Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Selasa, 29 Januari 2013

Stok Benih -- Cili Solok 639 telah habis stok

Cili solok baka 639 telah habis stok.  Harap maklum.


Isnin, 28 Januari 2013

Gambar Oleh Rakan Tanamsendiri -- Sir Syahmi

Hari ini saya pamerkan gambar yang dikirim oleh Sir Syahmi.  Kalau melihatkan rupa bunga, ini adalah dari baka besar.  Bunga ini berbeza daripada bunga yang berada di pasaran sebelum ini kerana batang pokok bunga matahari dari jenis ini agak halus.  Jika disuap dengan baja yang secukupnya sebelum pokok berbunga, ia akan menghasilkan bunga dengan saiz yang besar.  Dari pengalaman saya, ini menjadi masalah kerana saiz bunga yang besar tidak mampu ditampung oleh pokok.  Kebanyakan pokok yang saya tanam patah atau tumbang.  Yang tinggal hanya pokok yang mempunyai saiz bunga yang sederhana.

Saya perhatikan dari gambar yang dikirim oleh Sir Syahmi, saiz bunga yang dihasilkan sederhana dan sepadan dengan saiz pokok, jadi tidak perlu pasang pancang.      

Pokok ditanam menggunakan medium sabut kelapa, tanah hitam, dan zeolite, iaitu baja yang diproses daripada tanah gunung berapi.  Ia adalah terdiri daripada batu poros yang mampu menyerap nitrogen dan oksigen daripada udara, iaitu bahan yang diperlukan oleh tumbuhan.  Zeolite bertindak sebagai soil conditioner.


Semaian bunga matahari.  Gambar milik Muhammad Syahmi, msyahmi1985@gmail.com 




Bunga matahari dengan kelopak panjang dan kurus, ciri unik baka giant.  Ia menghasilkan biji benih yang bersaiz besar berbanding jenis yang lain.  Gambar milik Muhammad Syahmi, msyahmi1985@gmail.com 

Bunga matahari yang baru kembang, Gambar milik Muhammad Syahmi, msyahmi1985@gmail.com 

Bunga matahari yang sedang mekar. Gambar milik Muhammad Syahmi, msyahmi1985@gmail.com 
Saya ada menerima sampel Zeolite kiriman Sir Syahmi.  Bahan tersebut saya gunakan pada pokok bunga telang.  Selepas seminggu saya dapati bunga yang dihasilkan mempunyai warna yang lebih pekat serta kelopak yang lebih besar.

Soalan Pengunjung -- Cara Menyemai


Alhamdulillah, benih selamat sampai di tangan saya. terima kasih.

Saya ada persoalan. saya akan ke luar negara 2minggu bermula 5 feb sehingga 19 feb, soalannya:

1. Saya mohon tunjuk ajar dari En. Iskandar dalam menanam benih2 ni, sbb sy tak pernah menanam apa2 pokok kecuali taugeh. hehehe.
2. Boleh kah sy semai benih minggu ini dan bagaimana nak kendalikan (siram/baja etc) selama ketiadaan sy di rumah selama 2 minggu nanti? atau kebih baik sy tanam sejurus selepas pulang malaysia? sebenarnya, saya sgt teruja nak menanam! jika boleh, mmg nak tanam malam ni terus!
3. Saya bercadang utk menanam pokok di dalam bekas memandangkan sy hanya menyewa rumah dan bakal berpindah ke rumah lain tak lama lagi. boleh tak En Iskandar senaraikan bahan2 yang patut sy sediakan utk menyemai benih? Saya nak guna kotak kitar semula dari kotak susu dutch lady tu je. boleh, kan?
4.  Bagaimana cara penjagaan setiap pokok yg sy bakal tanam nanti? harap En Iskandar tidak keberatan menurunkan ilmu (atau, jika ada link dari blogtanamsendiri.com yang boleh sy rujuk)

Rasanya itu sahaja buat kali ini.
Saya menunggu jawapan dari pihak tuan.

Tentang kiriman

Untuk pesanan yang saya janji hari ini akan kirim pada hari ini Isnin, 28 Januari akan dikirim esok kerana hari ini cuti umum di Selangor.  Harap maklum.

Benih Untuk Dijual -- Jagung Manis Top star, baka f1, 723

Jagung Manis Top star, baka f1, 723.
Jagung jenis ini boleh dituai selepas 60 hari disemai.  Pokok tahan panas dan menhasilkan buah yang mempunyai isi seperti mutiara dengan dua warna iaitu kuning beige dan putih perak.  Ia manis berlemak.  


5 pek RM10.00
Setiap pek mengandungi 10 benih.

Cara Memesan Benih

Mengendali Tanah Secara Organik -- Bahagian 25 Daripada 25


Tanah Beralkali

Tanah beralkali lazimnya ditemui di kawasan yang gersang.  Ia kerana tiada air yang akan menghakis ion beralkali.  Tanah beralkali juga lazim ditemui di kawasan yang lembap seperti di negara kita, Malaysia terutamanya di kawasan berdekatan dengan bukit batu kapur.  Tanah beralkali tidak sesuai digunakan untuk menanam sayur, jika dipulihkan ia sangat elok.

Kesuburan

Tanah yang beralkali lazimnya ringan dan mudah dilarutkan.  Ia kurang subur kerana tanaman gagal menyerap nutrien pada pH yang tinggi.

Lembapan

Tanah beralkali lazimnya poros dan mempunyai saliran yang elok.  Ia perlu ditambah bahan organik untuk meningkan keupayaan menyimpan air.     


Pembajaan

Anda perlu turunkan pH tanah supaya nutrien yang ada di dalamnya  dapat diserap oleh tanaman.  Tambahkan bahan organik dengan kerap kerana bahan organik terurai dengan lebih pantas dalam suhu yang tinggi seperti suhu di negara kita.Aktiviti menambah bahan organik menurunkan nilai pH, meningkatkan keupayaan tanah menyimpan air, serta meningkatkan nilai C.E.C. Anda juga boleh membaiki tanah dengan mencampurkan garam gipsum.

Ahad, 27 Januari 2013

Tanaman Dalam Bekas

Sebenarnya dah beberapa kitaran menanam saya tidak tumpu kepada bertanam dalam bekas.  Pasu dan kotak polistirena yang ada hanya setakat bertahan.  Tiada yang saya tanam secara intensif.  Ada antara bekas polistirena, saya tanam temu pauh dan lempoyang.  Walaupun ruang terhad dan pokok terabai, dah lama tidak dibaja, pokok tetap subur.  InsyaAllah minggu ni tanaman tersebut akan dikeluarkan dan rizom yang elok akan diedarkan dalam tawaran koleksi rizom.

Saya menjadi teringat kembali tanaman dalam bekas polistirena, bila terpandang kotak-kotak gabus yang tersusun di tepi rumah di Broga, yang dipenuhi dengan tanaman sawi, salad dan kailan menanti untuk dituai ketika sambutan Tahun Baru Cina nanti.

Bila tanam dalam bekas, ruang terhad.  Bagaimanapun, dari pengalaman saya, menanam dalam bekas amat praktikal bagi rakan-rakan yang sibuk.  Ini kerana bahan nutrien yang dibekalkan tidak mengalir ke tempat lain, masalah rumpai mudah diselesaikan dan lokasi menanam mudahalih.  

Kalau keadaan tak sesuai, alih aja bekas ke lokasi yang baru.  Kalau cahaya cukup, baja cukup, air cukup, ruang tak menjadi masalah sangat.  Pokok tak berebut kerana akar tak perlu merayap jauh.  Pokok boleh ditanam secara intensif.

Gambar di bawah pernah dipamerkan dalam blog tanamsendiri beberapa bulan yang lalu.  Nah lihatlah sendiri.  Ok kan, tanam dalam bekas?

Pelbagai jenis sayran ditanam secara intensif dalam bekas.  

Benih Untuk Dijual -- Sawi Tangkai Putih, Pai-Tsai

Sawi Tangkai Putih yang gemuk.  Sawi ini sesuai ditanam dikawasan yang panas.  Tuai selepas 45 hari disemai.

Sawi yang rangup, enak dimasak sup atau digoreng bersama bawang putih.  Setiap pek mengandungi 50 biji benih.  5 pek harganya RM10.

Cara Memesan Benih

Sabtu, 26 Januari 2013

Kini Koleksi Benih Tanamsendiri Dah Ada 190 Jenis

Hari ni nak cabut pokok-pokok yang dah tua, nak ganti dengan tanaman yang baru.

Nak tanam apa ya?

Bila tengok aja laci-laci kecil tu, tak sangka pula.  Rupa-rupanya dah ada 192 jenis benih yang tersimpan dalam koleksi.  Mulalah kemaruk tak tanam macam-macam padahal tanam tepi rumah aja.  Tapi seronok juga, macam pergi shopping kat department store yang besar-besar, nak apa semua ada. :P

Hmmmm.... Macamana kalau nak tanam terung?  Ada 11 pilihan.  Terung mana yang best yer?  Semua best kalau tanam sendiri sebab petik dan makan segar.

Cili?  Nak cili Yong Peng, Cili Kulai, cili Abang pun ada.  Jangan main-main.  Don't play play with fire coz we are hot!?

Oklah tanam bayam jer lah.  Nak bayam merah sisi, merah tengah, bulat, panjang, tajam.... Fuh semua ada!

Sawi? Nak sawi kecik aja.  Nak cicah sambal.  Ok, extra dwarf ada. Nak yang kecil, sawi renek ada. Nak tangkai halus, tangkai kasar, hijau, putih, wangi, pahit, rangup?  Semua ada.  Ada berapa?  Errrr... Adalarrrr dalam 20 jenis.

Rasanya nak tanam kailan larr, ada berapa jenis?  Nak OP, oops, maksud saya heirlooom? Nak yang daun besar, daun kecil, batang besar, batang kecil, berbunga, blue field?  Ada.  Nak yang Taiwan? Malaysia? Jepun?  Hong Kong? Semua ada.

Ish ish ish.... Khabarnya kobis susah sikit kalau tanam tempat panas.  Tak menjadi bola.  Tak apa larrrr asal sedap dimakan.  Nak kobis cina jenis cos? Jenis tertutup? Jenis terbuka? Hijau? Merah? Semua ada.  Rasanya pun best.

Nak tanam timun.  Nak masak nasi lemak sendiri. Nak yang paling best sebab nak ambik ati mak mentua.  Nak yang rangup, yang besar, yang jepun, yang siam, yang muda, yang tua?  Yang batu pun ada.  Tak payah susah-suah buat pancang. Kalau biar merayap di tanah, buah lagi besar.

Hubby suka kacang panjang.  Dia suka yang macam ular tu.  Ada! Nak traffic light? Adaaaa!  Yang ungu?  Yang itu belum ada, kena pergi cari kat Bangladesh dulu.  Nanti larrr pujuk abang-abang dari Bangladesh, suruh bawak benih bila datang nanti.

Rasa nak makan ulam tapi I ada selera Italy larrr... I mean Mediterranean dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya.  Boleh, macam-macam Basil ada dalam koleksi dan masih cuba-cuba nak tambah koleksi.

Hah! Apa? Bayam Arab?  Itu mahu counter itu ana funya lawanlarr.  Owh itu mulukhira, ada.... Tapi ente punya lawan pun ada, mereka panggil, bayam yahudi.  Ish ish ish, nama bayam pun mau gaduh ka?

Saya mahu tanam bawanglah.... Nak tanam bawang, saya ada bebawang yang tersimpan, tapi kang marah pulak kalau jual.  Pergi beli bawang kat Tesco lah, baru tanam.  Kalau nak yang special sangat, ada berani, boleh tanya.  Buat sementara ni tanam kuchai larr dulu.  Susah sikit nak tumbuh.  Saya dah test, ambil masa 2 minggu untuk tumbuh kukuh, bukan untuk mereka yang tak sabar.

Saya mau bendi, yang buah muda sampai sekaki. Ada?  Adaaaa, itu bendi singa.  Yang buah lebat?  Adaaa.... Itu bendi emas.  Ada satu lagi bendi lebat, kulitnya licin macam siapa tu?  Tapi belum masuk senarai. tapi adaaaa..... takmo larrr, nak yang kampung aja.  Adaaaa!

Ok, roselle ada?
Ada.

Bunga telang?
Ada.

Bunga telang putih?
Nak buat apa, kan nak tuai bunga buat pewarna.  Kalau putih kang kecewa kang. Tak mo jual yang putih.

Betik yang rendah tapi buah besar ada?
Ada.
Betik yang tinggi tapi buah kecil?
Ada.

Betik yang tinggi dan buah besar?
Adaaaa....

Ketumbar?
Ada.

Celery?
Ada, tapi jangan makan benih buat pelebat rambut, sebab benih ni direndam antifungal.  Kang elok-elok botak tengah terus botak semua.  licin macam gelanggang ice-skating.

Pst, bang, itu biji yang besarkan mem punya, yang orang letak dalam nasi dagang tu ada?
Apa? Owh halba!

Pssst, jangan kuat sangat.  malu saya.  nak basi mem makan.  Nak tarok dalam kapsul, cakap kat dia pil vitamin C.

Alamak!

Ada, tapi semailah.  Jangan bagi makan benih tanamsendiri.com, saya dah celup antifungal.  Tuai dulu, nanti  tuai cambahannya, buat masak.

Psst bang, yang untuk lelaki ada tak?

Tak ada.  Mem marah tanam.  Dia kata, nanti dia tak boleh ambik MC.  Owh.... dah berumur.  Bengkak prostate yer?

Alamak bang, jangan kuat sangat....

Ada, nak jenis mana, macam-macam ada.  Biji labu manis.  Semai dulu.  dah berbuah nanti, makan bijinya.  Biar surut apa-apa yang bengkak tu.

Jagung?
Ada, nak yang macamana? Kuning susu, berkilau, satu warna, dua warna?  Semua ada, semua manis manis!

Habis tu, balik semula ke topik asal, tak tanam apa ni?  Makeup your mind.  Nanti matahari dah tinggi, panas pulak!

Mengendali Tanah Secara Organik -- Bahagian 24 Daripada 25


... Tanah Liat


Lembapan

Tanah liat mampu menyimpan air yang banyak dan mengambil masa yang lama untuk kering.  Ini suatu kelebihan jika berlaku kemarau.  Bagaimanapun, jika hujan, tanah mudah bertakung. Gumpalan dalam tanah liat juga akan pecah jika berendam terlalu lama.  Ini boleh merosakkan struktur tanah.

Permukaan tanah liat juga mereka dengan mudah di musim kemarau.  Rekahan akan meningkatkan luas permukaan tanah yang terdedah.  Ini meningkatkan kadar sejatan pada permukaan tanah.  Tanah akan menjadi lebih cepat kering jika dibandingkan dengan tanah yang tidak merekah.  Tanah yang merekah juga lebih sukar dilembapkan semula kerana apabila disiram, air akan mengalir melalui rekahan dan disalirkan keluar daripada kawasan siraman.

Jadi, seboleh bolehnya, elakkan permukaan tanah daripada merekah.  Siram tanah yang kering sebelum ia merekah.  Atau, kerjakan tanah dengan segera.

Pembajaan

Tambahkan baja organik yang telah reput dengan sempurna untuk membaiki sistem saliran dan sistem pengudaraan tanah.  Kadangkala, saya ada syorkan kepada rakan-rakan supaya tambahkan pasir ke dalam tanah.  Ini adalah untuk semaian kerana saya ingin pastikan tanah semaian tidak terlalu rendah pHnya.  Untuk tanah untuk tanaman besar, elok ditambah bahan organik.  Ada buku yang saya baca mengesyokan supaya ditambah pasir ke himpunan kompos, sebelum digaul dalam tanah liat.  Saya tidak pasti apakah tujuannya, tapi boleh juga dicuba.

Apabila anda tambah bahan organik, nilai keseluruhan pH tanah akan turun kerana bahan organik berasid. Untuk tingkatkan semula pH, tambahkan serbuk kapur.  Ia bukan sahaja tingkat nilai pH, malah dapat meningkatkan mutu struktur tanah.

Tuaian Hari Ini -- Terung, Bendi, dan Bayam

Tuaian hari ini, bendi, bayam, dan terung.
Tuaian hari ini adalah baki daripada tanaman yang dah tua.  Pokok terung dah renggeh dan sebahagian besar daripada rantingnya dah mati.  Pokok bendi juga dah tak banyak daun.  Walaupun buah masih lebat, tapi daunya dah kurang dan bersaiz kecil.  Sebahagian daripada pokok tumbang kerana saya tidak memasang pancang.  Saya akan semai pokok yang baru.

Jumaat, 25 Januari 2013

Gambar hari Ini -- Bunga Kantan

Bunga Kantan
Bunga kantan yang sedang mekar.  Saya petik bunga ni untuk dijadikan salad.  Mmmmm best.

Rizom belum menjadi banyak.  Bila banyak nanti akan disenaraikan dalam benih untuk dijual.  niatnya minggu depan nak tawarkan koleksi rizom; temu pauh, temu kunci, temu hitam, halia bara, cekur, lempoyang, ... Kalau larat menggali.



Makhluk Perosak -- Belalang Kunyit


Nimfa belalang kunyit pada ranting pokok tulasi. 

Wah seronoknya belalang kunyit (nimfa) lepak kat ranting-ranting pokok tulasi.  Bila dikira, belalang dewasa dan nimfa, ada 30 ekor semuanya.  Saiz belalang ini besar berbanding belalang yang lain.  Saiz yang ada dalam gambar ini ialah kira-kira 8 cm.  Tapi jangan risau, tiada pokok sayur daun yang menjadi mangsa makhluk perosak ni.

Kalau dilihat secara mata kasar, ada orang kata, buang aja pokok tulasi tu, nanti tiadalah belalang!  Tak, tak semudah itu.  Kerana pokok tulasi inilah sayur selamat daripada menjadi habuan belalang kunyit.  Ini kerana, belalang kunyit akan memilih pokok tulasi jika dibandingkan pokok sayur.  Jadi semua pokok sayur selamat daripada menjadi habuan belalang.  Pokok tulasi saya jadikan buddy yang menjaga pokok sayur daripada serangan makhluk perosak.

Saya hanya perlu kutip belalang tu.  Tak perlu meracun.  sayur selamat, kami sekeluarga pun selamat.

Dalam hati terlintas pula, kalau satu pokok dapat kutip nimfa 30 belalang kunyit yang besar dan "juicy", bayangkan kalau ada 100 pokok.... Hmmmm.... kalau ikut flat rate aja kira-kiranya, 30 kali 100, 3000 ekor.  Sugar glider gemar makan belalang.  Kalau jual kat pet store berapa sekilo ya?  Dulu ada tauke pet store minta, dia kata RM75 sekilo.  Dia jual sebagai makanan sugar glider dan ikan arowana.  Kalaulah seekor 10g, congak congak, 100 ekor 1 kg.  30 kilo jadi    RM2250.  Ish ish ish angan-angan Met Jenin yang pulak aku ni.

Tak tak.  Saya bagi ikan yang saya bela kat kolam tu makan. He he.  

Khamis, 24 Januari 2013

Makanan dan Musim Perayaan


Saya ni selalu aja terlepas.  Niat nak buat macam-macam tapi "dok dang" kata orang Ganu.  Apa lagi yang saya terlepas kali ni?  

Secara sedar atau tidak, kita kaitkan musim perayaan dengan makanan.  Hari raya, rendang, ketupat, tapai, bulan puasa, walaupun sepatutnya kita berlapar dan berjimat, masa tu lah sebahagian daripada umat Islam berselera besar.  Kalau masa biasa tak termakan terubuk sebab bertulang, masa inilah telan dengan tulang-tulang, nak makan semua nak makan macam ular sawa, lepas tu terpukang dan hanya separuh makanan dimakan, yang selebihnya dibuang, musim perayaan Christmas, terlintas nak makan ayam belanda, masa deepavali, melantun muruku masuk mulut.  Perayaan apa lagi ya, oh ya, musim kawin, nasi minyak.  Tahun Baru Cina, kuih bulan, sawi eksotik!

Sayur putih Ong King.

Sawi hasil dari tanaman dalam bekas.

Sawi hijau yang ditanam dalam pasu.


Saya merujuk kepada semua ya.  Tahun lepas sewaktu begini, di pekan Broga mana-mana ruang dipenuhi kotak gabus berisi pelbagai jenis sawi untuk makan besar.  Ia suatu tradisi.  Ya, perayaan sedar atau tidak, diraikan secara universal dengan makan.  Terlintas juga dalam hati, bila dekat-dekat dengan musim perayaan, nak promote benih yang berkaitan dengan perayaan tersebut.  

Inilah yang saya kata terlepas lagi.  Sebab Tahun Baru Cina dah dekat, kalau promote pun pasti tak sempat tuai.  Benih sawi dalam koleksi tanamsendiri adalah antara sawi yang ditanam untuk makan besar.  Kata seorang warga Broga, ini sawi benih special, susah nak dapat.  Betul tu.  Dan rakan-rakan hanya boleh dapatkan koleksi yang extensive hanya di tanamsendiri.com

Berikut adalah senarai benih sayur daun yang sesuai ditanam dalam bekas.

Salad butterhead
Salad Cina, Chinese Lettuce
Salad Green Parade, baka F1, 633
Salad Hawaii Baka F1, 7799
Salad Loose Leaf Summer Green baka 2288
Salad Merah Firery Red
Salad Titanic
Salad Top World, baka f1, 575
Salad, Marilyn

Sawi Bunga 007, Yangtze, Shanghai Caixin
Sawi Bunga, 008, Wang Bujang, Shanghai Caixin
Sawi Hijau Hong Kong. 903
Sawi Hijau JB-777
Sawi Hijau JB-888
Sawi Hijau/Bakso
Sawi Hong Kong, baka F1 007
Sawi Kai Choy Wangi
Sawi Kerinting
Sawi Menang
Sawi Nai You Pak Choy, Fair Lady Extra Dwarf, baka f1, 330
Sawi New Jade, Fan Pak Choy, baka f1, 277
Sawi Pahit
Sawi Pak Choi
Sawi Pak Choy Dwarf Green, baka f1 402
Sawi Renek baka f1, 603
Sawi Renek Christmas Green
Spinach

Kailan OP
Kailan 117
Kailan 55

Kobis Cina (Sayur Putih) Ongking
Kobis Cina 636
Kobis Cina 663

Kobis
Kobis Hijau (Summer Autum)
Kobis Merah Sunny Side

Lobak kampung

Benih Untuk Dijual -- Sawi Hijau, JB-777

Sawi batang hijau dengan batang yang halus.  Enak dimasak sebagai rencah dalam nasi goreng dan mee goreng, sup dan bakso.  Ia juga enak digoreng bersama bawang putih.  Sawi dituai dalam masa 4 hingga 5 minggu.  1 pek mengandungi 150 hingga 200 biji benih.  5 pek dijual dengan harga RM10.

Cara Memesan Benih

Resepi -- Jagung Panggang

Jagung panggang boleh dibuat dengan menggunakan pemanggang (griller) atau oven.  Seeloknya tuai jagung sebelum pokok kering.  Buka kulit luar dan lihat bijinya.  Jika dah berisi boleh di tuai (iaitu selepas 60 hari).  Saya terkilan sedikit kerana tunggu sehingga pokok kering.  Isinya dah kering dan berkanji sedikit.

Jagung panggang memang pernah menjadi kegemaran saya dan ayah kerana ketika di zaman kanak-kanak dulu, selepas berkebun, ayah akan buat unggun api dan akan letakkan beberapa buah jagung di dalam api tersebut.  Selepas menikmati jagung tersebut barulah kami pulang.

Jagung Manis tanamsendiri dari baka Taiwan.


Bahan diperlukan
Jagung tanamsendiri,
Mentega,
Garam

Alatan
Pemanggang, atau oven



Cara Membuat
1. Buka lapisan kulit dan keluarkan buah jagung.
2. Asingkan dan buang bulunya.
3. Sapukan mentega pada seluruh buah jagung.
4. Taburkan sedikit garam.
5. Basahkan kulit jagung dan masukkan semula buah jagung ke dalam kulitnya dan ikat hujungnya menggunakan tali yang dibuat dari kulit jagung yang disiat.
6. Masukkan ke dalam oven dan panaskan pada 250 o F    selama 20 minit atau panggang degan api sederhana selama 30 minit.  Jika guna pemanggang, balik balikkan jagung.

Panggang selama 20 minit pada 250o F.


7. Hidangkkan ketika masih suam.

Jangung Panggang Tanamsendiri, enak dihidangkan ketika minum petang.

Mengendali Tanah Secara Organik -- Bahagian 23 Daripada 25


Tanah Liat

Tanah liar berat kerana zarahnya halus.  Ia sukar dikerjakan.  Bagaimanapun, jika anda tekun, tanah liar subur dan amat produktif.  Kebiasaannya tanah liat yang ideal mengandungi lumpur antara 20% hingga 35% daripada jumlah isipadu tanah.

Zarah tanah liat sangat halus, jadi nilai C.E.C. nya tinggi.  Ciri ini membantu tanah menyimpan nutrien,sebab itu tanah liat subur.  Zarah-zarah tanah lumpur juga mudah membentuk gumpalan.  ini meningkatkan mutu struktur tanah tanah, terutamanya sistem pengudaraan.

Tanah lumpur amat kaya dengan nutrien.  Anda hanya perlu melaraskan nilai pH supaya nutrien tersebut dapat diserap oleh tumbuhan.

Struktur

Akar sukar menembusi tanah liat kerana liang-liang di dalam tanah liat terlalu halus dan tanah pula terlalu mampat.  Ini dapat dibaiki dengan menambah bahan organik ke dalam tanah.

Kultivasi

Tanah liat mudah rosak jika dikerjakan dengan cuai.  Ini kerana tanah liat mudah dikerjakan dalam julat kelembapan yang tipis.  Tanah liat yang kering hampir mustahil dkerjakan kerana ia keras dan akan pecah menjadi ketulan yang besar apabila dicangkul atau dibajak.  Apabila ketulan diketul ia akan menghasilkan debu.  Bila debu ini basah ia akan membentuk ketulan yang keras seperti batu, seakan-akan simen yang dibasahkan dan dikeringkan.

Tanah liat yang basah juga sukar dikerjakan.  Ini kerana gumpalan akan pecah zarah-zarah yang halus dan secara tidak langsung merosakkan struktur tanah.  Tanah yang dikerjakan pula melekit dan mudah mampat.

Tanah liat elok jika digali dua kali dan ditambah bahan organik dan kalsium.  Bina batas untuk gemburkan tanah supaya sistem pengudaraan menjadi bertambah elok dan untuk mengelakkan ia menjadi mampat dengan mudah.  

Stok Benih -- Bunga Matahari habis Stok

Bunga matahari dari baka OP telah habis stok.  Buat mmasa ini semua jenis bunga matahari telah habis stok.  Benih bunga matahari akan dikeluarkan daripada senarai benih untuk dijual sehingga kami mendapat stok yang baru.

Rabu, 23 Januari 2013

Benih Untuk dijual -- Jagung Manis Baka Taiwan

Jagung manis hibrida baka Taiwan ini menghasilkan buah yang besar, padat, dan lemak manis.  Isinya berwarna kuning/oren.  Buah dapat dituai selepas 60 hingga 80 hari selepas disemai.  Jangan lepaskan peluang.  Bilangan benih adalah terhad.

Jagung Manis Taiwan


1 pek mengandungi 10 biji benih.  5 pek dijual dengan harga RM10.

Cara Memesan Benih

Selasa, 22 Januari 2013

Benih Baru

Selain daripada benih salad Marilyn, hari ini saya ada menerima beberapa benih sayur.  Antara benih yang saya maksudkan ialah benih kailan tokyo (kalau melihat gambar yang dibekalkan oleh pembekal benih, cantik kailan ni).  Tapi harganya juga cantik.  Tapi harganya 10 kali ganda kailan F1 sebelum ini.  Mungkin saya akan jual dalam bentuk tawaran bersama kailan yang lain.  Buat masa ini ada 4 jenis kailan.

Saya juga ada menerima benih bayam dari kultivar yang baru.  Ya, ia juga bayam F1.  Mungkin boleh jual dalam bentuk koleksi.  Dah 6 jenis tu.

Selain dari itu saya juga ada menerima 2 jenis sawi yang baru, iaitu sawi JB-777 dan sawi yang ditanam untuk hotel 5 bintang.  Harga sawi ini amat mahal berbanding sawi sebelum ini.  Melihatkan gambar sawi ini, ia memang cantik.  Ia akan ditawarkan dalam satu pakej bersama sawi yang lain. Kalau diperhatikan sekarang dah ada 18 jenis sawi dalam koleksi.   Nantikan tawarannya.  Kalau lambat respons, nanti tak merasa. :)

Benih baru lain yang ada ialah benih  Cili Abang 9000, benih betik eksotika dan benih betik sekaki.

Stok Benih

Benih tulasi dan benih mamam telah habis stok.  Benih akan dikeluarkan daripada senarai benih untuk dijual sehingga stok baru diperolehi.  Harap maklum.



Mengendali Tanah Secara Organik -- Bahagian 22 Daripada 25


Tanah Keladak

Jarang tanah kaya dengan keladak. Walaupun begitu, jika tanah di kwasan rumah kaya dengan keladak, zarah-zarah keladak mempengaruhi ciri tanah dengan ketara.  Tanah keladak mempunyai tekstur antara pasir dan tanah liat.  Ia amat elok untuk kebanyakan jenis tanaman.  Ini kerana tanah keladak mempunyai sistem pengudaraan yang elok dan ia lebih mudah dikerjakan.
Oleh kerana tanah keladak mempunyai nilai C.E.C. yang rendah, nutrien mudah dilarutkan dan dibawa air.

Struktur Tanah Keladak

Zarak keladak terlalu besar untuk menggumpal.  Jika ia menggumpal pun, gumpalan mudah pesah apabila terkena hujan.

Kultivasi

Tanah keladak mudah mampat jika dikejakan (misalnya dicangkul) ketika hujan atau ketika tanah basah.  Oleh sebab itu, tanah keladak elok dikerjakan di musim kering.

Lembapan

Tanah keladak menyimpan lebih banyak air berbanding tanah berpasir.  Ia masih mempunyai ciri saliran yang elok.

Pembajaan

Tambahkan baja kompos untuk membaiki strukturnya.  Anda perlu kerap membaja kerana nutrien mudah dilarutkan dan dibawa air.

Isnin, 21 Januari 2013

Gambar Hari Ini -- Patch Sawi

Patch sawi dengan semaian baru.
Nampaknya tanaman di keliling rumah dah kena semai semula. Sayur daun hanya tinggal beberapa pokok kailan op dan sawi christmas green.  Pokok lain yang boleh dijadikan sayur hanya pucuk labu manis fajar, daun cekur manis, dan mucuk moringa.
Patch sawi yang kecil tu pun baru disemai semula.  Masih ada tiga pokok sawi christmas green dan beberapa anak pokok bayam putih daun bulat sedia untuk dituai.  Semaian baru termnasuk bayam merah red field dan sawi hijau hong kong.

Benih Untuk Dijual -- Bayam putih daun bulat, F1 baka 423, amaranth



Setiap pek mengandungi 1/8 sudu teh iaitu purata 100+ biji benih.  5 pek RM10.00
Pesan melalui emel, iskandar.abdulrashid@gmail.com

Benih Bayam Putih Daun Bulat bakan 423

 
Cara Memesan Benih
Benih Untuk Dijual

Benih Untuk Dijual -- Bayam Hijau Daun Tajam, baka f1, 088

Bayam Hijau, Daun Tajam, baka f1, 088
Setiap pek mengandungi 1/8 sudu teh atau 100+ biji benih secara purata.  5 pek RM10.00

Anak bayam hijau daun tajam, hari ke 14.



Cara Memesan Benih
Benih Untuk Dijual

Benih Untuk Dijual -- Bayam Daun Panjang, Baka 933

Bayam Daun Panjang, baka f1, 933 Setiap pek mengandungi 1/8 sudu teh atau 100+ biji benih secara purata. 5 pek RM10.00

Cara Memesan Benih

Benih Untuk Dijual -- Bayam Merah 788, Autumn

Bayam Merah baka 788,  Autumn adalah bayam dengan daun berwarna hijau dengan tengah (sekitar urat daun) berwarna ungu bercampur merah.  Bayam ini popular di negara kita.

Bayam Merah Autumn, bahagian tengah daun berwarna merah dengan sempadan hijau. 


Setiap pek mengandungi purata 100+ biji benih.  5 pek dijual dengan harga RM10.



 

Benih Untuk Dijual -- Bayam Merah Red Field, N888

Bayam Merah Red Field adalah bayam yang seluruh pokok berwarna merah maroon.  Bayam boleh dimasak seperti biasa dan jika direbus ia menghasilkan cecair berwarna merah.  Di Amerika Syarikat, bunga bayam ini digunakan sebagai pewarna makanan,  sama seperti kita gunakan bunga telang.


Bayam Merah Red Field



Setiap pek mengandungi 100+ biji benih.  5 pek dijual dengan harga RM10.

Cara Memesan Benih

Ahad, 20 Januari 2013

Mengendali Tanah Secara Organik -- Bahagian 21 Daripada 25


... Tanah Berpasir

Lembapan

Tanah berpasil tidak mampu menyimpan air yang banyak.  Jika menanam di musim kring elok siram sedikit tapi kerap.  Jika buat batas berpasir, bina batas yang rendah sahaja, jika tidak ia akan kering dengan cepat.

Pembajaan

Bahan organik amat penting kepada tanah sebegini.  Ia menambah keupyaan tanah berpasir untuk menyimpan lembapan serta meningkatkan nilai C.E.C.  Ia juga membantu zarah-zarah yangf kasar untuk membentuk kematu.  Tanah berpasir perlu dibaja selalu untuk menggantikan nutrien yang terlarut yang dibawa air.

Gambar Oleh Rakan Tanamsendiri -- Hadi Md Amin

Gambar hari ini adalah dikirim oleh Sdr Hadi Md Amin.  Benih diperolehi daripada blog tanamsendiri.com.  Saya perhatikan tanaman Sdr Hadi sangat cantik.  Gambar ini sebenarnya dah lama dikirim.  Saya ingin post gambar tersebut bila highlightkan timun kerana kini tanamsendiri ada menyimpan 7 jenis timun.   Sekarang adalah masa yang elok untuk tanam timun (di kawasan saya) kerana musim serangan kekabuh timun telah berakhir.  

Saya perhatikan pokok milik Sdr Hadi amat subur tanpa seragan makhluk perosak yang ketara.  Jika pokok sedang berbunga atau berbuah, pastikan pokok disiram dan sebelum disiram, pokok tidak kering.  Ini kerana buah timun memerlukan air yang banyak.  Jika pokok kering ketika berbunga, bunga akan luruh.  Jika berbuah, kebiasaannya pokok akan mati.

Pokok Timun yang sedang berbuah.  Gambar milik Hadi Md Amin - adie4030@yahoo.com

Pokok Timun yang subur tanpa kesan serangan kekabuh mentimun.  Gambar milik Hadi Md Amin - adie4030@yahoo.com

Sabtu, 19 Januari 2013

Gambar Oleh Rakan TanamSendiri -- Lavender Novella

Hari ini saya poskan dua gambar kiriman rakan pengunjung blog ini iaitu Lavender Novella.
Gambar pertama ialah bunga kemunting cina dan gambar kedua ialah ros jepun.  Kemunting cina lazimnya ditanam menggunakan biji benih manakala ros jepun ditanam menggunakan keratan batang.

Kemunting Cina, gambar milik lavendernovella@yahoo.com.

Ros Jepun, gambar milik lavendernovella@yahoo.com

Jumaat, 18 Januari 2013

Tuaian Hari Ini -- Bunga Telang

Bunga Telang
Bunga telang boleh dijadikan pewarna asli.  Biasanya ia digunakan untuk mewarna makanan, misalnya nasi kerabu, sirap biru.  Keistimewaan menggunakan bunga telang sebagai pewarna makanan ialah rasanya yang lembut.  Bunga ini dituai untuk dimakan bersama salad.
Ada juga yang keringkan bunga telang untuk dijadikan teh.  Dari kajian yang dibuat, teh bunga telang mampu menurunkan kandungan gula dalam darah.  Jadi ia sesuai untuk pengidap diabetik untuk menurunkan kandungan gula dalam darah.  Jika rakan seorang pengidap diabetis, boleh amalkan meminum teh bunga telang.  Pastikan mendapat nasihat doktor terlebih dahulu.

Mengendali Tanah Secara Organik -- Bahagian 20 Daripada 25


...Tanah Berpasir

Struktur

Tanah yang mengandungi nisbah kandungan pasir yang tinggi tidak menghasilkan kematu (agregat) yang stabil. Struktur tanah menjadi kurang elok kerana tanah menjadi terlalu longgar.
Kultivasi
Tanah berpasir mudah dikerjakan kerana tanah ringan.  Ia mudah digali.  Oleh kerana ia tidak mampat dan mudah digali, tanah berpasir elok untuk tanam ubi.  Anda tidak perlu tambah bahan untuk pengudaraan kerana tanah berpasir mempunyai udara yang cukup. 
Sebeum menanam, tambahkan banyak bahan organik.  Pastikan bahan organk dibenamkan dalam dalam tanah, hingga 30 cm.

Soalan Pengunjung -- Cambahan Mati

Encik Iskandar,
Mengapa pokok bunga matahari dan zinnia yang saya tanam mati selepas beberapa hari pokok bercambah?  Saya sembur dengan air 2 kali sehari sehingga tanahnya basah.  Tak mungkin pokok mati kerana kurang air.  Saya letak cambahan di tempat yang tidak cerah dan tiada aliran udara, iaitu di bawah rumah.  Dari 30 cambahan bunga matahari, 20 telah mati.  Cambahan zinnia mati semuanya.

---------------------
Rakan-rakan boleh berikan pendapat.


Khamis, 17 Januari 2013

Soalan Pengunjung -- Putik Bunga Gugur


Salam En. Is,
 
Saya nak tanya perkara yang amat membingungkan saya ni.  Semua pokok cili, timun dan kacang
botor saya sihat, daunnya segar segar dan berbunga tapi bunga/putik semuanya gugur tak lekat.
Bunga pokok kacang botor pun belum kembang tapi dah gugur juga.  Saya peninglah.
Baja bunga, baja buah, nitrogen, kompos tea, Epsom salt, kisaran ikan semua saya dah letak.  Pokok
tak ada serangan serangga perosak tapi bila berbunga semuanya gugur, putik mentimun
jadi kuning, bunga tak sempat nak kembang dah pun gugur ke bumi.
 
Saya rasa macam dah give up dah ni.....modal pun dah banyak keluar, tapi hasil tak ada.
Dah tak tau apa nak buat lagi. Kecik rasa hati....Boleh tolong advise? 
 
Kalu boleh tolong publish soalan dan jawapan en di blog Tanamsendiri.  Mungkin ada diluar
sana yang senasib dengan saya.
 
Wasalam. Banyak terima kasih.

-------------
Ada tak rakan lain mengalami masalah yang sama.  IWong mungkin boleh pinpoint apa masalahnya?

Rabu, 16 Januari 2013

Kiriman Poslaju Untuk Set basil Lewat

Sebahagian daripada kiriman poslaju untuk pesanan set basil dan benih yang dijanjikan pada 15 Jan dan 16 Jan hanya sempat diisi pada hari ini.  Jika no trekking yang diberikan masih belum dapat ditrace, pek rakan-rakan adalah antara pek yang belum sempat diproses.  InsyaAllah pek akan dikirim pagi esok.  

Makhluk Perosak -- Ulat

Ulat sedang memakan buah tomatillo.
Pokok tomatillo diserang ulat, saya syak dari kumpulan pelombong daun, larva dari jenis kupu-kupu.  Walaupun kelambu buah tidak rosak, setiap satu buah ada seekor ulat.  Saya buang semua pokok tomatillo supaya kitar perosak ini putus dan semai pokok yang baru.  Nampaknya lagi 6 minggu baru dapat menikmati semula buah tomatillo.

Mengendali Tanah Secara Organik -- Bahagian 19 Daripada 25


Tanah Berpasir

Tanah berpasir adalah ringan dan mempunyai saliran yang elok.  Ia juga cepat panas, terutamanya dalam pukul 10 pagi hingga petang.  Nilai C.E.C. juga rendah.  Ini bermaksud, nutrien cepat dilarutkan dan tanah menjadi gersang.  Oleh kerana kurang upaya sebagai penimbal, tanah berpasir juga mudah berubah pH dengan nilai yang tinggi apabila bahan berasih atau beralkali ditambah.  Tanah berpasir juga mempunyai udara yang terlalu banyak, menyebabkan bahan organik yang ada di dalamnya cepat dioksidakan.

Gambar Hari Ini -- Putik Bunga Labu Fajar


Putik bunga labu fajar


Putik buah labu fajar yang baru luruh bahagian bunga.  

Pokok Labu Fajar yang di tanam seberang jalan dah mula berbunga.  Sebenarnya saya tak sedar tentang kehadiran bunga sulung betina tersebut.  Bila dah sedar, bahagian kelopak baru saya luruh.  Melihatkan keadaan putik, saya syak ia gagal didebungakan dan akan luruh tidak lama lagi.

Bagaimanapun ada satu lagi putik bunga betina.  Apabila mekar nanti ia akan didebunga secara manual. Buat masa ini semua bunga jantan yang mekar akan dikumpulkuan sebelum makhluk perosak sempat bertelur di dalamnya.  Jika sempat bertelur, bahagian dalam bunga jantan akan dipenuhi berengga (maggot) yang akan makan debunga.

InsyaAllah tak lama lagi akan dapat merasa semula labu manis.  Kali ini dari jenis Fajar mempunyai benuk yang sama dengan butternut.

Benih Labu Manis Fajar
Tanam Labu Manis

Selasa, 15 Januari 2013

Soalan Pengunjung -- Mengapa Benih Warna Hitam?


Tumpang tanya,
Bendi emas saya dah selamat berbuah, dan masih berbuah, satu daripada buahnya saya keringkan di pokok untuk bekalan biji benih, tapi kenapa biji benih tu tiada warna emasnya. Hitam saja. Mengapa?

---------------------


Sememangnya warna biji bendi yang matang hitam atau kelabu gelap.  Warna emas adalah warna bahan awet yang digunakan supaya benih tahan lama.

Bendi emas adalah jenis hybrid, maksudnya di adalah hasil kacukan daripada bendi yang mempunyai ciri tertentu supaya mendapat ciri yang dikehendaki, dalam hal ini, buah yang lebat dengan kulit seperti baldu.  Anak pokok daripada bendi ini kemungkinan besar tidak akan mempunyai ciri yang sama dengan induknya.  Apa-apa pun, hasil daripada bendi tersebut pasti akan menarik untuk kita discover.

Ada yang berkata, benih hybrid tak boleh digunakan.  Sebenarnya ini tidak benar.  Jika anda penanam komersial, menggunakan anak daripada pokok hybrid tidak digalakkan kerana hasinya tidak sama dengan induknya.  tapi untuk kita hobbyist yang menanam untuk makan sendiri, apa salahnya.  Setiap benih yang diperolehi daripada induk hybrid adalah suatu yang misteri menunggu untuk kita ungkai.

Sebenarnya saya juga ada menyimpan baka bendi buah lebat dengan kulit licin, tapi belum diwarwarkan.


Gambar Hari ini -- Bunga Seri Pagi, Ipomoea

Bunga Seri Pagi (Ipomoea) yang sedang mekar.

Bunga Seri Pagi yang sedang layu.
Bunga Seri Pagi memang istimewa.  Ia kembang hanya di sebelah pagi.  Walaupun kelopak bunga kelihatan nipis, bunga ini tahan lama.  Apabila layupun, bunga kelihatan cantik.  misalnya jenis yang saya tanam, warna bunga biru laut.  Bila layu, warna bertukar menjadi merah jambu.

Isnin, 14 Januari 2013

Mengendali Tanah Secara Organik -- Bahagian 18 Daripada 25


Tekstur dan Jenis Tanah

Tekstur tanah serta kaedah penanaman sangat mempengaruhi kesuburan tanah dan mampu menghasilkan tuaian hingga ke tahap maksima.  Tekstur tanah ditentukan oleh bahan induk dalam tanah.  Jadi kalau tanah kurang sesuai, sukar juga kalau nak tukar tekstur tanah ke tahap optima.  Misalnya kalau tanah liat, untuk ubah tekstur hingga ke tahap optima, anda perlu tambah 1 tan pasir untuk setiap 100 kaki persegi tanah.   Setiap jenis tanah ada masalahnya yang tersendiri.  Kita perlu kerja sedikit untuk baiki tanah tersebut.
Tapi sebenarnya tak lah susah sangat.  kalau tanah tak sesuai, susun aja batu bata atau papan untuk buat sempadan dan isi dengan tanah dengan struktur yang elok.

Gambar Hari ini -- Bunga Tulasi

Bunga Tulasi sedang mekar, kecil tapi cantik.

Bunga Tulasi, warnanya amat menarik.
Pokok tulasi memang hebat.  Bunganya cantik menarik serangga pendebunga.  Bau harum berempah.  Daun menjadi pelindung tanaman lain.  Daun dituai dibuat tisane dan tinture, dimasak dan dibuat ulam.  Sihat, berkhasiat.

Tawaran Istimewa Untuk Peminat Herba

-------------------------------
Tawaran telah tamat dan benih telah yang berkait telah habis stok.  Pesanan dalam proses penghantaran.  InysaAllah kiriman akan diterima esok.  
-------------------------------


Hiasi laman rumah anda dengan pelbagai jenis herba basil.  Pokok boleh ditanam dalam pasu dan amat sesuai dengan iklim di neggara kita.  1 set koleksi basil yang terdiri daripada 5 jenis basil yang mudah tumbuh dan tidak cerewet.  Tawaran mengandungi 15 pek benih basil yang masih fresh dan 1 pek sampel teh basil serta cara membuatnya.  Hanya ada 20 set dalam simpanan.  

Hanya RM30.  Kiriman akan dihantar menggunakan poslaju.  Jimat RM10.  Tawaran berakhir 15 Januari 2013 selagi stok masih ada.


Pelbagai jenis basil di laman rumah saya.
Ya, betultu, jumlah yang perlu dibayar ialah RM30 sahaja.

-----------
Posting asal 12/1/13

Tuaian Hari Ini -- Sweet Basil Untuk Dijadikan Teh (Tisane)

Sweet Basil dituai untuk dikeringkan.
Daun-daun dari ranting yang dituai ini akan dibasuh, diceraikan daripada ranting dan dikeringkan untuk dijadikan teh basil.  Secara teknikal, saya tak boleh sebut teh sebab tiada daun teh di dalam ramuan tersebut.  Ia lebih tepat disebut tisane.

Sampel tisane sweet basil ini akan diedarkan sebagai sample dalam set benih basil yang sedang ditawarkan.  Set tersebut masih ada dalam 8 pek lagi.  Jangan ketinggalan.

Ahad, 13 Januari 2013

Tuaian Hari Ini -- Peria Jantung

Peria jantung sulong sedia untuk kami nikmati.

Peria jantung yang ditanam kawan saya tumbuh sebesar tapak tangan, tapi yang saya tanam hanya separuh saiz yang dia tanam.  Tunggu buah besar tak besar besar, akhirnya buah kuning.  Alamak, dahlah dapat dua biji sahaja.

Bila rasa buah peria ini, alamak! Betul kata kawan saya.

Katanya,

"Sedapnya buah peria ni.  Ini kali pertama anak-anak makan peria mentah buat ulam bersama nasi.  Isinya rangup, tak pahit.  Rasa bersusu. "

Saya jawab,
"Hmmmm...." dengan nada percaya tak percaya. Ya lah, mana ada peria tak pahit!

Bila dah rasa isi peria ni, tergamam.  Memang betul.  Isinya ada sedikiiiit saja pahit.  Ia lemak dan selepas makan, ada rasa manis kekal atas lidah.  Manis buah.

Dalam hati, menyanyi lagu lama dengan lirik diubah suai....

"Kalau ku tahu ya sayang peria tak pahit,
Mahu ku tanam satu ladang...."

Tapi yang ada hanya tanah tepi rumah.  Benih peria ni pun tak sampai 10 biji.  Nak pesan yang baru, pembekal benih kata, tiada.

Peria jantung, tak sama dengan peria yang biasa saya tanam.  Daunnya kekal kecil dan tak merayap jauh.  satu pokok hanya dapat 1 biji dalam satu masa.  Pokok yang kawan saya tanam, mati selepas dua kali berbuah.  Mungkin sebab ini pembekal benih tak mahu jual.  Kalau jual, buahnya pasti mahal harganya.  Mungkin layak dijual di pasaraya terkemuka sahaja.

Yang ada peria 922.  Mereka kata peria ni pun hebat, tapi saya sendiri belum sempat semai. Benih peria katak dan peria Top Form pun ada dalam stok.  Peria Top Form ada dalam 5 pek sahaja, sebab tu tak disenaraikan dalam Benih Untuk Dijual.








Sabtu, 12 Januari 2013

Mengendali Tanah Secara Organik -- Bahagian 17 Daripada 25

2. Saliran Berpaip

Untuk bina saliran begini perlukan masa, tenaga dan perbelanjaan yang lebih berbanding saliran terbuka (longkang).  Bagaimanapun ia lebih tahan lama.  Ia adalah cara terbaik untuk salirkan air dalam tanah berat (tanah liat) yang bertakung.  Saliran sebegini akan alirkan keluar air bertakung pada aras yang melebihi saliran berpaip.  Paip yang dilubangkan  di bahagian atas ditanam kira-kira 22 cm (9 inci) lebar dan 22 cm dalam.  Kedudukan saliran mesti condong sedikit ke arah air ingin dialirkan.  Kecerunan 30cm/30m adalah memadai.

Air disalirkan ke tempat yang tidak menakung air.  Outlet tersebut jangan pula ditala ke arah rumah atau taman jiran.  

Gambar Hari Ini -- Pokok Petola Sarang

Pokok petola sarang memenuhi ruang pintu pagar bertindak sebagai tirai melindungi rumah kami.


Jumaat, 11 Januari 2013

Soalan Penggunjung -- Rupa Tulasi

En. Iskandar,
Apakah warna bunga tulasi?  Bagaimanakah rupa daunnya?

Terima kasih.

---------------------
Bunga tulasi berwarna ungu dan bila kering, tampuknya yang menganduni benih berwarna perang.  Daun tulasi berwarna hijau ungu dengan bahagian sisi daun beralun dengan sisi berjeriji.  Lihat gambar.

Bunga Tulasi berwarna ungu.

Tampuk bunga yang kering mengandungi benih yang halus.  Perhatikan rupa daun Tulasi.

Sama-sama.

-------------------------
Benih Tulasi

Soalan Pengunjung -- Tentang Stevia

Boleh beritahu, kaedah penjagaannya dan juga pembajaannya.
Antara soalan lain:
1.Bagaimana pula kaedah untuk membanyakkan daunnya, samada perlu dibuat cantasan berkala dsbnya?
 2. Baja tahi ayam sesuai atau tidak digunakan untuk stevia dan berapakah kekerapan pembajaannya?
3. Berapakah kekerapan untuk diberi air? Adakah Stevia ini tahan hujan yang lebat di negara kita?
4. Bagaimana pula dengan cahaya matahari? Adakah boleh dibiarkan Stevia ini di kawasan lapang yang menerima matahari sepenuhnya atau perlu diteduhkan?

 ----------------------
 Dari pengalaman saya menanam stevia, pokok ini tidak cerewat dijaga.
 Untuk cara menanam serta penjagaan, sila rujuk posting berikut.
  Cara menanam stevia
1. Ya perlu buat cantasan berkala. Saya syorkan setiap 2 minggu iaitu sebelum membaja.
2. Sesuai, lakukan setiap 2 minggu. Tabur kira-kira 1/4 hingga 1/2 scoop bagi setiap sekaki persegi.  Pastikan pellet tinja tidak terkena batang pokok.
3. Stevia tahan air tapi saliran tanah perlu elok. Jika air bertakung, pokok akan mati. Siram sekurang-kurangnya 2 hari sekali jika ditanam di atas tanah atau setiap hari sebelah pagi jika tanam dalam pasu.
4. Anak pokok sesuai ditanam di tempat reduh. Pokok yang matang perlukan cahaya sepenuhnya.


Stevia yang dikerat akan bertunas semula dalam masa beberapa hari.

Stok Benih -- Tembikai Perdana Habis Stok

Tembikai Perdana telah habis dalam simpanan kami.  Ia akan dikeluarkan dari senarai Benih Untuk Dijual sehingga kemi mendapat stok yang baru.  Harap maklum.

Gambar Hari Ini -- Kobis Summer Autumn

Cambahan Kobis Summer Autumn
Cambahan kobis ini baru sahaja dialih, selepas 10 hari disemai.  Keadaan pokok layu sedikit.  Biasanya selepas 2 hari dalih pokok akan segar semula.  ia akan tumbuh dengan cepat.  Baka kobis ini dikatakan tahan panas dan akan menghasilkan jantung kobis hijau yang mampat.   

Khamis, 10 Januari 2013

Mengendali Tanah Secara Organik -- Bahagian 16 Daripada 25


Saliran

1. Longkang/Parit

Jika laman mengandungi lopak air, anda boleh gali longkang untuk alirkan air tersebut.  Ia berkesan jika tanah ringan (bercampur pasir) kerana air bergerak laju,  walaupun kadang-kadang longkang perlu dalam jika inginkan saliran yang berkesan.  Longkang terbuka yang mengalirkan air hujan boleh dimanfaatkan dengan menanam tanaman yang gemarkan air, misalnya kesum, pudina dan kangkung.  Bagaimanapun ia mungkin menjadi sarang nyamuk.  Untuk elakkan saliran mennjadi sarang nyamuk, isikannya dengan batu kerikil atau pasir supaya nyamuk tidak bertelur.

Gambar Hari Ini -- Pokok Kesum Tumbuh Subur

Pokok kesum tumbuh subur di musim hujan.
Ada rakan yang bersungut kerana tak dapat berkebun di musim tengkujuh.  Semua pokok yang disemai mati kerana tak tahan air.  Nah ini dia jawapannya.  Kalau musim tengkujuh, tanah kesum, atau mana-mana tanaman yang suka air.  Pokok ini dah terlalu subur hingga tumbuh separas pinggang.

Rabu, 9 Januari 2013

Tuaian Hari Ini -- Jagung Manis


Tuaian Jagung Manis.  

Tuaian hari ini ialah jagung manis.  Jagung yang ditunjukkan di atas mempunyai dua warna iaitu kuning susu dan putih mutiara.  Ia adalah dari baka jagung manis isi putih.  Benih telah habis terjual.  Bagaimanapun ada 2 jenis lagi baka yang mempunyai isi dengan dua warna iaitu jagung Mutiara manis dan Top Star.

Jagung manis di atas telah dipanggang, dibubuh marjerin dan ditabur sedikit garam.  Enak!

Soalan Pengunjung -- Daun Luruh, Adakah Berfaedah?

En Is,
Depan rumah saya ada pokok besar.  Daunnya luruh ke dalam laman saya.  Saya ada tanam sawi dalam batas atas tanah.  Adakah daun tersebut berfaedah pada tanaman saya?

-------------------------

Daun yang luruh adalah elok untuk tanam kerana ia mengandungi nutrien yang berguna untuk tanaman.  Bagaimanapun daun luruh kalau tidak disapu menyebabkan laman nampak semak.  Kumpul daun dan jadikan kompos.  Apabila daun telah reput (berbentuk serbuk), tabur di atas batas.

Gambar Hari Ini -- Sawi Christmas Green

Christmas Green, benihnya dikongsi pada bulan lepas.


Sawi Christmas Green yang disemai awal bulan lepas.
Sawi Christmas Green ini adalah sebahagian daripada baki batch yang dituai pada Hari Ahad lepas.  Sawi ini disemai kira-kira 4 minggu yang lalu.  Ia begitu cepat dapat dituai.  Selepas sawi ini, benih sawi hijau hong kongpula akan disemai.  Tak sabar untuk semai kerana sawi tersebut juga enak dimakan.  Ia adalah daripada jenis sawi bunga dan dijual di pasaraya dengan harga yang tinggi.

Selasa, 8 Januari 2013

Soalan Pengunjung -- Warna Bunga Kemangi

1. Apakah warna bunga kemangi?
2. Adakah warna tersebut akan bertukar bila pokok matang?
3. Mengapa kemangi juga dikenali sebagai hairy basil?
4. Apakah bau kemangi?
--------------------

1. Warna bunga kemangi putih.  Tidak, warna bunga kemangi sama sahaja pada pokok muda dan pokok yang telah matang.
2. Apabila bunga telah bertukar menjadi benih, tampuknya kering berwarna kelabu tua dengan tint ungu.
3. Perhatikan rupa bunga kemangi, ia mempunyai kelopak bunga yang berbulu halus.  Sebab itu kemangi juga dikenali sebagai hairy basil.  
4. Kemangi mempunyai bau seperti lemon.  Sebab itu kemangi juga digelar lemon basil.

Bunga kemangi berwarna putih.

Tampuk bunga yang kering mengandungi benih.

Semai Benih Baru Dalam Patch Sawi

Semalam sempat bersihkan patch  sawi. Hampir semua Sawi  Christmas Green telah dituai.  Tanah yang telah mampat digemburkan semula serta baiki struktur dengan menambah sedikit pasir serta kondisyener tanah.  Oleh kerana kondisyener tanah diproses dari tanah kandang, saya tidak menambah baja lain.  Cukup sekadar baja organik yang ada dalam kondisyener tanah.

Patch tersebut disemai dengan Sawi Hijau Kong Kong dan bahagian sempadan ditabur benih Bayam Red Autumn.  Saya perhatikan saiz bayam ini lebih besar dari bayam merah serta bayam lain sebelum ini.  Kulit benih pula agak glazy.  Cantik! Di harapkan pokok yang dihasilkan juga cantik supaya tanaman tersebut mempunyai dwifungsi, iaitu sayur dan hiasan.  Malangnya saya tak stok banyak benih tersebut kerana pembekal hanya jual sedikit.  Jadi kalau nak Bayam Red Autumn, jangan tunggu lama.

Hari ini, saya perhatikan benih Sawi Hijau Hong Kong dah mula tumbuh.  Bayam baru ada tanda bengkak.  Mungkin esok akan bercambah.

Sayur yang ada kurang sempurna kerana hujan dah mula berkurang, jadi belalang mula mengganas.  Jumlahnya agak banyak berbanding biasa.  Daun kailan dan sawi mula menunjukkan tanda serangan, iaitu ada lubang-lubang.  Bagaimanapun serangan tak serious sangat.  

Cuma yang saya kurang senang ialah kehadiran beberapa ekor belalang kunyit.  Saiznya agak besar, banyangkan jumlah daun sayur yang akan menjadi habuannya.

Belalang kunyit bersaiz besar, sehingga 10 cm saiznya. 
  

Mengendali Tanah secara Organik -- Bahagian 15 daripada 25


Sebab Tanah Menakung Air
Ada beberapa sebab tanah menakung air.  Berikut adalah antara sebabnya.

1. Tanah berada di kawasan rendah, atau tanah tohor dan berada hampir dengan aras air bumi (water table).

2. Tanah berada di kawasan rndah dan air daripada kawasan tinggi mengalir ke kawasan tersebut.

3. Selepas musim hujan, udara hampir tepu dan suhu sekeliling rendah.  Jadi kadar sejatan air rendah menyebabkan tanah menakung air.

4. Tanah mengandungi lapisan bawah yang menghalang air daripada meresap ke dalam tanah menyebabkan air bertakung.

5. Kandungan tanah liat yang terlalu tinggi. Ini menyebabkan air gagal meresal masuk ke dalam tanah.

Gambar Hari Ini -- Pokok Tulasi Dah Separas Dada

Pokok tulasi dah besar dan tinggi
Pokok tulasi ini dulu  tumbuh dalam pasu pokok limau purut.  Saya biarkan aja pokok ni membesar dengan niat untuk melindungi limau purut daripada serangan ulat bulu.  Kini lain pula jadinya.  Pokok tulasi mengatasi pokok limau purut dan saiznya menjadi sangat besar.  Nak dipangkas, sayang pula.  Mungkin nanti, kalau larat saya akan cungkil pokok limau purut dan tanam dalam pasu yang baru.  Barangkali kalau dibiarkan terus, besar mana pokok tulasi ni akan tumbuh? Hmmm... jangan ceroboh ruang jiran sudahlah. 

Soalan Pengunjung -- Pokok Ros kurang subur selepas berbunga

Dear Sir,
My rose plant starts to deteriorate after a few blooms.  What should I do?
Pokok ros saya menjadi kurang subur selepas berbunga.  Apa yang patut saya lakukan?

TIA

-----------------------
Oh it's been a very long time since I planted my last rose plant. :)
Oh, dah lama saya tak tanam ros. :)

After the petals started to drop, prune (trim) the plant.  Start feeding the plant with fertiliser meant for inducing flowers, usually rich with phosphate, potassium and related micronutrients.
Selepas kelopak bunga mula layu dan gugur, pangkas pokok.  Suap tanah dengan baja yang dikhaskan untuk bunga, lazimnya kaya dengan fosfat, kalium dan mikronutrien yang berkaitan.

 ---------------------

Isnin, 7 Januari 2013

Kehabisan Stok -- Labu Air New Happiness

Labu air New Happiness telah habis stok.  Ia akan dikeluarkan daripada senari "Benih Untuk Dijual". Harap maklum.

Gambar Hari Ini -- Kemangi Semakin Besar

Pokok kemangi dalam patch herba. 
Pokok kemangi dalam patch herba telah membesar dari apa yang dijangkakan.  Sekarang ia tumbuh hingga ke paras pinggang.  Ruang-ruang kosong di sekeliling juga kini ditumbuhi pokok ini.  Pokok rosemary dah terperusuk di sudut patch herba kerana pertumbuhan kemangi lebih galak.

Di sebelah kiri-bawah gambar, terdapat pokok yang berwarna ungu iaitu pokok tulasi dan pokok dengan daun hijau muda iaitu pokok sweet basil.  Nampaknya patch herba kini dikuasai pokok dari keluarga basil. :)


Dapatkan benih basil