Halaman

Cari Blog Ini

Khamis, 10 Oktober 2013

Kompos, Bahagian 3 Daripada 40

Apa Itu Kompos?

Nak buat kompos, perlulah tahu apa itu kompos.
Adakah kompos itu baja, atau baja itu kompos? Adakah sisa dapur itu kompos?
Banyaknya soalan sampai pening kepala. Tak perlu pening kerana kompos bukannya perkataan yang susah. Tak perlu ada ijazah jika nak tahu apa itu kompos.

Kompos adalah benda hidup yang telah mati yang mereput sehingga rupa asalnya tidak lagi kelihatan. Pokok, adalah benda hidup, apabila ia mati dan mereput, ia menjadi kompos. Ayam yang mati, mereput menjadi kompos. Sayur atau sisa dapur, adalah berasal daripada tumbuhan, iaitu benda hidup. Bila ia mereput, menjadi kompos.

Ya ya, sisa perut kita pun boleh jadi kompos.

Apabila bahan yang pernah hidup (dikenali sebagai bahan organik) terurai (melalui aktiviti penguraian oleh bakteria dan organisma pengurai yang lain), apa yang tinggal (tidak lagi dalam bentuk asalnya) dikenali sebagai kompos.

Di Mana Boleh Kita Lihat Proses Pereputan Bahan Organik Secara Semulajadi?
Pernah pergi ke kawasan air terjun atau hutan lipur? Perhatikan pada permukaan hutan lipur atau kawasan hutan berdekatan kawasan air terjun. Daun-daun luruh terkumpul di atas permukaan tanah mereput. Apabila rupa daun tidak lagi kelihatan, ia membentuk kompos. Kompos tersebut membekalkan nutrien kepada pokok di dalam hutan.

Walaupun pokok di hutan tidak dibaja, ia tetap tumbuh subur. Ini kerana ia telah dibaja secara semula jadi, melalui proses pereputan daun-daun yang luruh, yang menghasilkan kompos.

Bersambung esok, 6.30 pagi...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan