Jumaat, 31 Mei 2013

SEMAI APA HARI NI?

Hari ni uji cambah beberapa benih yang baru diterima. Antara benih yang diuji cambah, kiwi, strawberry, kucai, kailan tokyo, garland chrysenthemum, bendi hijau berbuah lebat, dan beberapa jenis salad. Pokok kiwi dikatakan ada dua jenis iaitu pokok jantan dan pokok betina. Jadi, untuk menghasilkan buah, mesti ada kedua-dua jenis pokok. Oleh sebab itu saya perlu semai lebih sedikit supaya mendapat kedua-dua jenis pokok. Pokok ini memanjat dan perlu para. Pokok strawberry pula, lazimnya ditanam menggunakan sulur. Jika tanam dari benih ambil masa yang lebih lama untuk menghasilkan buah. Apa-apa pun cuba dulu.

Benih Untuk Dijual -- Labu Kundur Blue Hill



Labu Kundur Blue Hill.  Buah yang dihasilkan seberat 3 hingga 5 kg dengan ukuran buah 19 x 18 cm.  Kulit berwarna hijau dengan lapisan berlilin.  Pokok menghasilkan buah dalam masa 70 hari.

1 pek mengandungi 5 benih. Harga 1 pek, RM5.

Cara Memesan Benih

Rabu, 29 Mei 2013

Gambar Hari lni -- Terung Panjang Hijau

Buah solo aja kali ni, terung panjang hijau.

Kobis Cina Perlu Dialih

Nah lihat sendiri. Kobis cina Ong King di sebelah kiri dan kanan disemai pada waktu yang sama. Yang di sebelah kiri tidak dialih. Yang di sebelah kanan dialih.
Perbezaan amat ketara.


Pokok kobis cina di sebelah kiri disemai terus dan tidak dialih.  Pokok yang di sebelah kanan dialih.  Perbezaan yang amat ketara.

Kobis Cina Ong King Sedia Untuk Dinikmati

Kobis Cina Ong King, atau sayur putih tahan panas. Sayur ini dialih ke dalam pasu berisi pokok terung. Lihatlah sendiri. 
Sayur ini mesti dialih. Cambahan dari batch yang sama yang tidak dialih masih tidak membesar. Saiznya baru dalam 2 inci.

Kobis Depan Rumah

Cuaca sekarang terlalu panas. Saya perhatikan, kobis yang saya tanam sukar membentuk bebola. Kobis dari batch semaian yang sama yang diberikan kepada anak dan diletakkan di laman rumahnya telah membentuk bebola.
Untuk semaian berikutnya saya akan semai baka semua musim dan baka summer autumn.
Kobis ini akan dialih ke belakang rumah. Mungkin kalau tak terlalu panas, bebola kobis akan menjadi.

Isnin, 27 Mei 2013

Cecair Semaian, Bahagian 3 Daripada 3



Menanam

  1. Apabila benih mula bercambah, tuangkan ke dalam plastik sanwic.
  2. Tebuk bahagian pangkal plastik menggunakan pencungkil gigi atau lidi pencucuk satay.
  3. Tutup plastik dan picit untuk keluarkan cecair semaian daripada plastik.
  4. Keluarkan benih semaian daripada plastik dan semai seperti biasa.  Berhati-hati mengendali benih pracambah agar ia tidak rosak.
  5. Siram dengan semburan halus menggunakan botol penyembur untuk pastikan tanah kekal lembap.

Ahad, 26 Mei 2013

Benih Untuk Dijual -- Kobis Bunga Brokoli Baka F1, Green Dome

Kobis bunga brokoli dari baka F1 yang tahan penyakit.  Benih menghasilkan kobis bunga yang dapat dituai selepas 8 minggu.

Setiap pek mengandungi 30 benih secara purata.  1 pek harga RM5.

Cara Memesan Benih

Kobis Bunga, Brokoli Green Dome

Cecair Semaian -- Bahagian 2 Daripada 3



Menyediakan Cecair Semaian

  1. Campurkan 1 sudu besar tepung jagung (corn starch) dengan satu cawan air di dalam periuk kecil. 
  2. Panaskan campuran sehingga mendidih. 
  3. Kacau campuran untuk larutkan tepung jagung. 
  4. Apabila larut, padamkan api dan biarkan larutan sejuk.


Memasukkan Benih Untuk Pracambah

  1. Tuang larutan ke dalam mangkuk.
  2. Ketika campuran masih suam,  campurkan benih yang ingin dicambahkan.
  3. Kacau campuran supaya benih tidak terlalu rapat.
  4. Tutup mangkuk dan simpan.  Benih akan mula keluarkan akar utama.

Sabtu, 25 Mei 2013

Gambar Hari Ini -- Sarang Burung Merbah Putih

Pokok kosmos kuning tidak juga berbunga walaupun dah separas dada.  Mungkin kerana saya semai pokok bersama pokok bunga telang.  Bunga telang pengikat nitrogen, jadi tanah tempat pokok kosmos kaya dengan sebatian nitrogen.
Pokok dah seperti semak, elok juga kalau dipangkas.  Mungkin lepas pangkas pokok akan berbunga.  Dah pangkas separuh dari pokok baru perasan, rupa-rupa rumpun kosmos dah berpenghuni.  Kata orang kalau burung singgah buat sarang dalam laman, tanda keluarga tersebut dilimpahi rahmat, hidup sejahtera.
Tak jadi pangkas pokok tersebut... Diharapkan burung merbah putih tak tergugat, pokok yang menjadi pilihan sarang dah terpangkas sebahagiannya.
Petang ni terpaksalah ikat semula pokok supaya sarang tak terdedah dan tak basah jika hujan.

Sarang merbah putih di halaman rumah, dengan 2 biji telur.

Soalan -- Kompos

En. Is,
Bagaimana rupa kompos yang telah masak?  Adakah ia busuk kerana ia adalah sisa dapur yang telah reput!

---------------
Kompos yang telah masak setelah diperam lama dengan kehadiran udara berdebu dengan warna gelap. Ia kelihatan seperti serbuk kopi.  Tak, ia tidak busuk kerana penguraian adalah secara aerobik.  Bau memang ada, iaitu bau seperti tanah, kata orang Ganu, bau "air cor".


Kompos masak ini telah dijemur supaya lebih ringan. Ia digunakan sebagai  tanah semaian.


  

Cecair Semaian -- Bahagian 1 daripada 3

Saya perhatikan benih basil (kemangi/selasih/tulasi) lebih tahan berbanding benih lain ketika menyemai.  Ini kerana, apabila direndam atau disiram, benih beasil menghasilkan jeli yang melindungi benih tersebut.  Jeli tersebut juga membekalkan air kepada embrio dalam benih secara berterusan.  Ini memastikan benih tidak kekeringan ketika dalam proses percambahan.

Ada yang syorkan saya guna agar-agar untuk menyemai benih yang sukar bercambah.  Ini satu cadangan yang baik.  Bila ada masa free saya cuba fikirkan untuk buat “Cecair Semaian.”  Ini dapatan saya, mungkin masih boleh diperbaiki.

Cecair semaian adalah kaedah menyemai benih di dalam cecair pekat (atau jeli).  Ia sesuai digunakan untuk  menyemai benih yang sukar bercambah atau cambahan yang mudah rosak.  Saya akan gunakan kaedah ini untuk jual benih pracambah, untuk rakan-rakan yang menghadapi masalah mencambah benih.

Benih lobak merah, parsley, kucai, bayam spinach, salad dan sawi sesuai dicambahkan menggunakan kaedah ini.

Bersambung ....

Jumaat, 24 Mei 2013

Benih Untuk Dijual -- Salad Celtuce

Salad dari jenis daun terbuka.  Salad ini menghasilkan daun yang manis berserat. Enak dibuat ulam atau sup. Pokok tahan panas.

1 pek mengandungi 50 benih.  5 pek RM10.  Benih terhad, dapatkan segera.

Cara Memesan Benih


Daun Luruh Sebagai Kompos

Jika dekat rumah ada pokok besar, elok juga kumpulkan daun luruh untuk dibuat baja kompos.  Kumpulkan sebanyak mungkin, kemudian kalau ada mesin rumput, lalukan mesin rumput untuk pecahkan daun.  Daun yang dipecahkan atau dihancurkan lebih cepat terurai dan tidak mudah mampat.

Kompos daun sangat elok kerana ia menambah baik struktur tanah, memperkaya dengan nutrien dan mampu menyimpan air dan udara.  Ia juga menambah jumlah cacing tanah.

Khamis, 23 Mei 2013

Gambar Hari Ini -- Cambahan Tomato Ceri Tropical Ruby

Cambahan tomato ceri ini disemai 4 hari sebelumnya. Niat saya nak penuhkan ruang depan rumah dengan tomato ceri. Bayangkan depan rumah penuhkan dengan beri tomato ceri. Dapat ulam tomato ceri segar lagi. 
Amboi amboi amboi.... Cepatnya berangan. Benih baru bercambah.

Rabu, 22 Mei 2013

Stok Benih -- Bebwang Harum Sundal Malam Habis Stok

Buat masa ini bebawang harum sundal malam dah habis stok.  Keratan mulberi masih ada.
Tomato ceri ada 4 jenis.  Semuanya baka F1.

1. Baka 318, 1 pek RM2.
2. Baka 382, Full House, 1 pek RM2
3. Baka Ruby, 1 pek RM5.
4. Baka Season Red, 1 pek RM5.

Gambar Hari Ini -- Cambahan Labu Manis Venus

Cambahan labu manis Venus
Labu manis Venus adalah labu yang cepat berbunga dan berbuah. Buahnya pun mempunyai rupa yang cantik. Cambahan ini telah disemai pada 16 Mei, dan gambar ini telah diambil pada pagi 20 Mei. Jadi cambahan ini berumur 4 hari. Ia akan mula keluarkan putik bunga 2 minggu dari sekarang. Saya belum pernah jumla labu manis yang berbunga secepat ini.

Sebelum ini labu manis dijual bersama pek eksotik labu.  Kini ia boleh dibeli secara berasingan.  1 pek yang mengandungi 5 benih dijual dengan harga RM5.  Memang berbaloi tanam labu ini.

Selasa, 21 Mei 2013

Soalan -- Benih Roselle Tidak Bercambah

Salam En Is,
Saya ada beli benih roselle dari tanamsendiri.com.  Apa bila disemai, satu pun tidak bercambah.

---------------
Walaikum salam,
Saya telah ujicambah benih yang ada.  Benih yang diuji diambil dari beberapa pek secara rawak.  Dari 10 benih yang diuji cambah, 8 telah mengeluarkan akar selepas 12 jam disemai.  Gambar menunjukkan dulang semaian selepas 2 hari disemai.  Sebagaian daripada sel semaian rosak kerana dulang terdedah kepada hujan.  Beberapa cambahan dilarikan air.  Bagaimanapun benih bercambah.

Mungkin kaedah atau medium (tanah) yang digunakan tidak serasi.  Saya akan ganti benih untuk saudara cuba lagi.

Ujicambah benh roselle.

Gambar Hari Ini -- Pokok Cili Pelangi

Pokok Cili Pelangi masih subur mengurniakan buah pelbagai warna.  Pokok ini tahan panas.

Pokok cili pelangi.

Pokok Mati Dikerjakan Kucing

Pasu dibiarkan tanpa diletakkan bahan pelindung daripada kucing.  Pokok lobak mati dikerjakan kucing.  Satu ilustrasi dari buku ebook "Kucing Sahabat Taman".

Lobak rosy mati kerana pasu dikacau kucing.

Cambahan Bayam Pada Hari Ke 3


Cambahan bayam, 3 hari selepas disemai.  Pokok dah mulai kukuh.  Tidak lama lagi saya akan gunting sebahagian daripada cambahan supaya kurang padat.  Proses ini dinamakan menjarang.

Dalam gambar ini saya semai secubit benih bayam dalam kotak gabus.  3/4 daripada gabus yang ditebuk sisinya diisi dengan tanah campur yang dibeli di nurseri.  Saya gaulkan tanah dengan baja organik dan siram dengan air untuk basahkan tanah. Kemudian saya tabur tanah semaian kira-kira 1 inci dalamnya dan saya spray dengan air menggunakan botol spray.  Kemudian saya tabur secubit benih bayam.  Saya tanur benih pagi, petang akar dah keluar.
Lagi sebulan saya akan dapat nikmati bayam tanamsendiri.  Oh ya, Bulan Ramadhan dah dekat. Jika inginkan hidangan yang enak-enak, dah boleh mula menyemai sayur sekarang.  Semai kat rumah tak perlu kawasan bertanah.  Boleh tanam dalam bekas dan gantung di tingkap atau tiang.


Cambahan bayam pada pagi hari ke 4 selepas disemai.

Tanam Sendiri - Tembikai Susu/Tembikai Wangi



Tanam Sendiri – Tembikai Susu
Tembikai susu (Cucurbita melo) sesuai ditanam di taman rumah jika mempunyai ruang yang lebih.  Ia juga sesuai ditanam di beranda kerana pokok ini memanjat.  Ia boleh dilatih untuk memanjat pancang yang dibuat khas menjadikan ia cantik sebagai hiasan.
Tembikai susu ditanam menggunakan benih.

Tanah/lokasi
Pilih kawasan yang terima cahaya pagi tapi di tengahari berada di tempat teduh.  Tembika susu tidak tahan tanah terlalu berasid atau beralkali.  pH yang sesuai iaialh antara 6.5 hingga 7. Jika tanam dalam bekas, gunakan bekas 12 in x 12 in x 12 in (30 cm x 30 cm x 30 cm).  Kotak gabus sesuai digunakan.  Jika tanam di tanah, gali lubang 12 in x 12 in x 12 in (30 cm x 30 cm x 30 cm) dan isikan dengan baja tinja ayam atau baja organik.  Tutuk dengan plastik hitam selama 3 minggu supaya baja mereput.  Sementara ini semai benih.

Menyemai
Semai 1 atau 2 benih dalam sel dulang semaian dengan saiz diameter 2.5 inci (7 cm).  Jika gunakan pasu semaian, gunakan yang saiz 7 cm.  Isikan dengan tanah semaian (growmix) dan semai sedalam 1 cm.  Benih akan bercambah dalam masa 4 hingga 14 hari.  Gunting pokok yang lebih lemah dan biarkan satu cambahan sahaja dalam satu lubang.

Mengukuh
Apabila pokok telah mempunyai 4 helai daun, alih bekas semaian ke tempat cahaya terik selama 2 jam sehari untuk kukuhkan cambahan.  Lakukan ini selama 3 hingga 4 hari.

Mengalih
Alih pokok ke dalam bekas atau ke tanah selepas pokok dikukuhkan. Jika tanam beberapapokok, jarakkan kira-kira 3 hingga 4 kaki (1-1.5 meter). Ti peringkat awal tutup pokok dengan botol plastik air mineral 4.5 liter yang yang dibuang pangkalnya untuk melindungi cambahan daripada serangan siput dan makhluk perosak yang lain.

Merimbun
Apabila pokok mempunyai 4 set daun,  guntung tunas utama supaya tumbuh tunas sis.  2 minggu kemudian buang tunas yang lemah.  Biarkan 4 tunas yang kukuh sahaja.

Mendebunga
Pokok perlukan bantuan untuk mendebunga.  lakukan pendebungaan secara manual.  Satu kuntum bunga jantan cukup untuk mendebunga 4 bunga betina.  Apabila putik bunga betina lekat (menjadi),
balut dengan kertas atau plastik untuk melindunginya daripada serangan lalat buah.

Penjagaan
Pokok perlukan air yang cukup, siram setiap harinterutamanya apabila pokok mula berbuah.  Ikat buah mnggunakan jaring atau plastik untuk mengurangkan beban berat buah pada batang pokok.

Menuai
Petik buah apabila aroma masak dihasilkan.  Perhatikan tangkai.  Buah yang sedia untuk dipetik, tangkainya mula pecah.

Hidangkan
Tembikai susu paling enak dihidangkan pada hari yang sama selepas dipetik.

Isnin, 20 Mei 2013

Blog Walking -- Blog Anis

Blog yang saya kunjungi hari ini merupakan blog baru, milik Anis, seorang ibu muda yang baru saja menjadi surirumah sepenuh masa. Dengan masa di rumah yang lebih panjang, saya nampak potensi kebun di rumah milik Anis akan berkembang dengan pesat. 

Tidak lama lagi, keluarga Anis akan nikmati sayur bebas racun 100%. Di peringkat awal, pemilik blog tersebut telah berjaya menikmati timun jepun segar yang ditanam sendiri. Makanan hasil tanamsendiri memang best dan berkhasiat.

Blog hijaudirumahbahagia boleh dicapai melalui URL http://www.hijaudirumahbahagia.blogspot.com

Blog hijaudirumahbahagia milik Anis.
 

Gambar Hari Ini -- Timun Jepun



Dua minggu lepas saya ada tunjukkan gambar pokok timun ini ketika ia masih kecil.  Saya tidak alih pokok tersebut.  Ia dibiarkan terus membesar dalam pasu semaiannya.  Mungkin jika dialih pertumbuhan akan lebih galak.  Bagaimanapun saya berpuas hati dengan kadar pertumbuhannya walaupun jika dibandingkan denga pokok timun jepun yang ditanam sebelum ini, pertumbuhan pokok timun jepun tersebut agak perlahan.  Walau apapun,pokok ini baru berumur 5 minngu.  Jika tiada masalah, 3 minggu lagi saya akan dapat tuai buah sulungnya.

Benih Untuk Dijual -- Labu Squash, baka F1

Labu Squash baka F1 ini adalah dari jenis buah yang boleh disimpan lama.  Pokok tahan penyakit dan tahan panas.  Benih bercambah antara 4 hari hingga 14 hari.  Buah boleh dituai selepas 40 hari hingga 50 hari selepas berbunga.

Buah bujur dengan berat 2.5 kg dengan isi putih berkrim.  Isinya seperti mee spaghetti yang apabila distim menjadi cerah seperti jeli sup sirip ikan yu.  Isinya lembut dan rangup.  Ia sangat popular dalam masakan cina.

Labu Squash
Satu pek mengandungi 5 benih dijual dengan harga RM5.

Cara Memesan Benih

Tanam Sendiri -- Labu Squash



Labu Squash adalah labu yang seakan-akan labu manis (pumpkin). Ia berkait dengan labu marrow (zucchini) dan labu manis.  Walaupun kelihatan hampir sama, secara tradisi cara ia dimasak berbeza sedikit.
Mungkin rakan-rakan belum pernah melihat labu squash.  Inilah masanya untuk cuba menanamnya kerana benih labu ini tidak dijual di mana-mana di negara kita, apa lagi kepada yang bertanam di rumah secara hobi. 
Labu squash ada berbagai bentuk.  Benih yang dijual melalui blog tanam sendiri berbentuk bujur dengan kulit berwarna kuning susu.  Rupa pokok labu squash memang cantik.  Ia sesuai dijadikan hiasan pada gerbang kerana ia memanjat dan mengkasilkan bunga bersaiz besar.
Secara asa, labu squash dibahagikan kepada 2 jenis iaitu labu squash musim panas dan labu squash musim dingin.  Jangan terkilan pula bila baca tentang musim kerana kedua-dua jenis labu squash ini tahan panas.  Nama tersebut sebenarnya tiada kaitan dengan musim.  Ia berkait dengan cara buah disimpan.  Labu squash musim panas tidak tahan lama.  Ia perlu dimasak dengan segera selepas dituai.  Jika disimpan, ia hanya tahan selama 2 minggu.  Labu squash musim dingin boleh disimpan lama, sama seperti labu manis.

Tanah
 Labu squash tumbuh elok dan subur dalam tanah yang kaya dengan bahan organik.

Lokasi
Labu squash perlukan cahaya yang cerah dan tahan panas.  Pilih kawasan yang tidak terlindung daripada cahaya matahari.

Menyemai
Semai dalam bekas semaian atau sel semaian dalam dulang semaian menggunakan tanah semaian (growmix).  Jangan gunakan tanah bakar.  Jika semai terus ke tanah, jarakkan  6 kaki (1.8 m) antara semaian.  Kekalkan tanah lembap sehingga benih bercambah.  Masukkan 2 benih dalam satu lubang.  Selepas bercambah, kerat buang cambahan yang kurang elok.  Biarkan satu cambahan sahaja dalam satu lubang.

Mengalih
Sebelum alih kukuhkan cambahan dengan meletakkan cambahan di tempat panas sekurang-kurangnya 2 jam sehari selama 4 hari.Alih cambahan selepas tumbuh 2 set daun.  Jarakkan cambahan kira-kira 6 kaki (1.8 m). 

Penjagaan
Pokok labu squash memanjat dengan menggunakan sulur paut.  Latih pokok memanjat dengan melilit batang ke pancang dengan melilit batang tersebut ke pancang.  Ikat dengan longgar menggunakan tali rafia.  Pastikan pokok disiram setiap hari.

Pendebungaan
Pokok labu squash adalah pokok luar, ia tiada pendebunga semulajadi di negara kita.  Lakukan pendebungaan secara manual.

Buah
Balut buah dan ikat kepancang supaya berat buah disokong oleh pancang.  Ini untuk mengelakkan batang daripada patah.

Menuai
Tuai buah labu squash ketika kulit masih lembut tetapi saiz sudah cukup besar untuk dimakan.  Biarkan tangkai pada buah sepanjang 2 inci (5 cm).