Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Jumaat, 29 Jun 2012

Gambar hari Ini -- Kacang Panjang

Musim seperti sekarang, pastikan tanaman mendapat cukup air.  Misalnya kacang panjang, kalau dibiarkan kering, bunga baru tidak akan keluar.  Bila disiram aja, munga baru mula tumbuh.  Kacang panjang muda enak dibuat ulam.  Kacang panjang ditanam di pagar halaman belakang rumah.  Alhamdulillah, menjadi.

Pokok ini berebut ruang dengan peria katak.  Pokok dah mula berbuah.

Putik kacang pancang, setangkai ada dua putik.

Buah yang hampir matang, dah kurang enak dibuat ulam.  Kalau dimasak dalam gulai sedap.



Khamis, 28 Jun 2012

Tuaian Hari ini -- Pelbagai Jenis Cili

Cili ada pelbagai bentuk dan saiz.  Apa-apa pun semuanya pedas, semuanya enak.  Ini hasil tuaian dari pokok cili yang masih bertahan.  Ada antara buah cili yang ranum kering di pokok.  Seperti kata anak saya, sambil berseloroh... 

"Punyalah panas sampai pokok berbuah cili kering, tak perlu diproses."

Pelbagai jenis cili tuaian hari ini.

Rabu, 27 Jun 2012

Tidak Semua Yang Disemai Menjadi

Pokok ada pelbagai jenis.  Setiap jenis pokok adalah berbeza dan kadang-kadang memerlukan kaedah pengendalian yang berbeza.  Kadangkala cara penanaman yang digunakan menjadi, kadangkala gagal.  Yang penting, setiap kali menjalankan aktiviti bertanam, buat catatan.  Sebagaimana yang dikatakan dulu, wajib ada jurnal kalau ingin hasil yang lumayan dalam masa yang singkat.  Ini kerana dengan jurnal, kita tidak membuat kesilapan secara berulang kali. 

Anak red basil ini mati kerana saya telah gunakan tanah yang tidak sesuai. 

Cambahan basil mati kerana tanah yang digunakan tidak sesuai.

Apabila medium atau tanah yang digunakan sesuai, inilah hasilnya.

Cambahan red basil yang subur kesan dari penggunaan tanah dan baja yang betul.  Proses mencari bahan yang betul dapat dicepatkan dengan menyimpan jurnal.

Musim Panas Tak Elok Bertanam?

Sebagai kanak-kanak saya memang dikenali kerana minat bertanam.  Nak kata berkebun, tanah belakang rumah hanya sekangkang kera.  Bila ada yang tak kena ketika bermain, saya akan pulang dan menyangkul tanda lepas geram. Bila semua ok, pokok kemana, kebun kemana.

Saya ingat lagi suatu hari ketika panas terik, mak bertanya,

"Tak menyangkul hari ni?"

Mungkin sebab hari sebelumnya saya menyangkul dengan bersungguh-sungguh, selepas bergaduh dengan sepupu kerana kalah main getah.  Hari ni, bila semua dah ok, cangkul terperosok dalam batas yang separuh siap.  Cuma anak-anak ayam mengais batas menikmati cacing tanah dan anai-anai yang terdedah kerana sarangnya dicangkul ketika membuat batas di hari sebelumnya.

"Tak, hari ni panas."

Jawab saya mencari alasan.

"Dulu tak menyangkul, sebab hujan, tunggu hari panas.  Sekarang tak menyangkul sebab panas, tunggu hari hujan?"

Ayat mak selalu bermain di telinga bila saya cari alasan untuk tidak bertanam.  Aktiviti ini bagus.

Sebenarnya kita dikurniakan dengan cuaca yang cukup baik jika minat bertanam.  Saya sendiri pun tidak menyedari hakikat ini hinggalah diberi kenikmatan dapat sambung belajar di negara empat musim.  Makcik-makcik di sana terpaksa korek pokok letak dalam pasu dan angkut masuk ke apartment ketika musim sejuk.  Mereka tunggu musim panas.  Pokok sayur yang cantik-cantik yang mereka tanam bukannya ditanam ketika sejuk.  Mengapa pula kita beri alasan sayur di negara mereka cantik sebab sejuk.

Ok, negara kita panas.  Apa buktinya kalau panas elok untuk bertanam, tak kan main cakap aja?  Nah itu soalan yang saya tunggu dari tadi.  Ini buktinya...

Pokok sweet basil lebar daunnya, bukan berasal dari tempat kita.  Di ambil pucuknya hampir setiap hari untuk dibuat ulam, tetap segar.  Kata orang pokok ini berasal dari tempat sejuk.  Lihatlah sendiri.  Kangkung yang sememangnya dahagakan air, walaupun ini musim panas, lihatlah sendiri betapa suburnya.  Yang tinggi sebelah bucu kiri tu mulukhiya, siap berbunga.  Kesum juga tetap subur.  Ruang ini tidak terlindung ketika terik matahari.  Rumpai juga turut menghijau subur.  Bila nak merumput ni.

Ruang depan rumah ketika musim panas.

Jadi, tak mau merungut lagi.  Nanti bulan ramadhan, kita nak makan makanan sihat.  Makanan hasil tanamsendiri.  Capai topi, capai sarung tangan.   




Tuaian Hari ini -- Bendi, Okra, Lady's Finger

Alhamdulillah, pokok kacang bendi di depan rumah dah mula membekalkan aliran buah kacang bendi yang tak putus putus.  Walaupun pokok tak banyak, pokok terus berbunga dan berbuah dan mampu dituai setiap dua hari.  Kalau macam ni boleh semai banyak lagi.  Saya baru tahu, selain daripada dibuat ulam, dicelur atau dimasak kari, buah bendi juga enak dijeruk atau digoreng celup tepung. Yummy, orang lain dah lama makan, kita baru nak cuba-cuba.

Buah bendi enak dipetik muda.

Bela Cacing Untuk Baja, Bahagian 13 daripada 20


Boleh Ker Bela Hidupan Liar Dalam Kurungan?

Wah bila soalan ni diajukan macam rasa bersalah lah pulak.  Jawapannya begini, memanglah cacing tanah lebih bahagia tinggal di luar sana.  Ia bebas memilih tempat makan.  Kalau dalam tong bawah singki, kebebasan terhad.  Apa nak dirisaukan, kita bagi makan, bagi lembapan dan jauh dari terik matahari?  Cacing mana tak mau, tong tersebut bagaikan syurga cacing tanah!  Seperti kata syarikat yang jual makanan yang mampu membunuh secara perlahan berkata, “It is to die for.”   

Ok ok, cacing tanah suka tak tinggal dalam tong cacing bawah singki.  Susah nak kata cacing tanah suka atau tidak, sebab cacing tanah ada banyak jenis.  Petuanya begini, kalau cacing tanah tak suka dengan kandungan medium dalam tong cacing, malam-malam ia akan merayap keluar dari tanah dan cuba membebaskan diri.  Jika ini berlaku, ubah suai sikit, mungkin tambah tanah atau cebisan kertas.  Sebab kalau tanah terlalu basah, cacing tidak gemarkannya.  Kalau kita tambah tanah kering, peratus lembapan berbanding kuantiti medium akan berkurang.

Jika medium (campuran tanah) tak sesuai, cacing akan keluar dan merayap pada dinding tong.

Kalau cacing suka, ia akan makan, membiak, makan, membiak, makan, membiak.... Begitulah seterusnya.  Macam saya nyatakan dulu... Cacing hermaphrodite, atau khunsa kata ustaz saya.   Seekor cacing ada dua-dua alat.  Ia memang cari pasangan untuk membiak.  Tapi engkau bagi aku, aku bagi engkau.  Kita sama sama bertelur (sebenranya kepompong), kita sama-sama happy.


Jika medium sesuai atau serasi, cacing tanah akan makan dengan banyak dan membiak dengan cepat.  Ia juga akan menghasilkan banyak vermicompost.


Isnin, 25 Jun 2012

Buat Sendiri Bekas Titis Menggunakan Botol Air Mineral

Untuk pastikan tanah dalam bekas tanaman tidak kekeringan, anda boleh bina sistem titis yang ringkas menggunakan botol mineral.  Saiz botol boleh dipilih mengikut saiz bekas tanaman.

Alatan dan bahan
1. Guntung dapur
2. Penebuk atau paku dan tukul

Cara
1. Denagn menggunakan gunting dapur, guntung bahagian bawah botol supaya botol terdedah.  Ini memudahkan anda menuang air ke dalam botol.



Gunting bahagian bawah botol.



2.  Tanggalkan tudung botol.
3. Tebuk lubang menggunakan penebuk atau paku dan tukul.
4. Pasangkan kembali penutup botol ke botol tersebut.

Tebuk lubang pada penutup botol.


5. Ideanya begini, apabila anda tuang air ke dalam botol, air akan menitis keluar. Jumlah air yang menitis bergantung pada saiz lubang serta jumlah lubang.  Cuba dengan satu lubang dahulu, jika air yang menitis terlalu perlahan, tambah lubang pada penutup.

Apabila air diisi ke dalam botol, air akan menitis keluar.

6.  Benamkan bahagian tudung botong ke dalam tanah di dalam bekas tanaman.  Anda mungkin perlu ikat bekas ke pancang untuk memastikan kedudukan bekas kukuh.

7.  Siram air ke dalam bekas seperti biasa.  Kemudian siram air ke dalam bekas titis sehingga penuh.


Pemasangan titis air yang ringkas yang telah siap.


Kemana Perginya Makluk Perosak Bila Musim Panas Begini

Musim panas seperti sekarang memang mampu menghalau makhluk perosak.  Suhu yang mencecah sehingga 36 darjah celsius sememangkan menyiksakan untuk makluk perosak, misalnya mealy bug atau kutu putih.  Minggu lepas saya perhatikan, anak pokok dahlia menunjukkan tanda-tanda serangan mealy buh malangnya bila dicari, makhluk perosak tidak kelihatan.  
Saya telah cabut anak pokok untuk memeriksanya.  Rupa-rupanya makhluk perosak mealy bug tidak mengalah.  ia telah masuk ke dalam tanah dan mendapatkan lembapan daripada akar pokok.  Patutlah pokok terbantut.  Beberapa jenis makhluk perosak berlindung daripada terik matahari dengan tinggal di dalam tanah ketika musim panas.  Saya tidak menyangka mealy bug yang berkulit lembut juga berlindung di dalam tanah. 

Mealy bug berlindung daripada cahaya matahari yang terik dengan tinggal di dalam tanah.  Ia mendapat lembapan dengan menyerap air daripada akan tanaman.

Ahad, 24 Jun 2012

Musim Panas Begini

Musim panas begini bukannya mustahil untuk bertanam, cuma kita perlu ada perancangan.  Yang penting pokok tidak kekeringan terutamanya ketika di waktu tengahari.  Untuk yang sibuk bekerja pastinya kita hanya mampu menyiram di waktu pagi dan tengahari sahaja.  Waktu tengahari bagaimana ya?  Mungkin pasang timer dengan sistem tetes?  Atau bina drip sendiri menggunakan botol air mineral?  
Untuk kurangkan panas boleh tanam sayur di tempat teduh, atau pasang sungkup.  Sayur Putih ini tetap subur walaupun cuaca panas tahap tidak tertahan.  Ia di tanam di kawasan teduh.

Kobis Cina ini ditanam bersama Pokok Bunga Tongkeng.

Pokok Kobis Cina ini ditanam di dalam bekas gabus dan diletakkan di bawah pokok peria katak.

Buah Terung Telunjuk Hampir Ranum

Susah nak dapat benih terung telunjuk.  Dulu ada cuba dapatkan benih tetapi jumlahnya hanya sedikit, cukup untuk tanam sendiri aja.  Alhamdulillah daripada 5 biji benih yang diperolehi, 2 menjadi dan telah dapat merasai enaknya ulam terung telunjuk.  Untuk buah batch ini, saya simpan beberapa biji untuk dibuat biji benih.  Ada 4 biji telah ranum dan bertukar dari warna hijau kepada kuning.  Nanti dapatlah proses untuk dijadikan benih.

Buah Terung Telunjuk yang ranum disimpan untuk dijadikan benih.

Jumaat, 22 Jun 2012

Benih Bakal "Available"

Semalam terima satu lagi benih, kali ni tertumpu pada benih bunga.  Benih tersebut akan diuji untuk pastikan bernas.  Untuk benih yang kuanntiti sedikit saya akan buat benih dulu.  Sasarannya sebelum ramadan.  Antara benih yang dimaksudkan, 

Sunflower, Orange Double
Rupanya seperti Sunflower Teddy Bear yang mempunyai "fur" yang padat.  Yang ini lapisan tersebut hingga 2 lapis.  Ketinggian 6 hingga 8 kaki.

Gaillardia Dazzler
Bunga ini seperti bunga matahari kecil.  Bahagian luar kelopak berwarna kuning, bahagian dalam berwarna merah.  Cantik.

Andean Herbaceous
Pokok herba berbunga pink berasal dari Andes.  Saiz pokok dari 6 in hingga 3 kaki.  Cantik.

Sunflower, Valentine
Kelopak bunga berwarna kuning dengan bahagian tengah berwarna gelap.  Cantik.  Saiz pokok antara 5 hingga 5 kaki.

Bunga Dinding dari jenis Crucifera
Bunga kecil berwarna merah dan kuning.  Saiz pokok 9 hingga 15 inci.

Francoa "Pink Giant"
Pokok menghasilkan tangkai sejambak bunga werwarna merah jambu.  Cantik.  Tinggi 2 hingga 3 kaki.

Francoa "Pink Giant". Sumber foto: Pembekal benih.

Campanula poscharskyana
Pokok herba kecil dengan bunga berbentuk bintang berwarna ungu.  Saiz pokok 4 hingga 6 inci.

Campanula poscharskyana. Sumber foto: Pembekal benih.

Anemone leveillei
Pokok bunga ini menghasilkan bunga dengan lima kelopak bujur berwarna putih keunguan.  Saiz pokok 18 inci.
Anemone leveillei. Sumber foto: Pembekal benih.

Lavatera Silvercup
Bunga merah jambu dengan pokok renek setinggi 18 hingga 24 inci.
Bunga Lavatera Silvercup. Sumber foto: Pembekal benih.



Ipomoea "carnevale di venezia"
Pokok kangkung bunga dengan bunga berjalur merah putih dan biru putih.  Bunga yang sangat cantik.

Pokok Kangkung Bunga, Sumber Foto: Pembekal Benih

Bayam Ekor Kuda
Bayam ini ditanam untuk jambak benihnya yang panjang 36 hingga 48 inci.  Pokok ini ditanam sebagai pokok hiasan.  Cantik.
Bayam Ekor Kuda, Sumber foto: Pembekal benih.

Cantik cantik semuanya.  Saya akan announce bila benih available.  Oleh kerana ini benih luar dan saya kurang pasti ia akan menjadi di sini.  Ia tidak boleh dipesan awal.  Saya akan warwarkan bila available.  Oleh kerana jumlah benih terhad, bila diwarwarkan, siapa pesan dulu dia dapat.

Gambar Hari Ini -- Labu Air

Labu air tergantung di pagar depan rumah.  Pokok boleh jadi pelindung rupaya rumah lebih privasi, dan buah jadi penghias.  Buah pun enak dimakan. Saya tinggal di kawasan perumahan berhampiran ladang.  Apa masalahnya di tempat sebegini?  Makhluk yang baik-baik mati, tempias racun serangga perosak.  Jumlah serangga perosak pula tidak berkurang sebab dah jadi kebal dengan racun tersebut.  Bunga labu air perlu "kahwin" dulu sebelum menjadi buah.  Masalahnya serangga pendebunga tidak muncul ketika ia diperlukan.

Sebenarnya ini bukanlah suatu yang buruk.  Rakan-rakan dapat "membantu" dengan mendebunga secara manual.  Kalau ada anak-anak yang bersekolah rendah, inilah masanya nak ajar tentang the birds and the bees.  Ya, pokok pun boleh diguna untuk dedahkan tentang pembiakan secara seks.  Mana tahu dapat membakar minat mereka untuk minat sains.

Labu air tergantung di pagar depan rumah.

Petua Hilangkan Rasa Pedas

Ketika makan malam, anak-anak mengipas lidah tanda kepedasan.  Apa tidaknya, kena budu yang padat dengan cili pimiento, ditambah dengan keenakan sup lada hitam labu air tanamsendiri.  Untuk protein pula, ikan bilis digoreng dengan sambal yang manis-manis pedas.  Bilis pula bilis istimewa pemberian Puteri Purnama daripada Sabah.  Puteri kutip labu air dari mangkuk lauk dan beredar ke depan TV menandakan protes sebab lauk pedas.  Hero Akasyah dan Muhammad kipas lidah sambil makan.  Papa perhati aja gelagat anak-anak.  Tak apa, sekali sekala bakar badan supaya keluarkan endorfin supaya happy sikit.  Akhir-akhir ni nampak tension sikit struggling siapkan kerja sekolah yang menimbun.  Err sebenarnya ini kali pertama tengok mereka buat kerja sekolah.  Selama ni wonder juga, tak kan cikgu tak bagi homework.  

Hah dah habis makan.  Nak tambah lagi?

"Pedas sangat lah Papa, mana boleh tambah kalo macam ni."

Saya buka peti sejuk, ada jus prune sebotol.  Tuang sedikit ke dalam gelas dan beri pada anak-anak.  

"Sedut masuk ke dalam mulut, biar jus ni cover lidah.  Jangan telan dulu.  Bilang dalam hati sampai sepuluh baru telan."

Anak-anak ikut arahan dan saya perhati aja...

"That's weird, pedas dah ilang.  Pa, tambah sepinggan lagi."  Muhammad hulurkan pinggan.

"Kasyah pun tambah sepinggan."  Minta Akasyah.

Huh... patutlah dua-dua naik badan, makan sedap.

Bahan yang membuat rasa hangat dalam cili dan lada hitam bersifat alkali lemah.  Bila dicampur asid lemah, kesan rasa hangat akan hilang.  Jus prune, jus limau nipis, jus oren, jus roselle dan jus buah-buahan bersifat asid dan dapat mengurangkan atau menghilangkan rasa hangat.  

Kalau terasa pedas ketika makan, jangan minum air kosong kerana ia akan menyebarkan bahan hangat cili ke bahagian lain di atas lidah.  Kemam jus.  Ini petua hari ini khas dari tanamsendiri.com

Resepi -- Sup Lada Hitam Labu Air


SUP LADA HITAM LABU AIR

Bahan-bahan
1 biji labu air tanamsendiri
4 ulas bawang putih
1 sudu besar lada hitam
1 sudu besar ikan bilis ditumbuk kasar
1 cawan soohoon yang telah direndam
2 sudu minyak masak
4 cawan air
2 sudu the garam, atau secukup rasa

 Cara Memasak
1. Buang kulit labu air tanamsendiri dan potong kecil.
2. Lumatkan bawang putih dan lada hitam.
3. Panaskan minyak masak.
4. Tumis bawang putih, lada hitam dan ikan bilis.
5. Bila sudah naik bau, masukkan air dan garam.
6. Apabila air mendidih masukkan labu dan soohoon. 
7. Masak lebih kurang 5 minit atau sehingga labu masak.

(Sumber resepi: Zaitun Ismail)

Hidangan Makan Malam, Sup Lada Hitam Labu Air, Budu dengan Cili Ceri, Bilis Goreng Pedas Manis, Labu Pendek Ratna.  Bilis pemberian Puteri Purnama terbang khas dari Sabah.


Khamis, 21 Jun 2012

Tuaian Hari Ini -- Labu Air, Terung Pendek, Bendi, Kacang Panjang

Tuaian hari ini tertumpu pada sayur buah.  Ini hanya sebahagian daripada sayur buah yang telah dituai.  Tuaian ini dipetik dari tanaman di depan rumah, iaitu Labu Air, Terung Pendek Ratna, Bendi Singa, dan Kacang Panjang.  Tuaian ini cukup untuk kami sekeluarga menikmati juadah yang segar.  Labu air enak kalau dibuat ulam atau dimasak  sayur air dengan lada hitam (black pepper).  Patutlah sejak bertanam di halaman rumah ni, anak lelaki yang bersekolah rendah bulat-bulat belaka.  Ada aja alasan untuk makan lebih.

Tuaian hari ini, Labu Air, Kacang Panjang, Terung Pendek Ratna dan Bendi Singa.

Menilai Tanah – Bahagian 7 daripada 10

Bahan Organik

Bagaimanakah mengenali tanah yang kaya dengan bahan organik?

Tanah yang kaya dengan bahan organik mempunyai warna hitam atau gelap. Tanah tersebut mudah lerai (loose) dan terdapat banyak cacing tanah di dalamnya. Kalau tanah tersebut dianalisis oleh makmal bertauliah, ia mempunyai nilai C.E.C. yang tinggi. Untuk maklumat tentang C.E.C., anda boleh rujuk posting tentang tanah yang telah dimuat naik sebelum ini. Klik pautan ini.


Kaedah Menentukan Peratus Bahan Organik Di dalam Tanah 


Untuk menentukan peratus kandungan bahan organik di dalam tanah, anda perlukan ketuhar, dapur dan neraca.

1. Panaskan sampel tanah di dalam ketuhar untuk mengeringkan tanah.

2. Timbang tanah dan catatkan bacaan awal jisim tanah.

3. Bakar tanah.

4. Timbang tanah dan catatkan jisim akhir tanah.

5. Kira peratus kandungan bahan organik menggunakan rumus berikut.



Selasa, 19 Jun 2012

Menilai Tanah – Bahagian 6 daripada 10

Prosedur Menguji Tanah

Sebenarnya tiada masalah anda uji tanah bila-bila masa pun.  Cuma seeloknya lakukan ujian pada waktu yang sama setiap tahun.  Ini akan dapat membantu anda membuat perbandingan dengan lebih tepat.  Ini kerana sifat tanah berubah mengikut musim.   Maklum sajalah ada musim kering, ada musim hujan.

Bagaimanapun perbezaan yang terhasil tidak ketara dan bacaan tersebut pasti dapat membantu kita membuat keputrusan tentang cara mengendalikan tanah supaya sesuai dengan tanaman yang dikehendaki.

Cara Mengambil Sampel Tanah
Dapatkan sekurang-kurangnya sepuluh sampel tanah yang ingin diuji iaitu kira-kira satu sudu besar setiap sampel. Lima daripada sampel terdiri dari tanah dari lapisan 1 inci (2.5 cm) daripada permukaan dan lima sampel lagi dari kedalaman 6 inci atau 15 cm. Dapatkan tanah yang setara bagi seluruh kawasan. Jangan ambil dari satu kawasan yang mempunyai sifat yang lain daripada tanah secara keseluruhan untuk elakkan dari mendapat keputusan yang jauh berbeza daripada yang sepatutnya. 

Kemudian campurkan semua sample dalam bekas kaca yang bersih dan gaulkan selama sekurang-kurangnya satu minit. Kemudian ambil satu sudu besar daripada sample tersebut dan uji mengikut arahan dalam kit penguji tanah. 

Bersambung...

 

Makhluk Perosak -- Belalang

Amboi amboi amboiiii.... Seronoknya ia ratah daun Pokok Bunga Matahari.  Musim panas seperti sekarang bilangan belalang lebih daripada biasa.  Tanaman Bunga Matahari, Sawi dan Kangkung  habis menjadi mangsa belalang dalam masa yang singkat sahaja.

Belalang sedang makan daun Pokok Bunga Matahari.

Mana-mana Pun Jadi -- Ruang antara Banguna Kedai di Pekan Semenyih

Sabtu lepas saya berkesempatan jenguk ruang betanam sahabat berkebun di Pekan Swemenyih.  Ruang sekangkang kera di antara bangunan kedai dibahagi-bahagikan untuk dijadikan ruang aktiviti bertanam terutamanya setiap pagi Ahad. 

Kebanyakan daripada ruang digunakan untuk bertanam sayur serta herba untuk ubat.  Apabila saya tanya ubat apa?  Jawapannya ringkas.  

"Ubat kanser." Jawab sahabat saya.

"Awak ada kanser ker?" tanya saya kerana terkejut, sebab semua herba yang pelik-pelik untuk ubati kanser.  
"Tak der.  Orang bagi, saya tanamlah," jawab sahabat saya selamba.  

Pokok kari merimbun.

Longgokan daun yang telah dikerat dihimpun dan dibiar terurai untuk dijadikan kompos.

Pokok Pandan.

Pokok Terung, Aloe vera, Jagung Manis dan Pandan.

Semaian Sawi yang baru dialih.

Patch jiran sahabat saya milik seorang warga emas.  Dia tanam keledek.  Setiap hari minggu daun dikerat dan dihantar ke pasar.

Pokok Roselle berxcabang dan berdaun lebat.  Tapi buahnya jarang.  Hairan...

Pokok Betik.

Pokok herba Selasih.

Isnin, 18 Jun 2012

Menilai Tanah – Bahagian 5 daripada 10

Menguji Tanah Secara Kimia


Cara yang lazim yang digunakan untuk menentukan  kandungan nutrien di dalam tanah ialah dengan menggunakan bahan kimia dalam kit uji tanah sebagaimana ditunjukkan dalam gambar dalam posting sebelum ini.  Ada pakar yang meragui ketepatan bacaan kerana sifat hanya menguji kepekatan larutan nutrien, bukan jumlah kandungannya.  Maklumat yang diperolehi  tidak menggambarkan keupayaan tanah untuk membekalkan nutrien yang diperolehi oleh tanaman.  Ini kerana keupayaan pokok menyerap nutrien daripada dalam tanah bergantung kepada beberapa faktor, iaitu kepekatan nutrien di dalam larutan tanah, keupayaan tanah mengekalkan kepekatan tersebut, serta kadar nutrien dialih ke dalam larutan tanah.

Ada yang mengesyorkan mendapatkan ujian daripada makmal bertauliah.  Ada penanam profesional yang mengupah makmal untuk mengkaji atau menganalisis kultur tisu tanaman untuk menentukan kepekatan nutrien di dalam tanah. Untuk orang macam kita yang hanya bertanam di tepi rumah sebagai hobi dan untuk makan sendiri, saya rasa, penggunaan kit uji tanah yang ringkas sudah memadai.  Lagipun bacaan pH yang dihasilkan daripada kit tersebut tepat.

Ada juga yang berpendapat bahawa kita tidak perlu uji pH tanah kerana maklumat tersebut hanya penting kepada penanam komersial.  Lagipun, kalau tidak ada maklumat tentang pH pun, kita tetap akan lakukan sesuatu untuk memperbaiki mutu tanah.  Ini semua bergantung kepada individu.


Bersambung...


Blog Walking -- Tangan Panas-Panas Sejuk

Blog yang saya singgah kali ini ialah blog "Tangan Panas-panas Sejuk."  ia adalah jurnal berkebun oleh rakan kita Sdr Shafirul Suffian.  Selain daripada kemahiran bertanam, pemilik blog tersebut juag mempunyai kemahiran mengambil gambar.  Saya suka melihat gambar tanaman, terutamanya bunga yang sedang mekar daripada blog ini.

Blog "Tangan Panas-panas Sejuk" boleh dicapai melalui pautan berikut.


Laman blog "Tangan Panas-panas Sejuk"
 

Gambar Hari Ini -- Cili Wangi dan Ketumbar

Seperti yang rakan-rakan sedia maklum pokok cili amat mudah diserang makhluk perosak.  Saya semai cili wangi dalam patch ketumbar dengan harapan bau heba ketumba yang kuat akan menakutkan makhluk perosak yang ingin meratah pokok cili wangi.  Cili wangi dan ketumbar dikatakan menjadi buddy yang sesuai.
Cili wangi ditanam dalam patch Ketumbar.

Ahad, 17 Jun 2012

Tanam Sendiri -- Pokok Bunga Chrysenthemum

Tanamsendiri – Chrysenthemum

Chrysenthemum adalah pokok bunga yang tahan lama yang tahan panas.  Ia akan menghasilkan bunga yang banyak dan lama jika dijaga dengan cara yang betul.  Chrysenthemum ditanam menggunakan keratan batang atau dengan menyemai biji benih.  Dalam posting ini saya akan jelaskan secara ringkas cara menanam Chysenthemum menggunakan biji benih.

Alatan dan Bahan

Tanah kompos, pasu kecil atau dulang semaian

Cara Menyemai

1. Masukkan tanah ke dalam bekas semaian atau dulang semaian.
2.  Letakkan bekas semaian ke dalam dulang.

3. Tuangkan air ke dalam dulang sehingga sedalam 1 inci atau 2.5 cm.  Biarkan air meresap masuk ke dalam bekas semaian.

4.  Taburkan biji benih ke dalam bekas semaian.  Setiap satu bekas atau sel semaian taburkan 3 biji benih.

5. Taburkan tanah organik yang ringan kira-kira 2 mm menutup permukaan tanah semaian untuk mempastikan biji benih tidak terbang ditiup angin. 
6. Tiap-tiap hari, tambahkan sedikit air di dalam dulang untuk mempastikan tanah semaian sentiasa lembap tetapi tidak terlalu basah.
7. Anda tidak perlu tutup bekas semaian.  Benih akan bercambah dari 10 hingga 14 hari.

Mengalih

1. Alih semaian apabila akar kelihatan tumbuh keluar daripada bekas semaian atau selepas terdapat 2 set daun sebenar.  Tanah tempat pokok dialih perlu lembap tetapi mempunyai saliran yang elok.
2. Jarakkan anak pokok kira-kira 4 hingga 6 inci.
3. Siram sekurang-kurangnya sekali sehari terutamanya di waktu pagi.
4. Setelah pokok berbunga dan bunga kering, pakas tangkai bunga dan ranting yang telah mati untuk menggalakkan pokok tumbuh rendang.

Menilai Tanah – Bahagian 4 daripada 10


pH Tanah

Anda boleh uji pH tanah menggunakan kertas litmus, kit ujian tanah, atau meter pH.  Kalau anda mahir dengan tanaman, pokok yang tumbuh secara semulajadi ditanah tersebut juga menyingkap maklumat pH tanah tersebut.  Ada pokok yang tumbuh subur dalam tanah berasid, ada yang tumbuh subur dalam tanah beralkali.


Kit Uji Tanah

Gambar Hari Ini -- Kekabuh Kura-kura

Kekabuh Kura-Kura atau ladybird pada asasnya adalah sahabat kita kerana ia serta larvanya hidup dengan memakan bena.  Bagaimanapun ada antara kekabuh kura-kura yang larvanya memakan daun tanaman.  Oleh sebab itu ia kadang-kadang juga dianggap makhluk perosak.  Kekabuh Kura-kura dalam gambar adalah dari jenis Epilachna. Larvanya memakan daun dan dianggap makhluk perosak.

Kekabuh Kura-kura dari jenis Epilachna.