Halaman

Cari Blog Ini

Ahad, 30 Jun 2013

Kenali Benih Ketumbar

Ketumbar adalah tanaman herba yang dituai daun dan biji untuk digunakan sebagai perisa dan ubat.   Harga daun ketumbar di pasaraya amat tinggi. Jika anda gemar memakan daun ketumbar, berbaloi kalau tanam di rumah.


Biji ketumbar.

Biji ketumbar berbentuk bulat (sfera) dengan diameter sekitar 3 mm.  Kulitnya berwarna perak bersabut nipis.  Jika anda beli benih dari tanamsendiri.com, ada benih yang berwarna merah jambu.  Itu sebenarnya itu warna antikulat yang digunakan untuk mengawet benih.  Jadi jika ketika memasak, anda kehabisan biji ketmbar, jangan ganti dengan benih tanamsendiri.com.

Jika anda picit biji ketumbar, lazimnya ia akan pecah dua.  Setiap bahagian yang pecah mengandungi 2 benih.  Jadi sebiji ketumbar mengandungi 4 benih.

Setiap biji ketumbar mengandungi 4 benih.


Tak hairanlah jika anda semai 1 biji ketumbar, anda mungkin mendapat sehingga 4 cambahan.  Jadi jika anda membeli 1 pek benih ketumbar dari tanamsendiri, sebenarnya anda mendapat 50 biji benih.  Jika anda bernasib baik, anda boleh mendapat sehingga 200 cambahan.  Jimat duit dapur!



Empat cambahan ketumbar yang terhasil daripada 1 biji ketumbar.


  Untuk dapatkan benih ketumbar, klik pautan berikut.

Ketumbar Asia Best
Ketumbar Lambat Berbunga

Gambar Hari Ini -- Pokok Bawang

Pokok bawang yang berumur 2 minggu.

Pokok bawang yang disemai 2 minggu sebelumnya kini tumbuh subur.  Pokok ini disemai oleh Puteri, anak kecil saya yang berumur 3 tahun.

Posting Cara Tanam Bawang Menggunakan Bebawang (Onion set)

Sabtu, 29 Jun 2013

Gambar Oleh Rakan Tanamsendiri -- Lobak Rosy kiriman Sdr Zainal Abidin

Kebetulan pula hari ini saya edarkan benih kongsi lobak putih.  Hari ini saya terima kiriman Sdr Zainal Abidin, iaitu gambar lobak rosy.  Lobak rosy adalah satu keluarga dengan lobak putih.  Ia sama kukuh dan sama enak dengan lobak putih.  Jika tanam di halaman rumah, lobak rosy pasti akan memukau sesiapa yang memandang kerana rupanya yang merah dan subur.   Terima kasih Sdr Zainak Abidin.

Lobak rosy. Gambar milik Zainal Abidin Othman, <[email protected]>

Pokok yang segar walaupun ditanam dalam pasu 5 1/2 inci.  Lobak rosy. Gambar milik Zainal Abidin Othman, <[email protected]>

Benih Kongsi Bulan Julai

Kami baru aja replenish (topup) benih lobak putih.  Baka yang kami dapat kali ini adalah baka tempatan yang tahan panas serta galak pertumbuhannya.  Waktu menyemai hingga menuai, sekitar 6 minggu dengan lobak serta ubi yang boleh dimakan.

Jumlah benih yang diisi kurang sedikit berbanding dengan pek berbayar, iaitu dalam 20 benih. Pek berbayar mengandungi 50 benih secara purata.

Saya memilih benih lobak putih untuk dikongsi bulan ini memandangkan benih ini sesuai untuk beginner.  Selain daripada benih, rakan-rakan juga dibekalkan dengan posting cara menanam lobak putih di rumah.  Versi ebook juga dibekalkan untuk memudahkan rakan-rakan yang baru saja cuba-cuba berkebun di rumah.  Maklumat yang dibekalkan boleh digunakan sebagai rujukan. Hanya ada 200 pek, dapatkan segera.

Benih kongsi bulan julai, lobak putih baka tempatan yang kukuh dan menghasilkan daun yang lebat dengan lobak yang cepat besar.

Untuk dapatkan benih kongsi, sila emel nama serta alamat penerima kepada [email protected]
Pada emel, letakkan Subject "Benih Kongsi Bulan Julai"

Benih diberi percuma. 

Maklumat cara menanam lobak putih, boleh didapati melalui pautan berikut.
Cara Menanam Lobak Putih

Jika Daun Kelihatan Tak Bermaya...

Hari ni ada masa terluang sedikit untuk belek pokok.  Entah kenapa pokok cili yang diletak bersebelahan kelihatan amat berbeza.  Tanah yang diguna sama, waktu pembajaan sama dan tentu sekali waktu siraman juga sama. Satu pokok daunnya hijau subur, yang satu lagi kekuningan dan tidak bermaya. Ada bahagian permukaan kelihatan seperti tidak rata, ada lekuk-lekuk kecil.

Di permukaan atas kelihatan seperti tiada masalah.  Biasanya makhluk perosak bersaiz kecil menyorok di bahagian bawah.  Bila dibelek daun, nah inilah puncanya.  Rupa-rupanya ada kutu hitam. 

Untuk bunuh makhluk ni, saya picit aja bahagian yang dijangkiti sambil digerakkan ibu jari untuk membunuh makhluk tersebut.  Setiap daun yang dijangkiti saya ulangi dengan berbuat begitu.  Untuk pastikan tiada kutu hitam, saya sembur permukaan bawah daun dengan semburan larutan pencuci pinggan dan minyak masak.

Makhluk perosak menyerang bahagian bawah daun.

Jumaat, 28 Jun 2013

Pangkas Ranting Cili

Jika pokok cili dah renggeh dan berbuah jarang, pangkas aja tunas utama serta ranting-ranting yang kurang elok. Kemudian letak baja organik dan siram setiap pagi. Selepas 3 hari, tunas baru akan tumbuh dengan galak.

Tuaian Hari Ini -- Ulam Raja

Ulam Raja enak dijadikan ulam untuk dimakan bersama nasi.
Ulam Raja adalah herba daun yang mempunyai rasa yang kuat yang enak dijadikan ulam untuk dimakan bersama nasi.  Ia enak dicicah sambal lada, sambal belacan dan sambal tempoyak.  Enak juga kalau dicicah budu.

Ramuan Budu:
4 sudu besar budu
1/2 bihi bawang besar dihiris
3 biji cili padi dipenyet (Enak juga kalau diguna cili merah kerinting)
1/2 biji limau nipis diperah

Dimana nak dapatkan Ulam Raja?
Pesan Benih
Pesan Set Ulam

Tanam Sendiri -- Betik Sekaki

Betik Sekaki  adalah tumbuhan dengan batang lembut dan bergelonggong dari jenis renek. Betik ditanam di kawasan tropika dan subtropika. Rasa dan bentuk berbeza mengikut baka. Betik ranum enak dimakan terus atau dibuat jem dan sos. Betik tidak ranum dibuat jeruk dan rojak. Betik sekaki elok ditanam di kawasan rumah kerana ia renek dan boleh ditanam dalam pasu bersaiz besar.  Buah dihasilkan sepanjang tahun. Pokok ini tidak bermusim.

Buah betik kaya dengan tenaga, air, protein, lemak, karbohidrat, serat, kalsium, Fosforus, besi, natrium, Kalium, beta-karotena, vitamin B2, niasin dan Vitamin C. Betik disemai dari biji.





Menyemai
Semai benih betik secara terus ke dalam plastik polibeg bersaiz 15cm X 23 cm. atau gunakan dulang semaian modular.  Isikan tanah dengan nisbah berikut: Pasir 50%, baja organik (tinja ayam) 25% dan tanah atas (topsoil) 25% atau gunakan tanah semaian yang diruus khas oleh tanamsendiri.com. Semaikan 3 biji benih dalam satu polibeg. Jika guna dulang modular, semai 1 biji dalam 1 sel.  Selepas sebulan menyemai, patahkan anak benih yang kurang elok. Biarkan hanya satu anak pokok yang terbaik dalam satu polibeg.

Mengalih
Selepas 8 minggu, alih anak pokok ke tanah atau ke dalam pasu besar. Jarakkan antara pokok dalam 2m.

Merumput
Jangan merumput terlalu rapat dengan pangkal pokok kerana akar anak betik mudah cedera. Gunakan sungkup (mulch) untuk elakkan rumpai tumbuh.

Buah
Betik berbuah selepas 5 atau 6 bulan disemai. Ia berbuah berpanjangan. Buah lebat kira-kira 3 bulan sekali. Pokok berbuah paling banyak ketika berumur 10 bulan. Petik  buah apabila hampir ranum, iaitu apabila buah kekuningan. Jangan tunggu sehingga buah ranum kerana burung suka makan buah betik yang ranum.

Dapatkan benih betik sekaki

Khamis, 27 Jun 2013

Benih Untuk Dijual -- Cili Merah Kerinting

Cili kerinting adalah cili dari benih OP yang menghasilkan buah dengan permukaan yang kerinting.  Buah ranum berwarna merah sepanjang 12 - 14 cm.  Pokok tahan panas dan tahan serangan kulat.

Satu pek mengandungi 10 benih. Lima pek harganya RM10.  Benih terhad, dapatkan segera.



Cara Memesan Benih

Awas Hujan Asid

Di waktu ini jerebu menutupi ruang udara persekitaran rumah kami.  Kalau ambil gambar, nampak cantik. Amat romantik seperti lokasi di tanah tinggi.  Malangnya jerebu bukannya bintil-bintil kabus tapi zarah-zarah asap yang terhasil dari pembakaran hutan, eksoz kenderaan dan serombong asap dari kilang.

Ramai yang gembira bila hujan turun kerana hujan akan menyapu zarah-zarah asap.  Bersih udara kata mereka.  Saya perhatikan, lepas hujan, langit cerah sekejap, selepas itu berebu semula.  Kemana perginya jerebu yang hilang selepas hujan?  Sebenarnya ia terlarut ke dalam air hujan mengasilkan ion yang tidak kurang bahaya untuk kesihatan.

"Ish ish ish, Iskandar ni, macam-macam aja.  Pandailah buka cerita." kata seorang rakan bila saya buka cerita hujan asid.

"Tak percaya? Tak ada masalah, tapi lihatlah beg kulit yang terkena rintik hujan tapi tak dibilas.  Rintik yang jatuh atas kepala terus diserap melalui kulit kepala.  Barangkali apa yang akan berlaku ya, sebab setiap kali terkena hujan kepala sakit seperti mahu pecah kepala?"

Beg kulit yang terkakis terkena rintik hujan di Lembah Kelang tetapi tidak dibilas.

Close-up kesan hujan asid terhadap beg kulit.

Buat sementara ni, saya harap rakan-rakan tidak dedahkan diri kepada hujan yang pasti lebih tinggi keasidannya.  Jika berkebun pastikan ada pelindung kepala.  Bimbang takut sambil seronok berkebun, hujan turun.

Rabu, 26 Jun 2013

Semaian Cili Kerinting

Biasanya orang kaitkan buah cili yang kerinting dengan serangan virus, tapi jenis cili ini sememangkan menghasilkan buah yang kerinting.  Pokok cili ini tahan serangan kulat dan amat sesuai ditanam di tempat panas seperti di negara kita.  Buah yang dihasilkan sekitar 5 hingga 6 inci dengan tahap pedas yang sederhana.  Saya rancang untuk petik ketika masih hijau untuk dijadikan ulam.

Benih yang disemai bercambah dalam masa 4 hari.

Cambahan Cili Kerinting


Semaian Sweet Pea

Benih kacang sweet pea yang disemai menunjukkan tanda percambahan dalam masa 48 jam. Bagaimanapun selepas 4 hari, daun masih belum keluar.  Pokok sweet pea yang ditanam sendiri menghasilkan daun dan lenggai (pod) yang manis yang enak dimakan muda.

Akar telah keluar dari benih sweet pea yang disemai.

Selasa, 25 Jun 2013

Tanaman Yang Cepat Dapat Dituai

Bawang merah dan bawang putih yang paling best adalah yang dipetik terus dimasak. Bawang antara pokok yang mudah ditanam.  Boleh gunakan semaian, iaitu bawang yang dah disemai dalam bekas semaian, benih, atau guna yang kering (onion set). 

Cara tanam bawang ada dibincangkan dalam posting terdahulu.  Gunakan medan carian yang terletak di atas untuk buat carian.

Bekas ini adalah hasil kerja tangan Puteri (anak kecil) menggunakan bawang yang dibeli di Pasaraya. Lagi 2 minggu kami akan menikmati jejemput bawang istimewa.

Menanam Cili Menggunakan Keratan Batang

Jika ada memiliki pokok cili yang digemari dan ingin menama cili tersebut untuk menghasilkan pokok yang renek yang mampu menghasilkan buah dengan segera, boleh semai mengggunakan keratan.

Lakukan aktiviti di sebelah petang. Ini untuk mengelakkan keratan layu kerana terlalu panas sebelum pokok serasi dengan keadaan baru. Guna tanah/medium khas untuk propagasi.
Potong keratan berbatang muda. Batang yang tua mempunyai kulit mati dan akar baru tidak akan tumbuh. Buang daun yang besar untuk kurangkan kadar transpirasi. Buang semua buah atau bunga kerana bunga dan buah akan menggunakan banyak tenaga.  Pokok yang baru disemai dari batang perlu tumpu segala sumber untuk menghasilkan akar.


Itu perkara asas yang mesti diikuti. Tapi kalau tanah/medium yang diguna serasi, tiada hal. Boleh semai keratan yang ada bunga.  Buah hijau akan mula membesar dan ranum.



Semaian cili dari keratan batang.  Satu keratan disemai dengan putik buah, kini telah ranum.


-------------------------------
Mana nak dapat tanah/medium istimewa ini? Ada kat sini. 2 plastik 6X9 inci (~800-1000g) dijual dengan harga RM10. Campuran medium propagasi terhad, jadi dapatkan dengan segera. Emel [email protected] untuk pesanan.

Stok Benih -- Benih Sweet Pea

Benih sweet pea dah habis. Yang ada hanya cukup untuk rakan-rakan yang dah pesan atau tempah. Benih akan diedarkan semula selepas mendapat stok baru. Harap maklum.

Isnin, 24 Jun 2013

Kenali Benih Sweet Pea

Kacang Sweet Pea adalah kacang yang istimewa.  Jika ada anak yang masih baru belajar nak makan sayur, inilah sayur yang patut ditanam.  Ia menghasilkan pokok yang memanjat dengan sulur aut.  Pucuk pokok kacang pea juga manis rasanya dan elok dijadikan ulam.
Kacang pea dipetik muda dan enak dimakan seluruh buah, bukan biji sahaja.

Benih sweet pea berbentuk sfera. 

"Kalau begitu mengapa dalam gambar kacang ni kemek seperti telur penyu?" 

Benih tanamsendiri adalah benih yang kering.  Ia dikeringkan supaya boleh disimpan lama. 

Saiz benih sweet pea lazimnya dari 5 - 6mm iaitu sebesar bola bering (ballbearing).   Warna benih sweet pea cokelat. Kadang-kadang ada juga benih yang dijual berwarna merah jambu.  Ini sebenarnya adalah warna antikulat yang digunakan untuk melindungi benih dari serangan kulat.

Kalau dipicit, benih sweet pea keras kerana ia dalam keadaan kering. Sebelum semai, rendam dulu dalam air suam selama 2 jam.  Benih sweet pea yang direndam terlebih dahulu lazimnya bercambah (mengeluarkan) selepas dalam masa 2  hingga 7 hari.  


Benih Sweet Pea.

Beli Benih Sweet Pea

Ahad, 23 Jun 2013

Bendi Tersasar

Pokok bendi memang lasak. Benih yang luruh dari lenggai kering tersemat dicelah rekahan konktrit pun membuahkan hasil.

Sabtu, 22 Jun 2013

Tahap Kesukaran Mengalih Semaian

Jika mudah, boleh amalkan menyemai dalam bekas semaian.  Jika sukar, elok semai terus di tanah atau dalam bekas besar.

Mudah
---------
lobak putih
brokoli
flokoli
cauliflower
kobis
sayur putih
sawi
kailan
tomato
salad

Sayur putih yang juga dikenali sebagai kobis cina mudah dialih.


Sederhana
-----------
terung
celery
kucai
cili

Sukar (perlu langkah yang rapi)
--------------------------------
tembikai
timun
rock melon
tembikai susu
labu

Semua ini ada dibincang dalam ebook "Berbaloikah Alih Semaian?"

Propagasi Keratan

Semalam semai keratan beberapa jenis cili, oregano dan bunga tonkin jasmine.
Aktiviti dijalankan waktu malam untuk elak keratan layu. Tanah kami rumus khas untuk propagasi. Tak perlu guna penggalak akar.

Jumaat, 21 Jun 2013

Gambar Hari Ini -- Bunga Tongkeng, Tonkin Jasmine, Telosma cordata

Bunnga Tongkeng mempunyai aroma seperti bunga melor.  Bunga ini dituai untuk dijadikan ulam atau dijadikan ramuan dalam telor goreng.  Pokok dibiak melalui keratan batang.

Bunga tongkeng tumbh berjambak.

Khamis, 20 Jun 2013

Soalan Pengunjung -- Petua Tanaman Yang Subur Dengan Tuaian Yang Besar

En Iskandar,
Sayur yang saya tanam kecil dan kurang subur. Boleh tak beri petua macamana nak dapatkan tanaman yang subur dengan tuaian yang besar?

---------------

Boleh.  Senarai berikut boleh digunakan sebagai panduan.

1. Guna benih yang berkualiti dan sesuai.
Gunakan benih yang berkualiti.  Jika benih tak berkualiti, cambahan yang dihasilkan lemah dan mudah diserang penyakit atau tewas bila bersaing dengan rumpai. Pastikan baka dari jenis yang besar untuk hasilkan tuaian yang besar.  Misalnya, jika semai timun mini, buah yang dihailkan kecil. jika mahu timun yang besar, semai timun batu atau timun op.

2. Gunakan tanah yang sesuai.
Tanah ada cirinya yang tersendiri.  Ia mempunyai struktur dan pH (keasidan) yang tertentu.  Jika tanah terlalu padat, tanaman yang dihasilkan terbantut kerana akar tidak dapat oksigen. Jika tanah terlalu berasid atau beralkali, tanaman yang dihasilkan terbantut kerana gagal menyerap nutrien kerana nutrien tidak dapat dibebaskan oleh tanah.

3. Akar bebas tumbuh.
Tanaman yang besar perlukan banyak nutrien dan air.  Jika akar terbantut, jumlah nutrien dan air yang mampu diserap terhad. Jika akar memenuhi bekas, aih ke dalam bekas yang lebih besar. Ketika mengalih, pastikan suhu tanah, jenis tanah dan waktu alih sesuai untuk mengelakkan kejutan pada tanaman.

4. Tanah biar hidup.
Tanah bukannya ruang mati sebagaimana yang selalu disalah-anggap.  Tanah perlu hidup supaya ia dapat meleraikan nutrien dalam baja (kompos) supaya sedia untuk diserap oleh akar.

5. Cahaya biar cukup.
Semai tanaman yang sesuai dengan jumlah cahaya.  Maksud saya, lokasi biar betul. Jika tanaman perlukan cahaya tempat redup, letak di tempat redup.  Jika tanaman perlu cahaya terang sepenuhnya, letak tempat yang terang.  Misalnya, kobis perlukan cahaya yang banyak tetapi redup ketika membentuk bola kobis.  Jadi letakkan tempat yang redup.  Bendi perlukan cahaya yang cerah dan banyak. Letak tempat yang cahaya matahari tidak terlindung.

6. Lindungi tanaman dari makhluk perosak.
Makhluk perosak mampu merosakkan daun atau bahagian pokok yang penting untuk pertumbuhan,  Sentiasa periksa tanaman dan pastikan ia dalam keadaan terbaik.

Rakan-rakan mungkin ada petua yang boleh ditambah. Jangan segan untuk tinggalkan ulasan.

Rabu, 19 Jun 2013

Stok Benih -- Benih Timun Jepun Telah Habis

Benih timun jepun telah habis stok.  Untuk rakan-rakan yang telah pesan benih tersebut, saya akan ganti dengan timun tokyo.  Harap Maklum.

Berkongsi Pasu

Ada rakan yang bertanya, boleh tak berkongsi pasu. Maksudnya tanam lebih dari satu pokok dalam satu bekas.  Tiada masalah jika cukup ruang tanah, baja, air dan cahaya.  Jika pokok utama kelihatan terbantut, tuai aja pokok yang menumpang.
Gambar menunjukkan pokok cili dan pokok kobis ditanam dalam satu bekas.  Saya hanya perlu pastikan keperluan asas cukup.

Cili dan kobis berkongsi ruang dalam pasu.

Selasa, 18 Jun 2013

Cili Burung Oren

Ahhhh cili burung oren, bestnya kalau ada kat tingkap dapur.  Buat sambal, sambal kicap, minyak cili,... Nak, petik aja.  Kalau satu pokok berbuah lebat macamni, bayangkan kalau ada 20 pokok. 

Cili burung oren berbuah lebat.

Semua bermula dengan satu benih bersaiz 2 mm.

Gambar Hari Ini -- Kobis Cina (Sayur Putih)

Kobis cina atau sayur putih adalah antara sayur yang cepat mendatangkan hasil.  Selepas disemai, pokok dialih apabila semaian mempunyai 2 set daun.  Selepas dialih, pokok akan melonjak pertumbuhannya.  Selepas 3 hingga 4 minggu pokok dah boleh dituai.

Jika diletakkan di depan rumah, pokok ini juga kelihatan cantik menghiasi halaman depan rumah.


Semaian Yang Baru Dialih

Pada Hari Ahad lepas semaian roselle dan tomato ceri Tropical Ruby telah dialih dari bekas semaian ke dalam bekas yang lebih besar.  Aktiviti mengalih dilakukan sebelah petang.  Lazimnya saya gaul dulu tanah dengan baja organik (pellet tinja ayam) seminggu sebelum mengalih, tapi kali ini tidak sempat lakukan lebih awal.  Jadi baja tersebut digaul sebelum aktiviti mengalih.  
Pokok dialih di waktu petang untuk mengelakkan pokok terkena kejutan yang teruk di waktu tengahari.  Ketika ini semuanya kelihatan subur.

Anak pokok Roselle

Anak pokok tomato tropical ruby.

Isnin, 17 Jun 2013

Bayam Putih Daun Bulat

Bayam putih daun bulat yang disemai 3 minggu terdahulu kini membesar dengan cepat.  Kalau ia membesar pada kadar ini, satu minggu agi sebahagian dari bayam tersebut akan dituai untuk memberi ruang kepada bayam yang masih "struggling" untuk membesar.  Pokok ini walaupun disemai rapat tidak menunjukkan tanda-tanda terbantut.  Sebahagian daripada cambahan yang lemah telah mati memberi ruang kepada cambahan yang kukuh untuk terus membesar.  Sasaran saya ialah untuk tuai pada bulan puasa, tapi nampaknya saya akan tuai lebih awal, jadi petag ini saya akan semai benih dalam 3 kotak gabus lagi.

Kotak ini diletakkan di tempat panas iaitu bahagian depan rumah.  ia mendapat sebahagian daripada cahaya pagi dan cahaya tengahari sepenuhnya tanpa terlindung.  Pokok tidak dibaja kerana ketika menyemai, saya telah gaulkan lapisan bawah tanah dengan baja organik.  Lapisan atas saya tabur tanah semaian (growmix) untuk memastikan ia sesuai untuk mencambahkan benih bayam.  Pokok disemia terus, tidak dialih.

Bayam Putih Daun Bulat
Mana nak dapatkan benih?  Rakan-rakan boleh dapatkan dari blog ini.

Ahad, 16 Jun 2013

Gambar Hari Ini -- Bunga Dahlia

Bunga Dahlia sedang mekar.

Puteri, anak kecil dah lama pandai appreciate bunga.  Saya seperti dipaksa untuk tanam bunga.  Bila semaian dah sedia untuk dialih, Puterilah yang akan sibuk mengalih pokok tersebut.  Gerbera, Bunga Matahari, dan entah apa lagi jenis bunga mekar di halaman rumah hasil usaha Puteri. 

Sabtu, 15 Jun 2013

Tuaian Hari Ini -- Temu Pauh, Mango Ginger, Curcuma amada

Temu pauh adalah rizom yang enak digunakan sebagai ramuan masakan atau dibuat ulam. Rzomnya yang muda rangup dengan rasa dan bau pauh muda.  Hari ini saya tuai pokok yang ditanam daripada 2 rizom yang disemai dalam kotak gabus.  Lihatlah sendiri hasilnya, berbaloi. 

Temu pauh yang baru dituai.

Benih Untuk Dijual -- Rizom Temu Pauh

Temu Pauh, Curcuma amada adalah tumbuhan berizom seperti halia dan lengkuas.  Rizom muda tepu pauh mempunyai rasa dan bau seperti mangga muda bercampur halia dan amat enak.   Ia sesuai untuk dijadikan kerabu atau dilumatkan bersama sambal.

Pokok Temu Pauh


Temu Pauh disemai menggunakan rizom.  Kini rizomnya boleh diperoleh melalui blog ini.  5 rizom benih dijual dengan harga RM10.

Rizom Temu Pauh



Gambar Hari Ini -- Kobis

Kobis

Batch terakhir kobis.  Daun semakin padat.  Batch baru saya akan semai kobis merah.

Pelbagai Semaian Salad



Semaian pelbagai jenis salad telah sedia untuk dialih.  Jika semai pelbagai jenis, pastikan cambahan dilabelkan.  Sukar nak bezakan ketika salad masih muda.

Jumaat, 14 Jun 2013

Gambar Hari Ini -- Sawi Renek Hijau

Sawi renek sedia untuk dituai.


Ini antara sawi terakhir yang belum dituai.  Esok ia akan menjadi hidangan kami sebab saya akan mulakan batch sawi yang baru.  Kali ini, sawi akan disemai di depan rumah.  Sasaran saya, sawi tersebut akan dinikmati di bulan Ramadhan nanti.  Memang dah suntuk masanya, tapi kalau dijaga secara intensif, sempat.  Perlu manfaatkan ekosistem tanah untuk dapatkan tuaian yang cepat tanpa perlu membaja dengan banyak.

Khamis, 13 Jun 2013

Stok Benih -- Benih Flokoli Telah Habis

Ketika ini, benih flokoli telah habis.  Jika rakan-rakan ada memesan benih ini, ia akan diganti dengan benih brokoli "perfect dome".  Jika inginkan benih yang lain, sila maklumkan melalui emel atau sms.  Harap maklum.

Petua Tanamsendiri -- Potong Bawang Pun Ada Caranya

Bawang yang tidak dipotong tidak mengeluarkan bau yang kuat yang memedihkan mata.  Bau yang kuat ini juga membuatkan bawang merasa enak.
Ada sebabnya mengapa orang dulu dulu cerewet tentang cara potong bawang. Mereka pastikan bawang hasilkan aroma sebanyak mungkin. Cara yang terbaik, potong bawang sebelum memasak, jangan simpan lama sebab selepas bawang dipotong kerana bau dan rasa bawang semakin kurang selepas dipotong dan disimpan lama.
Cara potong yang menghasilkan bau yang paling kuat ialah kerat bawang secara memanjang, iaitu dari bahagian hujung (bahagian keluar daun) ke arah bahagian pangkal (bahagian akar).Jika dikerat melintang (cross section), bau bawang yang dihasilkan tak kuat. Sebabnya, bila kita potong bawang, sel bawang pecah dan bawang akan keluarkan sejenis bahan kimia. Bahan kimia ini akan mengeluarkan aroma yang kuat apabila ia bertindakbalas dengan enzim yang juga dibebaskan oleh bawang tersebut. Bagaimanapun, enzim tersebut paling banyak di bahagian pangkal bawang.

Jadi, kalau kita kerat melintang, tak banyak enzim dibebaskan, jadi hanya sebagaian bahan kimia yang dibebaskan oleh bawang bertindakbalas dan menghasilkan bau yang kita harapkan.
Ringkasnya, kalau nak bawang rasa umph bila memasak, potong macam dalam gambar.

Bawang yang dipotong memanjang merembeskan lebih banyak enzim yang membuatkan bau bawang lebih kuat dan rasa lebih enak.


Rabu, 12 Jun 2013

Cili Padi

Dulu, sebelum berjinak dengan berkebun di rumah, ingatkan cili padi hanya cili padi. Rupa-rupanya ada banyak jenis cili padi.  Ada berbagai warna.  Ada yang wangi bila digoreng, ada yang membuatkan bersin tak henti henti.
Dulu ingatkan tanam cili padi, sesuai dengan benih aja. Rupa-rupanya dengan keratan pun boleh.  Dulu ingatkan benih cili padi murah.  Rupa-rupanya mahal macam bedil. :)  Dulu ingatkan cili padi asal dari negara kita sebab banyak masakan melayu dibubuh cili.  Rupa-rupanya dari Amerika Latin dan Amerika Selatan.
Hari ini nak buka pek benih baru, Cili Centil dari Taiwan.  Buah kecil, tegak, lebat, pedas, saiz 4.5x1.2 cm.  Berat dalam 3g.  Tahan serangan virus.  1 pek mengandungi 10 benih. RM2 satu pek. 

Pokok cili ni tumbuh macam bonsai, tapi buah tetap lebat. Pokok disemai dari keratan batang.

Pokok cili padi dengan buah yang belum ranum, tapi enak dimakan. Walaupun hijau, pedas.  Pokok disemai dari biji.

Selasa, 11 Jun 2013

Bayangkan Kobis Rumah Depan Rumah

Bayangkan tanaman kelihatan seperti bunga ros dengan diameter 60 cm depan rumah (dalam pasu). Banyak pula tu. Laman seperti fairytail. Mungkin boleh cuba kobis merah, baka Sunny Side, tahan panas. Benih masih ada.



Ada Tanaman Yang Memanfaatkan Proses Mengalih Dengan Nyata



Ada tanaman yang dapat memanfaatkan proses mengalih dengan nyata.  Dari pemerhatian pengarang, ketika mengalih sebahagian daripada akar akan putus (secara tidak sengaja ketika pengendalian).  Ini seperti proses mencantas atau memangkas ranting juga.  Perhatikan, lazimnya selepas memangkas lebih banyak tunas baru akan tumbuh.

Selepas dialih, akar baru akan tumbuh dengan lebih banyak.  Akar baru mempunyai keupayaan untuk menyerap lebih banyak nutrien dan air.  Ini mengukuhkan pokok.  Hasilnya pertumbuhan tanaman lebih galak.

Sebab itulah kebanyakan petani komersial menggunakan kaedah semaian di dalam proses penanaman, walaupun proses mengalih semaian memerlukan banyak tenaga, masa dan sumber lain.

Pokok Kobis Cina Ong King tumbuh dengan galak selepas dialih.


----------
Dipetik dari halaman 7, ebook "Berbaloikah Alih Semaian?"

Isnin, 10 Jun 2013

Jika Mahu Daun Ulam Raja Besar

Bunga solo dari patch ulam raja. Ulam raja adalah dari keluarga Cosmos. Bila pokok mula berbunga, daun yang dihasilkan kecil. Jika tanam untuk tuai daun, cubit buang bunga.

Pokok Ulam Raja

Kobis Mula Membentuk Bola

Minggu lepas, setiap petang hujan. Walaupun  cuaca masih panas, kobis dah mula membentuk bola.



Kuantiti Tuaian Dapat Ditingkatkan Jika Semai Dalam Bekas Semaian



Ruang berkebun di rumah terhad. Untuk mendapat tuaian sebanyak mungkin, rakan-rakan perlu rancang penanaman dengan baik.  Menyemai dalam bekas semaian membantu rakan-rakan menggunakan ruang dan masa dengan lebih efisien.

Ini memungkinkan rakan-rakan menghasilkan lebih banyak tuaian daripada ruang tersebut.  Ini kerana masa penanaman adalah lebih singkat.  Lebih singkat masa diambil untuk pokok matang, lebih banyak pokok dapat ditanam kerana dalam masa yang sama, lebih banyak kitar tanaman dapat disempurnakan.

Misalnya, jika satu jenis tanaman ambil masa 3 bulan untuk dituai, dalam masa 6 bulan rakan-rakan dapat tanam 2 kitar, dan mendapat 2 kali tuaian. Jika tanaman tersebut berada di dalam bekas semaian selama 1 bulan, rakan-rakan hanya perlu letakkannya di tanah selama 2 bulan. Jadi dalam masa 6 bulan rakan-rakan dapat 3 kitar tanaman.  Jadi dalam ruang yang sama, anda dapat tingkatkan jumlah tuaian sebanyak 50% berbanding jika menyemai terus ke tanah.

Ini kerana ketika menyemai, pokok berada dalam bekas semaian dan boleh diletakkan dalam ruang yang lain.  Selepas tuaian dibuat, rakan-rakan boleh alih terus semaian yang matang ke tanah.  Jadi tanah tidak kosong.

Blog Walking -- Blog Juli Za

Blog yang saya kunjungi hari ini adalah milik Juli Za. Menarik juga sebab aktiviti berkebun yang dipamerkan oleh Juli Za sebenarnya bukan di rumah tetapi di sekolah. Cigu Juli Za menjalankan aktiviti berkebun bersama murid. Saya perhatikan, selain daripada menanam cara konvensional, Cikgu Juli Za juga menjalankan aktiviti berkebun secara hidroponik takung. Untuk murid Cikgu Juli Za. Blog Juli Za boleh dicapai melalui URK berikut.

http://kebunmaksujuli.blogspot.com


Blog kebunmaksujuli.blogspot.com
 

Ahad, 9 Jun 2013

Jika Beli Semaian Dari Nurseri....

Pokok cili, terung, dan lain-lain sayur buah mengambil masa yang lama untuk mendatangkan hasil.Kadang-kadang ada yang ambil keputusan untuk beli sahaja semaian dan alih ke halaman rumah.  Saya pernah buat begini ketika baru belajar berkebun di rumah. 

Kelebihan Membeli Semaian:

1. Tidak perlu menjaga semaian ketika pokok masih kecil dan lemah.
2. Dapat tuai dalam masa yang singkat.

Namun begitu pilih pokok dengan teliti.

1. Pilih pokok yang belum berbuah atau berbunga kerana apabila di alih, pokok akan kena kejutan.  Pokok yang dah berbuah atau berbunga perlukan airyang banyak.  Jika kena kejutan, pokok tersebut tidak tahan dan akan mati.

2. Periksa pokok terutamanya di bawah daun. Pastikan tiada makhluk perosak.  Bena, lalat putih dan lain-lain serangga perosak boleh berjangkit ke halaman rumah melalui tanaman nurseri.

3. Periksa tanah.  Ulat kekek boleh merebak ke tanah halaman rumah dari tanah semaian dari nurseri.

4. Alih di sebelah petang untuk elakkan pokok melalui waktu tengahari di hari pertama pokok dialih.


Gambar Oleh Rakan Tanamsendiri -- Tomato Ceri dan Timun Jepun Milik Juli Zan

Hari ini saya seronok dapat kiriman hasil tanaman Juli Zan.  Saya suka cara Juli Zan bina pancang sokongan.  Lazimnya jika putik dah saiz sebegini, ia akan lekat (tidak luruh).  Cuma Juli Zan perlu pastikan pokok tidak kering.

Cantik.

Pokok Timun Jepun milik Juli Zan.  Gambar milik
[email protected]

Tomato ceri baru berbuah.  Bayangkan bila semuanya dah merah. Gambar milik
[email protected]