Selasa, 31 Disember 2013

Soalan Pengunjung -- Makhluk Perosak

Salam En. Is,
Adakah binatang kecil-kecil ini serangga perosak? Kalau serangga perosak, adakah dengan adanya kerengga boleh membantu menghapuskan perosak ni?

Adakah binatang kecil ini makhluk perosak? (Gambar milik azila komar <jillmayer_2000@yahoo.com>, jangan guna tanpa kebenaran pemilik).

Dan saya dah berjaya panggil kerengga datang pada patch kacang panjang saya dengan menggantungkan kepala ikan goreng pada pancang pokok. Cepat sampai, tak sampai setengah hari. Harap2 mereka akan duduk lama di patch kacang panjang saya.

----------------------------------

Ya, ini makhuk perosak. Ia selalu menyerang pokok berbatang lembut, misalnya pokok kacang dan pokok cili.  Biasanya ia dibawa oleh semut.  Semut "menternak" makhluk ini untuk mendapatkan cecair yang dihasilkan oleh makhluk ini.  Biasanya pokok yang diserang makhluk ini menjadi tidak subur kerana sebahagian daripada cecair nutrien disedut keluar.

Dari pengalaman saya, kerengga dapat selesaikan masalah tersebut.

Soalan Pengunjung -- Bunga Matahari Mixed Colour

Salam En. Iskandar,
Mengapa bunga matahari yang saya tanam dari baka mixed colour tak ada warna bercampur pun?

------------------------------
Waalaikum salam,
Mari kita perhatikan gambar yang saya terima daripada pembekal dulu.

Gambar bunga matahari baka mixed colour yang dibekalkan oleh pembekal. 

Kalau kita perhatikan gambar tersebut, ia seolah-olah misleading, seperti bunga ada halo warna merah yang ketara.  Sebenarnya gambar ini tidak misleading.  Warna merah dalam gambar ini ketara kerana  gambar tersebut telah ditinggikan beza-cahaya (contrast).  Tujuannya untuk menunjukkan kehadiran warna merah di dalam kelopak bunga tersebut.

Sebagaimana yang dibincangkan dalam posting terdahulu, saiz, bentuk, dan pola warna dalam bunga matahari bergantung kepada kaedah penanaman yang kita gunakan.  Jika inginkan bunga yang bersaiz besar dengan bentuk dan warna yang sempurna, pembajaan yang optimum perlu dilakukan sebelum putik bunga keluar.

Jika rakan-rakan perhatikan bunga yang rakan-rakan tanam tanpa membandingkan dengan bunga matahari baka biasa, rakan-rakan tidak akan nampak keistimewaan bunga baka mixed color.

Mixed colour yang dimaksudkan di sini bukannya bunga mempunyai pelbagai warna tetapi warna kelopak bunga ini bukannya warna kuning asli.  Ia ada campuran warna merah.  Bagaimanapun warna merah dan warna kuning tidak terasing.  Seluruh kelopak mempunya warna bercampur dengan warna kuning sebagai asas dengan tint kemerahan.  Jika anda perhatikan pola kelopak, anda akan dapati warna merah ketara sedikit di bahagian dalam ke arah pusat bunga menyebabkan ada tint halo kemerahan.

Gambar berikut menunjukkan gambar bunga matahari dari baka giant (kiri) dan bunga matahari dari baka mixed colour (kanan) yang pokok yang telah saya tanam. Saya juga tidak mendapat warna merah yang terasing tetapi warna kelopak dari dua baka tersebut jelas ketara perbezaannya.

Bunga matahari baka giant (kiri) dan bunga matahari baka mixed colour (kanan).


SIRAMAN YANG TAK SEKATA

Siraman air yang terlalu banyak selepas tanah terlalu kering secara berterusan boleh menyebabkan tuaian rosak, misalnya buah tomato akan pecah kulit, daun salad, kobis, dan akan merekah.

Dipetik daripada Ebook "Menyiram" oleh Iskandar dari tanamsendiri.com

Isnin, 30 Disember 2013

Gambar Hari Ini -- Collard

Collard di dalam bekas.
Pada mulanya saya ingin setup contoh berkebun secara mencacang (vertical gardening).  Setelah ditebuk bekas terpakai ini saya sedar terdapat beberapa kelemahan. Saya cuba tanam oregano di dalam lubang yang saya buat pada dinding bekas tersebut.  Sebagaimana yang saya jangka, semaian tersebut gagal dan pokok mati.  Jadi saya hanya biarkan satu pokok membesar di dalam bekas tersebut.  Bekas diletakkan di atas tiang pintu pagar di depan rumah.  Lihatlah sendiri pertumbuhannya.

Sawi kailan jepun adalah sayur yang unik.  Ia adalah tumbuhan antara sawi dan kailan.  Rasanya enak.

Tuaian Hari Ini --- Bendi

Tuaian bendi dari baka bendi putih.

Dulu saya sangka bendi ialah bendi.  Sayur buah yang tawar dan berlendir.  Bila saya mula menanam bendi baka singa, eh lain rasanya dari bendi yang di beli.  Kini setelah menanam berbagai jenis bendi, barulah saya tahu, setiap baka bendi adalah uik.  Saiz, warna, rasa, aroma dan kuantiti serat adalah berbeza.

Tuaian hari ini ialah bendi putih laun selatan.  Lendirnya yang segar ada sari manis dengan serat yang kurang walaupun buah bersaiz besar.  Rasanya juga enak.

--------------------------------------
Untuk tanam pelbagai jenis bendi, dapatkan Set Bendi. http://www.tanamsendiri.com/2013/06/tawaran-set-eksotik-bendi.html

TANAH BERKERAK

Jika anda menyiram dengan pancutan air yang kasar dan laju (biasanya dengan salur getah), iaitu lebih laju daripada keupayaan tanah untuk menyerap air tersebut, gumpalan tanah akan pecah menjadi bintil tanah yang halus dan akan hanyut ke dalam ruang antara gumpalan atau agregat yang lebih besar.  Apabila permukaan tanah menjadi kering, lapisan kerak yang berkeping dan mampat akan terbentuk pada permukaan tanah.  Ia lazimnya berlaku pada permukaan tanah yang mempunyai struktur yang kurang elok, biasanya tanah keladak atau tanah berpasir yang halus.

Bagaimanapun, jika tanah mempunyai struktur yang elok, anda menyiram dengan pancutan air yang kasar dan laju, kemungkinan kerak akan membentuk juga.

Kerak pada permukaan tanah menghalang air menyerap masuk ke dalam tanah ketika menyiram.  Ia juga menghalam benih yang disemai daripada bercambah keluar daripada permukaan tanah.  Kerak juga menghalang udara daripada masuk ke dalam tanah atau keluar daripada tanah.  Udara yang terkumpul akan menjadi toksik dan menghalang pertumbuhan akar. 


Jika hanya sedikit kerak terbentuk, anda boleh pecahkan dengan jari.  Jika banyak, pecahkan kerak dengan menggunakan cangkul.  Anda boleh tabur bahan sungkup, misalnya jerami atau keratan rumpai yang keing untuk menghalang pembentukan kerak.    

Soalan Pengunjung -- Tentang Keratan Dari Pasar

Slm nak tnya, boleh kah selasih tumbuh kalau kita tanam dari batangnya(selasih yg dijual di pasar). Kalau boleh, macam mana nak dia tumbuh x nak dia mati. Tq


Waalaikum salam,
Boleh. Jika beli di pasar, kerat semula bahagian pangkal batang dan rendam dalam air selama 15 minit. Buang daun dan tinggalkan tunas sahaja. Seeloknya batang sepanjang 15 cm.
Kemudian semai keratan batang dalam tanah kompos sedalam 7 cm.
Spray tanah untuk lembapkan. Tiga hari pertama letak ditempat redup. Pastikan tanah kekal lembap tapi jangan terlalu basah. InsyaAllah keratan akan mula tunjukkan pertumbuhan selepas 2 minggu.
Semai lebih daripada satu keratan kerana tak semua semaian akan menjadi.

Soalan Pengunjung -- Kandungan NPK Tinja Lembu

Selamat malam En Iskandar,
Apakah kandungan NPK tinja lembu?

--------------------------------

Tinja lembu elok untuk dijadikan baja kerana ia adalah tinja haiwan ternakan yang seimbang.  Maksud saya tinja lembu sangat eok digunakan sebagai baja organik kerana di dalam sistem pencernaan lembu terdapat mikroorganisma yang mampu menguraikan selulosa, iaitu bahan polimer yang ada dalam tumbuhan.  Mikroorganisma tersebut membantu proses penguraian bahan organik daripada tumbuhan.  Tinja lembu juga mampu menyimpan lembapan.  Tinja lembu juga tidak terlalu panas kerana kandungan NPKnya agak rendah berbanding dengan tinja haiwan ternakan yang lain.

Kandungan tinja lembu penusu (dalam % jisim kering) adalah seperti berikut:

N, 0.6-2.1
P, 0.7-1.1  
K, 2.4-3.6

(Sumber: Maynard, dan Hotchmuth, Knott's Handbook for Vegetable Growers, edisi ke 5)

Ahad, 29 Disember 2013

Permukaan Tanah Berlumut, Apa Tandanya?

Jika anda lihat ada lapisan hijau pada permukaan tanah, ia mungkin kerana tanah sentiasa lembap.  Lapisan hijau tersebut ialah lapisan lumut.  Walaupun lumut tidak menyebabkan penyakit, ia menjadi tanda bahawa permukaan tanah sentiasa lembap.  Ini tidak elok kerana tanah yang sentiasa lembap meyebabkan penyakit dan kulat mudah merebak.  

Lapisan lumut juga menghalang udara daripada menembus masuk ke dalam tanah atau keluar daripada tanah.  Ini menghalang pertukaran udara.  Pastikan permukaan tanah ada waktu kering di antara waktu menyiram untuk menghentikan pertumbuhan lumut.   

Artikel dipetik daripada Ebook "Menyiram" oleh Iskandar di tanamsendiri.com

Jumaat, 27 Disember 2013

Gambar Oleh Rakan Tanamsendiri -- Puan Norizan Zainal

Hari ini tanamsendiri.com pamerkan gambar kiriman Puan Norizan Zainal.  Gambar yang saya maksudkan ialah gambar pokok rock melon.  Rock melon adalah pokok yang mudah tumbuh, dan cara penjagaannya seakan-akan timun.  Dai negara kita, jika menanam secara organik tanpa menggunakan racun, adalah suatu yang mencabar kerana ada banyak jenis makhluk perosak yang menyerang tanaman ini.

Puan Norizan dan suami menanam rock melon secara fertigasi.  Saya kagum melihat buah yang besar berbanding dengan pokok yang masih kecil dan muda.  

Terima kasih kepada Puan Norizan kerana sudi berkongsi.  
  
Pokok rock melon yang sedang berbuah. Gambar milik Puan Norizan Zainal (eyanaz86@yahoo.com) 

Pokok rock melon yang baru berusia 28 hari yang ditanam secara fertigasi.  Gambar milik Puan Norizan Zainal (eyanaz86@yahoo.com)   

Khamis, 26 Disember 2013

Kompos Bahagian 40 Daripada 40

Pelengkap Bahagian Teori


Fuh….. Panjangnya cerita. Alhamdulillah. Secara kasarnya dah lengkap saya bercerita tentang perkara yang berkait dengan kompos. Tapi bab kompos ni memang skopnya pun luas. Kalau nak kira lengkap, memang mustahil. Lengkap pada pandangan sayalah. Doh nok wat guane….

Secara asasnya begini. Kompos adalah bahan organik yang terurai. Buat macamana sekalipun, bahan organik kalau diperam akan terurai. Bezanya, cepat atau lambat, tak berbau atau berbau busuk. Itu aja. Kompos tetap akan menjadi. Jadi tiada betul atau salah dalam proses membuat kompos.

Dengan selesainya bahagian ini maka lengkapkan seksyen teori tentang kompos. Terima kasih kerana follow siri posting ini. Ada dua seksyen lagi, iaitu “Membuat Kompos” dan “Menggunakan Kompos”.

InsyaAllah saya akan refine lagi posting ini untuk dijual melalui Ebook.

Rabu, 25 Disember 2013

Kompos Bahagian 39 Daripada 40

Kompos Panas Adalah Suatu Yang Elok


Kaki kompos (ader pulok kaki kompos), maksud saya orang yang bersungguh buat kompos bertanggapan kompos yang panas adalah suatu yang baik. Ada sebabnya. Lagipun suhu yang tinggi dapat membunuh benih rumpai dan spora penyakit.

Dalam timbunan kompos, bahagian tengah sentiasa lebih panas daripada di luar. Dan tiba waktunya bakteria akan kehabisan makanan dan udara. Kadar proses penguraian bahan kompos di bahagian tengah timbunan kompos akan berkurang. Apabila anda gaul kompos, proses penguraian akan bermula semula.

Jadi jika timbuan kompos anda besar dan anda sentiasa menggaul kompos, timbunan kompos anda akan sentiasa panas. Jangan bimbang jika haba dalam kompos terlalu panas untuk hidupan di dalam timbunan kompos. Cacing akan bergerak keluar pada lapisan yang mempunyai suhu yang sesuai. Bakteria mesofil akan menghasilkan spora dan berada dalam keadaan tak aktif.

Bersambung esok…

Selasa, 24 Disember 2013

Kompos Bahagian 38 Daripada 40

Bakteria Suka Panas


Panas! Panas! Panas!
Macam kedai mamaklah pulok. Bawak ais tapi laung “Panas!”. Oklah, kita sambung. Kang ada hok maroh pulok.

Semua tindak balas biologi berlaku pada suhu yang tinggi. Ini adalah suatu kelebihan untuk kita yang tinggal di Malaysia yang sememangnya mempunyai suhu persekitaran yang tinggi.

Kompos itu sendiri pun membebaskan haba. Dalam posting awal-awal dulu (beberapa tahun yang lalu) saya ada bercerita tentang cara burung kuang menngeramkan telurnya. Buatlah carian kat blog ni jika ingin tahu lebih lanjut.

Kompos yang baru dibuat mengandungi makanan yang banyak, air yang banyak, dan udara yang banyak. Semuanya banyak. Dengan sumber sebegini, bakteria akan membiak dengan kadar yang cepat. Ia akan menghasilkan haba yang banyak hingga suhu meningkat. Apabila suhu mencecah suhu 45 darjah Celsius bakteria tersebut akan mati. Haish… panas hingga mati? Ya lah, kan bakteria tak tahan panas.

Mohon ampun, nak guna perkataan besor sekali lagi Bakteria yang mat itu ialah bakteria biasa-biasa yang orang bio sbut “mesofil”. Pada suhu tinggi, bakteria yang cinta haba pulak membiak. Bakteria ni disebut “thermofil”. Ia boleh tahan hingga 70 darjah Celsius. Panas tu!

Yang pelik tu, thermofil tak boleh hidup pada suhu biasa biasa ni. Owoh melalut tang ke bio pulok…. Ni kelas Biologi ker?

Dok eh…. Nok wat guaner, bila biologist bercerita. Bi masuk bab bio memanglah syok sendiri…..

Isnin, 23 Disember 2013

Stok Benih -- Benih Kucai Telah Habis

Untuk makluman rakan-rakan benih kucai telah habis.

Baru-baru ini ada rakan yang mengadu tentang benih garland chrysenthemum tidak tumbuh apabila disemai.  Apabila saya ujicambah, benihtersebut bernas tetapi ambil masa yang terlalu lama untuk bercambah.  Jadi saya telah musnahkan benih tersebut dan gamtikan dengan batch yang baru.  Benih yang baru saya ambil benih tempatan, jadi saya harap ia lebih mudah bercambah.  Bagaimanapun saya sendiri belum ujicambah benih tersebut.

Selain dari itu, benih baru yang saya baru terima termasuk salad kepala singa dan cili kulai.  Dari gambar pembekal, saya berhatikan saiz cili kulai yang saya terima tidak sepanjang cili kulai king.  Tapi buah (dari gambar) cili kulai tersebut lebih gemuk.





Kompos Bahagian 37 Daripada 40

Bahan Yang Mempunyai Nitrogen Secara Sederhana


Bahan yang mempunyai nisbah C:N antara 25 hingga 50.
Sawi yang sengaja ditanam untuk dikompos (guna biji sawi yang dijual dibahagian makanan kering di pasaraya atau pasar), kulit limau, batang kobis, perca kain kapas, kulit telur, habuk kayu dalam kurungan tikus belanda atau arnab, uncang the terpakai, tinja lembu yang dah reput, keratan ranting muda.

Bahan Kenyal Yang Kaya Dengan Karbon


Bahan dengan nisbah C:N 50 hingga 600.
Pulur jagung yang dipecah-pecahkan, jerami, daun kering, kotak yang dipotong kecil, ranting kayu, abu bakar sisa tanaman, temurung kepa yang di pecahkan, habuk kayu.

Oklah dapatlah tu idea secara kasar. Kita sambung esok.

Sabtu, 21 Disember 2013

Gambar Hari Ini -- Pokok Bunga Pink Trumpet Vine


Pokok bunga pink trumpet vine

Selain daripada pokok sayur, saya ada juga tanam beberapa pokok bunga di ruang depan rumah.  Satu daripada pokok yang saya maksudkan ialah pokok bunga pink trumpet vine.  Saya perhatikan bila mendapat air yang banyak (musim tengkujuh), pokok ini begitu galak berbunga.  Memang berbaloi tanam.

Jumaat, 20 Disember 2013

Gambar Hari Ini -- Sawi Kailan Jepun


Sawi Kailan Jepun dalam patch depan rumah.

Ketika pembekal benih tawarkan benih sawi kailan jepun, saya waswas untuk membelinya.  Maklum sajalah ini kali pertama saya mendengar tentang sawi kailan.  Saya hanya beli sedikit dengan niat mahu cuba dulu.  Bila tanam dan tuai sayur ni, rupa-rupanya enak.

Bial saya cuba dapatkan lebih banyak benih, hampa, stok telah habis.  Kadi yang ada dengan saya hanya tinggal sedikit sahaja lagi.  Sawi Kailan Jepun memang berbaloi kalau tanam.  Sayur ini besar dan anda boleh tuai daunnya. Jadi anda boleh tuai sehingga beberapa kali.  Sayur ini enak digoreng, dijadkan rencah mee goreng, nasi goreng dan lain-lain.  Rupanya juga cantik sesuai ditanam di laman depan rumah sebagai hiasan.

Kompos Bahagian 36 Daripada 40

Bahan Lembut Yang Kaya Dengan Nitrogen

Bahan yang mempunyai nisbah C:N antara 5 hingga 25.
Rumpai tahunan, tinja ayam, rumpai laut, pakaian terpakai yang dah digunting jadi perca (sutera, bulu biri-biri), serbuk kopi terpakai, bulu ayam, sisa dapur, rambut, keratan lalang.

Sikit ajer? Tak perlah.... Kita sambung Isnin.

Khamis, 19 Disember 2013

Gambar Hari Ini -- Sawi Jin Siew


Sawi Jin Siew

Sawi Jin Siew adalah antara sawi yang istimewa.  Harga benihnya pun tinggi.  Saya dapati pertumbuhan sawi ini agak cepat iaitu dalam masa 3 hingga 4 minggu sahaja sebelum dituai.  Rakan-rakan pasti tertanya-tanay mengapa diletakkan garfu di raung kosong antara pokok sawi tersebut.  Ia satu daripada kaedah untuk elakkan gangguan kucing.  Bagaimanapun ia kadang-kadang kurang berkesan kerana kucing adalah haiwan yang bijak dan setaip satunya adalah unik.  Untuk mempelajari kaedah yang lebih berkesan, dapatkan buku Kucing Sahabat Taman.  Versi terbaru harganya RM20 setiap salinan.  Ia berbaloi untuk dibaca.

Gambar Oleh Rakan TanamSendiri -- Bendi Kampung

Hari ini saya pamerkan gambar kiriman Sdr Yaziz dari Kedah.  Benih bendi yang disemai adalah daripada baka kampung.  Saya kagum dengan hasil tanaman tersebut kerana dari rekod saya, benih tersebut dikirim pada pertengahan bulan oktober.  Bulan Disember Sdr Yaziz telah dapat menikmati tuaian bendi.  Yang lebih kagum, bendi tersebut adalah daripada baka kampung.  Lihatlah sendiri hasilnya.

Secara peribadi saya lebih gemar tuai buah bendi ketika ia masih kecil kerana buah yang muda rangup dan mempunyai lenggai yang lembut.

Terima kasih Sdr Yaziz kerana sudi berkongsi gambar hasil tanaman.


Buah sulung dari pokok bendi baka kampung (op).  Gambar milik Yaziz Ismail (facebook/zack zack).

Pokok bendi yang ditanam dalam barisan.  Gambar milik Yaziz Ismail (facebook/zack zack).

Kompos Bahagian 35 Daripada 40

Kategorikan!

Untuk memastikan anda dapat kompos yang elok, agih atau susun bahan kompos mengikut kumpulan. Maksud saya, kategorikan!

Macamana tu?

Sendiri tanya sendiri jawab.

Susun bahan kompos kepada:
1) Bahan lembut yang kaya dengan nitrogen
2) Bahan yang mempunyai nitrogen secara sederhana
3) Bahan kenyal yang kaya dengan karbon

Ingat, nilai nisbah C:N yang kita mahu ialah 30. Jadi timbunan kompos yang hanya terdiri daripada bahan lembut terlebih nitrogen dan timbunan kompos yang mempunyai ranting sahaja terlalu banyak karbon. Jadi anda perlu gaul kedua-dua bahan tersebut untuk hasilkan timbunan kompos yang elok.

Bersambung…

Rabu, 18 Disember 2013

Gambar Hari Ini -- Kobis Merah



Kobis merah cantik seperti sekuntum bunga yang besar.
Saya gemar tanam kobis kerana setiap pokok kobis kelihatan seperti bunga rafflesia yang mekar.  Ramai yang menyangka kobis hanya sesuai ditanam di tanah tinggi.  Sebenarnya ada baka kobis yang sesuai ditanam di kawasan tanah rendah yang panas.  Misalnya kobis merah ini mampu membentuk bebola jika diletakkan di tempat tedh.  Walaupun kobis ini tidak membentuk bola, daunnya masih boleh dimakan dan enak rasanya.
Kobis ini berumur 3 minggu selepas dialih, memang lambat sedikit pembentukan bola kobis, tapi saya tetap berpuas hati kerana dengan kehadiran pokok kobis ini, laman belakang rumah kelihatan lebih ceria.

Selasa, 17 Disember 2013

Gambar Hari Ini -- Kobis Merah Dan Kobis Hijau


Pokok kobis merah dan kobis hijau ditanam berdekatan.

Pokok kobis walau apapun warnanya memang cantik dipandang.  Saya tanam pokok kobis merah dan kobis hijau secara bersebelahan.  Kedua-dua pokok ini begitu cantik membuatkan ia terserlah berbanding dengan tanaman yang lain.

Isnin, 16 Disember 2013

Gambar Hari Ini -- Pokok Roselle



Pokok roselle yang ditanam di dalam pasu.

Pokok roselle adalah antara pokok yang senang ditanam.  Benihnya juga mudah bercambah.  Kalik roselle, iaitu tampuk bunga/buah enak jika dibuat jus, jem atau sirap.  Kali ini saya semai banyak pokok roselle.  Pokok ini dijual kepada rakan-rakan yang berkunjung ke rumah.  Anak pokok di dalam pasu ini dijual dengan harga hanya RM5 satu bekas.

Gambar Oleh Rakan Tanamsendiri -- Kobis Hijau Semua Musim

Kobis Hijau Semua Musim, gambar milik Siti Zalikha (ct.zalikha@gmail.com)
Hari ini kita nikmati gambar tanaman kiriman Puan Siti Zalikha Abdullah.  Kobis yang ditanam di dalam pasu menjadi dengan sempurna tanpa cela.  Dari pengalaman saya tanam kobis ini, walaupun di dalam pasu, ia mampu menghasilkan kobis sebesar 1.5 hingga 2.5 kg.  Jika dipetik terus dimakan, isinya manis dan sangat enak.  Saya gemar buat acar.
Kobis ini adalah dari baka Kobis Hijau Semua Musim yang membentuk bebola walaupun tinggal di kawasan panas.

Benih Untuk Dijual -- Kobis Hijau, Baka F1, Semua Musim

Kobis yang tahan panas dan cepat membesar.  Menghasilkan kobis yang separa bulat dengan berat 1.5 kg apabila matang.

Kobis dituai selepas 10 minggu disemai.

Setiap pek mengandungi purata 10 biji benih.  5 pek dijual dengan harga RM10.

Cara Memesan Benih

------------------------
Posting asal 9 Mei 2013
Posting semula 16 Disember 2013

Kompos Bahagian 34 Daripada 40

Lagi Tentang Bahan Kompos

Kebanyakan sisa organik yang mudah diperoleh dari persekitaran atau tempatan sesuai dikompos. Kalau di kampong saya sewaktu kecil dulu, banyak rumpai laut hanyut ke muara sungai. Itu boleh dikompos. Habuk gergaji, pun boleh dikompos. Jerami padi, darah haiwan sembelihan, tulang, kulit lokan, atap nipah yang lama, kulit kayu, daun yang luruh, tinja haiwan ternakan, semuanya mengandungi nutrient yang diperlukan oleh tumbuhan. Semuanya sesuai untuk dikompos.

Cuma ingat beberapa perkara. Sisa ladang mungkin mengandungi kesan racun yang digunakan. Jika ambil rumpai laut, ambil yang hanyut di pantai sahaja. Jangan dikutip rumpai hidup di dalam laut. Jangan kompos tinja kucing atau anjing. Ia mengandungi patogen iaitu kuman yang boleh menyebabkan penyakit.

Bersambung 19 Disember….

Ahad, 15 Disember 2013

Gambar Hari Ini -- Oregano


Oregano herbal perisa yang enak.

Ramai antara rakan-rakan yang keliru antara pokok oregano dan cuban oregano.  Pokok cuban oregano ialah pokok bangun bangun.  Ia tak sama denagn pokok oregano.

Pokok oregano adalah herba yang popular dalam masakan Mediterranean.  Ia enak disapu pada ikan dan ayam.  Rasa oregano segar jauh lebih kuat daripada serbuk oregano yang dijual di pasaraya.

Pokok ini dibiak menggunakan keratan batang.  Pokok ini tidak gemarkan air.  Di musim tengkujuh seperti sekarang esok diletakkan di tempat yang terlindung daripada hujan.

Kompos Bahagian 33 Daripada 40

Apa Lagi Yang Boleh Dikompos?


Kita perlu ingat, tujuan utama kita buat kompos ialah untuk kitar semula bahan organik, tanpa perlu membazir tenaga. Kalau keluar duit beli bahan lain untuk di kompos, adakah tujuan asal kita tercapai? Kalau kita beli gula merah, tepung, adakah kita berjimat. Gula dan tepung dijual untuk dimakan, mengapa pula kita beli untuk buat kompos?

Hok nilah orang tua tua nok beleber ni. Nok baziiiir sokmo.

Rule nombor satu. Jangan beli bahan impot hanya untuk dikompos. Mu nok gi beli air kencing tu haper citer? Haish langsung tak masuk akal. Berbalik semula kepada topic kita.

Jika nak beli juga bahan untuk dicampur ke dalam timbunan kompos, belilah bahantempatan. Sekurang-kurang duit kita tak mengalir keluar. Bahan impot membazir tenaga, sebab banyak bahanapi digunakan untuk hantar bahan tersebut.

Bahan organik sisa laman rumah, atau dari mana-mana sumber tempatan biasanya terurai pada suhu yang tinggi sebab proses penguraian membebaskan haba. Apa lagi di Negara kita yang sememangnya mempunyai suhu yang tinggi. Tak perlu risau tentang benih rumpai yang akan bercambah. Dari pengalaman saya, tiada benih rupai akan bercambah sebab benih dah masak dalam timbunan kompos. Anda boleh terus guna kompos tersebut tanpa waswas.

Orang yang kata benih rumpai akan bercambah, pada pendapat saya tak pernah buat kompos. Dia hanya baca buku tanpa buat sendiri kompos.

Jika anda tinggal dikampung dan ada bela ayam. Letak rumpai kering dalam reban untuk serap bau atau sebagai sarang. Bahan tersebut boleh dicampur terus ke timbunan kompos. Benih rumpai tersebut? Jangan risau, saya yakin semuanya telah dimakan ayam. Lgipun tinja ayam yang fresh boleh bertindak sebagai bahan pengaktif kompos – secara percuma.

Jika tinggal di kawasan pecan, ada banyak burung merpati liar, boleh guna tak?

Hmmmm, boleh tapi saya tak syorkan. Ini kerana ada sejenis kulat yang mungkin akan membiak dalam tinja burung merpati. Debunya amat berbahaya dan boleh membawa maut. Walaupun biasanya OK, janga cari nahas. Kita berkebun di rumah untuk kesihatan, bukan menempah maut.

Bersambung….

Sabtu, 14 Disember 2013

Gambar Hari Ini -- Cili Kerinting



Cili kerinting dengan buah yang belum ranum.

Pokok cili kerinting kurang popular.  Saya buat andaian sedemikian kerana hanya sedikit benih yang saya tawarkan terjual.  Bagaimanapun secara peribadi saya gemar menanam cili ini kerana ia mudah bercambah dan tahan serangan penyakit.  Walaupun rupa cili kerinting kurang menarik kerana kulitnya yang berkedut, cili kerinting mempunya aroma yang menyelerakan.  Ia tidak terlalu pedas dan jika dipetik masih hijau sesuai dijadikan ulam.
Saya genar petik cili ini ketika masih hijau dan dijeruk di dalam cuka asli.  Rasanya memang enak.

Kompos Bahagian 32 Daripada 40

Bahan Aktif

Semua bahan pengaktif yang dijual mengandungi satu baan iaitu nitrogen. Nitrogen? Bukankah bahan tersebut dah banyak dalam bahan kompos? Tu larrr… Kabo doh!

Kalau guna sukatan yang betul, rasanya tak perlu Tambah nitrogen sebab nisbah C:N dah betul. Perlu ingat, kalau terlebih nitrogen dalam kompos, ia akan terurai. Fuh, kalau terurai jadi gas nitrogen taka pa sebab tak ada bau, rasa atau warna.

Biasanya dok gitu. Nitrogen terbebas sebagai gas ammonia! Tahu ked ok gas ammonia ni?

Hancing pekok kata orang Ganu!

Bagaimanapun, kalaulah kita kompos bahan yang kurang nitrogen, misalnya Tambah rantig kayu, daun kering, kertas, nitrogen yang ada dalam kompos akan membantu mencepatkan proses penguraian.

Semua ni akan dibincangkan. Sabor sabor….

Biasanya lah… kompos yang kurang nitrogen juga kurang Kalsium. Sebab itulah kalau diperhatikan, bahan pengaktif yang dijual, selain dari nitrogen, juga mengandungi Kalsium (Kapur).

Kalau guna ranting, daun kering dan lain-lain, tak perlu Tambah kapur. Walaupun Begitu boleh Tambah kapur untuk kurangkan asid. Itu pun kalau guna bahan kompos dengan keasidan yang tinggi. Kapur dapat mengurangkan asid dalam timbunan kompos dan mencepatkan proses penguraian.

Tanya saya, saya masih tetap kata tak perlu.

Bahan pengaktif yang elok mengandungi apa? Nok jugok beli.
Oklah, cari yang mengandungi ammonium sulfat, darah kering, kapur, tinja ayam, tanah kebun, daun, air kencing….. Haish pulok doh, serious lah sikit.
Maksud saya, boleh buat sendiri.

Jumaat, 13 Disember 2013

Kompos Bahagian 31 Daripada 40

Bahan Aktif

Bahan aktif, macam racun lah pulok.  Saya sebut ni sebab ada ruang Gardening kat pasaraya jual pengaktif kompos.

Pengaktif kompos adalah bahan yang bertujuan untuk bekalkan apa-apa yang kurang di dalam kompos, biasanya nitrogen. Ada Pengaktif Kompos yang dijual menyatakan ia mengandungi mikroorganisma. Pada pendapat saya, kat dalam timbunan kompos pun ada banyak mikroorganisma.

Apabila rumpai dan bahan kompos bercampur dengan tanah, bakteria akan mula masuk dari dalam tanah ke dalam timbunan kompos. Hidupan yang lain, misalnya cacing tanah, ulat gonggok dan hidupan lain juga akan mula masuk ke dalam timbunan kompos.

Beli bahan pengaktif kompos? Pada pendapat saya, tak perlu.  Nak letak jugok?  Kencing aja kat timbunan kompos tu....  Macam-macam mu mek (awang pong sama jer...)

Bersambung esok....

Gambar Hari Ini -- Sweet Basil


Sweet basil atau selasih manis sedang berbunga.

Sweet Basil atau Selasih Wangi enak dijadikan ramuan masakan itali.  Ia juga enak dibuat sambah kerana sweet basil amat serasi dengan tomato dan cili.  Lazimnya daun sweet basil besar.  Bagaimanapun jika pokok mula berbunga, daun yang dihasilkan adalah kecil.  Ini menyebabkan sukar untuk membezakan antara sweet basil dengan selasih tempatan.

Khamis, 12 Disember 2013

Kompos Bahagian 30 Daripada 40

Ranting Kayu

Jika ruang kawasan rumah luas dan ada tanam tanaman rimbun, biasanya terdapat banyak ranting kayu. Bahan begini mempunyai nisbah C:N yang tinggi, iaitu banyak karbon dan sedikit nitrogen. Ini melambatkan proses penguraian. Lazimnya bahan sebegini kaya dengan lignin. Ha? Apa? Tak pernah dengoar bahan ni? Tak pernah dengar taka pa lah, hari ni dapat satu lagi perkataan baru.
Lignin dalam kayu tak mudah diuraikan oleh bakteria. Sebab itu kahan berkayu lambat hancur kalau dikopos.
Keduanya, lazimnya keratan kayu lebih besar berbanding dengan keratin rumpai. Oleh kerana nisbah luas permukaan berbanding isipadunya lebih kecil, dengan lain perkataan luas permukaan yang terdedah lebih sedikit, ruang untk bakteria bertindak adalah lebih sedikit.
Oleh kerana ranting kayu tidak menjadi terhimpun sebab bentuknya tetap, ia mudah kering. Bila kering bakteria tak dapat uraikan. Jadi ini juga melambabtkan proses penguraian.

Tapi janganlah risau sebab ketulan ranting kayu dalam kompos bukannya suatu yang tak elok. Ia elok.

Bersambung esok....

Jumaat, 6 Disember 2013

Hujan Berterusan Tapi Pokok Layu Kehausan

Kadang-kadang pelik juga.  Bila hujan tak berenti, turun hingga 3 hari, pokok tomato layu kehausan.  Awal minggu ini saya dapati pokok tomato mula layu.  Bila diperhati dah ada tanda pokok stress.  Bila pokok stress, perosak mula menyerang.  Dah lama tak lihat mealy bug (Gambar 1).

Mealy bug menyerang pokok tomato yang stress kerana gagal menyerap air.


Bila tanah lembap berpanjangan, ruang udara dalam tanah diisi air dan akar mula lemas dan mula rosak.  Bila akar rosak, keupayaan untuk menyerap air berkurang sedangkan pokok yang berbunga perlukan air. Akibatnya pokok kehasusan dan mula layu (Gambar 2).

Tunas dan pucuk layu. Putik buah luruh.


Untuk selamatkan pokok tersebut saya potong bahagian pucuk dan cubit buang semua bunga.  Alhamdulillah, sehari kemudian pokok segar semula (Gambar 3).  Nampaknya perlu tunggu lebih lama lagi untuk nikmati buah tomato dari pokok ini.

Pokok subur kembali kerana keperluan air mencukupi.

Inilah yang saya selalu katakan, home gardening mengajar kita bersabar.

------------------------------------------------
Gambar terkini pada 29 Januari, pokok tomato tersebut telah menghasilkan  buah yang segar.

Pokok tomato yang dulunya layu kerana reput akar, kini menghasilkan buah.




Rabu, 4 Disember 2013

TERLEBIH SIRAM

Jika anda terlebih siram, ini akan menyebabkan akar tanaman tidak pergi jauh membuatkan pokok lebih sensitif terhadap perubahan kandungan air. Jika air kurang pokok akan cepat stree kerana tidak dapat menyerap air secukupnya. Ia juga menyebabkan pokok kekurangan nutrient kerana akar tidak merayap jauh, jadi keupayaan untuk mencari dan menyerap nutrien juga kurang.

Lagi pun terlebih siram adalah amalan yang membazir. Jika gunakan air paip, harga air amat tinggi dan ini akan meningkat bil air setiap bulan.

-------------------------------------
Dipetik dari Ebook berjudul "Menyiram" oleh Iskandar Ab Rashid

Selasa, 3 Disember 2013

Perlu Bersabar Ketika Menyemai

Masalah saya bila menyemai ialah perasaan tidak sabar.  Benih yang ada pada saya kebanyakannya adalah benih impot, jadi ia bukannya benih fresh.  Sebelum sampai ke tangan saya benih tersebut telah melalui pelbagai proses dan ini pasti mengambil masa yang lama.  Jadi benih tersebut perlukan masa yang lama untuk bercambah.
Bila benih tidak bercambah selepas seminggu saya akan merasa kecewa dan tuangkan saja tanah semaian dan semai semula.  Kebiasaannya benih tersebut memerlukan masa sehingga 5 atau 6 minggu untuk bercambah.
Walaupun telah dituang ke tanah, apabila tiba waktunya benih tersebut akan bercambah jua.  Akibatnya saya tidak dapat pastikan baka cambahan tersebut dengan tepat kerana ia tidak lagi dilabelkan atau telah bercampur dengan benih yang lain.
Cili ini adalah contoh akibat dari sikap saya yang tidak sabar.  Selepas satu minggu menyemai dan benih tidak bercambah, saya telah menuang tanah semaian tersebut ke atas tanah untuk guna semula bekas semaian.  Apabila tiba waktunya, benih yang saya sangka tidak bernas mula bercambah.  Oleh kerana tiada lagi rekod tentang cambahan tersebut, saya tidak dapat kenalpasti baka cili ini. :(

Cili yang tumbuh setelah semaian dituang ke tanah kerana disangka benih tidak bernas.

WAKTU MENYIRAM -- Dipetik dari Ebook "Menyiram"

Ada banyak pendapat tentang waktu yag sesuai untuk menyiram. Ramai antara pekebun yang berpendapat bahawa waktu pagi adalah waktu terbaik untuk menyiram. Ini kerana tanah menjadi lembap di waktu pagi sebelum matahari naik dan memanaskan tanah tersebut. Jadi, apabila tanaman memerlukan air, air telah tersedia untuk diserap oleh tanaman. Ini mungkin sesuai jika laman kebun di rumah anda berpasir. Ada juga pekebun yang syorkan menyiram di waktu pagi dan melarang menyiram di waktu malam kerana katanya jika menyiram di waktu malam akan menyebabkan kehadiran makhluk perosak dan penyakit kerana tanah lembap sepanjang malam. Jadi, jika kebun di laman rumah anda menghadapi masalah penyakit, elok menyiram di waktu pagi.

Menyiram di waktu pagi juga sesuai jika anda tinggal di kawasan yang sejuk. Sebab itulah jika buka buku berkebun kebiasaannya disyorkan menyiram sebelah pagi kerana penulis buku berkenaan merujuk kepada kawasan iklim yang sejuk, terutamanya buku impot. Siram di waktu pagi elok di kawasan sejuk kerana cahaya pagi akan memanaskan tanah dengan cepat.

Ada pekebun pula gemar menyiram di sebelah petang, iaitu selepas tanah berada pada suhu yang paling tinggi, tetapi tidak terlewat untuk tanah menjadi tidak terlalu lembap di waktu malam. Oleh kerana ketika ini tanah masih panas (suam), suhu air juga akan meningkat dengan lebih cepat. Lagipun air akan mempunyai masa yang cuku untuk meresap masuk ke tanah di waktu malam, jadi kurang air akan hilang melalui sejatan berbanding jika disiram di waktu pagi. Oleh sebab itu, siram di sebelah petang lebih sesuai dilakukan ketika musim kemarau.

Ia juga bermanfaat kerana walaupun di waktu malam, tumbuhan masih perlukan air. Air diperlukan oleh tumbuhan bukan hanya untuk proses fotosintesis.

Kebanyakan pekebun tidak menyiram di waktu tengahari kerana air yang disiram akan sejat sebelum dapat diserap oleh tanaman. Ini mungkin benar jika anda menyiram dengan menyembur air di permukaan tanah. Lagipun ramai yang percaya titisan air yang terkena daun akan menyebabkan daun melecur. Bagaimanapun jika anda sira secara titis atau air yang hilang melalui sejatan dapat dikurangkan.

Kebiasaannya elakkan menyiram di waktu tengahari. Jika siram waktu tengahari pastikan siram dengan jumlah air yang banyak sehingga tanah benar-benar basah iaitu sehingga lejuh.

Isnin, 2 Disember 2013

Tuaian Hari Ini -- Sawi Kailan Jepun

Sawi Kailan Jepun, subur di musim tengkujuh.

Sawi kailan jepun, bila dah serasi tumbuh besar.  Jika tuai daun sahaja, hasilnya tak putus.  Selepas dikerat daun, pucuk yang baru begitu cepat membesar.

Manfaat Bendi

Makan bendi banyak manfaatnya.


Bendi atau kacang lendir memang popular di negara kita. Apa lagi ia sesuai ditanam di Malaysia. Bertambah rahmatlah kita. Seperti biasa ada yang bertanya, apa khasiat bendi ni? Alamak, saya selama ni tau makaaaaan aja, tak pernah belek belek buku cari maklumat tentang khasiatnya. Lepas buka kitab-kitab lama yang dah berabuk masa belajar dulu, inilah antara khasiat bend yang dapat saya kongsi.
Biar saya cerita tentang manfaat dulu, kandungannya boleh dapat dalam posting terdahulu.
Lenggai kacang bendi (pod) mengandungi serat yang tinggi. Ia membantu system penghadaman sebagai pelawas. Yang ini semua orang dah tahu kan, apa lagi kacang bendi berlendir. Lendir tersebut dikenali sebagai serat cecair yang juga bertindak sebagai pelawas. Rakan-rakan yang ada kencing manis, bendi dikatakan mampu membantu regulate kandungan gula dalam darah. InsyaAllah ada masa saya cerita lebih detail di masa akan datang. Folates dalam sayur ini mampu membantu ibu yang hamil menghalang anak daripada terkena kecacatan tiub saraf tunjang. Jadi masa trimester pertama, makanlah bendi.
Vitamin K diperlukan dalam keupayaan darah untuk menggumpal jika berlaku kecederaan. Ia juga mengukuhkan tulang. Ada juga kajian yang menyatakan bendi mampu mengurangkan serangan asma. Rakan-rakan yang ada peyakit asma, makanlah bendi. Bendi juga mempunya bahan yang membantu badan menyerap air dengan lebih efisien. Ia membantu badan melindungi daripada sembelit dan strok panas, sesuai untuk kita yang suka berjemur bekebun di rumah.
Akhir-akhir ini ramai yang kena barah usus. Khabarnya bendi mampu membantu menghindari penyakit ini. Kegendutan adalah antara masalah oang Malaysia masakini. Makanlah bendi sebab kekurangan nutrient juga menyebabkan kegendutan. Bendi bernutrisi, ada yang kata, ia mampu menghalang kegendutan.
Serat cecair dalam bendi mampu menghalang badan menyerap kolesterol dengan lebih banyak. Makan bendi, insyaAllah selamat jantung. Ada kajian menyatakan orang yang makan bendi mempunyai kulit yang lebih sihat. Awet muda katanya.
Ada pula jurnal yang kaitkan pemakanan bendi dengan rambut yang sihat serta pertumbuhan semula rambut. Geng botak mesti gembira ni. Bendi juga mampu membaiki sistem pertahanan badang, pengelihatan lebih jelas, menambah darah, nak saya nytakan lagi…
Macamana nak buat ni…. Pesan benih bendi dari kami, lagi sebulan setengah nikmati bendi segar.
Set bendi hanya RM30 satu set. SMS atau Whatsapp 0175009364 untuk buat pesanan.

Soalan Pengunjung -- Semut Gatal Menggigit bila Berkebun

Salam En. Iskandar,
Saya ada masalah sikit.  Sejak musim hujan, semut gatal terlalu banyak hingga tak seronok lagi berkebun di rumah kerana ia menggigit tanpa sebab.  Saya ingin bunuh semut tersebut tanpa guna racun.  Ada cadangan tak?

----------------------------------------------
Waalaikum salam,
Guna cara orang dulu-dulu.  Siram dengan air panas.  Pastikan tak terkena kawasan tanaman.