Terung atau nama latinnya Solanum melongena bukannya tanaman baru. Ia telah ditanam dalam tamadun cina dan India kira-kira 6,000 tahun dahulu. Secara peribadi, saya berpendapat terung tidak mudah ditanam (disemai) daripada benih. Peryumbuhannya amat perlahan. bagaimanapun bila anak pokok dah kukuh, penjagaannya tidak lagi rumit. Terung amat sesuai ditanam di negara kita Malaysia. Rugi kalau tak tanam terung.
Seeloknya tanam dua pokok bagi setiap ahli keluarga yang makan terung. Jika dalam keluarga anda ada 8 orang dan 6 orang makan terung, tanam 12 pokok.
Tanah
Pilih tanah yang elok salirannya dengan pH antara 5.5 hingga 6.8. Terung gemarkan tanah yang kaya dengan nitrogen dengan jumlah fosforus dan kalium yang sederhana.
Penyediaan Tanah
Gaulkan 5 cm kompos/baja organik dengan tanah sedalam kira-kira 15 cm. Biarkan kompos atau baja organik mereput kira-kira 1 hingga 2 minggu.
Lokasi
Pilih tempat yang cerah dan panas seeloknya mendapat cahaya pagi yang tidak terhalang.
Semai
Semai benih pada suhu sekitar 30 darjah Celsius menggunakan tanah adunan semaian. Biasanya hanya 60 hingga 80% daripada benih akan bercambah. Pastikan tanah tidak kering ketika menyemai. Untuk cepatkan proses percambahan, rendam di dalam air suam antara 2 hingga 8 jam.
Terung tidak tahan jika akar terganggu. Jadi, semai di dalam dulang semaian. Semai antara 2 hingga 5 biji benih dalam satu sel atau satu bekas. Kerat anak pokok yang lemah. Biarkan 2 atau 3 anak pokok sahaja di dalam satu sel atau satu bekas.
Alih
Alih ke tanah atau pasu yang besar bila daun sebenar telah kelihatan (jumlah 4 helai daun). Biasanya antara 6 hingga 8 minggu selepas disemai. Letak dulu bekas semaian di tempat panas satu hingga 2 jam sehari selama 4 hari untuk kukuhkan anak pokok. Lepas itu baru alih.
Tanam Terus Di Atas Batas
Jika kawasan bebas serangga perosak, boleh juga semai terus di atas batas. Jarakkan kira-kira 45 cm di antara lubang.
Jarak Antara Pokok
Jika alih ke tanah, jarakkan antara 45 cm hingga 60 cm antara pokok. Jika semai di atas batas menggunakan kaedah intensif, jarakkan kira-kira 45 cm antara pokok.
Penjagaan
Lazimnya akar pokok terung cetek. ia tidak merayap jauh. Jangan mencangkul ketika merumput. Cabut rumpai dengan tanagn dan dengan berhati-hati untuk elakkan pokok daripada tercabut.
Air
Terung tahan kering, jadi tidak perlu siram dengan air yang banyak kecuali ketika pokok sedang berbunga dan berbuah. Ketika itu pastikan tanah sentiasa lembap.
Pembajaan
Apabila anak pokok mulai kukuh, siramn dengan teh kompos sekurang-kurangnya sebulan sekali. Pokok perlukan nitrogen dan fosforus dengan banyak.
Sungkup
Tutup permukaan tanah dengan jerami atau sungkup plastik untuk kekalkan lembapan dalam tanah dan halang rumpai daripada tumbuh.
Pangkas
Pangkas (kerat) tunas utama bila pokok tinggi 30 cm untuk galakkan pertumbahan tunas sisi supaya pokok banyak ranting dan kelihatan rimbun. Jika inginkan buah yang besar, hadkan jumlah ranting kepada 6 sahaja.
Buah Lebat
Jika ingin buah yang lebat, pastikan tanah elok, sentiasa lembap dan pokok mendapat cahaya yang banyak terutamanya di sebelah pagi. Bagaimanapun pastikan suhu tidak terlalu tinggi. Ini untuk menghalang kudup bunga daripada luruh.
Makhluk Perosak
Makluk perosak pokok terung adalah sama dengan makhluk perosak pokok tomato dan ubi kentang.
Menuai
Tuai buah apabila ia mencecah saiz yang paling besar tetapi kulit masih berkilau. Apabila kulit mula pudar, benih akan menjadi warna cokelat dan isi mula merasa pahit.
Lebih enak jika tuai ketika buah masih kecil. Lagi pun pokok akan menghasilkan buah yang lebat jika anda tuai buah ketika masih muda.
Untuk tuai gunting tangkai buah kira-kira 3 cm daripada buah dan 2 cm daripada ranting. Biarkan tangkai pada ranting.
Menyimpan
Jika perlu simpan, simpan pada suhu bilik. Jangan simpan di dalam peti sejuk. Pada suhu bilik buah kekal segar sehingga 2 minggu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan