Sabtu, 30 Mac 2013

Soalan Pengunjung -- Berapa Pokok Ulam Raja Dalam Satu Pasu?

Padat sangat ke ulam raja saya ni tuan ? Malas nak alih kalau boleh hidup macam ni.

Semaian Ulam Raja.  Gambar milik [email protected]
 ---------------------------------
Pokok ulam raja akan tumbuh rimbun.  Satu pasu memadai jika diletak satu pokok sahaja.  Apa pendapat rakan-rakan?

 

Kiriman Benih Lambat Tiba

Saya menggunakan perkhidmatan pos malaysia untuk mengirim benih kerana ia mudah.  Saya boleh drop ke dalam peti pos bila-bila masa sahaja apabila saya siap mengisi pesanan.  Malangnya ada waktu-waktunya saya dapati jumlah kiriman yang tidak sampai dalam masa 2 minggu agak tinggi.  Ini agak mengecewakan kerana apabila kiriman lambat diterima rakan-rakan menjadi hilang sabar.  Kepercayaan mereka kepada saya juga hilang.  Tak seronoklah kalau begitu. 

Saya akui ada pesanan yang tercicir.  Biasanya apabila menyedari kiriman tercicir, saya akan kirim melalui poslaju dengan kadar yang segera.  Lazimnya kiriman tercicir akibat sampul tercicir, maklumat pesanan hilang ketika mengalih data menggunakan mobile, atau pesanan masuk spambox. Kebiasaannya, apabila pesanan diterima saya akan respond dengan ucapan "terima kasih".  Jika pesanan melalui poslaju, saya akan beri no trekking jika borang poslaju ada di tangan.  Jika tiada respond, elok hubungi semula melalui sms.

Ada juga beberapa kes kiriman tidak diterima kerana alamat penerima yang diberi salah.  Biasanya saya akan terima semula kiriman tersebut (dikembalikan oleh pihak pos malaysia).  Ada juga kes benih yang dikembalikan tinggal sampul sahaja angkara orang sekeliling.  Ada juga penerima menerima kiriman tanpa benih.  Selepas diperhati, benih hilang angkara tikus atau jiran.  Benih hilang biasanya berlaku bila kiriman dikirim ke sekolah, universiti, kawasan flat atau kampung yang surat ditinggal pada satu tempat, misalnya di kedai runcit di kampung penerima.


Walau apapun, kiriman yang tidak diterima akan dikirim semua tanpa sangsi.  Saya percaya orang yang minat menanam adalah orang yang jujur.  Ini janji saya dan saya akan tepatinya selagi mampu.  Rakan-rakan dari tempat yang peluang kiriman untuk hilang tinggi, saya syorkan kiriman melalui poslaju.  Walaupun kiriman mengikut queue dan kadangkala masa yang diambil untuk kirim lama, kiriman yang dikirim ada rekod.  Biasanya rakan yang pesan melalui posbiasa hilang beberapa kali, apabila dikirim melalui poslaju, kiriman tiba dengan selamat.

Biasanya kiriman diterima dalam masa 2 minggu.  Namun begitu ada masanya saya kirim lambat kerana menerima pesanan yang banyak.  Saya hanya mampu mengisi 30 pesanan sehari.  Selebihnya akan dibawa ke hari berikutnya.  Sekiranya tidak menerima respons dari saya, jangan segan untuk hubungi saya.  SMS boleh dikirim ke no 0172889364.  No ini saya tak boleh terima panggilan kerana microphone telephone rosak.  Saya tak dapat tukar hp kerana data yang ada di dalamnya tidak dapat dialih.  Untuk buat panggilan, gunakan no 0175009364.

Saya percaya pihak pos malaysia menjalankan kerja dengan sebaik mungkin.  Bagaimanapun ada juga surat yang tersasar dan penerima hanya menerima kiriman selepas 3 bulan. Cuma saya agak kecewa dengan perkhidmatan sebelum tahun baru cina.  Banyak dari kiriman yang saya buat tidak diterima.  Saya hairan dan terfikir juga apa sebenarnya yang berlaku.    Ini menyebabkan saya dan pemesan benih menjadi tidak seronok.

Pek kiriman benih ini diterima selepas 3 bulan dikirim melalui pos malaysia.
Untuk rakan-rakan yang tidak menerima respons atau kiriman dari saya dalam masa yang dijangkakan jangan segan untuk beritahu.  Jika tak diberitahu, masalah tidak dapat diselesaikan. Tapi janganlah memaki hamun.  Kita kan orang Malaysia, baik-baik belaka.

Ketika membuat pesanan, sila nyatakan maklumat dengan jelas.  Selepas membuat bayaran, kirim maklumat melalui emel atau sms.  Sila nyatakan maklumat dalam satu kiriman.  Maklumat yang saya cari ialah nama, alamat, (no hp atau emel, jika pesanan melalui poslaju), benih yang dipesan serta bilangannya, serta maklumat bayaran.

Jika pesanan dibuat melalui saluran yang berbeza, ia hanya mengelirukan kami dan masa yang digunakan sepatutnya dapat dimanfaatkan dengan memberikan perkhidmatan yang lebih baik.  Misalnya, jangan pesan melalui ulasan dalam posting, notis bayaran melalui emel dan nama serta alamat melalui sms.  Susah saya mencari maklumat tersebut.  Banyak masa terbuang.  :(

Rakan-rakan boleh pesan melalui ulasan, tapi bila dah buat bayaran, kirim semula semua maklumat yang berkait dalam satu utusan emel atau sms.


Benih Untuk Dijual -- Jagung Manis Siam

Jagung manis dengan isi berwarna kuning.  Benih berasal daripada Thailand.  1 pek mengandungi 10 benih.  5 pek berharga RM10.

Cara Memesan Benih

Rabu, 27 Mac 2013

Balik Kampung, Pesanan 27 Mac hingga 31 Mac Diproses 1 April

Hari ini kami akan balik kampung sempena cuti sekolah.  Pesanan hingga 26 Mac telah dikirim.  Untuk pesanan 27 Mac hingga 31 Mac akan diproses pada 1 April.  Pesanan tersebut akan menerima benih kongsi bulan April iaitu Timun Kampung.  Timun batang ini kukuh dan cepat berbuah.  Walaupun ia pokok jenis memanjat, anda boleh tanam dalam kotak gabus atau pasu besar dan biarkan ia merayap tanpa pancang.  Jika dikerat pucuk utama apabila dah ada 7 helai daun matang, ia merimbun dengan tumbuh tunas sisi dan amat cantiuk.  Anda boleh simpan buah hingga matang dan buat benih sendiri.  Timun kalau kena caranya boleh juga jadi pokok hiasan.

Happy Gardening


Selasa, 26 Mac 2013

Halaman Tanamsendiri Dalam Facebook

Kepada rakan-rakan yang ada akaun Facebook, saya ada membuka laman tanamsendiri di Facebook.  Tujuannya adalah sebagai penyuap (feeder) kepada blog ini.  Walaupun tapak sesawang utama adalah blog ini, kadangkala ada juga saya letakkan posting pendek di dalam laman Facebook yang dipautkan ke posting utama dalam blog ini.

Walaupun laman tersebut baru sahaja dibuka, jumlah orang yang melihatnya agak memberangsangkan.  Dapatlah kita kongsi kembangkan pengalaman berkebun kepada lebih ramai orang.

Graf menunjukkan jumlah orang yang disua posting halaman tanamsendiri Facebook.

Lebih ramai orang yang berkunjung, lebih banyak ulasan yang akan diterima.  Dengan itu, lebih banyak pengalaman dan ilmu yang kita dapat manfaatkan.

Bagaimanakah rakan-rakan dapat membantu? 

Rakan-rakan dapat membantu dengan menyebarkan kehadiran laman tersebut, iaitu dengan share, like, comment dan sebagainya. 

Berikut adalah pautan ke laman tanamsendiri dalam facebook:

http://www.facebook.com/tanamsendiri

Soalan Pegunjung -- Buah Bendi Keras

Salam En Is,
Bendi yang saya tanam berbuah. Tapi buahnya liat, tak dapat makan.  Kenapa ya?  Saya tanam guna benih pasaraya.

-------------

Waalaikum salam,
Benih pasaraya pun ok juga asalkan bernas.  Memang ada banyak jenis bendi, rasa saiz dan rupa ikut baka.  Kebiasaannya buah yang lewat dituai atau pokok kurang air atau telah tercedera berserat sedikit. 

Untuk dapatkan buah yang rangup, saya tuai selepas 4 hari bunga bendi mekar.  Pokoknya pula tidak dibiarkan kering.

Mungkin rakan-rakan ada cara lain untuk dapatkan buah yang rangup. Boleh kongsi di sini.

Gambar Hari Ini -- Sawi Hijau Hong Kong, 903

Sawi Hijau Hong Kong Baka 903 cepat berbunga.

Sawi hijau hong kong adalah jenis yang lebat berbunga.  Dalam cuaca yang panas terik seperti sekarang, ia mula berbunga bila tumbuh dalam 4 hingga 6 inci, iaitu selepas 3 minggu disemai.  Pokok dalam gambar ini dah berumur 5 minggu.  Saya hanya semai 5 pasu.  Cuba-cuba dulu.  Bunga ni dah dituai.  Dah jadi rencah mee goreng.  Daun sawi kecil sedikit tetapi batangnya meaty.  Enak dimamah.  Bunganya ada aroma wangi halus.  Mungkin yang dijual dipasar ada juga aroma tersebut tapi dah kurang kerana dan beberapa hari dituai.  Yang ditanamsendiri, dituai segar jadi aromanya lebih kuat.  Memang enak.  Confirm saya akan semai lebih banyak. 

Isnin, 25 Mac 2013

Labu Manis Venus Cepat Berbunga

Ramai yang "tidak gemar" menanam labu manis kerana ia menjalar dan memerlukan ruang yang banyak.  Sebenarnya tidak semua labu bersifat begini.  Labu manis Venus misalnya, amat cepat berbunga.  Apabila pokok mencecah 1 kaki (30 cm), putik bunga mula tumbuh.  Bunga pertama akan mekar apabila pokok mencecah 1.5 kaki (45 cm).
Pokok ini sesuai ditanam dalam pasu dan boleh dijadikan hiasan.  Pastikan tanah diperkaya dengan organik atau baja bunga dan siram air yang secukupnya.  Anda boleh tuai bunga jantan untuk dibuat salad.


Benih labu manis Venus tidak dijual berasingan.  Ia hanya dijual bersama set eksotik labu manis.  Sda beberapa jenis lagi labu manis yang disertakan dalam set tersebut. Jangan ketinggalan.

Menuai Bahagian 15 Daripada 20

Menyimpan Dalam Bangsal
Ada juga yang membina pondok atau bangsal khas untuk menyimpan tuaian.  Untuk hasilkan bilik yang lebih sejuk mereka membina bangsal kayu menggunakan atap yang dibuat dari daun nipah.  Mereka membina para untuk memastikan aliran udara elok. 

Tuaian seperti labu, lobak, jagung boleh disimpan dengan cara ini.  Jika gunakan kaedah ini pastikan bangsal bebas dari serangan tikus atau pasang perangkap tikus.  Ini kerana tikus gemar memakan hasil tuaian yang disimpan dengan cara ini.

Sabtu, 23 Mac 2013

Tentang Timun


Benih bercambah dalam masa 6 hingga 9 hari.
Jika tanam atas tanah, tabur pellet siput kerana siput suka makan cambahan timun.
Satu pokok menghasilkan 10 buah sepanjang hayatnya.
Waktu tuaian, 12 hingga 14 minggu selepas menyemai.
Benih tahan hingga 6 tahun.
Perlukan air yang berterusan terutamanya apabila berbunga dan berbuah.
Untuk dapatkan pokok yang rimbun, buang pucuk utama apabila pokok mempunyai 6 atau 7 helai daun.

Pokok timun ditanam dalam bekas gabus.

Benih timun tanamsendiri:


Jumaat, 22 Mac 2013

Gambar Hari Ini -- Bayam Ekor Kuda

Bayam Ekor Kuda menghasilkan bunga yang panjang mereret ke bawah.  Antara pokok yang saya tanam, ada yang mempunyai bunga putih (hijau muda), dan ada yang merah.

Bunga Bayam Ekor Kuda

Menuai Bahagian 14 Daripada 20



Kaedah Menyimpan Tuaian


Jika anda perlu simpan untuk jangka masa yang lama, seeloknya simpan di tempat yang dingin dan lembap.  Ini boleh dilakukan dengan beberapa cara.

Simpan Dalam Peti Sejuk

Kaedah menyimpan dalam jangka masa yang singkat yang paling lazim digunakan ialah menyimpan di dalam peti sejuk. Kebiasaannya suhu dalam peti sejuk diset ke 35 hingga 40 darjah F.  Udara dalam peti sejuk cukup cukup lembap untuk kebanyakan tuaian.  Bagaimanapun ia kurang sesuai untuk sayur daun.  Jika ingin simpan sayur daun, simpan dalam tupperware atau plastik yang disembur sedikit air, kemudian baru diletak di dalam peti sejuk.

Dengan cara ini, anda dapat tingkatkan kelembapan udara.          Buah-buahan tempatan, misalnya jambu air, rambutan dan pisang tidak harus disimpan di dalam peti sejuk.  Ini kerana anda akan rosakkan rasanya.  Ia harus dimakan segera apabila ranum.  Jika ingin simpan lama, simpan di tempat udara mengalir pada suhu bilik.

Khamis, 21 Mac 2013

Status Kiriman

Pesanan bermula Isnin minggu ini baru sempat diisi.  Jadi pesanan Isnin hingga Rabu masih dalam proses diisi.  Saya harap ia akan dikirim selewat-lewatnya esok.  Pesanan hingga Ahad akan dikirim hari ini.

Menuai Bahagian 13 Daripada 20



Simpan Sayur (Tuaian) Yang Terbail Sahaja

Simpan hanya sayur dan tuaian yang paling elok sahaja.  Jika terdapat cela, misalnya ada calar, masak dengan segera.  Ini kerana jika anda simpan sayur yang rosak, ia akan berjangkit pada sayur yang berdekatan.  Jika disimpan lama, mungkin seluruh tuaian akan rosak akibat dijangkiti sayur yang rosak tersebut.

Elok juga jika anda sentiasa periksa tuaian.  Jika ada yang reput atau rosak, keluarkan dengan segera.

Rabu, 20 Mac 2013

Gambar Hari Ini -- Cili Pelangi

Cili pelangi, cantik dijadikan hiasan.  Buah yang ranum pula boleh dituai.  Tapi awas, ini jenis cili padi.   Ia hangat.







Selasa, 19 Mac 2013

Gambar Hari Ini -- Cili Padi

Cili padi dah mula ranum.  Kalau melihatkan warnanya yang terang, memang padan bila ada yang memanggilnya cili api.  Warna dan kehangatannya... jangan pula ada anak kecil termamah.  Naya.  Oh ya, benih cili padi pun ada dijual.  Saya tak perasan ia tak tersenarai dalam Benih Untuk Dijual.  Patutlah jumlah jualan cili padi kurang laris berbanding cili lain, ia tiada dalam senarai. :(




Benih Kongsi, Cukup Ker?

Ada yang sms tanya, betul ker saya edarkan sebanyak itu benih kongsi setiap bulan?  Dan dia tanya, siapa yang funding?

Ya, saya edar sebanyak itu.  Siapa yang funding?  Saya dan rakan-rakan semua.  Apabila membeli benih dari kami, sebahagiannya dibelanjakan semula dalam bentuk setem, plastic bubble, glue, dan sejumlah besarnya benih dan setem.  Jadi apabila saya tawarkan benih kongsi, jangan segan-segan untuk minta.  Niat saya, setiap orang berpeluang cuba cuba home gardening.  No catch. Really really.

Benih yang sedia untuk dikongsi.

Menuai Bahagian 12 Daripada 20

Menjemur
Tuaian seperti bawang dan labu manis elok dijemur dulu sebelum disimpan. Seeloknya jemur di tempat panas selama satu hingga dua minggu.  Tujuannya ialah supaya kulit kering dan menjadi keras.  Ini menyebabkan bawang dan labu manis tahan lebih lama apabila disimpan.  Kulit yang kering akan melindungi isinya.



Ada juga orang yang menjemur lebihan buah tomato, cili, dan daun herba.  Tomato dan cili yang separa kering mempunyai rasa yang lebih kuat.  Biasanya selepas dijemur ia disimpan di dalam balang kaca yang mengandungi minyak zaitun.

Isnin, 18 Mac 2013

Gambar Oleh Rakan Tanamsendiri -- Lynn di Bukit Fraser

Gambar hari ini adalah kiriman Lynnhelite.  Gambar diambil dari kebunnya di Fraser Hill. 


Pokok terung bulat.  Gambar milik lynn, Gambar milik lynn, [email protected]

Buah terung pendek.  Gambar milik Lynn, [email protected]

Kebun Lynn di Bukit Fraser, gambar milik [email protected]

Tuaian Cili Padi, gambar milik [email protected]
 Lynn juga ada memiliki blog berkebun.  Bila dah view nanti saya akan masukkan dalam posting blogwalking.

Menuai Bahagian 11 Daripada 20

Aliran Udara
Jika simpan tuaian di tempat yang udara mengalir dengan elok, ia sebenarnya tidak menyebabkan tuaian tahan lebih lama.  Bagaimanapun tuaian yang disimpan di tempat begini jarang reput akibat diserang kulat.  Inilah sebabnya sayur yang disimpan dalam kotak kayu tahan lebih lama berbanding dengan sayur yang disimpan dalam bekas gabus.  Sebab itu juga bawang dianyam dan digantung, supaya ia berada dalam udara yang mengalir.

Udara yang mengalir juga menghalan gas etilena yang dibebaskan oleh buah yang ranum atau sayur yang matang daripada terperangkap.  Gas tersebut menyebabkan sayur bertunas, buah meranum, yang mengakibatkan tuaian reput.

Ahad, 17 Mac 2013

Gambar Hari Ini -- Cili Pelangi

Cili pelangi cantik dibuat hiasan, enak dimakan.

Cili pelangi bertukar warna dari kuning susu, ungu ke merah. Saiz kecil cili padi. Kecil dan hangat.

Sabtu, 16 Mac 2013

Soalan Pengunjung -- Benih Untuk Jimat Belanja Dapur

Salam En Is,
Boleh tak rekomenkan benih yang boleh bantu saya jimat belanja dapur?
Saya tinggal di rumah teres bertanah. Ruang belakang semua bersimen, dapat cahaya pagi.  Ruang depan 8 x 10 kaki, tapi tanah berbatu. Apakah alat lain yang saya perlukan?  Baja sekali.  Saya ada 2 orang anak, lelaki sekolah tahun 3 dan perempuan 6 tahun. Dan macamana nak ajar mereka makan sayur?

------------------------

Jumaat, 15 Mac 2013

Gambar Hari Ini -- Kobis

Pokok kobis tumbuh galak, tapi blum membentuk bola/jantung.
Pokok Kobis dah mula tumbuh dengan galak.  Saya ada tuai daunnya untuk dibuat sayur.  Enak juga, rangup dan segar.

Ulasan Tentang Cara Melawan Bena

Saya  tertarik dengan ulasan yang diberikan oleh Dr H, dalam posting tentang cara melawan bena.

Ulasan tentang bena oleh Ulasan Dr H
Kalau aphid, tabur kulit pisang atau kulit oren, tutup dengan mulch...ada orang puteh kata tempat tompok aphid tu gantung kulit limau yang dicaritkan sedikit...kononnya bertempiaran lari si aphid...lain yg saya dapat semburkan campuran soda bicarb dan air (ini lebih untuk downy mildew)..tak tau apa bezanya..semua nampak putih aje...kalau En Is boleh beri ulasan bagus juga...lagi satu epsom salt dilarutkan dalam air dan buat foliar spray.

-----------------------------
 Saya kurang faham dengan "tabur dan tutup dengan mulch (sungkup)."  Jika tabur atas tanah, ia mungkin untuk membunuh aphid yang ada dalam tanah.  Tapi aphid berada di atas tanaman.  Kalau ditutup pula dengan sungkup, biasanya jerami atau bahan organik yang lain, bukankah ini menjadi laluan aphid untuk merebak ke seluruh tanaman?

Tentang aphid "lari" dari bau limau, ini mungkin benar tapi kulit limau menambah keasida tanah, dan tanah berasid digemari aphid.  Pada pendapat saya jika ingin hapuskan bena dalam tanah, tabur kapur kerana bena dan aphid tidak gemar tanah neutral atau pH tinggi.

Tentang membunuh kulat menggunakan soda bikarbonat, ia mungkin bertindak sebagai buffer atau penimbal.  Bila pH hampir kepada neural, kulat tidak dapat tumbuh.  Di India, petani gunakan Coke (Coca Cola) sebagai pestisid, iaitu untuk membunuh bena dan kulat.  Ya, ia berkesan... tapi pihak Coke pasti akan gembira sebab tambah satu lagi kegunaan minuman tersebut.  Seeloknya gunakan dari jenis diet, untuk elakkan gula menjadi penarik perosak yang lain pula.

Sebenarnya, kalau nak lawan makhluk perosak hingga ke tahap ini, pada pendapat saya, elok guna racun perosak sahaja.

Kalau berkebun secara organik, kita gunakan sistem buddy untuk menguruskan makhluk perosak.  Saya gunakan perkataan uruskan, bukan bunuh sebab dalam satu komuniti penanaman organik, makhluk perosak juga ada manfaatnya. Setiap organisma ada fungsinya.

Oh ya, garam epsom atau nama sainsnya magnesium sulfat digunakan sebagai baja, bukan pestisid.

Soalan Pengunjung -- Tentang Pertumbuhan Sawi

Asalamualaikum En. Is, ada beberapa pertanyaan..
1. Sayur sawi bunga saya tak berapa besar, daun dalam besar sikit dari kepala sudu jer, lepas 3 minggu saya transfer ke dalam pasu, saya guna tanah growing mix, bagi baja nitrogen seminggu sekali, letak air basuhan ikan/udang, letak baja tahi ayam, full sun every morning, makhluk perosak kat daun kat tanah pon takder.. misterinyer, sebelum ni pokok sawi bunga yang lain okay jer ....

2. Saya beli benih morning glory dalam pack, kat jusco so far tumbuh cantik jer , tapi bunganya tak der .. sedihnyer ...kat nurseri cantik jer keluar bunga, orang kat nurseri bagitau saya utk letak baja bunga, dah bagi baja bunga pon tak der bunga jugak , daun jer cantik walaupon tak besar mana. saya ada search online, website omputih, dorang cakap morning glory tak boleh letak baja, ianya sejenis pokok terbiar, kalau letak baja, "dia" rasa terancam dan tak keluarkan bunga. boleh en. is explain apa yang saya tak tau, sbb saya tgk morning glory en. is cantik jer bunganyer...

3. Bunga telang saya dah tumbuh dalam 10 inci, bila berbunganya yer? tak sabor hehehe

Sekian.


--------------------------------
Waalaikum salam,
Saya jawab ikut nombor soalan. :)  
1. Kalau lepas 3 minggu tiada pertumbuhan yang pesat, memang ada silap.  Mungkin akar yang cedera ketika dialih gagal untuk pulih.  Kemungkinan akar tak terima cukup oksigen.  Alih semula semaian, kali ini guna growmix atau tanah campur, jangan mampatkan tanah dan jangan letak baja dulu.  Bila pokok dah settle dan pertumbuhan mula galak baru letak baja.   

2.  Yang ini sah terlebih baja.  Pokok hanya berbunga bila rasa tergugat.  Tujuan bunga dihasilkan ialah untuk menghasilkan biji benih untuk tujuan survival species berkenaan.  Kalau cukup makan buat apa susah-susah membiak.  Kurangkan baja nitro, kurangkan air, pokok rasa tak lama hidup, ia akan mula berbunga sebab nak hasilkan biji benih.

3.  Dalam 10 hingga 12 minggu selepas semai.  Sama juga, kurangkan baja nitro.   

Khamis, 14 Mac 2013

Solan Pengunjung -- Perlukah Alih Pokok Ubi Kentang?

Salam,

Saya ada semai sebiji kentang dalam bekas minyak masak. Sekarang pokok sudah membesar seperti dalam gambar. Apa yang perlu saya buat? Adakah dibiarkan sahaja, atau saya perlu alihkan ke tempat lain?

Sekian
Norsita

Gambar pokok kentang, gambar milik Norsita Tugimin <[email protected]>

Gambar pokok kentang, gambar milik Norsita Tugimin <[email protected]>

Gambar pokok kentang, gambar milik Norsita Tugimin <[email protected]>

-----------------------------------------------
Waalaikum salam,
Ubi kentang perlukan bekas yang dalam.  Boleh dialih tapi pastikan akar tidak rosak atau tercdera.  Gunakan bekas yang besar dan dalam.  Apabila pokok mula membesar tambah tanah mengikut keperluan.  Tutup semua ubi yang terdedah kerana ubi yang terdedah kepada cahaya matahari (kulit hijau) beracun.

Saya gunakan beg kitar semula yang dijual dipusat membeli belah.  Guni yang dikerat dua juga sesuai.  Isikan tanah yang kaya dengan organik sedalam 15 cm (6 inci) dan semai ubi yang mengandungi tunas.  Jika guna beg kitar semula tebuk lubang supaya air tidak bertakung.  Bila pokok makin besar saya tambah tanah yang kaya dengan organik.  Bila tanah dah penuh bekas, saya biarkan pokok terus tumbuh hingga ia mula layu.  Bila pokok mula layu, saya keluarkan tanah daripada bekas dan kutip ubi kentang.  Satu bekas boleh dapat sebakul ubi kentang.  Berbaloi!


Gambar Hari Ini -- Bunga Harum Sundal Malam

Bunga Harum Sundal Malam

Nama bunga ini kurang enak tapi harumnya memang semerbak, tapi hanya di waktu malam sahaja.  Pokok junga ini ditanam menggunakan bebawang.  Biasanya pokok berbunga selepas 12 hingga 16 minggu disemai.  Kalau mahu, saya masih ada 10 set bebawang sedia untuk dijual.  1 set harganya RM10.  Tambah RM10 untuk setiap pesanan untuk poslaju.

Soalan Pengunjung -- Pokok Diserang Bena, Mealy Bug

En Is, pokok terung pipit saya habis diserang binatang putih seperti di dalam gambar. Saya telah memangkas kesemua dahan yang terkena serangan kerana terlalu banyak.  Adakah itu yang dipanggil bena atau aphid? Saya juga nampak benda yang sama pada pokok Mulberi.
Cukup ke saya sembur dgn bancuhan sabun dan minyak jika jumlah serangannya sedikit?

Serangan makhluk perosak pada pokok terung pipit. Gambar milik [email protected]

------------------------
Makhluk perosak tersebut dikenali sebagai koya, dalam Bahasa Inggeris, mealy bug.  Ia lazimnya menyerang tanaman yang mengalami tekanan (stress) kerana kekurangan air.
Boleh gunakan semburan larutan tersebut untuk membunuh kora yang kelihatan.  Sembur 3 hingga 5 hari hingga koya tidak lagi kelihatan.  Untuk masa yang akan datang, tanam pokok dari keluarga basil berdekatan dengan pokok tomato.  Siram pokok tomato sebelum pokok kering.

Tuaian Hari Ini -- Sayur Sawi, Kobis, Bendi, Bunga Telang, Bunga Timun dan Selasih

Akhir-akhir ini panas terik.  Sayur daun menghasulkan daun dengan padat terutamanya sawi renek christmas green.  Ingin tuai seluruh sawi tapi belum semai batch baru.  Bimbang mati kepanasan. :)  Jadi hari ini saya hanya tuai daun untuk kurangkan daun tumbuh terlalu padat.  Selain dari itu saya juga semai daun kobis (belum membentuk jantung/bola), bunga telang, bunga imun (dibuang bahagian tampuk kerana ada duri halus), sawi bunga hong kong, bendi, dan selasih (dibuat teh).


Daun kobis, daun sawi christmas green, kobis bunga hong kong, selasih, bendi, bunga telang, bunga timun menjadi tuaian hari ini.

Sayur sangat rangup dan segar.  Tak sabar nak nikmati segera.  Sawi bunga, bunga telang, bunga timun dan bendi dimakan cicah sambal kicap (kicap pekat manis dicampur cili dan bawang putih yang dilumatan dan diperam dalam balang kaca) dihidang bersama teh selasih.  Puas...



Selasa, 12 Mac 2013

Resepi -- Roasted stuffed Butternut

Roasted Stuffed Butternut

Buah labu manis butternut lonjong dipotong dua, di keluarkan biji dan dipanggang.  Kemudian bahagian hujung diisi dengan nasi, sayur dan keju dan semuanya dipanggang.  Enak dimakan, dan sangat berat.  Tersadai seperti ular sawa kenyang.

Resepi akan dimasukkan. 

Tuaian Hari Ini -- Labu Manis Fajar

Cuaca akhir-akhir ini terlalu panas menyebabkan aktiviti berkebun di sebelah siang terbantut.  Namun begitu cuaca seegini amat sesuai untuk tanaman tembikai dan labu manis.  Labu manis yang saya tanam telah menghasilkan buah yang dapat dituai.  Hari ini, saya tuai labu manis fajar.  Buahnya tidak besar, sekadar 1 kg sahaja tetapi ia juicy (berair) dan manis.  Memang puas hati. 

Untuk pengetahuan rakan-rakan, labu manis fajar, labu manis butternut lonjong dan labu manis taji adalah dari jenis labu manis butternut yang mempunyai bentuk lonjong dengan isi yang padat di bahagian pangkalnya.  Semuanya ada dalam stok.  Jangan terlepas kerana ia jarang dijual di tempat lain.  


Labu manis fajar



Gambar Hari Ini -- Sawi Renek Christmas Green


Sawi Christmas Green boleh dituai selepas 3 hingga 4 minggu disemai.  Sawi yang segar ragup dan manis. Ia enak dimakan sebagai ulam, cicah sambal kicap.

Sawi Christmas Green

Isnin, 11 Mac 2013

Gambar Hari Ini -- Sawi Bunga Hong Kong

Sawi bunga hong kong biasanya akan mengeluarkan bunga selepas 3 minggu pokok dialih.  Sawi dari jenis ini enak dimasak bersama mee.

Sawi Bunga Hong Kong

Ahad, 10 Mac 2013

Gambar Hari Ini -- Tanaman Dalam Bekas Gabus


Tanaman dalam bekas, sawi bunga hong kong, sawi renek chrstmas green, dan timun.

Tanam dalam bekas lebih mudah diurus kerana rumpai yang tumbuh di dalam bekas lebih mudah dibuang berbanding jika ditanam di atas tanah.  Bagaimanapun bekas hanya dapat menampung air dengan jumlah yang terhad.  Anda perlu siram setiap hari terutamanya di musim panas seperti sekarang.

Sabtu, 9 Mac 2013

Pokok Timun Mula Berbunga

Pokok Timun berbunga.
Kebiasaannya, selepas 3 minggu disemai, pokok timun akan menghasilkan bunga.  Bunga sulung kebiasaannya adalah bunga jantan yang tidak akan membentuk buah.  Bunga ini seperti 'signal' untuk memanggil serangga pendebunga.  Selepas seketika barulah bunga betina dihasilkan.  Ketika itu juga bunga jantan akan mekar dan serangga pendebunga telah sedia untuk menjalankan tugasnya.

Jika tiada serangga pendebunga, pendebungaan boleh dilakukan secara manual. Ada pokok timun yang akan menghasilkan buah pahit jika benih disenyawa.  Ia tetap akan membentuk buah jika bunga betina tidak disenyawa, tetapi benihnya tidak bernas.  Untuk timun dari baka sebegini, kutip buang bunga jantan supaya buah yang dihasilkan tidak merasa pahit.

Soalan Pengunjung -- Pokok Betik Diserang Penyakit

Nak tanya.. Kenapa betik saya jadi macam ini? Boleh tak diselamatkan sebab pokok ni fav kami sekeluarga. Terima kasih.

Pokok betik diserang penyakit.  Gambar milik Mohd Akmal, [email protected]

-------------------------

Benih Baru Tiba -- Tomato King Kong, Elongated Butternut Pumpkin, Sawi General

Ada yang SMS bertanya, ada benih baru tak?  Ya ada.  Antara benih yang ada termasuk Tomato King Kong, iaitu tomato dengan buah bersaiz besar serta lebat.  Saya juga tambah dua jenis sawi lagi, iaitu sawi general dan sawi berbatang putih.  Labu manis baka baru termasuk elongated butternut, atau labu manis butternut lonjong ada dijual.  Semuanya benih yang cantik yang sukar diperoleh di tempat lain.  Nantikan benih disenaraikan nanti.

Labu manis butternut lonjong


Selain dari itu, benih cili marble (holiday cheer) dah sedia untuk dijual.

Gambar Oleh Rakan Tanamsendiri -- Anak Labu Manis Baka Venus Berbunga

Kebiasaannya pokok labu ditanam di atas tanah.  Ada baka labu manis, misalnya dari jenis Venus sesuai juga ditanam dalam bekas.  Bagaimanapun, pastikan bekas yang digunakan besar.

Gmbar menunjukkan gambar kiriman Hamim menunjukkan anak pokok labu manis yang masih dalam bekas semaian telah berbunga.  Ini berlaku kerana akhir-akhir ini suhu terlalu tinggi.  Pemilik cambahan pula telah keluar bercuti meninggalkan cambahan tanpa disiram.  Apabila kembali daripada percutian, didapati anak labu manis telah berbunga.

Bunga yang dihasilkan ialah bunga jantan, yang tidak menjadi buah.  Di peringkat awal pokok belajar berbunga, biasanya bunga jantan dihasilkan dulu.  Bunga tersebut boleh dipetik.  Kelopak bunga labu enak dimakan sebagai salad. :)

Anak pokok labu berbunga awal, belum sempat dialih.  Gambar milik Hamim.



Jumaat, 8 Mac 2013

Status Kiriman Benih

Semua pesanan telah dikirim.  Tiada lagi kiriman yang tertangguh.  Pesanan yang mengandungi keratan dan rizom akan dikirm pada pagi isnin untuk mengelakkan tersimpan lama ketika hujung minggu.  Harap maklum.  Kiriman ke Singapura, Brunei dan Indonesia akan dibuat pada hari esok.

Khamis, 7 Mac 2013

Soalan Pengunjung -- Cili Berbunga Tetapi Luruh Sebelum Berbuah

Salam sejahtera. Pokok Cili Padi saya memang sihat dan tumbuh dengan pesat. Daun dan bunganya sangat lebat dan kelihatan elok sekali. Namun, yang pelik, walaupun pokok itu sudah banyak berbunga sejak lebih sebulan, tak pernah ada satu cili yang terbentuk atau kelihatan. Bila bunga gugur, tinggal sesuatu seperti jarum, tapi benda itu akan hilang selepas sedikit masa tanpa membentuk bunga.

Tuan tahu tak apa mungkin punca ini? Adakah pokok cili padi memerlukan pendebungaan dilakukan oleh serangga tertentu sahaja, barulah buah akan terbentuk? Saya tak pernah menggunakan racun berhampiran pokok sayur saya, dan pokok lain, seperti kacang panjang renek, bendi, timun dan lain lain tumbuh dan berbuah dengan elok.

Terima kasih

--------------
Ada banyak kemungkinan.

1. Pokok tidak mendapat nutrien yang diperlukan oleh pokok untuk membentuk buah.  Ini mungkin disebabkan oleh nutrien tersebut tiada dalam tanah atau medium yang digunakan, pH tak kena menyebabkan nutrien gagal serap, atau akar rosak menyebabkan nutrien yang diperlukan tidak dapat diserap.
Tumbuhan perlukan phosphorus dan boron untuk pembentukan buah.  Kebiaannya bahan ini ada dalam tanah.  Bgaimanapun jika akar rosak (pernah kekeringan) atau tanah terlalu beralkali atau berasid, bahan tersebut gagal diserap.  Cuba dengan membaja menggunakan baja yang khas untuk bunga dan buah.  Uji pH tanah.  Jika terlalu berasid, tambah kapur.  Jika terlalu beralkali, tambah sulphur.  Laraskan supaya pH berada antara 5.5 hingga 6.5.

2. Bunga gagal didebunga.  Setahu saya, bunga cili adalah hermaphrodite, iaitu ada debunga dan ovum dalam bunga yang sama.  Jika tiada serangga pendebunga, pendebungaan boleh berlaku dengan kehadiran angin.
Jika tiada aliran angin, pokok boleh didebunga secara manual.  Gunakan putik kapas, sentuh bahagian debunga, kemudian sentuh bahagian stigma, iaitu bahagian yang bersambung dengan ovum.



Gambar Oleh Rakan Tanamsendiri.com -- Muhamad Hapizudin

Hari ini kita nikmati gambar kiriman Sdr Muhamad Hapizudin.  Taman Sdr Muhamad Hapizudin lebih luas jika dibandingkan dengan taman yang yang pamerkan sebelum ini.  Walaupun luas, ini tidak bermaksud ia sukar diurus.  Ini dapat dibuktikan dengan kekemasan taman/kebun ini.  Memang puas hati kalau dapat hasil tanaman yang seperti ini.

Taman (Kebun) Muhamad Hapizudin yang cantik dan subur. Gambar milik Muhamad Hapizudin, [email protected]

Sayur putih (kobis cina) yang sempurna tanpa cela. Gambar milik Muhamad Hapizudin, [email protected]

Kailan.  Gambar milik Muhamad Hapizudin, [email protected]

Batas sayur putih yang padat dan subur.  Gambar milik Muhamad Hapizudin, [email protected]

Bayam merah autumn. Gambar milik Muhamad Hapizudin, [email protected]

Terung.  Gambar milik Muhamad Hapizudin, [email protected]

Garland chrysenthemum.  Gambar milik Muhamad Hapizudin, [email protected]

Soalan Pengunjung -- Tanam Dari Keratan Akar


Ada cara tak semai semula pokok daun sup dari baki akar yang biasa-biasa ada dijual kat pasar?
Biasa saya tengok orang rendam dalam gelas taruk air paip je, pastu akan tumbuh tunas tapi tak banyak, lepas sehelai dua pokok tu keluar daun mudam keseluruhan pokok tu akan jadi reput dan membusuk.

------------
Ya ada.  Mungkin ada rakan-rakan ingin kongsi pengalaman mereka.

Selasa, 5 Mac 2013

Benih Kongsi -- Bulan Mac

Untuk bulan Mac, benih kongsi ialah Sawi Menang.  Saya kekalkan benih ini kerana kebanyakan yang memohon benih kongsi adalah home gardener yang baru.  Sawi menang adalah antara jenis sayur yang paling mudah disemai dan tahan lasak.

Sawi Menang, gambar milik Zamzurina Zulkafli ([email protected])


Benih kongsi yang diedarkan bersama pesanan benih ialah Bayam Hijau Special 3388.  Benih ini akan diedarkan bersama pesanan bermula daripada 6 Mac.  Untuk pesanan sehingga 5 Mac, benih kongsi ialah Sawi Lima Bintang.

Soalan Pengunjung -- Tentang Cara Menyemai Ulam Raja

Saya ada membeli benih ulam raja dari tanamsendiri. saya sudah semai lebih seminggu tapi tiada menunjukkan tanda2 tumbuh. Pokok lain yg saya semai (kailan, sawi, carrot, tomato) semuanya sudah tumbuh dah sudah saya alihkan ke pot tanaman.

Cara saya semai ulam raja: saya sediakan tanah campuran tanah bakar, tanah organik dan tanah merah sedikit. then sy tanam ulam raja. ada satu biji benih saya pecahkan utk tgk sama ada cepat atau tidak pertumbuhan. Ada benih yg lain sy tidak pecahkan. Saya cuba tanam 4 benih sahaja. tapi selepas lebih seminggu benih langsung tidak tumbuh.
Adakah cara saya salah. Medium tanah sy gunakan sama utk pkok yg lain (pokok lain dah tumbuh spt yg dinyatakan di atas).

---------------------------


Jumaat, 1 Mac 2013

Soalan Rakan Tanamsendiri -- Daun Cili Bergulung

Assalamualaikum,
Apakah punca daun cili bergulung seperti ini?

Daun kacang panjang bergulung.  Gambar milik [email protected], jangan guna tanpa kebenaran bertulis.

Daun cili bergulung.  Gambar milik [email protected], jangan guna tanpa kebenaran bertulis.