Halaman

Cari Blog Ini

Rabu, 5 Februari 2014

Mencambah Kangkung

Kebiasaannya benih kangkung yang disemai bercambah dalam masa 3 hari.  Itu kebiasaannya, tapi ada banyak faktor yang mempengaruhi kadar percambahan.  Ada beberapa orang rakan yang mengadu kangkung yang disemai tidak tumbuh.  Bimbang juga saya kalau kalau benih yang diedar tidak lagi bernas.  Saya telah ambil sampel dari beberapa stok benih kangkung dan ujicambah.  Dari ujicambah tersebut saya dapati kadar cambahan benih kangkung yang saya edar ialah 90%.
Jadi, bagaimana nak pastikan benih yang disemai bercambah?  Ada banyak kaedah yang boleh digunakan.  Berikut adalah kaedah yang sesuai digunakan oleh rakan-rakan yang tanamsendiri di rumah.

1.  Didihkan air.
2.  Masukkan 1/4 cawan air panas ke dalam cawan polistirena.
3.  Tambahkan air pada suhu bilik secara perlahan-lahan dan kacau sehingga suhu sekata, iaitu hingga ke paras 3/4 cawan polistirena.  Pastikan air masih suam iaitu sekitar 45 hingga 50 darjah Celsius.
4.  Masukkan benih kangkung dan tuangkan keluar air hingga paras air 2 cm paras benih kangkung.
5. Simpan bekas rendaman selaman 2 hingga 12 jam.
6.  Perhatikan benih.  Ia sepatutnya kembang sedikit dengan kulit benih merekah.  Asingkan benih yang tidak menyerap air.
7.  Tuang air rendaman dan bilas benih menggunakan air yang telah dinyahklorin atau air mati (telah direbus).
8.  Sentuh pangkal cawan polistirena.  Jika ada rasa licin atau berlendir, basuh benih dengan air suam.

Benih kangkung yang sedia untuk disemai.

9.  Biarkan benih di dalam cawan tanpa direndam selama 2 hingga 6 jam.



10.  Masukkan tanah semaian (tanah atas atau tanah kebun) ke dalam bekas semaian.  Lembapkan tanah dengan penyembur.
11.  Buat lubang sedalam 2 cm menggunakan pensel atau kayu penyepit.  Jarakkan 8 cm antara lubang.
12.  Masukkan 1 hingga 3 benih dalam setiap lubang.
13.  Tabur tanah semaian untuk tutup lubang dan biarkan bekas semaian di tempat cerah.
14.  Kekalkan kelembapan tanah dengan menyembur air menggunakan penyembur.

Benih akan bercambah dalam masa 2 hingga 3 hari.

(Nota:  Anda boleh terus semai benih dalam bekas kekal tanpa perlu dialih cambahan.)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan