Air patut disiram hanya setakat ia boleh penuhkan tanah secepat mungkin. Maksudnya siraman mestilah lembut, seperti hujan yang tidak terlalu lebat, tapi tidak terlalu halus hingga air hilang dalam bentuk kabut. Jika siram terlalu laju, air mungkin akan bertakung dan akan merosakkan struktur permukaan tanah. Apabila air kering kerak akan terbentuk pada permukaan tanah. Ini akan menghalang air daripada memasuki tanah apabila disiram kemudian. Kerak juga menghalang udara daripada masuk ke dalam tanah. Air yang disiram akan mengalir ke tempat lain di sepanjang permukaan tanah yang berkerak dan ini membazir air.
Apabila permukaan tanah menemui titik tepu dan anda boleh nampak renip renip kilau air, henti menyiram sementara hingga air meresap masuk ke dalam tanah. Jika anda gunakan sistem siraman overhed, ia lakukan ini secara automatik.
Satu daripada ralat yang dilakukan oleh orang baru ketika menyiram (terutamanya menyiram secara manual) ialah menyiram sehingga air kelihatan basah rata pada permukaan tanah dan terus menyiram di tempat yang baru. Apa yang kita nampak kadang-kadang bukannya perkara sebenar. Ini kerana walaupun pada permukaan tanah kelihatan basah, bahagian dalam (misalnya 1 inci dalam tanah) mungin masih kering.
Jika anda lakukan begini setiap kali menyiram, akar mungkin tidak akan merayap jauh ke dalam tanah. Akibatnya pokok mungkin mudah mudarat bila tanah kering. Anda perlu pastikan bahagian dalam tanah juga basah supaya akar tanaman tumbuh dalam. Jika tanah kering, tanaman masih dapat mecari air di bahagian dalam tanah.
Masalah ketara bila anda tidak menyiram selama beberapa hari, pokok akan cepat layu dan mungkin akan mati. Jika akar dalam, walaupun anda gagal menyiram, bahagian dalam tanah mungkin masih mengandungi air dan akar dapat menyerapnya kerana akar tanaman tersebut tumbuh dalam.
Ketika menyiram pastikan anda siram ruang sudut dan sisi batas secukupnya kerana bahagian ini lazimnya cepat kering. Begitu juga bahagian cerun yang tidak mengadap punca air, ia kadang-kadang tidak mendapat air yang cukup.
Ada tanaman yang gemar jika anda siram ke atas daun. Tapi pastikan air siraman yang terkena pada daun kering dengan cepat terutamanya jika anda siram di waktu awal pagi atau malam. Jika tanaman mudah kena penyakit, elakkan menyiram di atas daun pada waktu begini.
Jika anda gunakan sistem penyembur, elok letakkan balang tolok penyukat hujan. Jika hari hujan, hentikan sistem penyembur.
Jika mnyiram guna getah paip, ketika tarik getah paip, hati hati. Elakkan getah paip daripada terseret pokok ketika menarik getah paip tersebut. Pokok mungkin patah bila terseret.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan