Apabila air sukar diperolehi, tumbuhan mula kehilangan kilau, kelihatan lesu dan pudar atau kurang segah pada permukaan daun. Ia kelihatan kurang "ceria". Apabila tekanan bertambah, ia mula nampak "jatuh", tidak bermaya dan tidak lagi tegak seperti biasa. Bahagian sisi daun mula kelihatan berkedut dan tidak lagi rata. Apabila semakin teruk, tunas utama layu dan tidak lagi menuding ke langit. Jika lama mengalami tekanan kekurangan air, tumbuhan akan mula menjadi kering dan rapuh.
Layu tidak semestinya tanda tanah kering. Misalnya, di waktu tengahari (panas terik) tumbuhan sengaja layu untuk kurangkan kadar kehilangan air. Ia akan kembali segah apabila cuaca tidak lagi panas selepas tengahari.
![]() |
Sayur yang layu di waktu tengahari bukan tanda terkenan kerana kekurangan air. |
Ada tumbuhan lebih cepat layu berbanding tumbuhan yang lain. Misalnya, tumbuhan yang mempunyai daun yang nipis seperti pokok timun cepat layu daunnya berbanding tumbuhan dengan daun yang tebal, misalnya kailan.
Periksa tumbuhan untuk tentukan ia mengalami tekanan kekurangan air di waktu awal pagi atau di waktu malam. Jika tanaman layu ketika ini, itu tanda ia mengalami tekanan kekurangan air yang teruk dan tidak mendapat air yang cukup. Jika anda siram air yang cukup tetapi pokok tetap layu, itu tanda pokok telah dijangkiti penyakit atau akar telah rosak. Misalnya jika anda alih pasu, akar yang merayap keluar daripada pasu telah putus. Pokok tetap layu walaupun tanah dalam pasu tersebut lembap.
Dipetik dari Ebook berjudul "Menyiram" oleh Iskandar Ab Rashid
Tiada ulasan:
Catat Komen