Halaman

Cari Blog Ini

Isnin, 14 April 2014

Tanah Semaian

Satu daripada masalah yang dihadapi oleh rakan-rakan yang baru memulakan aktiviti menanam ialah memilih tanah atau medium yang sesuai untuk bekas semaian. Semai tapi tak tumbuh, kata rakan-rakan baru. Apabila dipicit, benih hancur dan mengeluarkan bau yang busuk. Benih telah mati dan telah diserang atau dimakan kulat. Ini adalah perkara biasa jika rakan-rakan gunakan tanah semaian yang tidak serasi.

Jika menyemai terus di atas tanah, tanpa menggunakan bekas semaian, kadang-kadang saya ada syorkan menggunakan tanah kebun, maksud saya tanah lapisan atas (topsoil) di ruang berkebun. Lazimnya tanah sebegini kaya dengan bahan organik serta mengandungi tanah liat. Bagaimanapun, tanah sebegini hanya sesuai jika menyemai terus di atas tanah. Jika menyemai di dalam bekas, persekitaran adalah berbeza. Tanah sebegini tidak lagi sesuai.

Ada juga rakan-rakan yang membeli tanah daripada nurseri. Kadang-kadang ia serasi. Kadang-kadang tidak serasi. Ini kerana kebiasaannya tanah yang diadun oleh pihak nurseri disasarkan untuk pokok bunga atau pokok yang telah matang, bukannya untuk akviti mencambah benih. Jadi, jika beli tanah daripada nurseri, nyatakan kepada penjual, “mahu tanah untuk semai benih” supaya mereka dapat memilih tanah yang sesuai untuk aktiviti menyemai.

Persekitaran dalam bekas semaian tidak sama dengan persekitaran di atas tanah. Bekas semaian yang sempit mempunyai perubahan kering dan basah secara mendadak, perubahan suhu juga mendadak. Keadaan sebegini membuatkan tanah mudah “lesu”. Jika adunan tidak serasi, tanah mudah menakung air kerana saliran menjadi kurang elok apabila tanah menjadi mampat. Permukaan tanah juga mudah membentuk kerak. Tanah mudah menjadi ketulan yang keras menyebabkan akar cambahan tidak dapat tumbuh dengan galak. Kandungan garam yang tinggi pula menyebabkan akar yang baru tumbuh melecur atau “terbakar.”

Kadangkala tanah mengandungi benih rumpai atau makhluk perosak. Rumpai yang tumbuh akan berebut ruang serta sumber yang lain dengan cambahan. Makhluk perosak pula akan memakan cambahan dan membunuh cambahan tersebut. Ada juga tanah yang mengandungi pathogen, iaitu hidupan seni atau mikrob yang membawa penyakit.

Rumusan adunan tanah semaian yang “betul” penting untuk mencambah benih serta menghasilkan cambahan yang subur. Ini adalah penting untuk menghasilkan tanaman yang subur dengan tuaian yang diidamkan. Adunan tanah semaian yang elok seharusnya mempunyai ciri-ciri yang berikut:

  • Ketumpatan yang rendah. Tanah ringan kata pekebun. Tanah sebegini biasanya longgar dan mempunyai banyak ruang kosong.
  • Mudah mengalirkan air dan mengandungi udara.
  • Mampu menyimpan air dengan banyak.
  • Mempunyai julat pH yang hampir neutral.
  • Tidak membentuk kerak dengan mudah. 
  • Cukup kukuh untuk cambahan membentuk sistem akar yang mantap.
  • Mempunyai struktur yang kukuh dan stabil.

Nak beli tanah atau adun sendiri?

Jika rakan-rakan ingin menyemai benih dalam Kuantiti yang kecil (semai sedikit sahaja untuk aktiviti berkebun di rumah), saya syorkan di peringkat awal, beli tanah semaian. Bila dah tahu tanah yang macamana yang sesuai digunakan, atau serasi, barulah cuba adun sendiri tanah semaian.

Jika beli tanah semaian, pastikan ia 100% organik. Jika anda ingin semai benih untuk kebun atau ladang, elok diadun sendiri.

Kami ada menjual adunan semaian. Harganya RM10 untuk 1 pek berjisim lebih kurang 1 kg. Kiriman melalui poslaju. SMS/WhatsApp 0175009364 untuk membuat pesanan.

Saya juga ada menulis Ebook ringkas berjudul “Menyediakan Adunan Semaian Sendiri.” Saya jual versi PDF yang sesuai dibaca menggunakan HP atau mobil. Versi ini adalah untuk bacaan sendiri. Harganya RM20 satu salinan. SMS/WhatsApp 0175009364 untuk membuat pesanan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan