Halaman

Cari Blog Ini

Ahad, 16 Mac 2014

TanamSendiri -- Asparagus

TanamSendiri Asparagus (Asparagus officinalis)
Tanaman asparagus lambat mendatangkan hasil kerana bahagian yang dituai ialah bahagian umbut atau pucuk muda yang baru tumbuh. Jika menanam di rumah, anda hanya dapat menuai pucuk asparagus selepas 8 bulan. Tuaian semakin banyak bila rumpun asparagus berumur 2 tahun.
Bagaimana pun berbaloi tunggu kerana asparagus yang paling enak adalah asparagus segar. Jika anda tanam di rumah, tuai terus masak, memang itulah asparagus yang paling segar.

Seeloknya tanam asparagus atas tanah pada batas. Pokok asparagus tahan sehingga 20 tahun, jadi pilih tempat yang kekal yang bebas dari angin kencang kerana pokok asparagus tumbuh setinggi 2 meter. Boleh juga tanam dalam pasu besar, tapi pada pendapat saya, lebih sesuai tanam di atas tanah.

Ada dua cara tanam iaitu menggunakan “crown” iaitu stok akar bertunas atau menggunakan benih.

Tanah
Pilih kawasan dengan niat untuk tanam lama. Tanah dengan elok salirannya dan terlindung daripada angin. PH tanah yang sesuai adalah antara 6.3 hingga 7.5. Jika tanah berpasir yang kaya dengan organik, misalnya tanah beris sesuai untuk tanam asparagus. Jika tanah kaya dengan tanah liat, tambahkan pasir dan pastikan kawasan tidak menakung air. Ia air bertakung, buat lurah parit untuk pastikan kawasan tersebut tidak menakung air. Seeloknya kawasan tersebut bebas rumpai yang mempunyai akar yang dalam, misalnya semalu, lalang, dan petai padang.

Waktu Menanam
Di negara kita yang mempunyai suhu yang tinggi, bila-bila masa pun sesuai. Seeloknya tanam selepas musim hujan. Di kawasan lembah Kelang, bulan April adalah waktu yang sesuai kerana di waktu tersebut lazimnya tidak terlalu basah dan tidak terlalu kering.

Cara Menyemai Menggunakan Benih
Semai di dalam bekas semaian yang mengandungi tanah kompos. Semai benih di dalam lubang sedalam 2.5 cm (1 inci). Kekalkan suhu sekitar 20 hingga 30 darjah sehingga benih mula bercambah. Lazimnya benih bercambah dalam masa 10 hingga 60 hari.

Apabila cambahan mula tumbuh kira-kira 5 cm (2 inci), letakkan semaian di tempat panas dalam 2 jam sehari untuk kukuhkan anak pokok. Apabila anak pokok kukuh, iaitu antara 10 hingga 12 minggu selepas benih bercambah, alih anak pokok ke atas batas batas yang telah digaul dengan baja organik. Jarakkan antara anak pokok antara 30 hingga 45 cm (12 hinggga 18 inci).

Menanam Menggunakan Akar Bertunas
Tanam akar bertunas dalam lurah yang dibuat khas sedalam 30 cm (12 inci) dengan lebar 20 cm (8 in). Jarak antara lurah 45 cm (18 in) dengan ruang lorong laluan 1 m (3 kaki) antara batas lurah. Tabur baja organik (tinja lembu, atau tinja ayam/kambing) membentuk lapisan yang nipis dan gaul dengan tanah kira-kira 10 cm (4 inci). Letakkan akar bertunas di tengah lurah batas. Jarakkan antara akar bertunas 30 hingga 45 cm (12 – 18 inci). Timbus lurah batas dan siram dengan air.

Penjagaan
Siram pokok setiap hari dan cabut rumpai apabila perlu. Pastikan tanah kekal lembap tetapi air tidak bertakung. Tambah baja organik setiap kali selepas menuai umbut asparagus. Baja ditambah dengan menabur baja organik secara sungkup.

Menuai
Seeloknya jangan tuai pucuk tunas yang keluar dari akar pada tahun pertama. Pada tahun kedua, tuai sedikit sahaja. Seeloknya tuai pada tahun ketiga. Ini memberikan masa untuk rimbunan pokok asparagus untuk bertapak kukuh. Apabila pucuk tunas telah tumbuh banak, tuai secara berterusan, misalnya 3 hari seali. Tuai pucuk tunas yang tumbuh sepanjang 13 hingga 18 cm (5 hingga 7 inci).

Perosak
Siput dan lintah bulan gemar memakan anak pokok asparagus. Terdapat juga kekabuh yang menyerang pokok asparagus.

Mana Nak Dapatkan Benih?
Rakan-rakan boleh dapatkan bnih daripada blog ini dengan sms/WhatsApp 0175009364.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan