Ahad, 27 Oktober 2013

Soalan Pengunjung -- Bimbang Laman DiKunjungi Ular

En Iskandar, saya tinggal berdekatan kawasan ladang.  Apabila musim hujan, kadang-kadang kawasan taman perumahan kami dimasuki ular.  Saya bimbang ular akan ke laman rumah kerana kami menanam banyak pokok sayur.  Bagaimanakan caranya untuk kami hindari ular daripada berkunjung?

-------------------

Memang menjadi lumrah kawasan ladang mempunyai ular.  Ini bukannya kerana kehadiran pokok di ladang sebagaimana yang selalu disalah sangka.  Ular adalah haiwan karnivora, ia tidak memakan pokok. Ular banyak di ladang kerana biasanya ladang mengandungi banyak tikus serta mamalia kecil yang lain yang menjadi makanan ular.

Bila tiba musim hujan, ular kebiasaannya akan mencari tempat perlindungan.  Ada yang berpendapat ular bukannya musuh kebun kerana ia memakan haiwan perosak terutamanya tikus.  Bagaimanapun kebiasaannya ular tidak disenangi walaupun hanya sejumlah kecil sahaja ular berbisa.  Ular yang biasa menangkap tikus adalah ular sawa yang membunuh dengan membelit kuat, yang tidak berbisa.

Saya sendiri pun bimbang jika kawasan rumah berpotensi dikunjungi ular kerana saya mempunyai anak kecil yang sering bermain di ruang laman rumah.

Jika kawasan laman rumah anda ada potensi dikunjungi ular, pastikan tiada papan atau batu yang bersepah kerana ular mungkin mencari perlindungan di celah batu dan di bawah papan.  Tabur sulfur (belerang) di sempadan rumah supaya ular tidak melintas.  Belerang dijual di kedai pertanian untuk menurunkan pH tanah. Elemen dalam belerang iaitu sulfur juga bertindak sebagai baja.  Jadi selain daripada menghalau ular serta haiwan berbisa yang lain, belerang menyuburkan tanaman tetapi jangan tabur terlalu banyak.  Anda hanya perlu sedikit sahaja.  Anda juga boleh dapatkan belerang daripada kami, dengan harga RM10 satu pek.

Jika halaman rumah anda telah dikunjungi ular, jangan bertindak sendiri.  Ada jenis ular yang terlindung dan menjadi kesalahan jika membunuh atau mencederakannya.  Pastikan lokasi ular tersebut dan minta bantuan Pertahanan Awam. Dial 999.  Beritahu kecemasan anda.  Anda akan disambung ke Pertahanan Awam yang terdekat.  Kebiasaannya mereka akan tiba dalam masa yang cepat.  Kakitangan Pertahanan Awam adalah terlatih dan mereka mempunyai alat yang cukup untuk menangkap ular dengan selamat tanpa mencederakan ular tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan