Halaman

Cari Blog Ini

Khamis, 24 Oktober 2013

Tuaian Hari ini -- Kangkung Dan Kailan

Tuaian kangkung dan kailan yang menggunakan kaedah kerat dan tumbuh lagi.



Bila musim hujan begini, lazimnya tanaman mendapat air yang secukupnya jika saliran tanah elok dan terdedah kepada hujan. Ini suatu yang elok kerana jika menanam sayur (untuk tuaian daun) kita dapat perhatikan sendiri pokok tumbuh subur dengan daun yang hijau dan rangup (rapuh). Jika air bertakung, kebiasannya tanaman akan rosak kerana berbagai penyakit. Hari ini kami menuai kailan dan kangkung. 

Tanaman ini sebenarnya telah lama ditanam dan dituai secara kerat dan tumbuh lagi. Saya telah lupa kehadiran pokok tersebut kerana yang tinggal hanya batang pokok dengan tunas yang kecil dan tenggelam dalam rimbunan tanaman yang lain di dalam bekas kotak gabus dan pasu plastik saiz 1 kaki (30 cm). Bila hujan setiap hari, daun yang subur terserlah kembali. Inilah hasilnya, kangkung dan kailan untuk dimasak dalam nasi goreng.

Kangkung adalah antara tanaman yang mudah disemai dan dijaga.  Kebiasaannya benih kangkung akan bercambah dalam masa 3 hari selepas disemai dan sepasang daun benih yang bercabang seperti garfu kecil akan kelihatan sehari kemudian.  Pokok kangkung tidak perlu dialih.  Ia sesuai ditanam di dalam bekas dan di tanah.

Kangkung biasanya hidup subur di dalam air.  kangkung jenis ini biasanya mempunyai daun yang bulat berbentuk hati.  Benih kangkung yang diedarkan melalui tanamsendiri mempunyai daun yang panjang dan tidak perlukan kawasan basah.  Jika kangkung yang anda semai tidak bercambah, kemungkinan besar kerana tanah atau medium yang digunakan tidak serasi.  Anda boleh semai kangkung menggunakan tanah pasir yang digaul dengan sedikit tanah liat atau tanah atas (topsoil).  Ia boleh diletakkan di tempat yang mendapat cahaya sepenuhnya atau terlindung dengan keamatan cahaya matahari sekitar 80% daripada cahaya yang cerah.

Kailan juga tanaman yang mudah disemai.  Ia biasanya bercambah dalam masa 2 hari selepas disemai.  Gaulkan dengan tanah untuk jarangkan benih.  Daun benih cambahan kailan berbunjuk bujur dengan lekuk dibahagian tangkai.  Ia mempunyai warna hijau kebiruan.  Cambahan kailan kelihatan seperti cambahan sawi dan kobis. Ini kerana ia adalah daripada keluarga yang sama.  Ketika mencambah benih letakkan di tempat yang cerah untuk pastikan cambahan tidak terlalu tinggi atau lonjong.  Ini penting untuk dapatkan cambahan yang kukuh dan mudah dikendali ketika mengalih.

Cambahan kailan dialih selepas 2 set daun tumbuh iaitu daun benih dan daun sebenar yang kelihatan sama dengan daun pokok yang matang, cuma denagn saiz yang kecil.  Kailan boleh dialih ke dalam bekas atau ke tanah.  Pastikan tanah kaya dengan bahan organik mempunyai saliran yang elok dan lokasi mendapat cahaya matahari sepenuhnya.  kailan terbantut jika di tempat yang terlindung daripada cahaya matahari yang cerah.

Ada beberapa baka kailan yang diedarkan melalui tanamsendiri.  Baka tokyo adalah baka yang cepat berbunga biasanya dituai untuk bunga yang berarorma dan enak.  Jika inginkan pokok denagn batang yang besar dapatkan baka jepun dan jika inginkan daun yang besar dan banyak dapatkan baka tempatan, baka 117 dan baka 55.  Tuain ini adalah dari baka tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan