Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Ahad, 30 September 2012

Resepi -- Mee Goreng Sawi Menang Tanamsendiri



Mee Goreng Sawi Menang sedia untuk dinikmati.
Mee Goreng kalau digunakan rencah yang segar, enaknya tidak terhingga.  Kalau Mee Goreng sebegini, dibuat pula dari mee colok, adusyyy.... tak dapat diceritakan.  Teringat Mee Goreng masakan mak menggunakan sayur yang ku tanam tepi rumah masa zaman kanak-kanak dulu.



Bahan-bahan
1 bungkus spaghetti atau 3 bungkus mee kuning atau mee colok
500g dada ayam dipotong menjadi kiub kecil
1 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
2 sudu besar cili kisar
5 sudu besar kicap manis
1 sudu besar garam
1 batang celery tanamsendiri
500g sawi menang tanamsendiri
2 sudu besar sos tomato
1/2 cawan air

Cara Membuat
1. Rebus spaghetti atau mee sehingga lembut (lebih kurang 15 minit) di dalam periuk.
2. Toskan spaghetti atau mee.
3. Panaskan minyak di dalam kuali.
4. Tumis bawang putih sehingga garing.
5. Masukkan bawang besar. Tumis hingga wangi.
6. Masukkan cili kisar. Masak lebih kurang 5 minit.
7. Masukkan ayam.
8. Teruskan hingga ayam masak.
9. Masukkan sos tomato, cili dan air.  Masak lebih kurang 2 minit.
10. Masukkan spaghetti atau mee. Gaul hingga sebati.  Teruskan memasak selama 5 minit.
11. Masukkan sawi, celery dan kicap.  Teruskan memasak hingga sawi kelihatan layu.
12. Angkat dan hidangkan ketika masih panas.


Gambar Hari Ini -- Cambahan Pokok Buah Naga



Cambahan Pokok Buah Naga, cantik untuk dijadikan hiasan miniature.


Cambahan Pokok Buah Naga semakin cantik.  Ketika gambar ini diambil, daun sebenar telah mencapai 2 cm dan ada duri-duri halus.  Cantik.  Anak pokok ini akan dialih ke pasu kecil dan akan dijadikan tanaman hiasan di tepi tingkap.       

Sabtu, 29 September 2012

Petua -- Melegakan Selsema



Halia, mampu melegakan selsema.


Jika terkena selsema, minum teh halia.  Ia dapat melegakan selsema.  Mudah aja cara membuatnya.  Hiris satu atau dua keping halia segar. Rendamkan dalam secawan air panas selama 10 minit.  Tambahkan secubit serbuk kulit kayu manis.

Gambar Hari Ini -- Sawi Menang Dalam Pasu


Sawi Menang boleh juga ditanam dalam pasu.
Ada rakan yang menyatakan dia tak dapat menanam sawi sebab tiada ruang tanah untuk menanam.  Sebenarnya sawi bukan sahaja boleh ditanam atas tanah.  Ia juga boleh diitanam dalam bekas.  Yang penting, tempat tanaman mesti dapat cahaya matahari terutamanya di sebelah pagi.  Yang lain boleh diatur.

Tuaian Hari Ini -- Sawi Menang

Hari ini kami tuai sedikit Sawi Menang daripada patch depan rumah.  Saiznya masih kecil dan amat rangup.  Ketika tuai, ada beberapa batang sawi patah kerana ia sangat rapuh atau rangup.  Seminggu lagi pasti sawi dah matang dan mempunyai saiz yang lebih besar.  

Akasyah dengan tuaian Sawi Menang.


Sawi Menang mempunyai rasa yang kuat. Ia tak sama dengan sawi renek yang saya tanam sebelum ini.  Maksud saya, Sawi Menang kurang sesuai dijadikan ulam atau salad seperti sawi renek, misalnya Extra Dwarf Pak Choy, Sawi Bunga Wang Bujang dan Sawi Hong Kong. 

Sawi yang dituai ini akan dijadikan ramuan mee goreng malam ini.  Mmmm yummy.  Pasti enak gunakan sawi segar sebagai ramuan mee goreng.

Selepas tuaian pertama, patch sawi kelihatan masih padat.  Tak sabar nak tuai lagi.  Sawa akan semai Sawi Menang setiap 3 minggu untuk pastikan mendapat bekalan yang berterusan.

Patch sawi selepas tuaian pertama.

Jumaat, 28 September 2012

Gambar Hari Ini -- Bunga Sweet Basil



Pokok Sweet Basil berbunga.
Pokok Sweet basil, bila dah berbunga akan menghasilkan daun yang kecil dengan rasa yang lebih kuat.  Dalam keadaan biasa saya cuba elak pokok dari berbunga dengan menyiram air yang cukup.  Akhir-akhir ini agak sukar untuk saya dapatkan stok benih herba.  Tiba masanya untuk buat benih sendiri.  Untuk paksa sweet basil berbunga, saya kurangkan menyiram air dan letak pokok di tempat yang mendapat cahaya yang terik.  Sekarang pokok dah mula berbunga (bolting).  nanti dapatlah edarkan semula benih sweet basil.

Walaupun Tua, Ku Pupuk Ku Baja, Subur Semula

Kalau dah tua tu begitulah.  Terperusuk di sudut halaman, kadang kadang lupa disiram, lupa dibaja.  Walaupun dalam bekas sebesar tapak tangan, rumpai pun tak terbuang.

Cuba lah cabut rumpai tu, gemburkan semula tanah, siram setiap hari, kerat ranting yang rosak, insyaAllah yang tua bersemangat kembali. Seminggu aja selepas pokok yang terabai dibaja dan disiram selalu, daun mulai hijau kembali.  

Tak lama selepas itu bunga mulai mekar.  Nah lihatlah sendiri, hari ini buahnya dah mula ranum. Alhamdulillah, syukur.

Pokok Kapsikum Tua, berbuah semula.
Cara Memesan Benih
Cili Kapsikum Kuning
Cili Kapsikum Merah

Khamis, 27 September 2012

Oh Banyak Rupanya!

Rupa-rupanya ada banyak lalat buah yang berkeliaran dekat rumah.  Patutlah sebelum ni ada aja buah yang rosak!


Akhir-akhir ni ada aja buah ranum yang rosak.  Bila dibelah buah, terdapat ulat sepanjang 1 hingga 1.5 cm.  Ulat ini adalah larva lalat buah.  Maknanya, ada ibu lalat buah yang menyuntik telur yang telah disenyawa ke dalam buah yang belum ranum.  Bila buah ranum, telur mula menetas.  Saya perhatikan kalau-kalau terlihat kelibat lalat buah, tapi tak nampak pula.

Cili Trinidad Moruga "Scorpion," walaupun disahkan sebagai cili terpedas di dunia tidak terlepas dari suntikan lalat buah.  Tempat yang disuntik dibulatkan.

Cara penyelesaiannya, pasang perangkap lalat buah.  Saya gunakan kertas umpan (boleh didapati daripada blog ini) yang diletak dalam botol air mineral.  Rupa-rupanya ada banyak lalat buah.  Ini baru yang jantan.  Tanpa lalat buah jantan, lalat buah betina tidak dapat mengawan, jadi telur tak bernas. ia tidak akan menyuntik telur ke dalam buah.  Selamat buah-buahan dalam halaman.


Tanam Sendiri -- Kacang Tanah, Peanut



Kacang tanah adalah tanaman yang menarik jika ingin ditanam di halaman rumah.  Ini kerana tanaman ini menghasilkan bunga oren yang kemudiannya menghasilkan sulur yang dicucuk ke dalam tanah.  Pod kacang membesar daripada hujung sulur ini.  Kacang tanah yang baru dituai manis rasanya.  Jadi jika anda ingin rasa kacang tanah yang paling enak, anda perlu tanam sendiri, petik dan terus rebus.  Boleh tanam bersama lobak putih, kacang panjang renek, kacang mata hitam, dan kentang. Jika tiada ruang tanah, boleh tanam dalam bekas.  Pokok ini adalah tanaman wajib jika ada anak-anak.  Ia boleh menarik minat kanak-kanak untuk berkebun serta belajar sains.  

Pokok Kacang Tanah yang saya tanam dalam patch tepi pagar.  Dalam tanah hanya 10 cm.  Dalam tanah yang ideal untuk Pokok Kacang Tanah ialah 30 hingga 60 cm.

Persediaan
Kacang tanah tumbuh elok dalam tanah lom berpasir.  Gaulkan tanah dengan baja organik dan biarkan selama seminggu supaya baja terurai sedikit.  Jika tanah liat, gaulkan dengan pasir dan baja organik dan biarkan selama seminggu.  Gembarkan tanah sehingga tanah terlerai.  Pastikan tanah dalam iaitu 30 hingga 60 cm.

Kacang tanah gemarkan tanah yang manis iaitu hampir neutral.  Jika tanah berasid, gaulkan dengan kapur dolomite.

Menyemai
Boleh semai terus di dalam tanah dengan kedalaman 3 cm. Jika tanah mengandungi semut gatal, elok semai dalam bekas semaian dulu kerana semut gatal gemar memakan benih kacang tanah.  Jika inginkan bekalan kacang tanah yang segar sepanjang masa, semai setiap 3 minggu.

Mengalih dan Menjarang
Jika semai dalam bekas, alih apabila cambahan menghasilkan 3 set daun.  Sebelum alih, letakkan bekas semaian di lokasi yang ingin dialih selama 2 atau 3 hari untuk kukuhkan cambahan.

Alih ke tanah atau bekas yang besar.  Jika tanam di atas tanah, jarakkan cambahan antara 15 hingga 20 cm.  Jarakkan antara batas 90 cm. 

Menyiram
Siram selalu untuk kekalkan tanah lembap tetapi jangan sampai air bertakung.  Pastikan tanah mempunyai saliran yang elok.  Apabila pokok mula berbunga, kurangkan siraman supaya tanah lebih kering.  Memadai siram 2 atau 3 hari sekali.

Menggembur
Apabila pokok mula berbunga, gemburkan sekeliling pokok untuk membantu memudahkan bunga menyuntik sulur ke dalam tanah.  Jika tanah berpasir, campurkan gipsum sedalam 20 cm.

Sulur Kacang Tanah (tanda panah) yang terhasil selepas bunga disenyawa mula tumbuh dan menyuntik ke dalam tanah.

Merumput
Merumput bila perlu.

Menuai
Tuai apabila daun mula kertukar kepada warna kuning dan layu.  Biasanya 110 hingga 150 hari selepas disemai.  Gunakan garfu tanah untuk leraikan tanah dan tarik batang pokok ke atas dengan berhati-hati.  Goncang untuk leraikan tanah daripada pod kacang.

Rebus pod dengan sedikit garam.  Isi kacang yang baru dituai rasanya manis.  Jika ingin simpan lama, gantung pokok dan keringkan di tempat yang panas selama 2 hingga 3 minggu.  Jika tanam banyak, boleh buat lepa kacang (peanut butter).