Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Jumaat, 31 Ogos 2012

Tuaian Hari Ini -- Bendi dan Roselle

Dua jenis tanaman yang berkhasiat serta enak dimakan.  Bendi enak dimasak dan dimakan bersama nasi, roselle enak dibuat jus, sirap, halwa dan jem.

Tuaian hari ini, bendi dan roselle.

Induk Rosemary

Rosemary yang saya letak di tanah dulu berbunga selepas setahun dialih.  malangnya ketika rosemary sedang seronok berbunga dengan warna merah jambu dan sangat cantik, kami terpaksa pindah.  Hancur harapan untuk dapatkan benih rosemary tanamsendiri. 

Di tempat baru, tiada ruang yang luas jadi kami hanya mampu menanam rosemary dalam pasu.  Rosemary ini dijadikan induk untuk keratan rosemary yang baru.

Induk Rosemary




Khamis, 30 Ogos 2012

Benih Untuk Dijual -- Bunga Kosmos, Cosmos bipinnatus

Pokok yang mengahsilkan bunga berwarna merah, merah jambu, oren atau putih.  Benih adalah dari baka warna bercampur.

Cosmos bipinnatus


Setiap pek mengandungi 5 biji benih.  5 pek berharga RM10.

Cara Memesan Benih.

Teh Kompos

Teh kompos atau Compost Tea adalah cecair larutan kompos yang kaya dengan nutrien terlarut serta organisma yang mesra tanaman.  Saya pernah terlihat teh kompos yang dijual di pasaraya dengan harga yang sangat tinggi.  Saya rasa tidak berbaloi membelinya dengan harga sebegitu kerana bahan yang digunakan untuk membuat teh kompos tidaklah mahal.  Lagipun bagaimana kita boleh pastikan organisma yang dikatakan dapat dimanfaatkan oleh tanaman masih hidup ketika teh kompos tersebut dibeli kerana ia telah tersimpan lama dalam bekas yang kedap udara di pasaraya.

Anda boleh buat sendiri teh kompos menggunakan bahan sedia ada dan menghasilkan teh kompos yang masih "hidup."  Annda boleh cairkan teh kompos dan siram tanaman dua hari sekali untuk menghasilkan tanaman yang subur dengan daun yang besar, rangup atau buah yang lebat dan ranum.

Alatan dan Bahan
1. baldi saiz sederhana berisi air paras 3/4 baldi
2. pam udara saiz kecil
3. 3 tiub/salur udara, panjang 60 cm setiap satu
4. 1 tiub/salur penyambung udara, 15 cm
5. 3 batu buih
6. 3 klip saiz sederhana
7. splitter dari 1 salur ke 3 salur
8. kain kasa (muslin) 15 cm x 15 cm
9. dawai atau tali pengikat
10. 1 scoop tanah yang kaya dengan kompos, dari timbunan kompos, bekas cacing tanah atau kebun yang subur





Alatan dan Bahan


Cara Menyediakan Bunjut Kompos
1. Hamparkan kain kasa.
2. Tuangkan tanah kompos di atas hamparan kain kasa.
3. Temukan bucu kain dan ikat dengan pengikat. Bunjut kompos yang terhasil kelihatan seperti ilustrasi di bawah.



Cara Menghasilkan Teh Kompos
1. Sambungkan salur penyambung 15 cm daripada pam udara ke splitter.
2. Sambungkan 3 salur penyambung 60 cm ke splitter sebagaimana ilustrasi di bawah.
3. Pasangkan batu buih di setiap hujung salur.
4. Klip salur supaya batu buih berada di dasar baldi yang berisi air.
5. Masukkan bunjut kompos dan hidupkan pam.
6. Biarkan udara dipam ke dalam baldi selama 48 jam.
7. Perhatikan cecair teh kompos.  Sepatutnya ia berwarna perang atau warna teh dengan bau tanah.  Jika berbau busuk seperti telur tembelang, buang teh kompos dan buat yang baru. Teh kompos yang elok berbau tanah.
8. Tuang teh kompos ke dalam bekas siraman kira-kira 1/4 paras bekas penyiram,
9. Tambahkan air sehingga 3/4 bekas.
10. Siram tanaman 2 hari sekali menggunakan teh kompos.

11. Tuang lebihan teh kompos dari dalam baldi ke dalam botol dan simpan untuk siraman seterusnya.  Jangan tutup rapat botol teh kompos.
12. Kembalikan tanah teh kompos ke tanah dan isikan bunjut dengan tanah kompos yang baru. Ulangi langkah 1 hingga 11.


Semaian Terung Panjang Hijau

Semaian Terung Panjang Hijau begitu cepat pertumbuhannya.  Selepas dialih dari sel dulang semaian ke dalam bekas kecil, terung terus tumbuh dan membesar. Dalam dalam masa 2 minggu akar telah memenuhi ruang dalam bekas kecil tersebut.  Pokok ini akan dialih ke dalam patch terung yang akan dibina di seberang jalan bahagian depan rumah.

Khabarnya terung jenis ini enak dibuat kari, digoreng, dicelur atau dimakan mentah.

Benih Terung Pendek Bride telah kembali ada stok.  Benih Terung Panjang juga kini ada stok, tetapi ia adalah baka berbeza dari baka terung panjang sebelum ini.  Benih Terung yang baru yang tersenarai dalam Senarai Benih Untuk Dijual termamsuk Terung Telunjuk dan Terung Pendek Susu.  Terung ini berwarna putih dan mempunyai isi yang lemak rasanya.  Terung Telunjuk adalah terung kecil sepanjang jari orang dewasa dan lazimnya dibuat kari, dicelur atau dimakan mentah.

Cambahan Terung Panjang Hijau
Pautan Cara Memesan Benih
Pautan Benih Untuk Dijual
Pautan Terung Panjang Hijau

Rabu, 29 Ogos 2012

Bunga Matahari Mixed Colour Kehabisan Stok

Benih Bunga Matahari Mixed Colour telah kehabisan stok. Anak benih daripada induk ini dijual menggunakan nama Bunga Matahari OP kerana pendebungaan tidak dikawal.  Jadi, benih bunga matahari giant, dan benih bunga matahari OP masih ada dalam stok. Benih Bunga Matahari Mixed Colour 
akan dikeluarkan daripada senarai sehingga stok baru diperoleh. Harap maklum.

Pautan Cara Memesan Benih
Pautan Benih Untuk Dijual

Semaian Timun Batu Dan Timun Jepun

Sekarang masa yang elok kalau ingin semai timun kerana hujan telah turun hampir setiap hari. Tanaman ini perlukan air yang banyak terutamanya ketika berbunga dan berbuah.  Semaian ini berumur seminggu.  Jika dialih sekarang, insyaAllah 2 atau 3 minggu dari sekarang keluarga kami akan nikmati timun tanamsendiri.

Kalau diperhatikan, cambahan Timun Batu dah ada daun set kedua manakala Timun Jepun masih mempunyai satu set daun.  Ini kerana Timun Jepun lebih lambat bercambah berbanding Timun Batu.  Timun Batu bercambah dalam masa 2 hari dan Timun Jepun brcambah dalam masa 5 hari.  Gambar menunjukkan semaian selepas satu minggu benih disemai.

Saya bercadang untuk alih anak pokok ke ruang tepi pagar di patch belakang rumah dan depan rumah. Saya juga akan letakkan satu pokok Timun Jepun dalam bekas gabus dan biarkan ia merimbun tanpa pancang. Tengok macamana kalau pokok tidak dibiarkan memanjat, adakah akan tetap menghasilkan buah yang lebat.

Semaian Timun Batu dan Timun Jepun.  Cambahan yang masih kecil adalah Timun Jepun.
Pautan Cara Memesan Benih
Pautan Benih Untuk Dijual
Pautan Benih Timun Batu
Pautan Benih Timun Jepun

Selasa, 28 Ogos 2012

Kegunaan Betik Dalam Perubatan Tradisi

Sejak kecil lagi, betik adalah tanaman wajib untuk saya sehinggakan saya pernah bertanya pada mak, 

"Mengapa orang tak tanam betik? Buahnya enak, pucuk boleh dibuat ulam. Buah putik pun masih berguna."

Selain dari memakan betik yang ranum, betik putik boleh dijeruk.  Biji mudanya juga enak digaul bersama salad dan dimakan dengan salad dressing.

Dalam perubatan tradisi, betik juga amat berguna.  Orang dulu-dulu sapukan getah betik pada ketuat.  Selepas disapu pada ketuat, ketuat akan luruh.

Orang dulu dulu biasanya ada masalah cacing.  Sebelum kehadiran ubat cacing, orang dulu dulu gunakan betik sebagai ubat cacing.  Biji betik muda yang berwarna putih dilumatkan dan direbus.  Rebusan tersebut ditapis dan airnya diminum. Keesokan harinya cacing akan keluar bersama tinja.   

Betik yang ranum enak rasanya. Semua bahagian pokok ada kegunaan.  Getahnya pun berguna.
Saya yakin rakan-rakan juga pasti ada petua lama yang memanfaatkan betik. Saya harap dapat dikongsikan bersama melalui ulasan dalam posting ini.


Pautan Cara Memesan Benih
Pautan Benih Untuk Dijual
Benih Betik Kampung 


Semaian Cili Kulai King

Semaian Kulai King kali ini menjadi dengan cantik.  Benih bercambah (keluar akar) dalam masa 5 hari, lebih cepat daripada cambahan terdahulu.  Cambahan terdahulu mengambil masa 2 minggu.  Dalam semaian kali ini saya gunakan tanah organik khas untuk semaian.  Semaian terdahulu saya gunakan tanah campur iaitu tanah liat+pasir+sabut yang dibakar iaitu tanah yang dibeli daripada nurseri.

Saya perhatikan, tanah bakar yang dibeli daripada nurseri kurang sesuai untuk semai cili kulai king. Ia akan bercambah tetapi lambat.  Pertumbuhan agak perlahan berbanding menggunakan tanah organik. Tanah dilembapkan sebelum menyemai dengan mencelupkan dulang semaian dalam dulang berisi air.  Apabila cili telah bercambah, tanah hanya dilembapkan sedikit, tidak dibiarkan basah.

Semaian ini berumur 2 minggu dan sedia untuk dialih ke dalam bekas yang lebih besar.


Semaian Cili Kulai King berumur 2 minggu selepas bercambah.

Pautan Cara Memesan Benih
Pautan Benih Untuk Dijual
Cili Kulai King

Isnin, 27 Ogos 2012

Tomato Mula Ranum

Bulan Ramadhan tahun ni agak kering.  Cuaca pula agak tinggi.  Awal pagi lagi cuaca dah mencecah 35 darjah Celsius.  Jadi patch yang besar sedikit terbiar tak terjaga.  Patch tomato adalah antara patch yang mula ditumbuhi rumpai.  Namun begitu tomato MT1 dan tomato ceri tetap menghasilkan buah, walaupun tidak selebat yang diharapkan.

Kini di bulan Syawal, alhamdulillah hujan mula turun hampir setiap hari.  Walaupun tidak lebat ia mampu menurunkan suhu sekitar, jadi aktiviti berkebun dapat dilakukan dengan selesa walaupun di siang hari dengan cahaya matahari yang terik. Buah tomato mulai ranum dan sedia untuk dituai.  Namun begitu, musim panas telah menyebabkan akar tomato rosak.  Ini menyebabkan ia gagal menyerap sesetengah nutrien, misalnya kalsium.

Jika rakan-rakan perhatikan, buah tomato yang ranum telah pecah kerana kini pokok telah dapat menyerap air yang banyak kerana hujan.  Tanda pecah bengkak air menandakan buah tidak kukuh kerana kekurangan kalsium.

Buah tomato sedang ranum dengan bahagian pangkal yang pecah kerana bengkak air.


Pautan Cara Memesan Benih
Pautan Benih Untuk Dijual

Sabtu, 25 Ogos 2012

Benih Terung Panjang Baka F1, 302-A Telah Kehabisan Stok

Benih Terung Panjang Baka F1, 302A telah kehabisan stok.  Ia akan dikeluarkan daripada senarai.  Benih akan disenaraikan lagi apabila saya mendapat bnih yang baru.  Harap maklum.

Khamis, 23 Ogos 2012

Dua Tahun, 136 Jenis Benih

Kita telah hampir ke penghujung bulan Ogos tahun 2012. Ini bermakna blog tanamsendiri telah berusia hampir 2 tahun.  Dalam masa yang singkat ini, banyak perkara baru yang kami temui.  Banyak yang kami sekeluarga pelajari daripada rakan-rakan semua.  

Blog yang pada mulanya dibangunkan untuk tujuan mencari maklumat bertanam, idea untuk penulisan buku bertanam serta menjadi hub rakan-rakan bertanam tepi rumah, mendapatkan maklumat tentang bertanam kecil-kecilan, kini juga menjadi tempat rakan-rakan mendapatkan benih yang sebelum ini hampir mustahil diperolehi untuk peminat bertanam seperti kita.  Saya gunakan istilah bertanam, bukan berkebun kerana 99% daripada kita tidaklah bernasib baik memiliki ruang yang luas.  Walaupun dengan kawasan yang sempit kami percaya ia dapat dimanfaatkan.  Di tanamsendiri.com sesiapa sahaja boleh menikmati hasil tanaman sendiri, asalkan ada keinginan dan sedikit kesungguhan. 

Untuk menghilangkan rasa gusar rakan-rakan yang masih waswas untuk bertanam, serta menyemarakkan rakan-rakan untuk terus bertanam kami telah usahakan supaya setiap bulan bekongsi benih.  Walaupun jumlahnya kecil, hanya 2,000 pek kecil sebulan, kami berharap ia dapat mencapai objektif yang kami harapkan.   Ada yang menghubungi saya bertanya samada saya mendapat bantuan dari mana-mana pihak.  Sebenarnya tiada.  Ia adalah kehendak kami sendiri.  Tiada hasrat tersorok di sebalik benih yang dikongsi. Kepuasan yang kami perolehi dengan berkongsi melalui blog ini amat berbaloi. Kadang-kadang ada juga rakan yang memasukkan sejumlah wang untuk menampung kos pos serta pembelian benih kongsi. Alhamdulillah, terima kasih.  Tuhan sahaja yang dapat membalas jasa baik rakan-rakan.

Sejak dari mula dulu kami telah dapat menyebarkan 136 jenis benih sayur serta bunga.  Pantang jumpa pokok yang pelik, kami akan singgah dan berbincang dengan pemiliknya.  Dalam tempoh tersebut kami juga belajar tentang 136 jenis tanaman, kerana setiap benih yang disebarkan, kami juga menyemai benih tersebut.   Kini kami tahu sawi bukan hanya sawi.  Setiap jenis ada keistimewaannya.

Banyak manfaat kami peroleh daripada blog ini.  Misalnya, ketika kanak-kanak saya benci sayur bendi.  Maklum sajalah, makanan asrama.  Ia dimasak terlalu lama atau denagn api yang kuat hingga yang tinggal hanya lendir.  Dengan bertanam sendiri kini saya tahu bendi bukan hanya bendi.  Ada berwarna gelap, ada berwarna cerah.  Rasanya pula tidak hanya bergantung pada jenis benih; jenis tanah yang digunakan, jenis baja, mikroklimat, waktu menuai juga mempengaruhi rasa bendi.  Kini saya dapat menikmati bendi tanpa dimasak.  Bendi tanamsendiri, enak seenak makanan restoren eksotik.

Dulu bendi adalah bendi.  Pokoknya cepat besar, buahnya cantik.  Satu pokok dapat tuai 2 hingga 3 biji sehari.  Saiz tak sekata, tapi alhamdulillah, bila tanam 5 pokok, dapat 10 hingga 15 biji sehari.

Kemudian kami dapat benih bendi singa.  Walaupun sekali tuai 2 hingga 3 biji sepokok saiz buahnya besar, sehingga 13 inci dan masih tetap lembut.  Puas makan.


Pokok bendi, dapat tuai buah hampir setiap hari.


Pokok bendi berbunga di bahagian pucuk.  Jadi pokok semakin  tinggi. 

Untuk lebatkan buah, ada rakan-rakan mencadangkan agar batang dikerat, setiap cabang yang tumbuh akan berbuah.  Kalau 4 cabang baru, dapat tuai 8 hingga 12 biji sehari walaupun pokok semakin tua.  Buah dari cabang semakin kecil.  Tak apalah, buah bendi yang kecil tetap enak.

Kadang-kadang terfikir juga, bagaimana kalau dapat pokok yang berbunga di seluruh batang, tidak di pucuk sahaja.  Pasti buah lebih lebat dengan saiz yang lebih sekata.  Bila dibuat carian, memang kini telah ada pokok bendi sebegini, baka Kemboja.  Benih F1 juga ada beredar di India atas nama  Gold Bhindi.  Bila bertanya, ada terjumpa bendi lebat dengan buah lebih lembut tanpa duri halus.  Alhamdulillah.  Begitulah kami di tanamsendiri, sentiasa mencari benih baru.  Memanglah harganya lebih mahal dari bendi biasa.  Tapi ia berbaloi.


Gold Bhindi, pokok bercabang, bunga sepanjang batang, buah lebat dengan saiz yang sekata.

Mungkin kami tak akan dapat benih Gold Bhindi yang beredar di India, tapi inilah kelebihan bertanam sendiri.  Pilihan dan kaedah yang digunakan mampu mencapai objektif yang sama.  Begitulah kami sekeluarga di tanamsendiri, sentiasa bergembira dengan mencari idea baru.

Terima kasih kerana memberi semangat untuk kami terus berblog sambil bertanam -- bertanam tepi rumah.


Khamis, 16 Ogos 2012

Gambar Hari Ini -- Sayur Putih (Kobis Cina) Diratah Belalang

Kobis Cina dengan daun yang rosak dimakan belalang.
Musim kering lazimnya adalah musim belalang membiak.  Sukar untuk mengawal kehadirannya.  Mungkin pokok kecil boleh dilindungi dengan memasang jaring.

Selasa, 14 Ogos 2012

Resepi -- Ayam Panggang Coca Cola

Coca Cola sememangnya menjadi minuman kegemaran saya sejak kecil lagi.  Ketika di sekolah rendah, Coca Cola adalah minuman tetap sementara menunggu beca ketika pulang dari  sekolah.  Menu ketika menunggu, nasi lemak dengan sambal, seekor ikan goreng dan sebatang keropok goreng celup tepung, 5 sen, dan sebotol Cocal Cola, 15 sen.  Habis duit belanja 20 sen sehari.  Ketika rehat makan bekal yang di bawa dari rumah, biasanya 5 biji jejemput bawang suam dan segelas teh suam yang diisi dalam bocong makanan. 


Resepi hari ini ada menggunakan Coca Cola sebagai ramuannya.  Ayam panggang Coca Cola enak.  Ketika membenamkan gigi ke dalam isi ayam, rasa manis keluar melekat ,pada lidah.  Nikmatnya tiada perkataan boleh menjelaskannya.  Ayam yang saya gunakan ialah ayam penelur yang hampir "pencen" untuk menggantikan ayam kampung.  Ayam panggang dihidangkan bersama kuah atau gravy yang dibuat daripada stok ayam yang asli serta lada hitam.  Gravi ini juga enak dihidangkan bersama roti ketika sahur.

Ayam Panggang Coca Cola

Hidangan Ayam Panggang Coca Cola bersama Gravi Lada Hitam

Alatan
Periuk saiz sederhana
Periuk tekanan saiz sederhana
Penapis tepung

Bahan-bahan
2 ekor ayam kampung atau ayam penelur "pencen" bersaiz sederhana yang dikerat 5
Segenggam herb thyme tanamsendiri (boleh diganti daun kari tanamsendiri)
Segenggan daun sweet basil tanamsendiri (boleh diganti dengan daun kemangi tanamsendiri)
2 helai daun salam kering (boleh diganti dengan daun 2 helai daun limau purut tanamsendiri)
2 sudu besar garam
1 sudu teh serbuk vanilla
1 sudu besar serbuk lada hitam
2 cawan bawang dilumatkan
2 cawan tomato dilumatkan
1 cawan tepung gandum
1 labu bawang putih, diketuk dan dihiris
3 biji bawang besar, dikupas dan dihiris
1 botol Coca Cola
3 cawan air
2 sudu besar minyak zaitun (boleh diganti dengan minyak masak)

Cara Menyediakan Stok Ayam
1.  Masukkan ayam yang telah dibasuh, serta lemak ke dalam periuk tekanan.
2. Masukkan daun thyme (dikerat kerat), daun sweet basil (di cubit potong untuk mengeluarkan rasa), daun bay, satu sudu besar garam, dan satu sudu teh serbuk vanilla ke dalam periuk tekanan tersebut.
3. Isikan air sehingga paras 1/2 periuk tekanan.
4. Tutup periuk tekanan dan panaskan dengan api perlahan.  Apabila wap mula keluar, biasanya selepas 5 hingga minit pemanasan, kecilkan api dan teruskan pemanasan selama 30 minit.
5. Selepas setengah jam, keluarkan tombol injap pemanasan untuk memaskan tekanan secara perlahan.  jangan buka tudung periuk.  Wap di dalam tekanan tinggi amat panas.  Biarkan periuk hingga kandungannya tidak lagi panas (lebih kurang 20 minit) dan buka tudung periuk.
6. Asingkan ayam untuk diperap.  Tapis cecair untuk dijadikan stok ayam.

Cara Menyediakan Ayam Panggang
1. Letakkan ayam di dalam periuk saiz sederhana.
2. Gaulkan dengan bawang putih dan hirisan bawang besar.
3.  Tuangkan 1 botol Coca Cola ke dalam campuran.
4. Tutup periuk dan panaskan sehingga mendidih menggunakan api sederhana.
5. Kecilkan api dan teruskan pemanasan selama 5 hingga 10 miinit sehingga cecair menjadi pekat.
6. Tutup api, dan keluarkan ayam dan letakkan di atas talam logam.
7. Panaskan oven 350 darjah F.
8. Masukkan ayam panggang dan panaskan selama 15 minit.
9. Tutup api oven dan keluarkan ayam.
10.  Hidangkan bersama kuah gravi.

Cara Membuat Kuah Gravi
1. Panaskan 2 sudu besar minyak zaitun dengan api sederhana.
2. Tuangkan 2 cawan bawang lumat dan teruskan menumis sehingga bawang berwarna perang.
3. Tuangkan 2 cawan tomato lumat dan kacau rata.
4.  Tuangkan 3 cawan stok ayam (yang baru dibuat) dan kacau campuran.
5.  Campurkan serbuk gandum dengan menapis sedikit demi sedikit sehingga habis 1 cawan.  Teruskan mengacau campuran untuk elakkan teung daripada menjadi berketul.
6. Tambahkan 3 cawan air dan teruskan mengacau campuran.
6. Campurkan serbuk lada hitam dan teruskan mengacau campuran.
7. Apabila campuran mula mendidih, masukkan 1 sudu besar garam dan kacau sehingga garam terlarut.
8. Kecilkan api  dan teruskan pemanasan sehingga paras gravi tinggal separuh dan pekat iaitu selama 5 hingga 10 minit.
9. Tutup api  dan hidangkan.

Cara Menghidang
1. Siram kuah gravi di atas ayam.
2. Hidangkan ketika masih suam.


Bekalan Air di Musim Cuti

Satu kelemahan aktiviti berkebun tepi rumah ialah apabila cuti tahap kerunsingan meningkat.  Aktiviti tersebut sepatutnnya menyihatkan dan mengurangkan stress, tetapi bila ada musim cuti perayaan stress rakan-rakan bertanam meningkat terutamanya mereka yang berhijrah.

Sebab itulah kita kena berbaik dengan semua orang, 1Malaysia kan. Saya pernah tinggal di kawasan kejiranan dari pelbagai etnik.  Bila cuti raya, langsung tak risau kalau-kalau kucing kelaparan atau tanaman kekeringan.  Apa yang saya buat ialah serahkan kunci pada jiran yang rapat yang berlainan agama.  Bila kembali ke rumah selepas raya, kucing terkam bukan kerana kelaparan tapi kerana rindu kemana tuannya menghilang seminggu.  Pokok segar seperti biasa.

Ok, berbalik kepada isu air ketika keluar balik kampung.  Jadi ini penyelesaiannya.

1. Minta bantuan jiran yang boleh dipercayai yang tidak pulang beraya.  

2. Pasangkan sistem drip yang menggunakan timer dengan kuasa bateri. Timer tersebut mengandungi injap untuk mengawal aliran air.  Waktu siraman serta jangka masa air mengalir boleh dikawal menggunakan timer tersebut.  Tapi kena pastikan sistem tersebut tersorok kerana timer yang mahal harganya mmungkin mennarik minat sipanjang tangan.

Timer yang digunakan untuk mengawal injap aliran air.
 3. Gunakan gel kristal penyimpan air.  Gel ini ada dijual di kedai nurseri, DIY atau di bahagian Gardening di Pasaraya.  Ada gel yang dijual mempunyai warna yang menarik.  Ada yang tanpa warna.  Saya gunakan gel keluaran Trio, yang dinamakan Growmate Smart Water.  Gel tersebut mampu menyerap lebihan air ketika menyiram.  Apabila tanah kering tidak disiram, air dalam gel akan meresap masuk ke dalam tanah.  Jika anda tinggalkan rumah untuk cuti raya, InsyaAllah pokok tidak akan kekeringan.

Bekas gel kristal keluaran Syarikat Trio.

Gel kristal mampu menyerap dan menyimpan air sehingga 20 kali isipadu asal gel tersebut.

Jangan tabur gel kristal di atas permukaan tanah.  Buat lubang dengan diameter 3 cm sedalam 4 inci atau separas dengan hujung akar tanaman.  Isikan 1 sudu teh gel kristel ke dalam lubang.  Kemudian siram seperti biasa.  Gel kristal akan mengembang memenuhi lubang.  
Cara meletakkan gel kristal.


4. Cara lain adalah dengan menggunakan botol minuman plastik.  Seeloknya gunakan botol 1.5 liter untuk satu bekas atau satu tanaman. Begini caranya.  Rakan-rakan perlukan botol air minuman seeloknya saiz 1.5 liter.  Penebuk atau paku untuk membuat liang diameter 2 mm pada botol.

Buka tutup botol dan simpan. Jika gunakan botol air minuman bergas, tannggalkan bahagian tapak.  Tebuk dua liang di bahagian bawah sisi botol .  Jarak antara liang 2.5 cm (1 inci).



Sistem titis menggunakan botol air minuman.

Isikan air ke dalam botol sehingga penuh dan tutup botol dengan penutup.  Ini akan perlahankan aliran air tetapi cukup untuk membekalkan air yang berterusan selama 3 hingga 5 hari. 

Tanam botol sebagaimana rajah di bawah.  Laraskan liang pada botol supaya separas dengan hujung akar pokok.
Tanam botol minuman sedalam 10 hingga 15 cm (4 hingga 6 inci).

InsyaAllah bila pulang dari kampung, pokok masih subur.  Saya yakin rakan-rakan ada idea lain untuk menyelesaikan masalah tersebut.  Kalau boleh kita kongsikan di sini supaya semua dapat manfaatkannya.

Isnin, 13 Ogos 2012

Cambahan Benih Markisa

Benih yang berkulit keras lazimnya mengambil masa yang lama untuk bercambah.  Benih Markisa akan bercambah selepas sebulan disemai.  Gambar berikut adalah kiriman Sdr Mohd Adinor.  Cambahan Markisa kelihatan lambat membesar.  Apabila ia tumbuh mencecah 30 cm, ia akan cepat membesar.  markisa adalah pokok memanjat.  Terima kasih Sdr Mohd Adinor kerana sudi berkongsi gambar.

Cambahan Markisa.  Gambar milik Mohd Adinor.

Blog Walking -- Keindahan Berkebun

Hari ini sempat berkunjung ke blog milik Yanna (Mardiyanna Ariffin) iaitu blog Keindahan Berkebun.  Blog boleh dicapai melalui URL berikut.

http://keindahanberkebun.blogspot.com

Saya perhatikan tanah kawasan rumah Yanna amat subur.  Tanah adalah campuran tanah organik, tanah liat dan pasir.  Tanah sebegini amat kaya dengan nutrien dan mempunyai saliran yang elok.  Tanaman sayur semmuanya menjadi.  Seronok melihat tanaman Yanna.  Tahniah Yanna kerana berjaya menghasilkan sayur yang begitu subur.

Terima kasih Yanna kerana sudi berkongsi pengalaman berkebun melalui blog tersebut.

Blog Keindahan Berkebun milik Yanna.

Sabtu, 11 Ogos 2012

Resepi -- Salad Campuran

Kalau ada banyak lebihan sayur tanamsendiri, enak juga kalau dibuat salad.  Jika orang yang dihidang salad tidak gemarkan sayur mentah rakan-rakan boleh hidangkan salad campuran.  Salad campuran yang ditunjukkan dalam resepi ini telah dihidangkan ketika berbuka puasa.  Salad ini menggunakan salad dressing thousand island.

Salad campuran tanamsendiri
Bahan-bahan
1 batang lobak merah tanamsendiri
10 batang garden pea tanamsendiri
1 cawan bunga kobis tanamsendiri yang dipotong
2 biji ubi kentang tanamsendiri
3 biji telur rebus
5 sudu salad dressing thousand island

Cara
1. Buang kulit lobak merah dan hiris setebal 1 cm.  Rebus lobak selama 3 minit.
2. Buang tangkai garden pea dan rebus selama 1 minit.
3. Rebus bunga kobis selama 1 minit.
4. Kupas kulit ubi kentang dan dan rebus sehingga empuk, bergantung kepada saiz ubi, iaitu antara 5 hingga 10 minit.
5. Belah dua telur rebus yang telah dikupas.
6. Campurkan semua bahan-bahan di atas ke dalam mangkuk salad. 
7. Siram dengan salad dressing semasa menghidang.

Cara Merebus Sayur
1. Rebus sayur secara berasingan.
2. Pastikan air mendidih dahulu sebelum meletakkan sayur.

Pautan Cara Memesan Benih
Pautan Benih Untuk Dijual

Khamis, 9 Ogos 2012

Khasiat Kaliks Segar Roselle

Kaliks atau kelopak roselle yang segar kaya dengan nutrien.  Berikut adalah analisis nilai pemakanan bagi setiap 100g kaliks segar roselle yang diperolehi daripada Manual Teknologi Penanaman Roselle yang diterbitkan oleh MARDI pada tahun 2010 (cetakan kedua).  Manual dikarang oleh Musa Yaacob, Engku Ismail Engku Ahmad dan Yahaya Hussain.

protein 1.145g
lemak 2.61g
serat 12.0g
abu 6.90g
kalsium 1,263mg
fosforus 2.73.2mg
besi 8.98mg
karotena 0.029mg
thiamin 0.117mg
riboflavin 3.765mg
asid askorbik 6.7mg 

Kaliks roselle dikatakan mengandungi antosianin, vitamin C, B1, B2 dan B kompleks.  kandungan vitamin C dikatakan melebihi kandungan vitamin C di dalam buah blackcurrent, anggur dan buah limau.
Kalau semau sekarang, 2 bulan lagi dah dapat tuai hasilnya.

Buah Roselle yang segar mempunyai kaliks yang sangat berkhasiat.

Pautan Cara Memesan Benih
Pautan Benih Untuk Dijual

Tanam Sendiri Kai Choy Wangi

Anda boleh tanam sayur Kai Choy Wangi sebagai tanaman kerat dan tumbuh lagi.  Sayur Kai Choy Wangi enak dibuat sup.  jika dimasak dengan api yang perlahan dalam masa yang lama, rasa manis sayur akan keluar.


Menyemai

Semai dalam bekas atau di tempat yang teduh.  Gaul benih dengan tanah untuk menjarangkannya kemudian tabur di atas tanah.  Tutup bijibenih dengan lapisan tanah kira-kira 2 mm.  Kemudian siram untuk lembapkan tanah.

Mengalih atau Menjarang Cambahan

Biji benih akan bercambah dalam masa 2 hingga 7 hari.  Apabila daun set ketiga tumbuh, iaitu dalam masa satu hingga 2 minggu, jarangkan cambahan kira-kira 15 cm atau 6 inci di  antara cambahan. Jika semai di dalam bekas semaian, alih apabila set daun ketiga tumbuh.  Jarakkan kira-kira 15 cm atau 6 inci di antara pokok.  Tutup cambahan dengan sungkup plastik untuk melindungi cambahan daripada sinar cahaya matahari yang terik.

Merumput

Cabut rumpai seminggu sekali untuk mengelakkan persainagn ruang dan baja.


Menuai

Pokok sedia untuk dituai kira-kira tiga minggu selepas mengalih cambahan.  Kerat daun dan biarkan pokok tumbuh semula.


Pautan Cara Memesan Benih
Pautan Benih Untuk Dijual

Benih Kacang Botor Siam Kehabisan Stok

Benih Kacang Botor Siam telah habis stok.  Ia akan dikeluarkan daripada senarai.  Benih kacang botor tempatan masih ada dalam stok kami --  hanya tinggal 5 pek.

Benih Kacang Botor baka Siam akan dikeluarkan daripada senarai Benih Untuk Dijual.

Gambar Tanaman Sdr Hadi Md Amin

Terima kasih Sdr Hadi Md Amin dari Melaka kerana sudi berkongsi gambar hasil tanamannya.  Gambar menunjukkan Timun OP yang dipoeroleh daripada tanamsendiri.com.  Cantik serta kelihatan amat subur.  


Timun OP, gambar milik Sdr Hadi Md Amin

Timun OP, gambar milik Sdr Hadi Md Amin
Timun adalah antara taman yang cepat bercambah.  Dari benih yang saya uji, ia bercambah (keluar akar) dalam masa 24 jam.  Walaupun tanaman ini memanjat, anda boleh tanam tanpa menggunakan pancang.  Saya pernah tanam timun dalam bekas styrofoam tanpa menggunakan pancang.  Setiap pokok menghasilkan banyak buah. Ia mudah diuruskan dan cepat berbuah.  Yang penting, apabila pokok mula berbuah, pastikan ia tidak kering.

Buah timun OP yang ditanam sendiri amat rangup, sedap dibuat ulam nasi lemak.  Selain dari timun OP, anda juga boleh dapatkan benih timun batu, timun edison, timun mini, timun mini siam dan yang terkini timun tun.

Saya ada terima beberapa gambar dari rakan-rakan, tapi belum berkesempatan memuat naik ke blog.  InsyaAllah bila ada kesempatan saya akan muat naik gambar-gambar tersebut untuk tatapan semua. :)

Terima kasih Sdr Hadi Md Amin.

Selasa, 7 Ogos 2012

Resepi -- Lokan Chowder

Chowder adalah sup berkrim yang enak yang lazimnya dimakan bersama roti.  Secara asasnya ada dua jenis choder, New England Chowder dan New York Chowder.  New England Chowder menggunakan krim sebagai bahan asas manakala New York  Chowder menggunakan tomato sebagai bahan asas.  Untuk resepi hari ini, saya ubahsuai New England Chowder menggunakan bahan yang boleh diperolehi di negara kita.  Rasanya sama enak dan, satu periuk besar habis sekelip mata ketika berbuka semalam.  Semua anak-anak tidur lena. :)

Lokan Chowder, enak cicah roti.

Bahan-bahan

1 mangkuk lokan segar
1/2 tin susu sejat
2 sudu besar tepung gandum
1 biji bawang besar dicincang
3 sudu besar lepa susu (mentega)
2 helai daun salam tanamsendiri
4 batang thyme  tanamsendiri diambil daunnya, lebih kurang 1 sudu teh
1 sudu besar daun parsley tanamsendiri dicincang halus
 biji kentang besar (atau 3 biji kentang saiz kecil) diparut atau dipotong dadu kecil
1/4 btang lobak merah tanamsendiri saiz sederhana diparut atau dipotong halus
6 cawan air
1 sudu besar garam

Cara

1. Rebus isi lokan dengan 3 cawan air hingga mendidih. Tutup api dan ketepikan. Simpan air rebusan.
2. Panaskan lepa susu. Tumis bawang besar  sehingga lembut tetapi tidak garinng.
3. Masukkan tepung gandum. Kacau rata selama lebih kurang 1 minit dengan api sederhana.
4. Masukkan 2 cawan air. Kacau lagi sehingga tepung gandum larut. Masak hingga mendidih.
5. Masukkan lebihan air, air rebusan lokan dan susu cair. Masukkan daun salam dan thyme.
6. Masak hingga mendidih.
7. Apabila mendidih, masukkan kentang parut/dadu dan lobak merah parut/dadu. Masak sehingga kentang lembut, iaitu lebih kurang 3 minit.
8. Tambahkan garam dan masukkan isi lokan. Masak sehingga mendidih.
9. Masak lagi selama 5 minit dengan api yang kecil.
10. Hidang ketika masih panas.

Cara Menghidang

1. Hidang bersama roti bakar.

Benih Bunga Dahlia dan Chrysenthemum Telah Habis Stok

Benih pokok bunga Dahlia dan Chrysenthemum telah habis stok.  Benih tersebut akan dikeluarkan daripada senarai "Benih Untuk Dijual" sehingga benih yang baru diperoleh. Harap maklum.

Benih Baru Untuk Dijual

Hari ini saya terima satu lagi shipment benih, semua yang sukar dicari.  Benih terhad, jadi saya harap rakan-rakan grab cepat cepat bila saya senaraikan nanti.  Antara benih yang dimaksudkan ialah

1. Benih Spinach (yang Popeye makan dan dapat power, bukan bayam (amaranthus))
2. Petola ular
3. Garland Chrysenthemum, (sayur chrysenthemum/edible chrysenthemum), Tong Ho Choy
4. Tun Cucumber (Timun Tua, timun batang berwarna oren)
5. Kobis cina, jenis tertutup (Marco)
6. Kobis cina, jenis tertutup (Micky)

Kisah Mencari Lokan

Mungkin rakan-rakan telah biasa melihat dan memakan isi Lokan, iaitu hidup penapis yang bercangkerang yang biasanya boleh diperolehi dengan mencari di dalam lumpur di muara sungai air payau. Kalau zaman sekarang, tidak lagi perlu susah-susah kalau nak makan lokan kerana ia ada dijual di pasar.

Ketika kanak-kanak dulu, kami terpaksa mencari lokan kalau ingin memakannya.  Biasanya saya mencari lokan dengan mengais di dalam lumpur menggunakan parang atau pisau yang panjang.  Oleh kerana bahagian kaki tersemat di dalam lumpur, saya tidak dapat bergerak dengan cepat, bergerak langkah demi langkah.

Kebiasaannya saya akan pergi mencari lokan dengan abang sepupu atau mana-mana surirumah yang mempelawa.  Kebiasaannya mereka tak berani ajak kerana mak saya marah mencari lokan.  Ia terlalu berbahaya.  Maklum sajalah, air boleh menjadi pasang dan kami mungkin terbengkalai di seberang sungai, atau mungkin terpijak ikan lebu atau ular sungai yang berbisa. Ini tidak  termasuk ancaman buaya air masin yang ganas (Saya hanya mendengar cerita tentang kehadiran buaya sebegitu, tidak pernah melihat sendiri di sungai di kampung) serta beruang madu.

Kali terakhir saya mencari lokan, saya tersempak dengan benda lain.  Waktu itu seingat-ingat saya, masih di dalam darjah 4 atau 5.  Seperti biasa, apabila mencari lokan, saya akan tersasar jauh dari kumpulan.  Ini kerana terlalu banyak hidupan dalam barang (paya air masin) yang menarik minat saya.

Hari itu kami mencari lokan di tepi Sungai Bukit Kuang.  Kalau mak tahu pasti kena bedal sebab tempat itu dah kira jauh daripada rumah.  Mak selalu ingatkan kawasan tersebut ada Pak Belang.  Tak boleh sebut nama, pantang kata mak.

Sedang seronok mengais dalam lumpur, tiba-tiba terdengar bunyi... "Plup!"

Seperti ada benda jatuh ke dalam sungai.  Bila pandang ke depan, alamak!  Seekor harimau sedang menenung saya.  Terkejut tapi tak boleh buat apa-apa sebab kaki berada dalam lumpur hingga ke paras paha.  Saya hanya mampu menenung harimau tersebut sambil menala parang (yang dah patah sekerat) ke arah harimau tersebut.

Dari cara harimau tenung saya, saya rasa ia pun terkejut sebab terserempak dengan manusia.  Perlahan-lahan ia undur dan bila berada pada jarak yang selamat ia masuk ke dalam hutan bakau dan tidak lagi kelihatan.  

Saya keluar dari lumpur dan terus desak saudara yang lain balik ke rumah.  Tak berani nak buka cerita takut dibedal mak.  Selera makan lokan bakar pun dah patah.  

Malam tu tidur berkelubung dengan kain batik mak.

Kalau ada sesuatu yang tak kena, itulah cara "getaway" saya, tidur berkelubung dalam kain batik mak.  Terdengar suara ayah bertanya mak,apa salah saya hari tu.  Mak kata, "Tak tahu, tapi dia ada pergi main sungai."  Dulu saya selalu hairan macamana mak tahu saya main sungai.  Apa tidaknya, bau lumpur pasti lekat walaupun berkali-kali badan disental dengan sabun.

Lokan biasanya terdapat dalam lumpur di tepi sungai air payau.

Tuaian Hari Ini -- Kailan

Hari ini Akasyah menunjukkan hasil tanamannya iaitu Kailan dari baka OP.  Boleh tahan juga saiz kailan ni. 

Akasyah dengan tuaiannya, kailan.

Gambar Hari Ini -- Bunga Matahari

Pokok Bunga Matahari kalau digunakan baja kimia, besar bunganya.  Kebiasaannya saya gunakan baja organik.  Kali ini ubah sedikit, tapi tak kisahlah sebab tanaman ini tak dijadikan makanan.  Kalau sayur saya guna baja organik untuk menhasilkan sayur yang enak rasanya. 

Pokok Bunga Matahari dahagakan banyak nitro.  Rakan boleh bancuh 1 sudu besar baja urea di dalam 1 baldi air.  Siram dua kali seminggu.  Boleh juga guna baja NPK.

Bunga Matahari yang disiram dengan baja kimia.

Satu pokok dapat banyak kuntum.

Isnin, 6 Ogos 2012

Benih Kongsi Bulan Ini -- Salad Green Parade

Satu lagi benih istimewa dari tanamsendiri dikongsi pada bulan ini (Ogos 2012).  Salad ini menghasilkan daun semi cos yang berbentuk terbuka seperti kobis lowland.  Daunnya berbentuk bulat berwarna hijau muda.  Rasanya rangup dan manis jika ditanam sendiri.  Salad juga dapat dituai dalam masa yang singkat.  Untuk dapatkan benih kongsi, emelkan nama dan alamat ke iskandar.abdulrashid@gmail.com

Gambar Hari Ini -- Buah Mulberry

Kalau kena dengan baja, serta cukup cahaya dan air, pokok mulberi akan cepat besar.  Pokok yang besar menghasilkan buah yang lebih besar. Buah enak dimakan begitu saja atau dibuat jem.

Buah Mulberry.
Pautan Cara Memesan Benih
Pautan Benih Untuk Dijual

Tuaian Hari Ini -- Bendi, Peria, Terung Pendek, dan Kacang Panjang

Tuaian hari ini sesuai dicelur dan dimakan cicah sambal lada ketika berbuka. Bendi dihiris dan digoreng bersama bawang putih dan telur. Peria pula dihiris, celup tepung berempah dan digoreng.

Pokok bendi dah tua dan buah adalah buah ratoon, iaitu daripada ranting yang tubuh apabila batang utama dikerat.  Nampaknya dah tiba masa untuk semai semula. Pokok bendi akan ditanam di seberang jalan, iaitu patch yang baru dibersihkan. Patch yang sebelum ini ditanam bendi dan roselle akan diganti dengan pokok bunga.

Tuaian hari ini menjanjikan nmakanan yang segar untuk berbuka nanti.

Jumaat, 3 Ogos 2012

Benih Terung Pendek "Bride" Kehabisan Stok

Benih Terung Pendek Bride telah habis stok.  Ia akan dikeluarkan daripada senarai sehingga saya mendapat batch benih yang baru. 

Semaian Terung Panjang Hijau

Terung adalah tanaman yang menghasilkan buah dalam jangka masa yang lama jika dibandingkan dengan sayur buah yang lain.  Berbaloi kalau tanam.  Bunganya cantik ketika mekar menjadi hiasan laman rumah dan buahnya menyerlah.  Semaian ini adalah daripada jenis terung panjang hijau.  

Jangan samakan terung di pasaraya dengan terung tanamsendiri.  Terung di pasaraya mempunyai rasa yang kuat kerana proses menuai hingga masuk pasaraya memakan masa.  terung tanamsendiri, petik terus masak.  Rasanya lembut, enak dan rangup.  Enak dibuat ulam (makan mentah), dicelur, dipanggang, atau dimasak sebagai lauk.

Cara menyemai juga mudah.  Walaupun masa cambahan agak lama, iaitu antara 1 hingga 2 minggu, ia boleh dicepatkan dengan merendam benih dalam air suam kemudian disemai di tempat yang gelap selama 48 jam.  Kalau guna kaedah ini, 5 hari dah bercambah -- InsyaAllah.

Semaian Terung Panjang Hijau

Gambar hari Ini -- Bunga-bunga di Halaman Rumah

Bila menanam sayur, walaupun tidak menanam pokok bunga, halaman rumah pasti akan terhias dengan bunga-bunga yang mekar dan cantik kerana sebelum menjadi buah, pasti ada bunganya.  Hari ini tangkap gambar guna kamera HP, jadi gambar kurang jelas sedikit. :P


Bunga Senduduk.  Pucuk pokok ini digunakan gunakan sebagai paste untuk membuat telur pindang di Negara Cina.

Semaian keratan petunia tidak sabar untuk berbakti.  Dah mempamerkan bunga yang mekar walaupun masih dalam semaian.

Bunga Telang dijadikan pewarna makanan dan minuman.  Di India, biji kacang dijadikan serbuk dan dikapsulkan sebagai supplement makanan kesihatan.

Bunga Matahari penyeri halaman rumah.  Bijinya dijadikan kuaci dan minyak masak berkualiti tinggi.

Roselle, kelopaknya dibuat salad.  Kaliks dibuat jus, sirap, halwa dan jem.  Bijinya dibuat minyak.  Daun dari jenis liar dimasak sebagai sayuran.

Khamis, 2 Ogos 2012

Gambar Hari Ini -- Roselle Dalam Bekas Styrofoam

Kalau tiada kawasan yang luas, Roselle boleh juga ditanam dalam bekas.  Pokok Roselle ini saya tanam dalam bekas styrofoam -- menjadi.

Roselle boleh ditanam dalam bekas.  Pastikan pokok mendapat air yang secukupnya.

Rabu, 1 Ogos 2012

Gambar Hari Ini -- Tomatillo Dalam Bekas Styrofoam

Tomatillo biasanya tumbuh liar di beberapa kawasan di negara kita Malaysia.  Buahnya lebih kecil jika dibandingkan dengan tomatillo yang dijual di pasaraya dan berwarna putih susu berbanding buah di pasaraya yang berwarna kuning susu.  Tomatillo liar juga mempunyai rasa yang enak.  Saya tanam beberapa pokok tomatillo liar dalam bekas styrofoam, dan alhamdulillah ia tumbuh subur.  Benih tomatillo ada dijual melalui blog ini.

Pokok Tomatillo



Benih Kehabisan Stok

Benih berikut telah kehabisan Stok:
 Petola Ular,
Terung Bulat DwiWarna, dan
Bunga Kosmos

Benih tersebut akan dikeluarkan daripada senarai sehingga saya mendapat stok benih yang baru.