Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Sabtu, 31 Mac 2012

Menyelaraskan pH Tanah, bahagian 9 daripada 25


Pengapuran
Batur Kapur yang dilumatkan
Batu kapur mengandungi kalsium karbonat (CaCO3).  Ia paling lazim digunakan untuk meneutralkan tanah yang berasid.  Bahan ini selamat digunakan dan memberi kesan sehingga beberapa tahun.  Harganya pun murah berbanding dengan bahan berkapur yang lain.   Cuma masalahnya, bahan ini lambat memberikan kesan yang diharapkan.

Gambar Hari Ini -- Bunga Labu Air Kembang Malam

Bunga labu air kembang malam.  Ini membuktikan pendebungaan berlaku di waktu malam.  Ini tidak menghairankan kerana kebanyakan bunga yang berwarna putih kembang malam.  Warnanya yang cerah dapat menarik serangga atau haiwan pendebunga di waktu malam.

Bunga labu air

----------------------------------
Flowers of bottle gourd bloom at night.  This means that pollination occurs at night.  The white colour of the flowers easily attracts pollinators.

Jumaat, 30 Mac 2012

Kehabisan Stok, Cili Pedas Baka Siam

Cili pedas baka siam telah kehabisan stok.  Jadi saya keluarkan benih tersebut dari senarai sehingga saya terima batch benih yang baru.  Untuk dapatkan cili yang mempunyai tekstur yang seakan-akan dengan cili tersebut, boleh dapatkan benih cili solok.

Tuaian Hari Ini -- Kailan, Kapsikum dan Tomato

Hari ini tuai kailan (pokok yang dah berbunga), kapsikum dan tomato.  Cukuplah untuk topup lauk. :)

kailan, tomato dan kapsikum.

Tuaian hari ini.

-----------------------------------------------
Harvest of the day -- Chinese kale, capsicums and tomatoes.  Just enough for today's meal.

Tomato Bengkak Air

Penyakit ini berlaku pada buah tomato yang pokok terlebih siram.  Sekarang musim hujan, jadi ada antara buah tomato menunjukkan tanda-tanda bengkak air.  Buah yang bengkak air merekah di sepanjang buah dari atas ke bawah.  Petik buah yang bengkak air.  Petik buah yang hampir ranum dan pastikan saliran elok, tiada air bertakung.

Buah tomato yang menunjukkan tanda bengkak air.



Menyelaraskan pH Tanah, bahagian 8 daripada 25


Manfaat Menambah Kapur
Ada beberapa manfaat menambah serbuk kapur ke dalam tanmah yang berasid.  Pertama, ia menyebabkan tanaman dapat menyerap nutrien yang ada di dalam tanah.  Ia juga mengurangkan risiko tanaman menyerap bahan yang berpotensi menjadi toksik misalnya aluminium dan mangan.  Ketiga, ia dapat meningkatkan aktiviti organisma yang berfaedah di dalam tanah kerana organisma tersebut tidak dapat hidup di dalam tanah yang terlalu berasid.  Keempat, ia juga dapat menghapuskan organisma perosak yang berada di dalam tanah.  Kelima, kapur mengandungi kalsium, jadi anda dapat menambah nutrien kalsoim di dalam tanah.  Jika anda gunakan kapur dolomite, anda juga dapat menambah nutrien magnesium.

Layout Untuk Patch Belakang

Untuk patch belakang rumah, sistem perairan akan menggunakan sistem titis dengan timer.  Air akan disiram setiap 6 jam dengan titisan selama 10 minit setiap kali siraman.  Waktu dan jangka masa siraman akan dilaraskan mengikut keperluan.  Patch ini akan ditanam dengan tiga barisan tanaman iaitu barisan belakang dengan pokok dari jenis kekacang.  Ini untuk memanfaatkan pagar yang sesuai untuk pokok kacang memanjat.  Buat permulaan kami akan letakkan pokok kacang panjang dan kacang buncis. 

Baris tengah, kami akan letakkan pokok kailan ataui mana-mana jenis pokok sayur daun yang bersaiz besar.

Baris depan kami akan letakkan pokok sawi bunga atau mana-mana jenis sayur daun bersaiz kecil.  Oleh kerana kawasan belakang rumah terpisah daripada kawasan lain, kemungkinan besar tanaman tersebut tidak akan diganggu makhluk perosak.  Kalau diganggu, tanaman akan diselang seli dengan tanaman herba.

InsyaAllah sistem akan dipasang pada hujung minggu ini.

Layout patch belakang rumah.
 


Semaian Peria

Kalau diperhatikan benih peria, ia amat ringan.  Sukar nak faham bagaimana benih yang kering tanpa air tetap bernas.  Setelah disemai, benih bercambah selepas 2 hari disemai.  Dari 10 benih yang saya semai, 8 bercambah.  2 biji benih di"curi" burung.

Semaian Peria

Khamis, 29 Mac 2012

Gambar Hari Ini -- Cotton Rosemallow, Hibiscus mutabilis

Pokok Cotton Rosemallow (Hibiscus mutabilis) adalah dari keluarga bunga raya (hibiscus) dengan saiz pokok yang kecil.  Bunga ada berbagai warna mengikut waktu.  Di sebelah pagi, ia berwarna putih, kemudian bertukar ke warna merah jambu dan di sebelah petang berwarna merah.  Dari bacaan saya, daunnya digunakan untuk mengurangkan bengkak dan kelopaknya dijadikan jus untuk diminum oleh wanita hamil -- untuk memudahkan proses bersalin.  Itu amalan orang dulu, sejauh mana keberkesanannya, saya tak pasti.  Baru belajar tanam pokok ni, insyaAllah kalau menjadi akan edarkan benihnya. 

Bunga dari pokok ini berwarna merah jambu.



Pokok dari jenis bunga merah.

Bunga merah ini kembar.  Cantik.


Menyemai Benih Nona dan Durian Belanda

Rakan-rakan boleh semai benih nona atau durian belanda secara terus.  Dapatkan biji benih daripada buah yang ranum.  Selepas dibersihkan isi yang menyelaputi benih jangan disemai terus.  Biarkan benih "tidur" dulu sekurang-kurangnya selama 2 minggu.  Jemur untuk keringkan tertapi jangan di bawah cahaya matahari yang terik.  Kemudian simpan dalam peti sejuk.  Dua hari sebelum menyemai, keluarkan biji benih dari peti ais dan biarkan di suhu bilik.  Apabila sedia untuk menyemai, toreh bahagian tengah biji benih untuk aktifkan dan semai di dalam lubang sedalam 2 hingga 3 cm.  Jangan rendam biji benih nona atau durian belanda sebelum menyemai.  Ini akan melemaskan biji benih dan ia tidak akan bercambah.

Makhluk Perosak -- Ulat Pada Pokok Kum Quat

Rama-rama dari jenis Swallowtail sememangnya hanya membiak di atas pokok limau.  Larva rama-rama tersebut, iaitu ulat yang berwarna hijau mampu meratah pucuk limau dalam masa yang singkat.  Buang atau musnahkan bila terjumpa.  Saya kutip ulat dan buang satu-satu. 

Ulat ini adalah larva rama-rama dari jenis swallowtail hanya makan daun pokok l;imau (citrus).

Kutip ulat dan musnahkan.

Rabu, 28 Mac 2012

Tanam Sendiri -- Tomato, Lycopersicon esculentum


TOMATO YANG JUGA dikenali sebagai “love apple” adalah tumbuhan perennial yang ditanam dalam masa yang singkat.  Saya pernah terjumpa orang yang menanam pokok ini sehingga 4 tahun (ketika bertemu) dan pokok menjadi amat tinggi tetapi buah tetap lebat.  Buah tomato adalah berisi, lembut dan berair dengan biji yang halus di dalamnya.  Buah tomato kaya dengan beta karotena, vitamin C dan vitamin B.

Buah tomato kaya dengan beta karotena, vitamin B dan vitamin C.


Tomato dipercayai berasal dari banjaran Andes di Amerika selatan.  Ia dibawa masuk ke Amerika Utara kira-kira 2000 tahun dahulu.  Tomato dibawa ke Eropah sekitar abad ke 16.  Ketika itu tomato ditanam sebagai pokok hiasan kerana orang eropah percaya buah tomato beracun kerana mempunyai warna merah terang serta ada bau yang kuat. 

Orang Itali mula makan tomato melalui masakan.  Mereka percaya tomato boleh dijadikan ubat kuat (aphrodisiac) dan menggelarnya pommi dei mori yang bermaksud “epal cinta”.

Terdapat dua jenis pokok tomato, dikelaskan mengikut cara pertumbuhan pokok iaitu jenis memanjat (vine) dan merimbun (bush).  Pokok tomato jenis memanjat mempunyai batang yang tegak, tinggi, dan lurus yang tumbuh tinggi, manakala pokok tomato jenis merimbun tumbuh dengan banyak ranting, renek dan merimbun. 

Buah yang dihasilkan oleh pokok tomato jenis memanjat lazimnya lebih besar berbanding dengan buah tomato jenis merimbun.  Sebenarnya ada pokok tomato jenis ketiga, iaitu perantaraan jenis memanjat dan merimbun.  Pokok ini lebih besar dari pokok jenis merimbun.  Pokok ini tumbuh tinggi dan memerlukan pancang tetapi akan tumbuh ke arah sisi jika tunas tidak dicubit buang.

Tomato perlukan banyak perhatian iaitu menyiram, membaja, memasang pancang, mencubit dan sebagainya.

Tempat Menanam
Pokok tomato tidak cerewet.  Anda cuma perlukan tempat yang menerima cahaya yang banyak, terutama cahaya pagi.  Boleh letak kawasan yang terhadang dari cahaya panas terik, terutamanya di waktu tengah hari.  


Tomato boleh ditanam dalam bekas.


Jenis tanah yang boleh digunakan adalah bebas asalkan kaya dengan organik (kompos dengan humus) dan mempunyai saliran yang elok. Tomato tidak tahan air yang bertakung kecuali kalau air mengalir seperti dalam sistem hidroponik.


Anda boleh juga tanam dalam bekas.  Gunakan bekas atyau polibeg yang dalam, sekurang-kurangnya 30 cm.  Jika tanam di atas tanah, gali sedalam 30 cm (12 inci) dan masukkan kompos  atau baja kandang yang telah terurai dengan banyak.  Anda boleh juga gunakan baja biasa yang kaya dengan fosfat. 

Tomato tumbuh elok dalam tanah dengan pH 5.8 hingga 7.00 pH.  Jika tanah terlalu berasid (kurang dari pH 5.5), taburkan sedikit serbuk kapur.  Selepas ini anda tidak lagi perlu membaja sehingga pokok mengeluarkan bunga.

Jika tanam dalam bekas dan sediakan tanah sendiri, campurkan 3 bahagian tanah gembur (tanah lom) dengan 1 bahagian tanah pasir.  Gaulkan dengan 7 hingga 10g baja NPKMg (12:12:12:17) jika gunakan baja komersial atau 1 bahagian baja kompos yang telah terurai.

Menyemai
Semai biji benih dengan tidak terlalu rapat dalam kotak semaian atau satu biji benih dalam setiap sel dulang semaian dalam lubang sedalam 13 mm (0.5 inci) dan tutup lubang.  Gunakan tanah kompos yang reput sepenuhnya.  Siram dengan berhati-hati.  Atau elok basahkan dari bawah dengan merendam bekas semaian dalai tray berisi air.  Tutup bekas semaian di bawah plastik hitam supaya gelap selama 48 jam.  Benih akan bercambah dalam masa 6 hingga 8 hari.

Apabila dua atau 3 set daun sebenar telah tumbuh alih cambahan ke dalam pasu kecil, seeloknya pasu bioterurai bersaiz 5 hingga 8 cm (2 - 3 inci) dan letakkan di tempat yang cerah dan pengudaraan yang elok.  Ini untuk mengelakkan jangkitan kulat.  Jika gunakan tanah yang kaya dengan kompos, anda tidak perlu membaja.  Jika tidak, siram baja air ikan 2 kali seminggu.

Mengalih
Alih tomato ke dalam pasu yang lebih besar apabila perlu.  Jika tanam tomato jenis memanjat, alih apabila pokok mula mengeluarkan bunga.  Jarakkan pokok kira-kira 60 - 90 cm (24 - 36 inci) jika tanam dengan bebas atau 38 cm (15 inci) jika memasang pancang.  


Memasang Pancang
Jika tanam tomato jenis memanjat, pasang pancang kayu sebagai alat sokongan untuk mempastikan pokok tidak rebah.  Jika tanam pokok merimbun, tidak perlu pasang pancang kayu.

Pembajaan
Jika anda gunakan tanah yang kaya dengan kompos anda tidak perlu membaja sehingga pokok mula berbunga baru membaja.  Bagaimanapun jika anda ingin membaja, gunakan baja yang kaya dengan nitrogen.

Apabila pokok mula berbunga, baja dengan baya cecair (air ikan atau cecair rumpai laut) atau gunakan baja kompos.  Jika gunakan baja komersial, gunakan baja cecair yang kaya dengan kalium (bahasa inggeris, potassium).  

Mencampur Tanaman
Anda boleh campur pokok tomato dengan pokok kacang buncis, bawang dan ubi kentang.  Elakkan tanam dengan kacang pea, lobak putih dan mentimun.  Untuk halau lalat buah dan lalat putih (whitefly), tanam selang seli dengan pokok dari keluarga basil iaitu tulasi, selasih, atau kemangi.

Penjagaan
Anda perlu kerap menyiram tetapi jangan sampai air bertakung.  Merumput sekurang-kurangnya seminggu sekali.  Jika tanam tomato jenis memanjat, cubit tunas sisi supaya pokok tumbuh ke atas.  Cubit buang bunga yang tumbuh pada ranting yang telah berbuah untuk mempastikan nutrien tertumpu pada buah sahaja.
Masalah
Perhatikan putik buah.  Jika bahagian bawah buah berwarna hitam, keras dan lekuk ke dalam, buah telah terkena penyakit reput buah (blossom end rot).  Ini disebabkan tanah kekeringan ketika pokok berbunga atau berputik.  Pokok tomato gagal menyerap kalsium menyebabkan penyerapan ion kalium dan ion kalium tidak seimbang.  Kutip buang putik buah yang terkena penyakit dan pastikan pokok disiram selalu tetapi jangan pula  berlebihan.



Buah tomato terkena penyakit Reput Hujung Buah

Di bahagian hujung buah menjadi telung berwarna hitam.
Perhatikan di bawah daun.  Jika terdapat lalat putih, koya (mealy bug), atau kutu merah, sembur daun dengan cecair larutan sabun cecair, minyak masak dan air sebagaimana dibincangkan dalam posting terdahulu.
Perhatikan daun.  Jika daun tua mula berwarna kuning berdekatan urat daun dan daun muda juga mula menunjukkan tanda yang sama, ini menunjukkan pokok kekurangan magnesium.  Gunakan baja booster dengan ramuan berikut:
Campurkan 2 sudu besar Garam Epsom (MgSO4) dalam 5 liter air.  Siram ke atas tanah di sekeliling pokok.

Jika daun bergulung secara memanjang ke arah bawah, ini menunjukkan pokok terdedah kepada cahaya yang terlalu banyak.  Hadang pokok supaya tidak terkena cahaya secara terus di waktu tengah hari atau alih ke tempat yang teduh sedikit.
  
Menuai
Biasanya tomato boleh dituai selepas 7 hingga 9 minggu selepas dialih.



Buah tomato yang hampir ranum berrwarna merah muda bercampur oren.



Buah tomato tumbuh banyak dalam setangkai.


Di mana nak dapatkan benih tomato?
Rakan-rakan boleh dapatkan benih tomato daripada blog ini (http://www.tanamsendiri.com).   

Sawi Bunga Wang Bujang Dalam Bekas

Sawi bukan sahaja sesuai ditanam di atas tanah.  Kebanyakan sawi yang saya tanam di dalam bekas juga menjadi.  Tak kira dalam apsu atau dalam bekas gabus, pertumbuhannya begitu cepat.  Cuma pastikan tanah kaya dengan organik dan disiram selalu.  Sebenarnya, kalau gunakan baja kimia dengan sukatan yang betul, pertumbuhannya lagi cepat.  Saya kurang gunakan baja kimia kerana ingin hasilkan tuaian dengan rasa yang enak.  

Saya berniat untuk semai sawi bunga wang bujang di patch belakang rumah sebagaimana dinyatakan sebelum ini, tapi masih belum berkesempatan.  Seminggu ini asyik hujan petang.



Blog Walking -- Hunkkebun

Saya selalu juga singgah ke blog ini, http://hunkkebon.blogspot.com/2011/12/choy-sum.html.  Coretan tentang pengalaman berkebun pemilik blog ini juga menarik untuk dibaca.  Akhir-akhir ini posting ke dalam blog ini aga kurang, mungkin kerana pemiliknya sibuk dengan tugas-tugas harian. Menunggu juga posting terkini...




Gambar Hari Ini -- Kapsikum, Capsicum, Sweet Pepper

Cili Kapsikum dah mula membuahkan hasil.  Pokok ini menghasilkan buah yang manis.  Pokok satu lagi menghasilkan buah yang amat pedas tapi pokok tersebut telah mati.  Bila dikorek tanah, rupa-rupanya ulat kekek (larva kekabuh) telah memakan akarnya.  Pokok ini masih sihat, diharapkan tiada ulat kekek di dalam tanah.  Buahnya pun nampak cantik, walaupun tidak sebesar kapsikum yang dijual di pasaraya.  Tak sabar nak jadikan ramuan topping pizza. :)

Buah kapsikum mula ranum.

Selasa, 27 Mac 2012

Mana-mana Pun Jadi -- Anggur Depan Kedai Runcit

Pokok anggur ini ditanam di depan sebuah kedai runcit di (Taman Damai Mewah) Kajang.  Pokok ini menjalar di tiang depan kedai runcit tersebut.  Bila saya selak daun, ada 7 tangkai buah anggur yang lebat.  Dua tangkai dah hampir ranum.  Kalau ada keinginan, mana-mana pun jadi. 

Setangkai anggur di Kajang.

Pokok anggur di depan kedai runcit di Taman Damai Mewah, Kajang.



Isnin, 26 Mac 2012

Pesanan Yang Belum Diterima

Kepada rakan-rakan yang membuat pesanan benih pada atau sebelum 15 Mac 2012, rakan-rakan sepatutnya telah menerima benih yang dipesan.  Saya yakin pihak Pos Malaysia melakukan kerja penghantaran dengan sebaik mungkin.  Bagaimanapun dalam proses penghantaran, mungkin ada kiriman yang tercicir atau beberapa loop hole yang sukar dielak.  Mungkin ada antara rakan-rakan yang tidak menerima kiriman benih yang dipesan.  Jika ini berlaku, jangan risau.  Rakan-rakan hanya perlu beritahu melalui emel atau sms.  Saya akan kirim semula tanpa perlu membuat bayaran tambahan. 

Gambar Hari ini -- Sawi Bunga Wang Bujang

Sawi Bunga Wang Bujang, ditanam dalam pasu.  Pasu ini sebelum ini saya tanam pokok bunga matahari.  Selepas pokok bunga matahari berbunga, tanah kelihatan masih subur, saya isikan dengan sawi dulu.  InsyaAllah selepas sawi ditruai dalam 2 hingga 3 minggu lagi, pasu ini akan diisi semula dengan pokok bunga matahari.  Sementara itu, kena semai benih bunga matahari dulu.

Sawi Bunga Wang Bujang ditanam dalam pasu.

Pasu yang sama, seminggu kemudian.


Gambar Hari Ini -- Thyme

Pokok thyme ini dah merimbun. Ia perlu dipotong supaya terus merimbun. Keratan boleh dikeringkan dan digunakan sebagai perisa dalam masakan. Kalau buat ulam cicah samnbal cili pun enak juga. :)
Pokok Thyme diganmtung di tiang rumah.

Benih Bunga Matahari

Bunga matahari yang telah dikeringkan untuk mendapatkan biji benih.  Kebiasaannya benih yang fresh begini akan bercambah dalam masa satu atau dua hari selepas disemai. 

Bunga matahari yang dikeringkan untuk mendapatkan benih.

Ahad, 25 Mac 2012

Gambar Hari Ini -- Bunga Terung

Bunga dari tanaman sayur buah kadang-kadang cantik dipandang.  Ini membuatkan tanaman seperti terung boleh juga dijadikan tanaman hiasan.  Kalau diperhatikan, bunga terung kelihatan seakan-akan bunga kentang.  Ini kerana terung adalah satu keluarga dengan kentang.

Bunga terung berwarna ungu.

Bunga terung.


Sabtu, 24 Mac 2012

Tuaian Hari Ini -- Kailan

Dah tiba masanya ganti kailan yang dah tua dengan batch baru.  Hari ni dah tuai semua kalilan yang telah terlalu tinggi dan menunjukkan tanda-tanda semakin liat.  Hari ini tak sempat masak, jadi letak dalam bekas dulu, kira macam hiasan lah. :)  Esok masuk kuali.

Tuaian hari ini, kailan.

Kailan jadi hiasan meja makan, sebelum dimasak.



Menyemai Kacang Panjang

Untuk patch belakang rumah, saya akan semai beberapa pokok kacang panjang dan kacang buncis untuk diletakkan di baris paling belakang, untuk memanfaatkan pagar yang boleh digunakan oleh pokok kacang untuk memanjat.  Kalau tanam kacang panjang, anda boleh semai terus di tanah, tetapi saya lebih gemar semai dalam dulang semaian terlebih dahulu.  Ini untuk mengelakkan benih dimakan semut atau dicuri burung atau tikus.  Pada pendapat saya kalau semai dalam bekas dulu, saya dapat kawal faktor tersebut.
Alatan yang digunakan termasuk cawan styrofoam, dulang semaian, dulang takungan yang mempunyai saiz lebih besar sedikit daripada dulang semaian.  Bahan yang digunakan termasuk tanah, biji benih, dan air suam.  Kaedah yang saya gunakan amat mudah.

1.  Keluarkan kacang panjang  dan masukkan di dalam cawan gabus.  Benih yang saya semai ialah kacang panjang Silver white, kacang panjang Green Crane, kacang panjang Red Light Long dan kacang panjang Green Arrow.  Semua kacang panjang dari jenis tersebut ada dibekalkan di blog ini.
  


Beberapa jenis kacang panjang.
 2.  Tuang air suam ke dalam cawan gabus tersebut dan biarkan selama 2 hingga 12 jam.  Saya rendam selama 8 jam..

3.  Benih akan menjadi bengkak dan lembut.  Tujuan merendam dalama air suam adalah untuk mengkatifkan benih.  Ini adalah untuk mencepatkan percambahan.  Anda boleh terus menyemai tanpa merendam.

4. Keluarkan benih dari cawan.  Benih sedia untuk disemai.  Mungkin ada antara benih telah menunjukkan tanda-tanda percambahan.  Misalnya gambar di bawah menunjukkan benih yang telah kelihatan hujung akar utama.

Pelbagai benih kacang panjang selepas direndam selama 8 jam.


Benih yang telah menunjukkan tanda percambahan, iaitu akar utama telah kelihatan.


5.  Sediakan tanah atau medium semaian.  Anda boleh gunakan tanah biasa yang telah dibakar, atau tanah campur atau tanah organik yang ada dijual di pasaran.  Tujuan menggunakan tanah bakar adalah untuk menghapuskan makhluk perosak yang mungkin akan memakan benih tersebut.  Benih yang diedarkan mnelalui blog ini telah diletak ubat, iaitu antikulat. Jika anda ingin gunakan tanah biasa pun boleh juga.  Biasanya masalah makhluk perosak bukanlah masalah besar.


6.  Tanah organik yang sesuai untuk semaian biasanya berwarna hitam dan ringan.  Tuang tanah ke dalam sel dalam dulang semaian.  Jangan mampatkan tanah untuk mempastikan uadara dalam tanah mencukupi.

Tanah berwarna hitam dan ringan.



Tanah diisi  dalam sel dalam dulang semaian.  Tanah tidak dimampatkan. 

7.  Masukkan dulang semaian ke dalam dulang yang mempunyai saiz lebih besar sedikit.  Kemudian tuangkan air sehingga separuh penuh.  Air akan diserap ke dalam tanah di dalam sel. 



Dulang semaian diletak ke dalam dulang yang lain.



8.  Tuangkan air di dalam dulang bawah sehingga 1/4 penuh.  Aras air akan turun apabila air serap masuk ke dalam tanah di dalam sel dalam dulang semaian.

Air dituang ke dalam dulang sehingga 1/4 penuh.

9.  Aturkan satu atau 2 biji benih di atas setiap sel.  Saya hanya aturkan 1 biji benih pada setiap sel.


Benih di atur di dalam sel semaian.
10.  Dengan menggunakan jari, buat lubang sedalam 2 cm dan masukkan benih.  Kemudian kambus lubang tersebut dengan tanah atau medium.

11. Labelkan sel yang mengandungi benih dan catatkan maklumat di dalam buku jurnal.  Maklumat jenis tanah, jenis benih dan waktu menyemai dicatatkan.  Untuk label sel, saya gunakan batang aiskrim.
 

Petak yang mengandungi sel dilabelkan.
12.  Letakkan bekas semaian di tempat yang selamat daripada burung dan semut.  Perhatikan percambahan benih.  

Biasanya tanda-tanda pertumbuhan akan kelihatan selepas 1 hari. 

Kacang panjang yang bercambah selepas 24 jam biji benih disemai.

Cambahan kacang panjang, 48 jam selepas disemai.

Cambahan selepas 72 jam.

Cambahan selepas 5 hari.

Gambar Hari Ini -- Petola Segi

Buah petola segi begitu cepat membesar.  Gambar ini diambil minggu lepas.  kalau rakan-rakan perhatikan, buah ini telah saya tuai pada 22/3 ketika ia bersaiz 8 inci.  Petola muda enak, manis dan boleh diimakan sebagai ulam.  Rangup.  Anak-anak pun suka makan.  

Buah Petola Segi.

Jumaat, 23 Mac 2012

Tuaian Hari Ini -- Sawi Wang Bujang, Sawi Fair Lady extra Dwarf dan Sayur Putih

Hari ini tuai sayur daun untuk dibuat lauk makan malam.  Sawi bunga Wang Bujang dituai muda.  Rangup... Sayur Sawi Fair Lady Extra Dwarf, dah habis.  Sayur Putih (Kobis Cina) juga semakin berkurang.    Kena semai lagi ni.  Patch belakang dah decide nak semai kacang buncis dan kacang panjang, kailan dan sawi bunga Wang Bujang.  Siap patch, kerjakan ruang depan pula. :)

Sayur daun -- Sawi Bunga Wang Bujang, Sayur Putih, dan Sawi Fair Lady Extra Dwarf.