Khamis, 28 Februari 2013

Ulasan Rakan Tanamsendiri -- Ogy Atan Tentang Kaedah Menanam Cili

Posting asal 19/02/13
Hari ini, ulasan yang menarik adalah dari Ogy Atan tentang kaedah menanam cili.  Saya pernah baca tentang penanaman secara tertonggeng menggunakan kaedah yang dipatenkan iaitu Topsy Turvy ® dan pernah mencubanya ketika menanam tomato ceri.  Menarik.  Berikut adalah ulasan Ogy Atan.  Jika Ogy Atan dapat kirimkan gambar, mungkin rakan-rakan dapat idea bagaimana kaedah ini dilakukan.
-----------------------------

Saya belum bernasib baik tanam cili atas tanah. Pokok gagal berbuah tapi bunga lebat! Buah lekat cuma sebiji, yang lain putik bunga kuning selepas itu gugur. Ada satu pokok cili padi yg saya tanam secara tertonggeng pula sedang berbuah lebat. Saya tengok kalau tanam cara ni tak ada langsung serangga perosak datang kacau.  Jadi nampaknya next projek tanam cili cara terbalik lebih serasi dengan saya. Apa apa pun kita hanya mampu merancang Allah juga yang menentukan.

-----------------------------
Cili ditanam secara tertonggeng.  Gambar milik Ogy Atan (ogyatan64@gmail.com)

Selasa, 26 Februari 2013

Menuai Bahagian 10 Daripada 20



Tentang Suhu
Mengapa negara kita udaranya lembap?  Ia lembap kerana udara panas.  Suhu sekitar mempengaruhi kandungan air di dalam udara.  Udara sejuk tidak mampu menyimpan air yang banyak.  Jadi udara kering.
Ini dapat dilihat dengan jelas jika kita berkebun di awal pagi.  Ketika suhu masih rendah, wap air keluar apabila kita bernafas.  Ini kerana, ketika bernafas, badan membebaskan wap air.  Oleh kerana udara sejuk, ia tidak dapat menyimpan wap tersebut jadi ia keluar seperti asap.

Sekarang ini pun bila kita bernafas, wap air dibebaskan ketika menghembus nafas.  Oleh kerana suhu tinggi, wap tersebut disimpan di dalam udara, jadi kita tidak kelihatan seperti asap.

Tuaian tahan lama di dalam udara sejuk kerana setiap 10 darjah (Celsius) suhu turun, masa yang diperlukan untuk tuaian rosak (reput) berganda.  Jadi tanaman paling elok disimpan pada suhu rendah, tapi bukan di bawah tahap beku.  Ini kerana pada suhu di bawah tahap beku, sel dalam tuaian rosak.  

Tentang herba yang saya sarankan simpan dalam kiub ais, itu berbeza kerana apa yang kita mahu bukan kesegaran daun herba tersebut tetapi kita ingin memerangkap rasanya (aroma) yang boleh hilang melalui udara.

Ada tuaian yang rosak rasanya jika disimpan di bawah tahap beku, misalnya tomato, labu manis, kentang, dan pisang.  Sebab itulah tuaian tersebut elok disimpan di luar peti sejuk.

Isnin, 25 Februari 2013

Gambar Oleh Rakan Tanamsendiri -- Akira, Kailan Dalam Bekas Selfwatering

Gambar yang dipamerkan hari ini adalah kiriman Sdri Akira (akiraakish@yahoo.com).  Pokok kailan (dan kelihatan sawi juga) ditanam menggunakan kaedah self-watering menggunakan botol plastik yang dikerat.  Kalau diperhatikan, Akira dah boleh tuai sebahagian daripada daun kailan tersebut kemudian biarkan pokok tumbuh lagi.

Sdri Akira seperti kurang berpuas hati dengan mutu daun tersebut.  "Mungkin kurang baja", katanya.  Sya syorkan akira masukkan sedikit baja di dalam air, mungkin cecair baja organik, atau 1/2 sudu teh bintil baja urea untuk bekalkan lebih sebatian nitrogen.

Pada pendapat saya, sayur ini subur.  Akira boleh tuai sedikit-sedikit supaya pokok kekal aktif.  Terima kasih Sdri Akira kerana sudi berkongsi gambar.


Kailan yang ditanam dalam bekas self-watering.  Gambar milik akiraakish@yahoo.com

Kelihatan bekas self-watering yang digunakan oleh Akira.  Gambar milik akiraakish@yahoo.com

Daun kailan, besar dan subur.  Gambar milik akiraakish@yahoo.com.my


Gambar Hari Ini -- Benih Tumpah Pun Menjadi

Pokok sawi di celah tiang batu.
Bila mengisi benih kadang-kadang ada yang tertumpah.  Benih tersebut disapu keluar rumah.  Yang ini berakhir di bawah tiang batu.  Yang hairan tu, tempat tumbuh tak kena hujan dan saya tak pernah siram.  Pokok hanya hidup dengan menyerap lembapan dalam tiang tersebut.  Itu pun menjadi.  Cekal pokok ni.

Menuai Bahagian 9 Daripada 20



Tentang Kelembapan
Sebaik sahaja pokok dituai, ia akan kelihangan air melalui proses transpirasi.  Apabila ia hilang 5% daripada kandungan airnya, sayur tidak lagi elok (layu) dan kurang enak dimakan.  Kedaan ini dapat dikurangkan dengan menyimpan sayur dalam tempat yang lembap.

Walaupun di negara kita iklimnya panas dan lembap, kelembapan tersebut tidak mencukupi untuk kekalkan kesegaran sayur.  Kelembapan perlu ditingkatkan sehingga 80% tanpa meningkatkan suhu untuk kekalkan kesegaran sayur.  Sebab itulah saya syorkan sayur disimpan dalam bekas kedap udara, selepas disembur (spray) dengan air dan disimpan di dalam peti sejuk.

Saya rasa kaedah ini mudah diikut kerana jumlah sayur yang kita hasilkan tidak banyak dan setiap rumah sememangnya ada peti sejuk.

Ahad, 24 Februari 2013

Tanamsendiri.com Versi Buku dan Siri Mudahnya Tanam

Alhamdulillah Tanamsendiri.com Versi Buku akan mula masuk pasaran pertengahan bulan depan.  Untuk batch pertama, Jilid Pertama dan Jilid 2 akan diedarkan.    

Buku tersebut mengandungi posting terdahulu tetapi diolah semula.  Maklum sajalah, posting tanamsendiri adalah sepontan, banyak juga typo dan ayat yang pelik-pelik yang saya sendiri lupa apa yang saya ingin sampaikan ketika mengkompil posting.  InsyaAllah selepas ini, di peringkat awal, 2 buah buku akan dikompil setiap bulan.

Sekiranya selepas buku keluar, rakan-rakan terjumpa apa-apa kelemahan dan merasakan ia boleh ditambah mutu, boleh syorkan melalui emel.

Siri Mudahnya Tanam akan diterbitkan selepas buku Tanamsendiri.com Versi Buku masuk pasaran.  Untuk bahagian pertama, 4 buah buku akan masuk pasaran dahulu iaitu Mudahnya Tanam Bendi, Mudahnya Tanam Sawi, Mudahnya Tanam Lobak Putih, dan Mudahnya Tanam Kailan.  Saya pilih benih yang mudah dikndali dulu supaya rakan-rakan yang baru berkebun tidak patah semangat.  Sebagaimana yang dijanjikan buku tersebut diedarkan bersama benih.

Untuk Siri Jom Tanamsendiri, ia akan diterbitkan selepas Siri Mudahnya Tanam selesai masuk pasaran.  Siri lengkap mengandungi 16 buah.

Sementara itu buku ebook akan terus diedarkan.  Buat masa ini buku IT dan Fotografi Digital versi bercetak dihentikan dulu.  Saya ada menerima beberapa email dari pembaca yang dah biasa dengan buku hasil tulisan saya meminta agar saya tulis semula buku IT.  Untuk setahun dua ini, saya akan tumpu kepada buku home gardening dahulu.  Kalau umur panjang, ada rezeki, insyaAllah saya akan tulis semula buku-buku tersebut.  Ia mungkin akan diedarkan dalam format ebook.

Menuai Bahagian 8 Daripada 20



Tanaman di rumah mempunyai rasa yang paling enak serta paling berkhasiat berbanding tanaman kebun dan ladang apabila dimakan segar.  Jadi seeloknya, tuai hanya bila tanaman ingin dimakan. Bagaimanapun, kadang-kadang tanaman ditanam lebih daripada yang diperlukan dan ia tidak dimasak atau dimakan segera.  Jadi tuaian tersebut perlu disimpan.

Dari pengalaman saya, sayur yang mempunyai storan makanan paling tahan lama disimpan, misalnya lobak (bahagian lobak, bukan bahagian daun), bawang, rizom dan ubi.  Sayur daun yang tebal dan berisi (misalnya daun kobis dan basella) juga tahan lama bila disimpan.

Bagaimanapun sayur daun yang nipis tidak tahan lama, misalnya sawi, kangkung, dan bayam.  Sayur tersebut cepat kehilangan air dan menjadi layu walaupun baru sehari dipetik.  Bila dah layu ia akan rosak dan tidak enak dimakan.  

Jika anda ada menanam sayur tersebut lebih daripada biasa, saya syorkan ia dimasak terlebih dahulu.  Kemudian simpan dalam peti sejuk (beku).  Bila nak makan nanti, keluarkan dan nyahbeku menggunakan ketuhar microwave.

Sebenarnya, selagi tidak dimasak, tuaian masih hidup dan proses respirasi dan transpirasi masih tetap berlaku.  Ini menyebabkan ia kehilangan air yang banyak dan tidak diganti.  Jika ingin disimpan lama tanpa memasak dahulu, basuh sayur tersebut, dan letakkan di dalam bekas plastik, semburkan sekit air untuk lembapkan dan tutup rapat.  Simpan di dalam peti sejuk di bahagian segar, bukan bahagian beku.  Boleh juga disimpan dalam plastik sawic (Ziploc®). 

Simpan sayur yang dalam keadaan terbaik sahaja.  Sayur yang cedera, elok dimakan segera.
Tujuan disimpan dalam bekas tertutup dengan disembur air ialah untuk kurangkan kadar respirasi (dengan menurunkan suhu) dan meningkatkan kelembapan uadara (menyembur air dalam bekas kedap udara).  Jangan tuang air kerana ia mungkin menjadi punca sayur lecuh dan rosak.
Untuk kekalkan rasa tuaian herba (misalnya daun rosemary dan tarragon), potong daun sehingga saiz kecil.  Isikan dalam tray air baru yang berisi air dan bekukankan.  Kemudian simpan kiub ais yang mengandungi herba dalam bekas plastik tertutup di dalam ruang beku peti ais.  Dengan cara ini rasa herba tidak akan kurang kerana molekul herbal tersebut terperanggakan di dalam kiub ais.  Apabila diperlukan, masukkan seluruh kiub herba dalam masakan mengikut sukatan yang disarankan dalam resepi.

Blog Walking -- along25

Hari ini sempat jenguk blog along25 a.k.a. Miss For3st (tak tahu nak sebut).  Dalam blog ini ada beberapa posting tentang gardening.  Menarik juga.  Yang saya suka bila lihat banyak pokok yang berbunga, misalnya pokok aloe vera dan kari.  Saya sendiri ada tanam pokok tersebut tapi belum berbunga.

Blog along25
Blog along25 boleh dicapai melalui alamat berikut.

http://along25.blogspot.com/2012/12/jom-berkebun-ada-menyimpang-ke-lain.html


Tanaman Depan Rumah

Semalam suhu sekitar rumah sangat tinggi.  Di waktu tengahari suhu mencecah 38 darjah.  Panas tu, boleh aring kulit kepala kalau bekebun.  Musim panas begini pokok dalam bekas biasanya menjadi mangsa kerana jumlah air terhad bergatung pada jumlah tanah serta struktur tanah tersebut.

Bila pulang ke rumah di waktu petang, pasu paling hujung paling teruk layu.  Pokok tidak pulih segera selepas disiram.  Niat nak tambah tanah tetapi hari ini masih sibuk dengan kerja penulisan.  Untuk selesaikan masalah, saya letakkan botol plastik berisi air dengan tudung yang ditebuk.

Musim panas juga musim belalang menyerang.  Sayur ruang dalam rumah dah tidak lagi diserang sejak kerengga diperkenalkan.  Ruang luar, ada kawasan yang belum diteroka kerengga, jadi belalang masih mengganas.  Kalau diperhatikan, tanaman yang dekat pagar dah tidak diganggu kerana kawasan tersebut telah diterokai kerengga.  Pokok kobis yang paling luar belum diterokai kerengga, jadi ia paling teruk dimakan belalang.

Ruang depan rumah.

Rabu, 20 Februari 2013

Akan Datang -- Ebook "Kucing Sahabat Taman"


Talian Siput

Hari ini talian Internet perkhidmatan P1 di tempat saya seperti siput kekenyangan.  Segala posting dan komunikasi melalui emel akan dibuat setelah talian pulih.  Harap maklum. 

Gambar Hari Ini -- Ulam Raja

Pokok ulam raja.

Pertumbuhan pokok ulam raja juga begitu galak.  Sepatutnya, bahagian pucuk dipatahkan supaya mendapat pokok yang bercabang dan rendang.   Tunggu hidangan budu atau sambal lada, baru bahagian pucuk dipatahkan untuk dijadikan ulam.

Selasa, 19 Februari 2013

Labu Fajar Semakin Besar

Minggu lepas saya tunjukkan labu fajar hasil pendebungaan secara manual.  Saya hanya maintain 2 biji pada pokok tersebut untuk mendapatkan buah yang berkualiti tinggi.  Malangnya sebiji telah hilang selepas sepasang suami isteri dengan motor singgah di seberang jalan.  Yang tinggal hanya sebiji.  Diharapkan sebiji yang tinggal ini sempat dituai dan menjadi hidangan keluarga.

Buah labu fajar semakin membesar.

Saiz buah telah berganda sejak minggu lepas.

Gambar Hari Ini -- Sawi Christmas Green


Sawi Christmas Green, sedia untuk dituai.

Sawi Christmas Green teruk diserang belalang.  Selepas dilepaskan kerengga, daun baru dah sempurna.

Sawi christmas green dalam kotak polystyrene dah sedia untuk dituai.

Sawi christmas green dah sedia untuk dituai.  Inilah keistimewaan sawi, apabila dialih sahaja pertumbuhannya amat cepat.  Di peringkat awal pertumbuhan, sawi diserang belalang dengan teruk.  Selepas kerengga dilepaskan di kawasan rumah, kadar kerosakan akibat serangan belalang semakin berkurang.

Tak sabar nak nikmati sawi segar.  Selepas sawi ini dituai, saya akan semai sawi lima bintang.  

Isnin, 18 Februari 2013

Menuai Bahagian 7 daripada 20

Selepas menuai, jangan lupa untuk pulihkan pokok. Jika tanaman dari jenis yang dituai secara kerap, siram tanah dengan baja cecair, misalnya teh kompos untuk pastikan tanaman yang luka dituai cepat sembuh dan tumbuh semula dengan galak.

Jika tanaman dituai keseluruhannya, buang semua lebihan tanaman dan sediakan tanah untuk tanaman yang baru. Oleh kerana bekas luka akan menarik perhatian serangga perosak, tanam semula dengan tanaman dari jenis yang lain.

Kebiasaannya saya gaulan tanah dengan baja organik dan biarkan ia mereput sedikit. Selepas satu hingga dua minggu baru saya tanam semaian baru. Sementara itu saya semai benih dalam bekas semaian.

Ahad, 17 Februari 2013

Menuai Bahagian 6 daripada 20

 Satu daripada cara untuk dapatkan tuaian yang lebih ialah dengan menyemai beih dengan jumlah yang lebih daripada jumlah tuaian pokok yang telah matang.  Maksud saya, semai banyak, rapat-rapat.  Apabila tanaman membesar, kerat pokok untuk menjarang.  Pokok yang dikerat boleh dimasak atau dibuat salad microgreen.

Saya gemar tuai cambahan lobak putih dan jeruk dalam cuka asli dan garam.  Tambahkan bawang putih dan cili padi, memang enak.  Cambahan kailan yang dikutip ketika menjarang enak dimasak sebagai baby kailan

Proses ini boleh dilakukan secara berterusan sehingga jarak pokok dewasa sesuai. 
Sebenarnya ada banyak lagi cara untuk tingkatkan jumlah tuaian.  Misalnya pucuk kacang botor boleh dimakan.  Ketika pokok menjalar keluar dari kawasan, potong pucuk dan masak sebagai sayur.  Goreng sedap tu.

Daun mulberi boleh dituai, dibuat sayur air, teh atau masak lemak.  Ada juga yang tuai daun mulberi dijadikan pembungkus tapai. 

Bawang putih dan bawang merah yang kurang elok jangan dibuang.  Semai.  Ia akan mengurniakan rezeki yang tak putus.  Daunnya boleh dituai dan dimasak.  Bila kerat, daun baru akan tumbuh lagi.
Kailan, daun, batang, bunga semua boleh dimakan.

Kobis cina, bahagian kobis, helaian daun, batang dan cambahan, semuanya enak dimakan.
Labu manis, bukan sekadar buah dan pucuk boleh dimakan, kelopak bunga pun boleh dimakan juga.

Cili merah dan cili padi, jangan dibuang daunnya.  kalau dibuat sayur air amat enak.  Jangan pula pergi kutip daun di kebun cili, padat dengan racun tu.  Maksud saya pokok yang ditanam sendiri tanpa menggunakan racun. Dan kena pilh pokok juga.  Jangan tuai tanaman yang daunnya beracun.

Sabtu, 16 Februari 2013

Benih Untuk Dijual -- Keratan Sweet Basil

Keratan Sweet Basil yang terpilih yang telah diuji cambah.  Keratan akan berakar dalam masa 1 minggu setelah ditanam dalam tanah semaian (growmix).  Akar akan memenuhi bekas semaian dalam masa 2 minggu dan perlu dialih ke tempat kekal atau bekas yang lebih besar.

Menanam sweet basil melalui keratan memungkinkan anda mendapat tuaian yang lebih cepat berbanding semaian menggunakan biji benih.

Cambahan basil yang ditanam daripada keratan.  Cambahan ini telah ditanam 2 minggu sebelum gambar diambil.


Keratan dijual dalam set 5 keratan.  setiap set dijual dengan harga RM10.  Sila tambah RM10 bagi setiap pesanan untuk kendalian poslaju.

Cara memesan benih
 

Keratan Sweet Basil, Basella alba

Ada rakan yang tanya, ada benih baru tak?

Sebenarnya ada, masih dalam tin.  Saya belum buka.  Bukan tak mahu buka, tapi saya rasa masa belum kena lagi.  Saya akan jual benih-benih tersebut awal bulan mac.  Buat masa ini saya akan tumpukan pada benih yang sedia ada.

Ya, pek set eksotik kailan masih ada.  Apa beza kailan ni dengan benih kailan yang dijual secara berasingan.  Sebenarnya kailan yang dijual berasingan pun dah sangat istimewa.  Yang saya tambah ialah kailan hong kong dan kailan jepun.  Dua-dua jenis saya amat treasure sebab dah dua tahun saya cuba dapatkan benihnya, baru kini saya dapat.  Ya, saya tak jual benih tersebut secara berasingan.  Kalau nak, kena beli set kailan.

Bagaimana pula dengan Set Labu.  Apa keistimewaannya.  Banyak sebab benih yang ditawarkan adalah benih yang sukar diperoleh.  Kalau ruang tiada pun rakan-rakan boleh simpan dulu dan bawa pulang ke kampung, atau semai sedikit-sedikit.  Ada yang mesej, rasa mahal sebab kena belanja hingga RM30.  Betul tu, kena belanja banyak sedikit.  Tapi dapat banyak jenis.  Memang tak dapat di tempat lain dengan harga itu.

Tentang set basil, dah habis. Mungkin 2 minggu lagi boleh tawarkan lagi.  Ini kerana sebahagian daripada benih dalam set tersebut telah habis.

Ada juga rakan yang mohon saya jual keratan atau bebawang.  Katanya keratan  lebih cepat besar. Betul, saya setuju.  Tapi untuk jual keratan atau bebawang, saya mesti ada induknya dulu.  Oh ya, keratan rosemary dah habis.

Saya nak jual keratan, nak kena pastikan keratan menjadi kalau disemai.  Buat masa ini saya hanya jual keratan mulberi.  Bila fikir-fikir betul juga.  Saya tanya rakan tersebut, kenapa dak beli dipasar aja, kemudian semai keratan.  Jawab rakan tersebut, keratan dari sayur pasar ada residue racun.  Dia mahu yang pasti tiada racun, yang organik.

Bila fikir-fikir betul juga.  Jadi hari ni saya sediakan beberapa keratan seperti berikut.

1) keratan sweet basil (5 keratan/satu set) dengan harga RM10.  Jumlah yang ada 10 set.
2) keratan Basella alba (remayung hijau) (10 keratan/satu set) dengan harga RM10.  Jumlah yang ada 10 set.
3) keratan Basella rubra (remayung merah) (10 keratan/satu set) dengan harga RM10.  Jumlah yang ada 10 set.
4) bebawang harum sundal malam (5 bebawang/satu set) dengan harga RM10.  Jumlah yang ada, 5 set.
5) keratan Moringa oleifera (3 keratan/satu set) dengan harga RM10.

Setiap pesanan keratan perlu tambah RM10 untuk kendalian poslaju.
  




Ebook Tanamsendiri


Sebelum ini, saya ada menjanjikan beberapa ebook untuk diedarkan melalui blog ini.  Bagaimanapun oleh sebab beberapa komitmen, skrip ebook tersebut telah dijual kepada beberapa penerbit untuk mendapat bayaran yang segera.  :P  Buku bercetak Siri Mudahnya Menanam yang diwarwarkan sebelum ini juga lambat sedikit keluar dari yang dijangkakan.  Ini adalah perkara biasa yang berkait dengan proses penerbitan.  Diharap rakan-rakan sabar menunggu.

Sementara itu saya juga ada menulis buku dalam bentuk ebook (versi PDF dan ePub) yang akan hanya diedarkan melalui blog ini (kecuali kalau ada publisher yang ingin ragut dengan harga yang saya tak boleh tidur lena.)  Saya masih lagi ada beberapa isu yang perlu diselesaikan sebelum dapat edar buku tersebut.  Isu yang paling memeningkan kepala saya ialah meletakkan harga.  Ya, berapa harga yang sesuai.  Kalau harga tak ngam, jualan ebook pasti perlahan.

Buku yang saya maksudkan bertajuk "Kucing Sahabat Taman?".  Buku ini ada kaitan dengan kita semua, yang menanam tanaman untuk makanan di rumah.  Maklum sajalah, orang suka bela kucing.  Secara semulajadi, jamban kucing ialah tanah sebab kucing kambus najisnya.  Tanah terdedah, pada seekor kucing adalah jamban high class.

Najis kucing pula mengandungi patogen, iaitu makhluk halus yang memudaratkan terutamanya kepada ibu mengandung.  Macam-macam cara disarankan oleh rakan-rakan blog, tapi kucing makhluk bijak.  Ada saja cara ia melawan usaha kita.  Pengarang telah menemui cara untuk membuatkan kucing jatuh cinta dengan taman di rumah tanpa berniat untuk dijadikan jamban.

Buku ini tak panjang tapi padat dengan petua yang berguna.  Barangkali berapakah harga yang sesuai untuk ebook sebegini.  Rakan-rakan sila berikan cadangan.  Pihak penerbit, tolong jangan tawarkan harga tinggi untuk skrip ini.  Saya nak jual pada rakan-rakan pengunjung di tanamsendiri sahaja. Yang dah dapat skrip saya, sila terbitkan cepat-cepat, dah tak sabar ni.  

Kiriman Minggu Ini Tertunggak Ke Hari Isnin Depan (18 februari 2013)

Alhamdulilah, pagi hari ni sempat pek sebahagian pesanan yang tertunggak. Niatnya kiriman tersebut akan dikirim pada hari ini. Bila tiba di pejabat pos, alamak! Pagar berantai.... tutup.

Terpaksalah masukkan sampul ke dalam peti sejuk. Jadi, kiriman yang dijanjikan minggu ini, termasuk pesanan daripada Pearl, Mariati, Hj Hairil, Naddiah, dan 40 pek lagi akan dikirim pada hari isnin (18 Februari 2013). Kiriman tersebut akan diterima pada hari Selasa atau Rabu.

Harap maklum.

Stok Benih -- Tomato Ceri 318

Benih tomato ceri telah habis stok. Benih tersebut akan dkeluarkan daripada senarai benih sehingga saya mendapat stok baru. Ya, benih tomato ceri baka full house (382) masih ada dalam stok.

Gambar Hari Ini -- Semaian Salad Marilyn

Cambahan Salad Marilyn dalam bekas semaian.

Salad Marilyn mudah tumbuh.  Bila besar nanti salad separa terbuka dengan daun beralun akan dihasilkan. :)

Menuai Bahagian 5 daripada 20

Banyak antara tanaman yang boleh dituai dengan kaedah kerat dan tumbuh lagi.  Saya selalu buat begini apabila tuai daun pokok kailan, salad, bayam malabar, sayur putih dan kobis.  Kaedah tuaian begini menyebabkan tanaman serta patch sayur kelihatan tak terjejas dan sentiasa nampak cantik.  Kalau isi rumah tak ramai, anda mungkin perlukan dua atau tiga helai daun sahaja, tak perlu tuai seluruh pokok. 
Ada yang suka tuai daun yang paling besar, iaitu tangkai paling bawah.  Saya tak gemar buat begitu kerana daun paling bawah lazimnya dah berserat dan pahit.  Saya lebih gemar tuai tangkai tengah yang masih muda dan rangup.
Lagipun daun paling bawah paling luas permukaannya.  Aktiviti fotosintesis paling banyak berlaku dalam daun tersebut.  Kalau dibiarkan ia mampu menghasilkan banyak makanan kepada pokok tersebut.
Kadang-kadang bila tuai salad atau kailan, saya tak setakat tuai daun.  Saya kerat seluruh batang muda, iaitu bahagian pucuk.  Dengan cara begini tunas baru akan tumbuh pada sisi batang utama dan mnghasilkan set daun baru yang rangup.
Cara begini amat elok untuk panjangkan jang masa menuai.  Apabila mutu tuaian dan makin menurun barulah saya tuai seluruh pokok dan ganti dengan semaian yang baru.

Jumaat, 15 Februari 2013

Menuai Bahagian 4 daripada 20


Bagaimana nak tuai?  Ada yang syorkan supaya dipatahkan aja tangkai.  Bolehkah begitu?
Saya gunakan gunting dapur.  Kalau guna pisau yang tajam elok juga.  Ini kerana gunting dan pisau tajam menghasilkan luka yang bersih.  Pokok cepat pulih.  Kalau dipatahkan atau guna alat pemotong yang tumpul, pokok mungkin terkoyak.  Ini boleh menyebabkan pokok terkena penyakit, terutamanya penyakit reput.
Lazimnya sayur menjadi kurang sihat selepas dituai.  Jadi, elok tuai sebelum dimasak.  jangan uai dengan niat untuk disimpan lama, kecuali jika anda jual hasil tuaian.  Perkara tersebebut tidak akan dibincangkan secara mendalam kerana sasaran blog tanamsendiri ialah untuk mereka yang tanam tanaman makanan di rumah untuk makan sendiri, buk/an untuk petani komersial.
Ada tanaman paling elok dituai sebelum dimakan.  Ini termasuklah jagung manis dan sawi.
Negara kita beriklim panas dan lembap.  Tuaian cepat rosak dalam iklim begini.  Oleh kerana di sebelah pagi dingin sedikit, lakukan tuaian di sebelah pagi, ketika suhu rendah sedikit.  Jika tuai tanaman untuk tujuan untuk disimpan, berhati-hati untuk elakkan kecederaan pada tuaian.  Jangan main campak-campak aja tuaian ke dalam bekas atau ke atas tanah.  Ini kerana apabila tuaian tercedera ia akan keluarkan cecair.  Cecair tersebut kaya dengan nutrien.  Mikroorganisma gemarkan cecair tersebut.  Bila mikroorganisma tersebut membiak, tuaian akan rosak. 
Jika ketika menuai, ada tuaian yang rosak kerana kecederaan ketika menuai, elok dimasak dengan segera.  Simpan tuaian yang sempurna sahaja.
Satu lagi, elakkan menuai ketika tanaman basah.  Ini kerana keadaan yang basah boleh menyebabkan penyakit berjangkit dengan cepat.  Elakkan juga menuai ketika panas, kerana apabila tanaman tercedera akibat tuaian, banyak air akan hilang melalui mata luka (tempat dipotong).  Pokok akan mudah layu selepas dituai.
Di musim kering, elok siram dahulu di sebelah petang sebelum menuainya di pagi hari keesokannya.  Ini untuk pastikan tanaman cukup air sebelum luka akibat dituai.
Kalau begitu, mengapa tak tuai di waktu petang?  Pada pendapat saya ia kurang elok kerana kecederaan tuaian tidak terdedah kepada cahaya matahari di waktu malam.  Bahagian luka pada pokok akan mudah diserang penyakit.

Khamis, 14 Februari 2013

Gambar Oleh Rakan Tanamsendiri -- Sawi Christmas Green

Sawi Christmas Green, hasil tanaman Sdr Wan Fazli.  Gambar milik Wan Fazli, one_fazly@yahoo.com
Gambar hari ini adalah dari kiriman Sdr Wan Fazli.  Sawi ini telah disemai 3 minggu (23 hari) sebelumnya.  Cantik sawi ni, tanpa cela.  Sdr Wan Fazli ingin tahu sekiranya pertumbuhan sawi tersebut normal.  Kalau diperhatikan saiznya, saya rasa ia normal.  Mungkin sawi yang saya semai lebih besar sedikit daripada sawi tersebut.  Itu kerana saya usahakan dari semua sudut untuk mendapatkan pertumbuhan yang paling optima.  Apa pula pendapat rakan-rakan tentang gambar ini.

Oh ya, Sdr Wan Fazli pun ada blog berkebun.  Diharapkan Sdr Wan Fazli berikan alamat blog tersebut melalui ulasan supaya kita sema dapat memanfaatkannya.

Soalan Rakan Tanamsendiri -- Tentang Tut


Assalamualaikum En Iskandar. saya ada satu soalan tentang penjagaan pokok yang melalui proses anggol (tut). Saya ada buat pada pokok limau kasturi, tapi daun dan buah limau atas tu jadi kecut pula. Saya ada sertakan gambar saya letak kat blog. bahan yang saya gunakan adalah campuran baja tahi ayam dan tanah liat, 1:1 dan tanah tu dicampur serbuk penggalak akar.


------------
Waalaikum salam Sdr Asrul Afendi,
Sebenarnya saya kurang arif tentang tut.  Mungkin rakan-rakan dapat membantu.


Apa Pasal Tak Sembur?

"Wah sawi sudah besar, itu apa tu?  Kailan kah?" sapa Mr Chong, kenalan ramah yang selalu ronda depan rumah menyapa.

"Tak, itu kobis.  Yang berlubang-lubang tu green bok choy."  saya jawab, memulakan perbualan tentang gardening.

Mr Chong, mula berlabuh dan pebualan bermula, "Itu lubang-lubang, kerja belalang kah?  Apa pasal tak sembur?, ohhh mau organik ya?"

"Tak apalah Chong, lubang-lubang tak ada racun lagi baik dari cantik tapi ada racun.  Dulu ada saya sembur air sabun dengan minyak masak.  Ok juga, menjadi.  Tapi kali ni mau cuba kerengga lah."

"Kerengga?  Tak sengat kah?" Tanya Mr Chong waswas.

"Kerengga mana ada sengat, kalau dia marah pun setakat gigit aja, lepas tu kencing.  Tapi kerengga boleh tolong.  Tengok ni daun baru, sedah ok."

"Ya lah.... Sayur baru sudah ok.  Eh itu putih-putih kerengga angkut, anak dia kah?"

"Mana?  Owh bukan, itu ulat sampah.  Sudah berapa hari orang angkut sampah tak datang, semua sudah berulat. Nasib baik ada kerengga, kalau tidak depan rumah ni jadi tempat biak lalat."

"Ya lah.  Hey saya jalan dulu, nanti singgah lagi, kita teh tarik."  Mr Chong beredar.  Wajah masih waswas.  Mungkin dalam fikirannya, pakai kerengga? Aiya, macam-macam lah Iskandar ni.



Kobis baka summer autumn, tak sempurna tapi oklah.  Organik, bebas racun.

Sawi christmas green pun masih ok.


Nah lihat sendiri, pucuk sawi christmas green yang baru dan hampir sempurna.


Kerengga pun dah perluas domain, pihak kontraktor angkut sampah lambat kutip, sampah dah berulat. Kerengga tolong selesaikan masalah ulat sampah.

Gambar Hari Ini -- Sawi Hijau Hong Kong

Sawi Hijau Hong Kong.  Nimfa (anak) belalang sedang menikmati sawi tersebut. Lihat panah.


Sawi Hijau Hong Kong ditanam dalam bekas panjang bersama ulam raja.  Daun kelihatan sempurna.
Dua hari ini hujan renyai-renyai.  Bila hujan, tanaman pun kelihatan subur sedikit sebab tanah lembap secara menyeluruh.  Sawi hijau hong kong pun kelihatan elok.  Serangan belalang dah kurang, tak macam batch sawi christmas green dan kobis, teruk dikerjakan belalang.