Selasa, 26 November 2013

Tanam Sendiri -- Kacang Moringa, Kacang Kelor

Kacang Moringa, atau Kacang Kelor nama sains Moringa oleifera adalah kacang yang panjang dan berserat. Isinya enak dibuat kari dan daunnya enak goreng bersama telor. Kacang ini popular di kalangan kaum India.

Saya sendiri suka tuai buah yang muda kerana tidak berserat dan enak dimakan sebagai ulam. Cicah sambal cili, sedap. Orang berketurunan India biasanya tuai kacang yang separuh ranum. Ada juga yang tuai apabila ranum. Bijinya digoreng kering dan dimakan seperti kacang tanah. Lenggai kacang moringa panjang, kira-kira 45 cm.

Akar moringa juga dimakan, rasanya seperti sayur horseradish, sejenis sayuran eropah. Ia digunakan sebagai perisa menggantikan horseradish.  Daun, bunga dan ranting juga boleh dimakan.

Ada juga yang menanam pokok ini untuk digunakan sebagai ubat. Secara tradisi daun pokok ini digunakan sebagai ubat cacing (untuk keluarkan cacing dari badan, zaman dulu-dulu), atau dilumatkan dan digunakan untuk mengubat luka akibat digigit anjing. Pokok ini juga dimakan untuk melawaskan kencing.

Daun dan buah kacang moringa sangat berkhasiat. Bahagian daun dan kacang kaya dengan sumber tenaga, lembapan, protein, lemak, karbohidrat, serat, kalsium, fosforus, besi, beta-karotena, Vitamin B1, B2 dan niasin.  

Tanah
Moringa tumbuh subur dalam tanah gambut dengan saliran yang baik. Ia juga tumbuh subur dalam tanah yang lain.

Air
Moringa perlukan air yang banyak ketika pokok masih muda.  

Menyemai
Anda boleh semai dari biji atau batang. Saya lebih gemar semai dari batang kerana akar mudah tumbuh dari batang.  

Cara menyemai
Gunakan batang atau ranting kasar sepanjang 1 m. Gali lubang sedalam 0.6 m dan isikan kira-kira 1 kg baja organik (tinja ayam), 200g batu fosfat dan 150g tepung kapur. Masukkan batang moringa dan timbus. Tidak perlu semai di tempat yang teduh.


Kacang Moringa, Kelor, Horseradish tree, Moringa oleifera

Membaja
Baja secara berkala kira-kira 3 bulan sekali menggunakan baja organik atau NPKMg dengan nisbah 18:11:15:2.5 (CCM 22) sebanyak 60g setiap pokok. Selepas umur 3 tahun gunakan baja NPK dengan nisbah 17:8:17 (CCM 77) sebanyak 120g setiap pokok.

Buah
Kalau tanam dari biji, pokok akan berbuah selepas 4 tahun. Kalau semai dari batang, waktu berbuah adalah lebih cepat.

-------------------------------------------------
Posting asal 4 September 2011
Posting semula 26 November 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan