Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Rabu, 31 Oktober 2012

Nanti Tanamsendiri Akan Tambah Lagi Koleksi Benih Tomato

Di musim hujan begini tomato berbuah dengan lebat.  Cuma ada antara tomato menerima terlebih air dan menjadi pecah akibat bengkak air.  Tapi ketika musim begini tiadalah pokok yang mati kekeringan kerana kekurangan air. Jadi kira give and take lah.  InsyaAllah saya akan tambah lagi beberapa jenis benih tomato yang best best.  Nantikan kehadirannya.

Gambar menunjukkan tomato baka kampung, isinya padat dan meaty, cuma saiz buah tak sekata.  Elok kalau tanam di rumah.  Enak dibuat sos atau sambal. Bila pokok mula berbuah aja, daun mula keriting akibat kekurangan air.

Jika tanam tomato atau lain-lain buah yang berair, pastikan pokok mendapat air yang secukupnya terutama ketika pokok mula berbuah.


Buah Tomato yang dapat dituai ranum.  Tiada suntikan lalat buah.



Gambar Hari Ini -- Balung Ayam

Benih bunga Balung Ayam halus, lebih kurang sama saiz dengan benih bayam.  Bagaimanapun ia mudah bercambah. Menanam bunga tak sama dengan menanam sayur.  Ia tidak perlukan nutrien yang banyak dan jumlah makhluk perosak yang menyerang juga kurang.  Saya perhatikan, hanya belalang yang menyerang pokok ini.

Benih dari tanamsendiri adalah dari baka OP, jadi warnanya tak menentu.  Dari satu pek yang saya tanam terdapat pelbagai warna.   Cantik.
 






Benih Bunga Balung Ayam

Benih Untuk Dijual -- Kacang Botor, Kacang Kelisa, Kacang Gelisa

5 pek - RM10
1 pek ada 5 biji benih.

Pokok ini perlukan ruang untuk memanjat.

Benih kacang botol
Kacang botor atau kacang gelisa enak dibuat ulam.

Untuk pembelian benih, sila rujuk posting ini.

Cara Memesan Benih 

Selasa, 30 Oktober 2012

Tuaian Hari Ini -- Cili


Tuaian berbagai jenis Cili.

Cili dalam koleksi tanamsendiri pun ada berbagai.  Cili Kulai King dituai ketika masih muda untuk dijadikan ulam.  Tak berani nak tunggu ranum sebab musim hujan lalat buah mengganas.  Cili wangi enak dibuat minyak cili untuk dijadikan perisa ketika makan mi goreng. Moruga dan habanero, jangan main-main. Saya akan jeruk dalam cuka asli untuk kurangkan pedasnya.  Kapsikum pun cantik.  Puas hati. Nanti akan semai Cili Solok Siam, Cili Solok, Cili Padi, Cili Yong Peng, Cili kampung, dan banyak lagi.

Khabarnya, kapsikum, iaitu bahan aktif dalam cili mampu merangsang badan menghasilkan endorfin yang mampu membuatkan pemakannya rasa gembira.  Kapsikum juga boleh dibuat ubat sakit tekak dan melegakan sakit.  Dah makan cili hari ni?  

Isnin, 29 Oktober 2012

Ada Tak Buddy Pokok Timun?

Ada rakan yang mengadu, pokok timun yang ditanam teruk diserang serangga makhluk perosak.  Dah cuba sembur dengan larutan pencuci pinggan dan minyak.  Yang kena, tersungkur mati.  Esoknya beratus lagi datang menyerang.

Memang sukar sebab sekarang ni musim kekabuh timun mengawan.  Ia akan datang dengan jumlah yang besar.  Kalau nak guna buddy pokok biasa pun tak berkesan sebab timun pokok memanjat.  bahagian bawah selamat tapi kekabuh timun makan daun, dan ia boleh terbang.  Habis bahagian pucuk dimakannya.

Ada penyelesaiannya, bukan tak ada.  Semburan larutan pencuci pinggan dan minyak masak dapat membunuh kekabuh timun tetapi ia tidak menghalang serangga tersebut daripada menyerang.

Musim hujan adalah musim serangga perosak kekabuh timun mengawan.
  

Begini caranya.  Kalau timun pokok memanjat, carilah buddy dari jenis yang memanjat juga.  Pokok memanjat yang dibenci serangga perosak kerana baunya yang kuat ialah chayote.  Hah, mesti tak pernah dengar nama pokok ni.  Buahnya hodoh tapi enak kalau digoreng bersama bawang putih.  Orang kampung panggil buah chayote, "Labu Siam."  Orang bandar panggil, "English Gourd."  Nama yang diterima pakai, Chayote.  Bunyi macam Mexico kan?  Sebab ia berasal dari sana.

Pokok Chayote mampu melindungi pokok timun dari serangan serangga makhluk perosak.

Buat para, tanam chayote.  Pada para yang sama, tanam timun.  Tiada kekabuh timun akan berani kacau lagi.   Kalau nak merasa buah chayote elok tanam sepasang.

Ada tak benih chayote.  Benih chayote besar saiznya.  Macamni, saya ada semai beberapa biji.  Kalau mahu, saya boleh kirim cambahan, tapi perlu poslaju supaya cambahan tak mati kering.



Satu set 2 cambahan, dan 2 pek benih timun (boleh pilih jenis timun) dikirim menggunakan poslaju.  Harganya RM20 (termasuk poslaju).  Jumlah cambahan adalah terhad.  Pesan segera.  Cambahan akan dikirim pada Isnin depan.

Tentang Pesanan Sebelum hari Raya Haji

Pesanan yang belum dikirim pada minggu lepas akan dikirim sebentar lagi.  Rakan-rakan yang memesan Keratan melalui Poslaju akan terima keratan tersebut esok (Selasa 30 Oktober) atau Rabu (31 Oktober).  Untuk kiriman biasa, akan terima minggu ini, paling lewat Jumaat 3 November.

Harap maklum.2

Pokok Bunga Tahi Ayam Sebagai Buddy

Hodoh lah nama orang dulu-dulu bagi pada pokok yang ini --Bunga Tahi Ayam. 
French Marigold (atau Tagetes) bukan sekadar pokok hiasan.  Baunya yang kuat tidak digemari oleh serangga makhluk perosak.  Pokok ini boleh dimanfaatkan.  Jika ditanam berdekatan sayuran, French Marigold mampu menghalau serangga makhluk perosak. Pokok berdekatan akan bebas daripada ulat, lalat buah, lalat putih, bena, dan belalang.  
Akarnya pula dapat menghalang cacing perosak (nematod).  kalau akar tanaman berketul atau bersimpul rosak akibat serangan cacaing nematod, tanam french marigold berdekatan pokok tersebut.

Pokok Bunga Tahi Ayam digunakan sebagai Buddy untuk melindungi tanaman sayuran.

Manfaat Berkebun, Banyak...

Saya ada terbaca dalam sebuah artikel, katanya aktiviti berkebun mengurangkan risiko serangan sakit jantung lebih daripada aktiviti kardio seperti jogging dan berenang. Saya percaya kerana ia tidak memberi tekanan pada jantung walaupun tetap menggunakan tenaga dengan banyak.

Itu manfaat secara terus.  bagaimana pula dengan manfaat yang lain.  Aktiviti berkebun menenangkan fikiran, membekalkan makanan dan minuman yang sihat, dan menjimatkan duit dapur.

Sayur yang kita makan mengandungi antioksidan yang mampu menghalang proses penuaan.  Vitamin C menghaluskan kulit, manakala OPC mengukuhkan salur darah lantas menghidupkan semula aktiviti sel. Kalsium dalam sayur menghablurkan oxalate dalam sistem penghadaman menghalang pembentukan batu karang dalam buah pinggang.  Ada bahan yang melancarkan perjalanan darah, membaiki tisu organ dalaman yang telah rosak, mencuci hati dan hempedu, mengukuhkan sistem ketahanan badan dan berbagai manfaat kesihatan lagi.

Dulu, saya kurang yakin.  mana boleh perlahankan proses penuaan pada kulit.  Kini, dah tua-tua ni saya lihat sendiri perubahannya.  Sayuran bukan sahaja melambatkan proses penuaan, malah mampu kembalikan keanjalan kulit.  Sendi yang mula sakit sebab badan dah tak licinkan dengan lendir akan kembali hasilkan lendir semula, jadi sendi tidak lagi terasa sakit.  Mungkin orang muda tak peduli itu semua, tapi yang dah berumur tak mampu perjudikan kesihatan. 

Apa tunggu lagi, jom berkebun.  Tak perlu tanah yang banyak.  Tanah sekangkang kera depan rumah atau ruang tepi tingkap pun jadi.
Selain daripada tuaian yang enak dimakan, aktiviti berkebun menawarkan manfaat yang banyak.

Tuaian Hari Ini


Tuaian Hari Ini

Tuaian hari ini, lumayan.  Lobak putih, terung bulat, terung pendek dan terung panjang hijau, salad pepperomia, bayam, kesom, kangkung, cili kulai, cili moruga, habanero dan cili wangi.  Walaupun kuantitinya sedikit, berbaloi.  Mana nak dapat sayur segar seperti ini kalau tak ditanam dekat rumah.

Ahad, 28 Oktober 2012

Timun Tun Bukan Mana-Mana Timun Yang Tua

Timun Tun digunakan sebagai bahan untuk pekatkan kuah dalam masakan.  Dulu saya ingat Timun Tun ni mana-mana timun yang tua.  Rupa-rupanya, ia sejenis timun khas.  Benihnya boleh didapati melalui blog ini.  Boleh cuba-cuba tanam.  Timun Tun yang ditanam sendiri pasti jauh lebih enak dan segar.

Kulit Timun Tun berwarna oren.

Benih Timun Tun


Off Topic, Buku Panduan Bina Blog dan EBook, :P

Saya ada terima beberapa request buku cara bina blog dan cara buat ebook.  Sebenarnya saya ada tulis buku yang berkaitan dengan topik tersebut beberapa tahun yang lalu.  Buku tersebut saya tulis bersama isteri.  Jadi, nama pengarang Iskandar Ab Rashid dan Zaitun Ismail.  Buku tersebut diterbitkan oleh Venton Publishing.  Saya tak pasti samada buku tersebut masih ada dalam stok.  Rakan-rakan yang berminat boleh berhubung terus dengan pihak penerbit.  Tajuk buku, "Membina Blog Pertama Menggunakan Google Blogger" dan "Cuba-cuba Ebook."

Tak boleh, saya tak boleh jual buku tersebut dalam bentuk elektronik, sebab skrip tersebut telah saya jual pada pihak Venton.  Saya akan tulis buku yang berkait dengan membina blog dan ebook selepas siap projek buku pertanian kerana ada perkara baru yang boleh saya bincangkan dalam buku tersebut.  Niatnya saya akan jual versi ebook.  

Untuk dapatkan buku "Membina Blog Pertama Menggunakan Google Blogger" dan "Cuba-cuba Ebook" daripada Venton Publishing hubungi Venton Publishing di 03-6185 7957.

Puteri Menuai Lobak Putih

Masa yang paling seronok bagi kanak-kanak ketika berkebun adalah waktu menyemai dan menuai.  Ini kerana ketika aktiviti tersebut mereka dapat "lampu hijau" untuk bermain tanah.  Puteri pada umur 3 1/2 tahun dah mula pandai untuk bergaya, atau act cute.  

Sekarang susah sikit kalau suruh posing sebab badan mula melentok bila kamera ditala ke arahnya.  Apa-apa sajalah Puteri asal kejap lagi Papa dapat goreng sayur lobak putih untuk kita nikmati sama sama.


Puteri memeriksa isi lobak putih yang disemainya 6 minggu yang lalu.

Wah ini kalau goreng dengan bawang putih enak ni.  Puteri pula nak campur sayur ni dalam mi goreng.

Puteri memeriksa daun lobak putih yang baru dituai.  Banyak khasiat tu.

Puteri, gembira dengan tuaiannya.



Lobak Putih/Lobak Kampung
Lobak Merah


Sabtu, 27 Oktober 2012

Puteri Menuai Terung Giant Naga

Susah juga nak ajak Puteri berkebun akhr-akhir ini.  maklum sajalah, kalau tak panas terik, hujan.  Hari ini mood Puteri ok, jadi bolehlah tolong Papa tuai terung Giant Naga yang besar tu.  Kalau lambat tuai, nanti isinya jadi pahit.


Buah ini dah boleh tuai ni.

Ok tak buah terung yang Puteri pilih ni Papa?

Mak oi, lihat sendiri isinya.  Lemak manis dengan biji yang sedikit.

Terung tuaian Puteri, tomato 303, kapsikum kuning, menjadi ramuan kapsikum sumbat (bersama daging lumat) pada Aidul Adha, sebelah malam.  Yummy.

Benih Terung Pendek Giant Naga

Khamis, 25 Oktober 2012

Benih Kehabisan Stok

Benih Tomato 303, Tomato Ceri Fullhouse, Marjoram, Thyme, Cili Kulai King, Bunga Petunia, Bunga Matahari (semua jenis) telah kehabisan stok.  Benih akan dikeluarkan daripada senarai sehingga saya mendapat stok yang baru.

Tentang Pesanan

Kepada rakan yang menunggu lebih lama dari biasa, harap maaf kerana hari Isnin yang lalu penghantaran tidak dapat dilakukan.  Jadi terdapat beberapan kiriman yang tertunggak.  Pesanan yang mengandungi keratan melalui Poslaju ditangguh ke hari Isnin untuk mengelakkan masa dalam penghantaran yang lama.  Kiriman pos biasa diteruskan seperti biasa.  Semua kiriman akan ndiuruskan seperti biasa pada hari Isnin 28 Oktober. Sekiranya rakan-rakan yang memesan tidak menerima kiriman hari ini, maksudnya kiriman tersebut ditangguhkan kerana sambutan hari Raya Haji.  Harap maklum.

Gambar Hari ini -- Tanaman Yang Bakal Dituai

Ahhhh.... Hujan dua minggu ni telah menampakkan rahmatnya.  Tanaman yang tumbuh subur kini sedia untuk dituai.  Janji untuk tuai bersama Puteri, sebab antara pokok ni dia yang semai.  Mana Puteri ni.... Ooooo sibuk melayan anak saudara rupanya.  Abislah my Duta Kecil untuk blog tanamsendiri, dapat anak saudara terus tinggalkan dunia glamour.

Seperti permata nilam, Tomato Ceri Fullhouse berkilau menghias taman.

Lobak Putih dah perfect untuk dituai.

Cili Kulai, walaupun masih kecil, kalau dipetik terus makan enak dibuat ulam. 

Penat penat berkebun tepi rumah, kalau dapat jus roselle ais, fuh.

Terung Pendek naga menunggu hari yang sesuai untuk dituai.  Sedap ni kalau panggang bersama minyak zaitun.

Kobis Micky, mungkin dua bulan lagi bolehlah merasa.

Timun Jepun kalau dipadankan dengan nasi lemak.  Tiada terhingga enaknya.

Keratan Moringa tak kurang hebatnya merayu minta dituai.  Keratan menunggu dikirim kepada pembeli.  Siapa yang sambut amat beruntung.  Mungkin esok bunga moringa dijadikan ramuan telur goreng.




Rabu, 24 Oktober 2012

Pokok Timun Mati Angkara Siput Babi

Dua hari ni sebelah siang tak dapat luang masa untuk melihat tanaman.  Kebetulan, pada hari isnin, Muhammad, anak lelaki berumur 11 tahun menjalani pembedahan mata.  Petang Selasa dah keluar wad, jadi hari ni sempatlah menjenguk tanaman di depan rumah.  Alamak, 4 dari pokok timun mati.

Pokok timun layu.
Pokok ini baru berbunga, belum ada buah.  Lagipun ini musim hujan.  Tak kan mati kekeringan.  Ok, lah mesti cari puncanya.  banyak lagi pokok timun yang ditanam batch kali ini.  Ini musim hujan.  Siput babi bergerak bebas bila tanah lembap.  Walaupun kebiasaannya ia keluar di waktu malam, bila cuaca redup seperti sekarang, ia juga bebas bergerak di waktu siang, jadi ia akan semakin rakus. Bila diperiksa bahagian pangkal pokok, nah ini buktinya.  Jahat sungguh.  Bahagian kulit pokok dimakan seperti gelang mengababkan sistem peredaran air dan nutrien terputus.  Patutlah pokok mati.



Kulit di bahagian pangkal pokok dimakan siput babi.

 Ini kalau mak saya, dia panggil "rezeki rimau."  nak makan sikit aja, tapi semua sumber makanan dimusnahkan.  Nampaknya saya kena usaha lebih lagi untuk hindar serangan siput.  Maklum sajalah, ruang siput babi berlindung bukan di bawah kendalian saya.  Saya kena bina sempadan supaya siput babi tak menceroboh ke sempadan pagar.

Lihat latar belakang.  Kawasan siput babi berlindung di luar selenggaraan kami.  Nampaknya kenalah usaha lebih sikit.


Siput Babi nampak tak mengancam tapi sebenarnya keupayaan memausnahkan tanaman amat mengagumkan.
   

Selasa, 23 Oktober 2012

Benih Kosmos Oren Kehabisan Stok

Benih Kosmos Oren telah habis stok. benih yang ada hanya cukup untuk rakan-rakan yang pesan dan pesanan yang belum diproses.  Saya akan postkan semula apabila mendapat batch benih yang baru.  Harap maklum.

Ahad, 21 Oktober 2012

Timung Ciner Hok tak Dok Bijik tak dok Ker?

Ada rakan dari kampung telefon.  Katanya nak tanam tembikai.

Rakan saya ni jenis yang suka kutip biji juga.  Kalau masa zaman kanak kanak dulu, bila kami makan tembikai, dia akan kumpul biji dan semai.  Tembikai tu memang tumbuh tapi buah yang terhasil tak sama dengan buah induk.  Mungkin kerana kurang baja, mungkin juga kerana buah induk terhasil daripada benih hibrida. 

Jadi bila kami berborak tentang benih, saya tawarkan dia benih tembikai yang berkualiti tinggi.  Dia jawab,

"Buat haper aku ambil benih dari kau.  Aku pergi beli buah tembikai, ptui, ptui ptui, dapak benih."

Kebetulan ada peniaga dari van masuk ke warung tempat kami makan, jual buah mangga dan tembikai.  Saya suruh dia buktikan.  Orang ganu dah kaya sekarang, beli dua biji tembikai perdana tak tanya harga dulu.

"Berapa arr?"    rakan saya bertanya sambil seluk saku capai dompet.

Peniaga tersebut buat-buat tekan kalulator (tapi sebenarnya dah tahu harga) dan dengan perlahan sebut harga.  "lima pulut lima linggit..."

"Hah, mahalnya.  Ambil duit lima puluh ni, baki lima ringgit awak belanja kami minum."  Sahabat saya menawar harga.

"Oklah, lima pulut linggit.  Lagi lima linggat wa belanja minum."

"Tak apa, lima puluh lima ringgit mana mahal.  Kan boleh ptui ptui ambil benih."  Saya berseloroh.

Dia mengeleng kepala dan minta pisau daripada pekerja di warung.  Bila potong aja, mata terbeliak.  Buah memang cantik. Tapi tak ada biji walau satu pun.  Rasa isinya memang manis.  Memang puas makan.

Lepas makan, saya tawarkan lagi.

"Macamana, dapat tak benih dengan ptui ptui aja, atau ambik benih tembikai perdana daripada aku aja?"

"Oklah, bagi aku 20 peket, aku nak balik tanam."

Saya ada stok sedikit aja.  Tembikai perdana, buahnya lonjong, warna kulit hijau gellap dengan jalur hijau muda.  Isinya merah, garing tanpa biji dengan kandungan gula 12 hingga 14%.  Manis.  Sebiji antara 8 hingga 12 kilogram.  Harga pasaraya, RM4 sekilo.  Untungnya kalau tanam sendiri, jimat duit makan sedap.

Satu pek ada 5 biji benih.  Saya jual, 5 pek RM10 sahaja.  Cepat pesan sebab bilangan pek terhad.


Jumaat, 19 Oktober 2012

Tomato Ceri dan Timun Dalam Patch Belakang Rumah

Kali ini patch belakang rumah saya penuhkan dengan tomato ceri (baka full house), timun jepun, timun batu, basella dan bendi emas.  Kalau ikutkan buku, mereka tak sarankan kita tanam timun dan tomato dalam satu ruang kerana bimbang berebut baja dan cahaya.  Jangan risau sangat.  Cahaya, negara kita dilimpahi dengan banyaknya.  Baja boleh tambah kalau tak cukup.  Yang penting dapat tuai buah dengan banyak.    



Buah tomato yang masih muda. Tangkai ini hanya lekat satu biji. Perlu buat baja booster ni, sebab pokok tomato dan timun berebut baja.


Banyak juga tangkai yang menjadi.  Tak sabar tunggu buah ranum.


Setiap pucuk baru menghasilkan tangkai bunga.

Rupa-rupanya timun jepun dan timun batu pun dah berbuah.
Selain dari itu saya juga letak pokok bunga Harum Sundal Malam di belakang rumah.  Tak lama lagi wangilah belakang rumah di waktu malam. 



Tangkai bunga Harum Sundal malam yang hampir mekar. Di belakang kelihatan pokok basella.

Benih Kongsi Bulan Ini -- Kobis Cina 636

Bulan ini saya akan kongsikan benih kobis cina baka 636.  Saya sendiri belum semai benih ini.  Menurut pembekal benih pokok kobis ini menghasilkan daun yang separa tertutup.  Ia tidak menghasilkan jantung yang padat kerana daunnya yang separa terbuka.  Sama-samalah kita cuba.

Untuk dapatkan benih kongsi, emel atau sms nama  dan alamat ke iskandar.abdulrashid@gmail.com.  Jika rakan-rakan memesan benih, pek benih kongsi akan disertakan.  Benih diedarkan secara percuma.  Bulan ini saya akan kongsi 2,000 pek sahaja.  Setiap pek mengandungi secara purata 50 biji benih. 

Dapatkan benih sekarang, lagi dua bulan anda akan nikmati sayur seperti ini.

2,000 pek pertama telah habis diedarkan.  Saya telah menambah 4,000 pek lagi untuk dikongsi.  Kepada rakan dan pengunjung yang belum mendapatkannya boleh berbuat demikian. :)

Khamis, 18 Oktober 2012

Gambar Hari ini -- Lobak Putih Dalam Pasu


Lobak Putih dalam pasu senduduk.
Biasanya saya tak galakkan orang tanam lobak dalam pasu yang mengandungi pokok bunga.  Tapi ini kerja Puteri, anakku yang berumur 3 tahun setengah.  Mana boleh larang.  Kalau larang setengah hari muka masam "catung", semua yang Papa buat tak kan kena.

Puteri memang suka berkebun.  Bila saya masuk halaman rumah untuk bertanam, dia akan ikut sama.  Antara aktiviti kesukaannya ialah menyemai dan menuai.  Hari itu saya semai satu pek lobak putih dalam dulang semaian.  Dia kutip benih yang jatuh dan semai dalam pasu senduduk.

"Puteri tak boleh semai dalam pasu, nanti pokok senduduk tu renggeh, berebut baja." saya tegur.

"Boleh, ni ho."  Jawab Puteri selamba.

Hentam sajalah Puteri.  Nanti Puteri tolong tuai pula.  Kita goreng dengan bawang putih buat lauk nasi. :) 

Bayaran Melalui PayPal

Ada rakan yang sarankan agar saya terima bayaran melalui PayPal untuk memudahkan lagi proses pembelian.  Terima kasih kerana saranan tersebut.  Sekarang rakan-rakan boleh membuat bayaran melalui Paypal. Akaun PayPal kami ialah

iskandar@tanamsendiri.com 

Masa Untuk Berkebun

Akhir akhir ni dah hujan setiap hari.  Waktu teduh pun lama, jadi waktu untuk berkebun pun lebih panjang.  Bolehlah kerjakan ruang seberang jalan.  Agak-agaknya bila boleh settle ni?  Mula-mula cuba tebas sendiri.  Tenaga habis menebas, tak lagi larat berkebun.  Bila nak mula tebas lagi, rumpai mula naik.  Akhirnya upah orang tebas.  Saya cuma maintain supaya rumpai tak naik.  Daun-daun kering akan dijadikan kompos.  Kayu ranting akan dijadikan pancang.  Kawasan luas, jadi bolehlah tanam pokok yang merayap.  Tengoklah macam mana.  Untuk pilih tanaman, saya serah pada Tun (isteri) sebab dia boleh visualise bagaimana rupa kawasan bila pokok penuh nanti.  Saya pakai tangkap muat aja.

Tun, my mem sedang menanda kawasan untuk planning jenis tanaman yang akan ditanam.
Mana larat nak kerjakan sekali gus.  Buat sikit sikit.  1 patch sehari.  Yang ini disemai spinach.
 
Patch ini saya buat sehari sebelumnya, disemai salad cina.  Tadi kutip siput, ada 20 ekor menggala cambahan salad.
InsyaAllah lagi sebulan kawasan ini akan dipenuhi tanaman sayuran.

Rabu, 17 Oktober 2012

Ladybird, Kawan atau Lawan?

Ladybird, kawan atau lawan?
Ladybird ada banyak jenis, mengikut pola bintik pada badannya.  Kalau yang ditunjukkan dalam gambar di bawah, it ain't  no lady.

"Patut bunuh ker?"

Sabar dulu, biar saya habis cerita dulu.

Ladybird, lihat permukaan daun terung rosak dimakan larvanya.


Ladybird kebiasaannya bukanlah makhluk perosak.  Tapi kalau dari jenis yang mempunyai pola bintik seperti dalam gambar di atas -- ia makhluk perosak.  Bukan Ladybird itu sendiri tapi anak-anaknya makhluk perosak.

Telur Ladybird menetas menghasilkan larva atau ulat bulu yang berbentuk bujur kira-kira 1 cm panjangnya. Larva ini hidup dengan memakan permukaan daun terutamanya daun terung, peria dan daun kari.  Sekali ia serang bukannya satu atau dua ekor, malah beratus ekor. Tanaman boleh musnah dalam masa yang singkat.

Larva Ladybird jenis ini makan daun.

"Hah! Tak percaya ini larva Ladybird?  Kenapa, sebab Ladybird cantik tapi ulat ni hodoh dan berduri?" 

Kalau tak percaya lihatlah gambar berikut, Ladybird ini baru sahaja keluar daripada kepompong ulat yang seperti di dalam gambar di atas.  Pola bintik Ladybird pun belum lagi kelihatan.


Ladybird yang baru "dilahirkan".

"Larva Ladybird makan daun?  Tapi saiznya kan kecil aja.  Tak kan teruk pokok dikerjakannya."

"Kenapa? Tak percaya Ladybird makhluk perosak?"

Lihatlah sendiri daun pokok terung yang saya tanam dikerjakannya.  Memang mengecewakan.  Tapi larva tersebut dah mati kena semburan larutan sabun pencuci pinggan dan minyak masak sebagaimana saya tunjukkan dalam posting http://www.tanamsendiri.com/2011/12/semburan-makhluk-perosak.html

Serangga ini pasti ditakuti pekebun terung, tak kiralah apa jenis terung sekalipun.  Pasti Ladybird ini akan diracun. 
Pokok terung yang hampir musnah akibat serangan larva Ladybird.
Kita yang tanamsediri tepi rumah ni janganlah rakus sangat.  Kan kita tak nak bermusuh musuh dengan hidupan sekeliling kita?  Bagaimana nak manfaatkan makhluk ini supaya daripada makhluk perosak menjadi makhluk pelindung?

Ingat Sistem Buddy yang saya kenalkan?  Ladybird jenis ini boleh dijadikan kawan kalau jumlahnya tak banyak.  Jadi jika ia menyerang, semburlah larva tu dengan semburan yang saya tunjukkan.  Tapi jangan dimusnahkan kesemuanya.  Ladybird yang dah matang, biarkan ia terus berkunjung ke laman kita.

Ladybird matang dalam bentuk kekabuh dah tak makan daun -- hanya larvanya yang makan daun.  Ladybird makan bena (aphid), iaitu makhluk perosak yang selalu menyerang pokok cili.  Jadi, kalau tanam cili, tanamlah terung di celah pokok cili tersebut.  Bila pokok terung diserang ulat Ladybird, jangan dimusnahkan semuanya.  Biarkan seekor dua hidup.  Ladybird yang matang akan membantu memusnahkan bena yang menyerang pokok cili.  nah sekarang, walaupun tak dapat tuai buah terung yang gemuk, tuaian buah cili pasti memuaskan hati.  

Lihatlah pokok cili dalam gambar berikut, tiada cela langsung.
  

Pokok Cili Kulai King sempurna kerana dilindungi menggunakan Sistem Buddy.

Inilah keistimewaan tanamsendiri secara organik.  Kita boleh ambil kesempatan terhadap organisma yang ada di sekeliling.  Kalau dalam pertanian komersial organisma tersebut dianggap lawan, kita masih boleh jadikannya kawan. 

Gambar Oleh Rakan Tanamsendiri -- Puan Zamzurina

Gambar yang saya pamerkan hahri ini adalah kiriman Pn. Zamzurina Zulkafli.  Gambar ini diambil oleh suaminya ketika berada di Austria.  Cantik sungguh hiasan di sana.  Mungkin kawasan pergunungan.

Mesti singgah di sana bila ada rezeki lebih nanti.

Gambar hak milik Pn. Zamzurina Zulkafli.  Jangan ambil tanpa kebenaran.

Herba yang dijual di tepi jalan.  Subur semuanya.  Mungkin boleh buat begini untuk dijual di mana-mana pesta. Gambar hakmilik/hakcipta Pn. Zamzurina Zulkafli <zamzurina@gmail.com>

Rumah kelihatan begitu selesa.  Mengingatkan Fraser Hill. Gambar hakmilik/hakcipta Pn. Zamzurina Zulkafli <zamzurina@gmail.com>

Cantik! Gambar hakmilik/hakcipta Pn. Zamzurina Zulkafli <zamzurina@gmail.com>

Pokok Pudina dalam bekas. Gambar hakmilik/hakcipta Pn. Zamzurina Zulkafli <zamzurina@gmail.com>

Terpegun menatap gambar ini.  Memang cantik. Gambar hakmilik/hakcipta Pn. Zamzurina Zulkafli <zamzurina@gmail.com>

Pokok Dahlia dengan bunga yang mekar. Gambar hakmilik/hakcipta Pn. Zamzurina Zulkafli <zamzurina@gmail.com>

Patch Dahlia yang mempesonakan. Gambar hakmilik/hakcipta Pn. Zamzurina Zulkafli <zamzurina@gmail.com>

Bunga Black-eyed Susan. Cantik. Gambar hakmilik/hakcipta Pn. Zamzurina Zulkafli <zamzurina@gmail.com>

Sesiapa yang dapat pergi ke sini amat bertuah.  Gambar hakmilik/hakcipta Pn. Zamzurina Zulkafli <zamzurina@gmail.com>

Bekas yang dilekatkan ke dinding cantik bila diisi dengan pokok dengan bunga yang mekar.