Sabtu, 12 Oktober 2013

Kompos, Bahagian 5 Daripada 40

Mengapa Nak Guna Kompos?

Aish, masih tanya soalan macam ni lagi!
Ok, begini, kita nak berkebun di rumah. Kita nak tanah tolong kita jaga pokok supaya pokok subur. Kalau nak tanah tolong kita, kita perlu buat tanah happy. Nak buat tanah happy, tabur kompos!

Jika anda tabur kompos di atas permukaan tanah sehingga menutup permukaan tanah, tanah akan happy sangat. Sebabnya... Lama-kelamaan kompos tersebut akan masuk ke dalam tanah. Sementara itu, ia membantu menghalang rumpai daripada tumbuh. Ia halang air daripada terlepas keluar daripada permukaan tanah melalui penyejatan.  Jadi tanah kekal lembap. Ia juga membantu melindungi tanah daripada kesan hakisan angin serta hujan lebat, dan perubahan cuaca iaitu panas di siang hari dan sejuk di malam hari. Kira macam selimutlah.

Dah bila bahan organik daripada kompos meresap masuk ke dalam tanah... Fuh "luar biasa" kata geng MLM. Ia membaiki struktur tanah, membuatkan tanah menjadi "sihat" dan "hidup". Maksud sihat di sini ialah hidupan dalam tanah dapat hidup dan membiak. Tanah yang hidup mengandungi pelbagai jenis hidupan yang baik terhadap tanaman.  Pelbagai hidupan dalam tanah yang hidup saling berkait ini disebut komuniti. Ish perkataan besar tu. Nanti saya cerita lagi.

Urat-urat putih yang rakan-rakan pernah tanya saya dulu sebenarnya petanda yang baik.  Ia memegang bintil bintil humus.  Urat-urat ini adalah mycelium iaitu "akar" kulat yang membantu memegang bakteria "baik", melekat seperti glue.  Dalam tanah, kulat juga baik kerana ia hidup dengan memakan bahan organik. Sisa yang dihasilkan amat ringkas dan dapat diserap terus oleh tumbuhan. Ia seperti membantu menghadamkan makanan (bahan organik) untuk tumbuhan.

Bintil-bintil dalam tanah pula mempunyai liang-liang halus yang bertindak seperti span yang mampu menyimpan air. Akar tumbuhan memerlukan air.

Bintil-bintil dalam tanah, selain daripada menyimpan air, juga mudah membentuk saluran seperti terowong kecil yang berselirat. Terowong kecil ini penting kerana ia membekalkan udara (oksigen). Akar adalah suatu yang hidup dan menjalani pertumbuhan. Benda hidup yang tumbuh perlukan tenaga.  Sel-sel akar perlukan oksigen untuk respirasi (haish... lagi perkataan besar), iaitu proses menukar makanan kepada tenaga yang diperlukan dalam proses pertumbuhan.

Respirasi ni kira macam bernafas. Tentulah cara akar bernafas tak sama dengan cara kita bernafas, tapi asasnya sama iaitu untuk bakar makanan untuk hasilkan tenaga. Dalam proses ini oksigen diperlukan dan gas karbon dioksida dibebaskan. Haba juga dibebaskan!

Oh ya, terowong kecil tadi lazimnya dibina oleh cacing tanah dan semut yang bergerak sambil memakan bahan organik yang dibekalkan oleh kompos.

Nah, dah nyata, kompos mampu membuatkan tanah sihat dan hidup.

Bersambung pada hari Selasa... tepat 6.30 pagi waktu Terengganu.

4 ulasan:

  1. Selamat Hari Raya Aidiladha En.Is & keluarga di Tgganu..:-)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih. Selamat Hari Raya Aidil Adha.

      Padam
  2. Salam tuan, saya sedang memeram kompos saya dalam bin kayu selama 3 bulan. Sudah Ada nampak tanda2 penguraian. Soalan saya. Adakah perlu saya tutup Kerana takut hujan yang sering turun kebelakang ini menghanyutkan kompos? Satu Lagi apa yg perlu saya lakukan untuk me percepatkan proses.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sekali sekala gaulkan supaya oksigen masuk. Tambah sedikit tanah kebun untuk masukkan organisma kebun.

      Padam