Khamis, 2 Januari 2014

Soalan pengunjung -- Serangan Belalang

Assalamualaikum,
En. Is, mohon tunjuk ajar. Sawi saya diserang belalang (nimfa/anak belalang) warna hijau.
Ada cara nak hindarkan belalang tu tak?

----------------------------
Waalaikum salam,
Biasanya belalang akan menyerang dengan jumlah yang banyak terutamanya selepas musim tengkujuh.  Di laman rumah saya ketika ini, belalang banyak menyerang.
Untuk kurangkan serangan belalang, gunakan kaedah berikut.
1) Kutip dan musnahkan belalang di awal pagi kerana di waktu ini belalang kurang aktif dan mudah ditangkap.
2) Jika tinggal di kampung dan ada membela ayam, lepaskan ayam (sekejap sahaja) untuk menangkap belalang yang ada.  Bagaimanapun ayam juga memakan anak pokok sawi.  Jika gunakan kaedah ini, perlu tunggu ketika melepaskan ayam.
3)  Gunakan kaedah siraman menggunakan penyembur (sprinkler) atas (averhead).  Apabila terkena air belalang akan terbang ke tempat lain.
4)  Ketika memeriksa pokok, sapu pokok sekali lalu dengan tangan.  Apabila beberapa kali terganggu, belalang akan cari tempat lain untuk makan daun.
5) Gunakan pelindung dalam bentuk jaring halus atau kerat dua botol mineral dan telengkup pokok sawi di waktu petang.  Buka semula di sebelah pagi.

Lazimnya, jika pokok yang anda tanam subur, belalang hanya makan dalam 20% daripada daun.  Selepas itu ia akan terbang ke tempat lain.  Jika pokok kurang subur, belalang akan makan hampir semua daun dan lazimnya pokok akan mati.

---------------------------------
Posting asal, 30/12/2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan