Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Rabu, 29 Februari 2012

Tuaian Hari Ini -- Kailan, Sayur Putih dan Kacang Buncis

Tuaian hari ini, kailan, sayur putih (kobis cina) dan kacang buncis.  Semua hasil dari tanaman dalam bekas.  Belum sempat bertanam atas tanah.  

Tuaian hari ini, kailan, sayur putih dan kacang buncis.  Gambar diambil dengan kamera HP, tiada versi resolusi tinggi.

Gambar Hari Ini -- Celery

Gambar Puteri dan celery (daun sup).  Nampaknya dah boleh tuai daun sup ni.  Hari ini, rasanya seekor ayam belanda muda akan tumbang, untuk dijadikan sup.  Sebulan bertungkus lumus menyiapkan buku, makan pun dah tak teratur.  Minggu ni akan bermain dengan makanan dulu.  Nak makan yang best-best.  Bermula dengan sup ayam belanda (turkey), kemudian kita buat yoghurt, dan caviar sebagai ramuan dalam tuna salad.  Mak oii besar selera minggu ni.   

Puteri dan celery.  Gambar guna kamera hp, tiada versi resolusi tinggi.

Selasa, 28 Februari 2012

Gambar Hari Ini -- Bunga Tomato

Kalau tanam tomato, elok tanam banyak pokok keranatomato agak cerewet penjagaannya.  Sebahagian akan mati sebelum membuahkan hasil.  Paling cerewet penjagaan tomato ketika berbunga dan berbuah.

Bunga Tomato

Isnin, 27 Februari 2012

Gambar Hari Ini -- Salad Pepperomia

Salad Pepperomia dikatakan antara salad yang paling enak kerana daunnya yang rangup dan rasa yang pedas-pedas sedikit.  Seminggu pokok ini terabai kerana kesibukan sedangkan sekarang musim panas.  Pokok tumbuh memenuhi bekas gabus menghasilkan daun kecil kerana telah "bolting".  Pokok tersebut akan dipotong dan benihnya akan disimpan.  Untuk rakan pengunjung yang ingin menanam Salad Pepperomia, benihnya boleh diperolehi dari blog tanamsendiri.  Tetapi kena bertindak cepat kerana jumlah benih adalah terhad.

Salad Pepperomia dengan biji yang telah matang.

Ahad, 26 Februari 2012

Gambar Hari Ini -- Anak Pokok Terung

Jika tanam Pokok Terung, di peringkat awal perlu bersabar kerana pertumbuhannya agak perlahan.  Apabila pokok mencecah sekitar 8 inci (25 cm), ia akan tumbuh dengan cepat.  Kalau dijaga elok, pokok terung tahan lama dan akan menghasilkan banyak buah.  Terung tanam sendiri enak, tak sama dengan terung pasaraya kerana boleh dipetik di waktu yang terbaik.
  
Anak Pokok Terung

Sabtu, 25 Februari 2012

Tanah Mana Yang Sesuai, Tanah Berasid atau Beralkali?

Macam dalam kelas kimia lah pula.  Asid, alkali... kalau dalam kelas, murid takut, sebab asid dan alkali menghakis kata mereka.  Asid atau alkali dalam tanah taklah sampai menghaskis.  Kalau asid, asid lemah aja.  Cuka dan limau nipis lagi kuat dari keasidan tanah.
Kebnayakan tanaman sayur tumbuh subur di dalam tanah yang neutral, iaitu asid tidak, alkali pun tidah.  Kalau berasid pun, sedikit aja.  pH tanah yang sesuai ialah antara pH 6.0 hingga pH 7.0.  Ini kerana pada pH ini kebanyakan nutrien dalam tanah dapat diserap oleh tumbuhan.  Apabila tanah semakin berasid atau beralkali, kebanyakan nutrien tidak boleh diserap oleh tanaman.
Untuk artikel seterusnya saya akan posting tentang cara melaraskan pH tanah.  Terdapat 18 posting dalam siri ini.  Melalui posting tersebut anda akan dapat ubah pH tanah mengikut kesesuaian.   

Gambar Hari Ini -- Sayur Putih

Seeloknya ketika tuai sayur putih, jangan cabut seluruh pokok.  Potong daun dan biarkan batang kira-kira seinci daripada tanah.  Beberapa tunas baru akan tumbuh daripada sisi batang tersebut dan selepas dua minggu pokok akan merimbun semula, kadangkala lebih rimbun dari sebelum dipotong.

Sayur Putih (Kobis Cina) yang ditanam secara kerat dan tumbuh lagi.

Jumaat, 24 Februari 2012

Gambar Dari Rakan Tanamsendiri -- Zaitunah Dari Kuantan

Sdri Zaitunah Abd Hamid adalah rakan kita dari Kuantan yang minat menanam sendiri.  Walaupun ruang kecil saya perhatikan beliau dapat memanfaatkannya dengan menanam pelbagai tanaman.  Cabaran bertanam pun banyak, tanaman selalu diganggu makhluk perosak.  Namun begitu saya perhatikan beliau bukan orang yang mudah berputus asa.  Sdri Zaitunah masih dapat menghasilkan tuaian yang memuaskan.  Semoga beliau akan terus bertanam dan menikmati tuaian yang segar.  


Lobak puth memang all time favourite saya.

Mmmm kobis tanamsendiri.  Rasanya pasti meaty.

Kacang buncis cepat mendatangkan hasil.  Puas hati kalau tanam.

Hmmmm, barangkali lobak putih tersebut dibuat masak apa ya?  Mesti best dapat nikmati sayur segar.  Terima kasih Sdri Zaitunah kerana sudi berkongsi gambar melalui blog tanamsendiri.com

Kalau macamni bila balik Kemaman, kena singgah Kuantan ni. :)
   

Tanaman Bercampur, Sistem Buddy bahagian 10 daripada 10

Saya telah bincangkan tentang manfaat Sistem Buddy.  Manfaat yang paling ketara ialah sesetengah pokok boleh dijadikan seperti "abang" yang akan menjaga pokok-pokok adik daripada diganggu makhluk perosak.  Pokok yang dijadikan abang termasuklah pokok herba seperti tulasi, rosemary, serai, kemangin, selasih dan kesom.  Pokok bunga yang mengeluarkan bau seperti marigold dan lantana pun juga boleh dimanfaatkan sambil mengindahkan patch tanaman.

Pokok seperti cili dan kari, walaupun cili pedas dan kari berbau kuat tidak sesuai dijadikan abang kerana "pedas" cili menjadi penarik lalat buah dan daunnya menjadi kegemaran lalat putih.  Daun kari pula menjadi kegemaran ulat bulu.  Kalau ditanam dekat dengan pokok lain, kita seperti mempelawa makhluk perosak ke tanaman yang lain.

Satu lagi tanaman yang saya dapati boleh dijadikan buddy kepada tanaman sayur ialah pokok Ulam Raja (Cosmos caudatus).  Sayur yang ditanam berdekatan pokok Ulam Raya tumbuh dengan segar tidak terusik.

Pokok Ulam Raja berupaya melindungi pokok sayur di sekelilingnya daripada serangan serangga makhluk perosak.

Tanaman sayur yang ditanam dekat dengan pokok Ulam Raja sempurna daunnya.
Rakan-rakan pengunjung boleh mencuba dengan pokok yang lain.  Diharapkan apabila menemui pokok yang sesuai dijadikan "abang", dapatlah dikongsikan bersama melalui blog ini agar dapat dimanfaatkan bersama.

Blog Walking: Dalam Lingkaran Ini

Hari ini baru ada ruang masa sedikit untuk blog walking.  Sambil-sambil klik blog yang ada tentang Bunga Matahari, tersinggah ke blog sahabat gardening, seorang pendidik yang berdedikasi, berkhidmat di Sabah.  Cantik bunga hasil tanaman beliau.  Gambar-gambar tanaman yang diletak sememangnya cantik.  Bila diperhatikan saiz Bunga matahari yang terhasil juga besar dan pokok amat subur.

Blog yang saya maksudkan ialah blog dalamlingkaranini.

Betul Ke Bunga Matahari Mengadap Matahari?

Hari ini sekerat jari "camek" pokok bunga matahari.  Itu pun setelah beberapa orang anak jiran bertandang.  

"Nak tengok bunga matahari."  kata mereka.

Minat juga anak-anak muda ni berkebun.  Malangnya anak-anak taman perumahan mana ada ruang nak explore bertanam.  Parents lebih redha anak-anak belajar tentang tumbuhan melalui CD dan Astro. 

"Pakcik,   betul ker bunga matahari mengadap matahari?  seorang dari mereka bertanya ingijnkan kepastian.

"Mana Anak dengar ni?"  ingin juga bertanya, mana dapat maklumat ni.

"Cikgu cakap, Bunga Matahari mengadap matahari.  Dia ikut aja arah matahari."  jawab kanak-kanak tadi.

"Owh, dah banyak Pakcik tanam bunga matahari.  Tak ada pula yang ikut bunga matahari.  Yang Pakcik tahu, malam adalah bunga tunduk.  Anak tengoklah sendiri."

Lepas kanak-kanak balik, banyak perkara yang bermain dalam kepala.  

Bunga Matahari sedang mekar.  Adakah mengadap matahari seperti yang cikgu ajarkan?

Cantik, ada daya penarik.  Halaman rumah terus hidup.

Pola penarik perhatian serangga pendebunga.

InsyaAllah akan tanam banyak lagi.


Khamis, 23 Februari 2012

Benih Sawi Bunga, Wang Bujang

Lama dahulu (1998) saya pernah tanam Sawi Bunga.  Rasanya memang special.  Dua tiga tahun terakhir ni, teringin pula nak tanam sawi bunga.  Bila cuba dapatkan benih, rata-rata yang ada hanya benih sawi hong kong, atau sawi manis kata peniaga benih.  Tidak dinafikan, sawi hong kong enak dimakan.

Namun  begitu, teringin juga nak tanam sawi bunga.  Pertama, bunga sawi memberikan aroma wangian ketika dimasak.  Rasanya pun memang enak.  Suatu yang tidak mudah dilupakan.  Baunya sahaja membuatkan jus asid perut memancut keluar, terus membuatkan rasa lapar.

Baru-baru ni saya dapat dua pek besar benih sawi bunga.  Satu daripada benih tersebut dinamakan Sawi Bunga Wang Bujang.  Minggu lepas agak sibuk kerana submission buku dah due.  Namun begitu sempat saya uji dulu benih tersebut.  Wah, saya semai pagi, petang dah bercambah.  Lihatlah cambahan di hari ke tiga selepas disemai.

Kalau mengikut kata pembekal benih, sawi ini boleh dituai paling cepat 3 minggu selepas dituai.  Wah patutlah sukar nak dapat benih sawi ni, rupa-rupanya cepat mendatangkan hasil.  Jadi terpaksa berebut dengan professional grower (petani lah tu).  Alhamdulillah, benih yang disemai, 99% bercambah.

Lagi 3 minggu, tambah satu lagi sayur ke menu makanan.

Cambahan Wang Bujang

Rabu, 15 Februari 2012

Saiz Bunga Matahari Ikut Saiz Bekas

Saya perhatikan pokok bunnga matahari, kalau inginkan saiz bunga yang besar, perlu ditanam di atas tanah tempat akarnya bebas tumbuh jauh.  Kalau tanam di dalam bekas, saiz pokok dan saiz bunga ada kaitan dengan saiz bekas.  Lebih besar pasu, lebih besar saiz bunga.  Ini mungkin kerana kalau pasu kecil, lebih sedikit kandungan baja dan air.

Saiz bunga besar apabila pokok ditanam di dalam pasu besar.

Saiz bunga kecil apabila pokok ditanam di dalam pasu yang kecil.

Selasa, 14 Februari 2012

Gambar Hari Ini -- Puteri dan Timun Jepun

Puteri dan Zucchini
Hasil tanaman kali ini pelik sedikit.  Saya tanam benih yang diambil dari buah zucchini yang ranum.  Mungkin benih asal benih F1  dan telah di kacuk antara timun jepun dan zucchini.  Kalau lihat fizikal buahnya seakan-akan timun jepun tetapi saiz buah dan tekstur isinya berbeza.  Rasanya rasa zucchini.  Hmmmm.... musykil.  Apa-apa pun asalkan berbuah dan dapat dimakan.
Untuk batch berikutnya dah order benih zucchini (courgette) dari baka yang elok.  InsyaAllah bila terima nanti akan diwarwarkan dalam blog ini.  Buat sementara semai timun jepun dulu.

------------------------------
I planted zucchini seeds that were obtained from a ripened fruit.  Funny, the plants that grew from the seeds look more like greenhouse cucumber.  The fruits are a bit peculiar.  They look like greenhouse cucumber but taste like zucchini.  Maybe the parent plants were crossbred from zucchini and  greenhouse cucumber. As long as the plants gave me fruits, I am happy.

Serangga Makhluk Perosak

Bila perpindah ke tempat baru atau bila mula menanam, kita tidak akan lepas dari serangan makhluk perosak, terutamanya serangga.  Ada serangga yang memakan daun, ada serangga yang menyuntik telur ke dalam buah.  Apa pula serangga yang tidak merosakkan daun tetapi menghasilkan larva, misalnya ulat bulu yang memakan daun.  Kebiasaannya begitulah.  Bila mula menanam, makhluk perosak akan bertemu sumber makanan yang baru, jadi semua akan datang berkunjung dan meratah.  Kita hanya perlu bersabar sehingga pemangsa kepada makhluk tersebut sedar ada makanan yang enak di laman kita.  Pasti selepas itu bilangan serangga perosak akan berkurang.  Sementara itu perlulah kutip ulat-ulat tersebut, atau sembur cecair sabun campur minyak yang pernah saya poskan ramuannya dulu untuk menghapuskan ulat tersebut.
Dalam masa satu hari, daun-daun pokok kacang buncis diratah ulat bulu.  Spesies makhluk perosak tersebut belum ditentukan.

Bila memeriksa daun, perhatikan di bawah daun, biasanya makhluk perosak berlindung di bawah daun.

Perhatikan jika terdapat bintil-bintil hitam, iaitu tinja makhluk perosak.  Kebiasaannya kalau ada bintil hitam, adalah makhluk perosak bersembunyi.

Isnin, 13 Februari 2012

Gambar Hari Ini -- Petola Segi

Pokok Petola Segi adalah pokok yang memanjat menggunakan sulur paut. Saya tanam pokok ini di dalam pasu. Saya gunakan ranting mati sebagai pancang.  Cantik juga dijadikan hiasan di halaman rumah.  Tidak sabar menunggu pokok ini berbunga dan berbuah.

Pokok Petola Segi memanjat menggunakan sulur paut.

Ahad, 12 Februari 2012

Gambar Hari Ini -- Pokok Kacang Buncis, Phaselus vulgaris

Pokok Kacang Buncis adalah antara pokok yang cepat berbuah. Jika kena caranya, anda akan dapat tuai buahnya selepas hanya 3 minggu disemai.  Buha kacang ini enak dipetik muda dan digoreng bersama bawang putih.  Pokok dalam gambar ini ditanam dalam pasu.  Alhamdulillah syukur, walaupun ditanam dalam pasu mampu memberikan tuaian yang lumayan.


Pokok kacang buncis sedang berbuah.

Sabtu, 11 Februari 2012

Gambar Hari Ini -- Pokok Bangun-bangun, Cuban Oregano, Plectranthus amboinicus

Pokok Bangun-bangun (Plectranthus amboinicus) adalah antara favorite saya.  Daunnya enak dibuat teh.  Batch yang dulu mati kerana saya campurkan patch bangun-bangun dengan roselle.  Rupa-rupanya Bangun-bangun adalah antagonis roselle.  Mungkin kerana makhluk perosak roselle iaitu serangga anak dara cina mula menyerang bangun-bangun.  Bangun-bangun dan roselle berkongsi makhluk perosak.  
Pokok Bangun-bangun.

Jumaat, 10 Februari 2012

Tuaian Hari Ini -- Lobak Putih, Raphanus sativus

Hari ini anak-anak yang kecil masak sendiri. Menu mereka, mee segera dibubuh sayur tanamsendiri.com.Puteri pun sibuk sama menuai.  Bila masuk ke rumah, kedua-dua tangan menggenggam buah zucchini.  Habis zucchini yang niat dijadikan benih dah jadi makanan Puteri.  Yang pasti, buah tersebut pasti enak sebab selepas sekali gigit, Puteri tanak share dengan abang-abangnya.  
Sayur pilihan anak-anak untuk dimasukkan dalam mee segera, kobis, kailan, sawi hong kong dan lobak putih.  Lobak putih yang terakhir dituai oleh Mama untuk digoreng bersama bawang putih dan lada hitam. 
Nampaknya hujung minggu ni nak kena semai lobak putih dan sawi hong kong.  Niat nak semai 100 pokok lobak putih dan 100 pokok sawi hong kong.  Kalau 10 lobak putih disemai dalam 1 bekas gabus, maksudnya kena ada 10 bekas baru cukup.  Mana nak letak.  Nampaknya kena siapkan raise bed cepat sedikit.  Bahagian belakang rumah kena cahaya pagi.  elok tu untuk tanam sayur.  Hari ni semai dulu dalam tray semaian.  1 tray ada 99 sel.  1 tray semai lobak putih, 1 tray semai sawi hong kong.  
Kena rancang betul betul ni sebab nak test benih sawi bunga baka yangtze dan baka wang bujang.  Kalau tengokkan brosur, dua-dua ni nampak sedap dan rangup.  Khabarnya boleh tuai dalam masa 3 minggu.  Itu kalau intensive gardening.  Kalau macam saya ni, mungkin sebulan kot.  :)  Benih ni belum dimasukkan dalam senarai benih untuk dijual sebab saya  belum test lagi.  Kalau benih cantik, akan saya jual.

Hari ini juga benih bendi baka baru iaitu baka 666 telah saya terima.  Harganya mak oii mahalnya.  Tin saiz kecil aja, setinggi 1 inci tetapi harganya berganda berbanding bendi singa yang sememangnya mahal.  Dari penjelasan pembekal, bendi ni bercabang dan menghasilkan buah yang banyak bagi setiap pokok.  Buahnya bewrwarna cerah seperti bendi singa tetapi saiznya tidak sebesar bendi singa. Mesti semai ni.  Apa-apa pun ruang bertanam mesti disediakan dulu.

Mencabut lobak puth.Gambar kamera hp, tiada versi resolusi tinggi.

Sebahagian dari tuaian hari ini. Gambar kamera hp, tiada versi resolusi tinggi.

Bekas "Self-Watering"

Buat Bekas "Self-Watering" Menggunakan Botol Soda Saiz 1.5 Liter
Botol minuman boleh diguna semula sebagai bekas "self-watering" yang amat sesuai digunakan untuk menyemai benih atau menanam sayur yang gemarkan air, misalnya kangkung dan daun kesom.  Gambar menunjukkan contoh bekas yang saya gunakan untuk tanam kangkung.  Kangkung ini disemai seminggu sebelum gambar diambil.  Dalam masa 2 minggu kangkung tersebut sudah boleh dituai.  Saya gunakan tanah campur dengan ditabur satu lapisan baja organik setebal 1 cm.

Kelebihan bekas ini, anda tidak perlu menyiram.  Jadi kalau keluar bercuti tidak perlu risau tentang pokok.  Air diisi penuh ketika menyemai dan hanya perlu diisi paling kerap seminggu sekali.  Saya hanya isi air sekali iaitu ketika menyemai. 
 
Kangkung ditanam dalam botol minuman 1.5L yang diguna semula.
Cara membuat bekas "self-watering."
Bahan
botol air minuman (soda) saiz 1.5L,
gunting dapur,
penebuk atau paku.

tanah campur,
baja organik
benih sayur (15 benih kangkung)
0.5 L air

Langkah-langkah
1. Ukur botol, dan buat garisan kira-kira 15 cm dari tapak.
2. Potong botol mengikut garisan tersebut dengan menggunakan gunting dapur.  Jangan guna pisau kerana kemungkinan luka terkena pisau agak tinggi kerana pisau mudah tergelincir.

Potong botol kira-kira 15cm dari tapak.
2.  Buka penutup botol dan tebuk 3 lubang pada penutup tersebut menggunakan penebuk atau paku yang tajam.

Tebuk penutup botol.
3.  Pasang semula penutup botol pada keratan botol tersebut.
4.  Telangkaupkan bahagian atas botol.
5. Isikan separuh daripada tanah campur ke dalam bahagian atas botol.  Kemudian isikan kira-kira 1.5 cm baja organik.  Kemudian penuhkan bekas tersebut dengan tanah campur.  Biarkan aras tanah kira-kira 2 cm daripada paras bekas.

Telangkupkan bahagian atas botol dan isikan tanah serta baja organik.

6.  Isikan 0.5 liter air ke dalam bahagian bawah botol dan masukkan bahagian atas botol sebagaimana rajah berikut.  Semai kira-kira 15 benih kangkung sedalam 1.5 cm. 

Bekas "self-watering"

Bekas yang telah siap yang mengandungi semaian kangkung.

7.  Letakkan di tempat yang teduh selama sehingga benih bercambah dan set daun pertama kelihatan.
8.  Alih ke tempat yang mendapat cahaya matahari. ( Biasanya 2 hari selepas benih bercambah.)

Gambar Hari Ini -- Cili Wangi

Cili wangi juga dari jenis cili padi atau lada jarum.Cili ini menghasilkan bau yang semerbak apabila digoreng.  Tapi awas, cili ini amat pedas hingga berpeluh kulit kepala kalau dimakan mentah.  Cili wangi sedap kalau dibuat jeruk dalam cuka asli, minyak cili atau dipotong dan dicampur kicap.  Sedap dimakan dengan mee goreng. :)  Buha cili wangi yang belum ranum berwarna putih.


Cili wangi.

Khamis, 9 Februari 2012

Resepi -- Sup Itik

Sup itik enak dimakan bersama roti sambil menonton movie seisi keluarga.  Resepi yang diberi adalah untuk hidangan 10 orang (keluarga besar).  Itik yang kami gunakan ialah itik yang dibela sendiri, jadi kandungannya kurang lemak.  Kalau beli itik yang dibeli di pasar perhatikan dibawah kulit.  Kalau lemak terlalu banyak, buang lemak terlebih dahulu.

Untuk kurangkan bau itik, potong bahagian tongkeng dan buang sebelum dimasak.

Bekas Memasak
Periuk tekanan.

Ramuan

5 ulas bawang putih 
5 cm (1 1/2 inci) halia
1 biji bawang besar
10 bunga cengkih
2 bunga lawang
5 cm (1 1/2 inci) kulit kayu manis
1 sudu besar garam
1 ekor itik dipotong kecil, buang bahagian tongkeng
4 sudu besar minyak masak
1 cawan daun sup
1 cawan sayur tanam sendiri (sayur putih, lobak putih besama daun, sawi bunga) ikut sayur yang ada.
2 liter air

Caranya
1. Tumbuk atau kisar bawang putih bersama halia.
2. Mayang (hiris) bawang besar.

3.  Panaskan periuk tekanan (jangan tutup) menggunakan api sederhana.  Masukkan minyak.
4. Apabila minyak masak telah panas, tumis bawang putih dan halia hingga garing.
5. Masukkan bawang besar, bunga cengkih, bunga lawang, dan kulit kayu manis.
6. Tumis hingga bawang besar berwarna kekuningan, iaitu selama 2 hingga 3 minit.

7. Dengan berhati-hati, masukkan air ke dalam periuk kira-kira 1/4 aras periuk.
8.  Masukkan daging itik.
9.  Tambahkan air sehingga ke paras 2/3 periuk.
10.  Masukkan garam.

11.  Tutup periuk dengan penutup dan pastikan ia kedap.
12.  Apabila wap mula keluar, maksudnya air telah mendidih.  Teruskan pemanasan selama 15 minit.

13.  Tutup api buka penutup wap (yang bulat setongkol pada penutup periuk).  Awas, wap panas.  Jangan buka tutup periuk.  Biarkan selama 15 minit untuk pastikan tekanan dalam periuk sama dengan tekanan udara di luar.
14.  Selepas 15 minit, buka tudung periuk dan tambahkan daun sup dan sayur tanamsendiri.  Kacau hingga rata.
15.  Hidangkan bersama roti.

 

 

Gambar Hari Ini --

Cili padi kalau dibuat sambal, berpeluh kulit kepala.  Kalau dijeruk, dengan cuka asli, emmmmm tidak terkata.
Cili padi dah mula ranum.  Merah seperti api menandakan kepedasannya.

Rabu, 8 Februari 2012

Tempat Baru

Setelah sebulan sekolah dibuka semula, kami terpaksa membuat keputusan untuk ke tempat yang baru demi keselamatan dan keselesaan anak-anak yang bersekolah.  Setelah berapa hari mencari kami telah ditemukan dengan paradise yang baru.  Jadi, mulai 1 Febuari 2012, inilah tempat kami.  Azam kami, walaupun rumah ini berada di lot tengah, ruang yang ada akan dimanfaatkan sepenuhnya supaya kami sekeluarga dapat menjamah sayuran yang ditanam sendiri.  Kami juga akan catatkan jisim setiap tuaian untuk dijadikan rujukan di kemudian hari.

Hari ini dah seminggu kami di sini.  Alhamdulillah, dah dapat tuai sayuran yang ditanam dalam bekas.  Sayur belum disemai di atas tanah.  Saya masih sibuk dengan penulisan buku.  InsyaAllah bila ada ruang masa akan mula merancang penggunaan ruang.

Beginilah rupa ruang pintu pagar ke rumah yang bakal diduduki.

Lot tengah, walaupun tanah sekangkang kera akan dimanfaatkan sepenuhnya.

Ada kolam, walaupun kecil permukaannya, air dalam.  Perlu fikirkan langkah keselamatan terutamanya Puteri.  Buat sementara ini telah diisi dengan patin dan koi. 

Ada ruang setentang dengan rumah. Bagus juga ni. :)

Setelah mendapat kunci, ruang dikerjakan menggunakan mesin rumput.  Sekejap aja, semua beres.

Ruang bakal dipenuhi dengan sayur.

Selasa, 7 Februari 2012

Blog Walking -- The Pinkie Rabbit Blog

Hari ni sambil-sambil menunggu kawan berkunjung, buat blog walking sikit.  Dah lama tak menjenguk blog rakan-rakan yang minat bertanam.  Satu dari blog yang saya singgah hari ni ialah blog Pinkie Rabbit Noor'ain.  Ini kerana Sdri Noor'ain, pemilik blog tersebut berceloteh tentang pengalamannya memberanikan diri memasak lobak putih yang ditanam sendiri.  Sebelum ni penulis tersebut pernah mencuba memasak lobak putih yang dibeli di pasar tetapi rasanya terlalu kuat untuk lidah anak-anak.  Untuk bacaan selanjutnya, boleh ke blog tersebut.  Klik pada kapsyen gambar screen capture atau klik di sini.

Blog Pinkie Rabbit


Saya sendiri pun pernah membeli lobak putih di pasar dan rasanya memang kuat.  Dari pengalaman saya, lobak putih paling best kalau dituai ketika saiz lobak putih sebesar bola ping pong.  Ya daunnya juga boleh dimasak.  Tapi saya suka makan mentah buat ulam cicah sambal cili ketika makan nasi. 

Kebetulan bulan ini, benih kongsi kita ialah benih lobak putih.  Stok masih banyak.  Kalau rakan pengunjung ingin dapatkan benih tersebut, boleh hubungi penulis melalui emel iskandar.abdulrashid@gmail.com  Sertakan nama dan alamat.

Oh ya, saya sendiri pun dah kekurangan stok lobak putih.  Tiba masa untuk semai yang baru.  Semai banyak benih lobak putih!

Lobak putih sedia untuk dituai.

Lobak putih ketika saiz sebesar bola ping pong paking enak dimakan.

Gambar Hari Ini -- Kobis

Saya jarang tanam kobis kerana masanya yang terlalu lama untuk matang.  Lagipun kobis di tanah rendah tidak akan membentuk jantung.  Lama-lama sekali adalah tanam.  Tak menjadi jantung pun tak mengapa.  Boleh juga buat goreng ikan masin.  Lagipun jus kobis baik untuk jantung.  Kobis ini saya tanam dalam bekas panjang, diletakkan di sebelah tong pokok zucchini.  Buah zucchini dah memenyet pokok kobis. :)

Kobis dalam bekas.  Gambar kamera hp, tiada versi resolusi tinggi.

Tuaian Hari Ini -- Kailan dan Kobis Cina

Tuaian hari ini adalah daripada bekas gabus. Jumlah tidaklah banyak tapi cukup untuk dijadikan ramuan sup untuk sajian seisi keluarga. Hari ini hari cuti di Selangor jadi anak-anak pulang berkumpul. Mmenu hari ini, sup itik dan roti makan sambil-sambil tengok movie. 

Kobis cina (sayur putih) dan kailan.  Gambar kamera hp, tiada versi resolusi tinggi.

Isnin, 6 Februari 2012

Tanaman Bercampur, Sistem Buddy bahagian 9 daripada 10


Pokok yang Boleh Ditanam Bersama
Senarai yang diberikan adalah dari bahan bacaan dan pengalaman mencampur jenis tanaman.  Mungkin ada senarai yang dikatakan tidak boleh dicampur atau sebaliknya.  Ini kerana ada banyak faktor yang mempengaruhi pertumbuhan tumbuhan tersebut dan tidak semua kawasan atau tanah mempunyai ciri yang serupa.  

Berikut adalah pokok yang sesuai ditanam bersama.
  • Kacang panjang dengan Jagung
  • Sawi dengan mentimun
  • Kailan dengan tomato
  • Lobak merah dengan  tomato
  • Sawi dengan tomato
  • Lobak putih dengan roselle
  • Kacang panjang dengan lobak merah, mentimun, kobis, bayam, atau sawi
  • Kobis dengan kacang panjang, daun sup, ketumbar, oregano, rosemary, lobak putih, atau pudina
  • Daun sup dengan tomato, kobis, atau kacang panjang
  • Kacang pea dengan ubi kentang, lobak putih, atau lobak merah
  • Lobak putih dengan sawi, sayur putih, atau salad
  • Labu matnis dengan bunga matahari
  • Jagung dengan kentang, kacang, tomato, atau mentimu

Ahad, 5 Februari 2012

Timun Jepun, gambar terkini.

Buah timun jepun.  Pokok ini ditanam menggunakan benih daripada buah zucchini.  Mungkin induk asalnya kacukan timun jepun dan zucchini sebab itu dapat cucu timun jepun. :)

Buah timun jepunsemakin membesar.  Gambar dari kamera telefon bimbit, tiada versi resolusi tinggi.

Gambar Hari Ini -- Salad Pepperomia

Salad Pepperomia atau Salad Sepit Ketam Vietnam atau juga dikenali sebagai Sireh Air yang ditanam di dalam kotak styrofoam dan di letakkan di tempat yang mendapat cahaya tanpa terhalang menunjukkan saiz yang lebih kecil jika dibandingkan dengan pokok yang diletak di tempat teduh.  Tapi rasanya tetap enak. 

Salad pepperomia.  Gambar kamera telefon bimbit.  Tiada versi resolusi tinggi.