Khamis, 31 Oktober 2013

Terima Kasih Kerana Bersama Kami Hingga Kini

Saya pasti rakan-rakan masih ingat ketika kami mula-mula perkenalkan tanamsendiri.com. Bermula dengan jurnal harian berkait dengan home gardening, tanamsendiri mula menarik rakan-rakan untuk cuba sendiri berkebun di rumah. Kami merasakan aktiviti berkebun di rumah penting kerana ia banyak manfaat kepada diri sendiri, keluarga, komuniti dan walaupun sedikit, kepada bumi ini.

Rakan-rakan pasti ingat bagaimana beberapa orang yang sama-sama aktif dalam ulasannya tetapi tidak mahu mencuba kerana "tangan panas." Untuk memujuk rakan-rakan mencuba sendiri berkebun di rumah kami mula berkongsi benih. Amalan tersebut diteruskan hingga kini. Niatnya supaya semua orang dapat mencuba berkebun di rumah tanpa mengeluarkan apa-apa perbelanjaan.

Benih kongsi dikirim setiap hari bekerja.


Sedikit demi sedikit posting tentang aktiviti terkumpul dan kini terdapat lebih 2 ribu posting tentang aktiviti berkebun di rumah yang merangkumi pelbagai topik daripada penghasilan benih hinggalah resepi untuk memasak tuaian tersebut.

Rakan-rakan pasti ingat bagaimana setiap kaedah yang digunakan dibaiki supaya dapat dimanfaatkan bersama. Oleh kerana banyak perkara yang berkait, kami mula bercerita tentang tanah, nutrien, baja, membuat kompos dan lain-lain. Aktiviti berkebun di rumah mula berkisar kepada aktiviti organik. Walaupun begitu kami tidak tumpukan kepada kaedah organik sahaja. Apa-apa sahaja kaedah yang difikirkan bermanfaat, menjimatkan serta tidak merosakkan alam sekitar digunakan.

Dalam aktiviti berkebun di rumah, tanaman hiasan, sayur dan herba dapat dihasilkan dalam ruang yang kecil.  Tanaman, tanah dan komuniti organisma saling bekerjasama membentuk komuniti yang seimbang.  semuanya ada dalam blog ini.


Tanamsendiri diharapkan dapat membantu rakan-rakan yang ingin berkebun di rumah, jadi kita mula mengagih benih dengan konsep berkongsi, iaitu benih dibeli dan dipecahkan kepada pek kecil supaya semua orang dapat merasa. Maklum sajalah, kebanyakan benih bukannya murah. Misalnya 10g benih tomato ceri hibrid harganya mencecah hingga RM360. Ia tidak mungkin dapat dicuba oleh rakan-rakan jika tanamsendiri tidak mengagihnya dalam pek yang kecil.

Pelbagai benih boleh diperolehi dengan jumlah yang cukup untuk berkebun di rumah boleh didapati dari blog ini.


Daripada aktiviti posting jurnal harian, berkongsi benih dan mengagih benih yang sebelum ini mustahil dimiliki, tanamsendiri cuba berkembang supaya setiap orang mampu berkebun di rumah sebagai hobi.

Aktiviti berkebun di rumah sememangnya lumayan.  Banyak manfaat dapat dinikmati.


Kini sesiapa sahaja mampu berkebun di rumah, walaupun sibuk dengan tugas harian. Kami juga berusaha membuat posting sebagai pencetus idea supaya sesiapa sahaja, yang memiliki ruang halaman bertanah yang luas atau tidak memiliki ruang bertanah, dapat melakukan aktiviti berkebun di rumah. Rakan-rakan dapat ambil bahagian dengan memberikan ulasan, berkongsi pengalaman, serta berkongsi gambar.

Untuk mencapai lebih ramai lagi pembaca, kami kembangkan tanamsendiri ke laman facebook/tanamsendiri dan insyaAllah tidak lama lagi secara mikroblogging melalui twitter.

Selain dari itu kami melangkah setapak lagi ke depan dengan menghasilkan buku elektronik dan buku bercetak dengan niat untuk berkongsi pengalaman dalam aktiviti berkebun. Ia juga untuk mendapatkan sokongan daripada rakan-rakan. Maklum sajalah semua aktiviti yang kami lakukan melibatkan kos.

Siri koleksi 3 buah buku yang berjudul Tanamsendiri Versi Buku (Jilid 1 hingga 3) dikompil khas sebagai koleksi khas untuk simpanan rakan-rakan yang selama ini mengikuti perkembangan blog ini. Ia dilahirkan daripada sokongan rakan-rakan selama ini. Kami juga mengucapkan terima kasih kepada penerbit Venton publishing kerana menaruh keyakinan terhadap usaha kami serta sanggup menerbitkan buku tersebut.

Rakan-rakan boleh membantu kami dengan mendapatkan koleksi buku ini.


Jadi jika rakan-rakan bertanya, bagaimana jika ingin contribute sebagai tanda sokongan terhadap usaha kami dalam aktiviti berkebun di rumah? Kami amat berbesar hati jika rakan-rakan menjadikan koleksi tersebut sebagai koleksi bacaan di ruang bacaan atau ruang tamu di rumah tanda sokongan usaha kami.

Set buku tersebut di jual di pasaran dengan harga RM87 satu set. Rakan-rakan boleh mendapatkan set tersebut daripada blog ini dengan harga RM80. Kos kendalian poslaju ialah RM10, jadi semuanya RM90.

4 ulasan:

  1. salam bang Is...boleh tak bagi bagitau kandungan dalam 3 buku ni...terima kasih

    BalasPadam
    Balasan
    1. Setiap buku mengandungi 100 halaman posting yang telah disunting. ia terdiri daripada tip menyemai, penjagaan, tuaian dan resepi.
      Tujuan buku ini dikompil supaya rakan-rakan ada koleksi bercetak. Ia tanda sokongan rakan-rakan terhadap usaha kami.

      Padam
  2. Assalamualaikum En. Iskandar,

    Tahniah dpt menghasilkan kebun hasil tanam sendiri...memang tak rugi berbudi pada tanah...

    BalasPadam
  3. semoga usaha en iskandar diberkati ALLAH... amin

    BalasPadam