enzim atau cecair yang menghalang benih daripada bercambah.  Enzim tersebut mesti dibersihkan terlebih dahulu.  Secara semula jadi, benih “dibersihkan” selepas hujan yang lebat.  Dengan merendam, kita dah secara tidak langsung membershkan benih daripada selaput yang menghalangnya daripada bercambah.  Jadi benih akan bercambah dengan lebih cepat.  Tak perlu tunggu hujan. :)

Ok, sekarang dah jelas, perlu rendam.  Tapi bagaimana nak rendam?
Dari bacaan saya, ada yang sarankan supaya direndam dalam larutan berasid, kerana nak samakan keadaan seperti asid dalam perut haiwan.  Saya pernah ingat ada jiran yang sarankan kepada mak saya, kalau rendam dalam air kopi atau air teh benih cepat bercambah.  Nah, nampak kaitannya?  Air the atau kopi mempunyai sifat asid sedikit.  Tapi tak sama dengan asid perut.  Asid perut asid kuat!  Kalau benih liat sangat nak tumbuh, boleh cuba rendam dalam larutan asid, misalnya larutan kopi, the, atau larutan air cuka.  Air kopi tu, jaganlah diletak gula.  Bimbang juga, kalau kalau ada rakan yang rendam benih dalam kopi atau teh tarik. :)  Kang tetiba benih berkulat!

Oklah, lazimnya rendam dalam air biasa tanpa klorin dah memadai.  Kalau guna air paip, didihkan dulu atau biarkan terdedah di dalam baldi selama beberapa hari.  Air hujan lagi elok, bebas klorin dan berasid sedikit.

Guna air panas atau suam kuku.  Suhu antara 40 hingga 80 darjah Celsius.  Biar betul.  Betul, tapi jangan guna air mendidih sebab kalau air mendidih benih akan mati.  Jika benih saiz kecil, 40 hingga 60 darjah Celsius dah memadai.

Caranya, isikan air suam atau air panas ke dalam mangkuk.  Kemudian masukkan benih dan biarkan sehingga suhu air kembali kepada suhu bilik.  Biasanya 2 jam dah cukup.  Ada juga yang rendam hingga 12 jam (bermalam), pun masih OK.  Tapi jangan rendam lama sangat sebab proses percambahan perlukan oksigen.  Jika direndam lama, bimbang benih akan mati.  Jika selepas rendam, tiba-tiba sibuk dan tak dapat menyemai terus, paling lama, 48 jam.  Jangan rendam lebih daripada 48 jam kecuali benih yang tertentu yang sememangnya ditulis pada peket.

Kadang-kadang ada benih yang perlu dilukakan terlebih dahulu sebelum merendam.  Dalam bahasa Inggeris, “scarification.”  Jika perlu lukakan, boleh gosok dengan kertas pasir atau toreh benih.  Biasanya benih yang besar saiznya perlu dilukakan terlebih dahulu.

Lepas tu buat apa?  Lepas itu, semailah.  Tunggu apa lagi.

Oh ya, biasanya benih yang halus, saya beritahu, jangan rendam.  Sebab benih halus biasanya cepat bercambah.  Kalau benih halus dah liat, lambat bercambah?  Tunggu apa lagi?  Rendamlah.  Tapi suhu air jangan tinggi sangat, bimbang benih masak!

Jadi, benih lambat bercambah?  Malas nak tunggu lama untuk benih bercambah?  Ikut cara orang dulu-dulu.  Rendam benih, rendam benih, rendam benih!

-------------------------------------------
Sila kongsi supaya dapat dimanfaatkan oleh rakan-rakan.  Nyatakan sumbernya, tanamsendiri.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan