Halaman

Cari Blog Ini

Isnin, 31 Disember 2012

Gambar Hari Ini -- Sweet Basil

Sweet Basil

Sweet Basil adalah satu keluarga dengan Kemangi dan Selasih.  Daun Sweet Basil rasa seolah campuran antara Kemangi dan Selasih serta mempunyai rasa yang manis.  Enak jika dimasak atau dibuat ulam.  Saya perhatikan ramuan Sweet Basil serasi dengan buah tomato.

Daun Sweet Basil perlu dituai selalu dengan mematahkan bahagian pucuk supaya pokok rimbun.  Jika tidak dituai, daun akan mula tumbuh kecil dan rasa manis semakin kurang.  Rasa jadi seakan sama dengan selasih.

Semaian Bendi OP

Cambaban bendi kali ini tinggi dari yang sepatutnya.  Mungkin sebab musim hujan, tempat letak cambahan agak redup.  Tapi tak perlu risau sangat, bila alih ke tanah nanti ia akan pulih.  Cuma sewaktu mengalih kena hati-hati sebab kalau cambahan terlalu tinggi mudah patah. Cambahan ini dah sedia untuk dialih.  Sebelum dialih, cambahan elok diletak di tempat padas dalam 2 jam sehari untuk proses pengukuhan.



Cambahan bendi sedia untuk dialih.


Saya juga dah dapat satu lagi benih bendi dari baka berbuah lebat.  Bendi emas yang dikenalkan sebelum ini mempunyai kulit berbulu halus seperti baldu.  Baka baru ini buah berkulit licin. 

Jumaat, 28 Disember 2012

Sawi Chistmas Green, 3 Minggu Sedia Untuk Dituai

Apa yang best tentang sawi tanamsendiri?  Kalau kena caranya (struktur tanah, baja, siraman, cahaya dan jarak semaian) pokok sedia dituai selepas 3 minggu disemai.  Puas makan. 

Lambaian Manis SiJagung

Patch jagung bersaiz  2m X 2m ditanam 36 pokok jagung dengan rapat dan diselang seli dengan kacang tanah.  Memang betul-betul intensif.    Alhamdulillah, dah hampir 2 bulan buah dah hampir sedia untuk dituai.  Benih baka F1 dari jenis Silver Strike, Sweet Melody, Jagung Manis Isi Putih dan Top Star.  Semua menjadi dan matang bila mencecah 60 hari.  

Selain daripada buah, bahagian lain pokok jagung manis berguna.  Batangnya dikeringkan, dikerat sepanjang 4 inci boleh dijadikan kayu pembilang untuk anak-anak belajar mengira.  Kalau dikerat panjang sedikit, boleh dibuat pen khat.  Daunnya pula boleh dijadikan pembalut makanan, misalnya  dibuat pembungkus otak-otak kerana bila tanam sendiri, kita tak guna racun.  

Lebihan pokok juga boleh dijadikan kompos yang berkualiti tinggi.  Hebat, si jagung manis.







Gambar Hari Ini -- Putik Buah Peria Jantung


Putik Peria jantung sebelum dibungkus untuk elak serangan serangga perosak.


Putik Peria Jantung sedang membesar dengan cepat.  Buat masa ini buah dah sebesar ibu jari.  Keadaan buah masih sempurna kecuali di bahagain tangkai ada tanda serangan lintah bulan atau siput.  Mungkin selepas hujan saya perlu "buru" makhluk perosak tersebut.  Walaupun pokok peria ini ditanam bersama sweet basil dan tiada tanda serangan makhluk perosak pada daun, sebagai langkah berjaga-jaga saya balut putik peria yang telah disenyawa dengan kertas.

Putik peria selepas dibalut dengan kertas.



Khamis, 27 Disember 2012

Tuaian Hari Ini -- Cili Trinidad Moriga dan Cili Ceri Kuning

Cili Trinidad Moriga dan Cili Ceri Kuning

Tuaian hari ini hangat.  Tuaian dijeruk dalam cuka asli untuk hilangkan atau kurangkan rasa pedas.

Stok Benih -- Jagung Manis Top Star Telah Habis Stok

Jagung Manis Top Star telah habis stok.  Pesanan jagung manis ini akan diganti dengan Jagung manis Sweet Melody.

Stok Benih Yang Baru

Ketumbar adalah antara benih yang laris.  Walaupun benih ketumbar agak lambat bercambah, iaitu kira-kira 7 hingga 21 hari, ketumbar begitu diminati.  Ini kerana ketumbar adalah herba yang mempunyai banyak khasiatnya.  Jika rakan-rakan semai secara terus, memang lambat bercambah.  Saya perhatikan masalah ini dapat diselesaikan dengan merendam benih terlebih dahulu.  Ada juga yang mengesyorkan supaya kulit benih dipecahkan dulu sebelum disemai.  Cara ini juga berkesan, cuma saya tak amalkan kerana bimbang benih akan rosak ketika kulit benih dipecahkan.   Gambar menunjukkan anak pokok ketumbar dari baka 506.


Ketumbar, Coriandrum sativum

Saya tidak mendapatkan stok baru kerana pada sangkaan saya stok simpanan dah banyak dan tidak mungkin akan habis dalam masa 2 tahun.  Rupa-rupanya benih habis terjual dalam masa 6 bulan sahaja.  Benih ketumbar lambat berbunga baka 506 hanya tinggal 10 pek sahaja.  Kalau mahu kena pesan cepat-cepat.  Stok baru, juga daripada jenis lambat berbunga, tapi baka yang berbeza iaitu Ketumbar Lambat Berbunga, Baka 502.  Kini ia ada dalam stok.  

Cili Kulai King 2889 juga telah habis stok.  Saya ingin perkenalkan cili baru iaitu Cili Abang, Baka 9000.  Buat masa ini hanya ada 5 pek.  Peria Top Form, cuma ada 5 pek.  Jika sila sms dan pesan segera.

Untuk benih kucai, harap bersabar hingga minggu depan.  Saya juga ingin perkenalkan sayur sawi pak choy baka baru.  Benih sawi ini dijual dengan harga tinggi sedikit.  Kata pembekal benih, sawi ini belum dijual di pasar, hanya dijual ke hotel 5 bintang dan preorder sahaja.  Bila mendengar penjelasannya, saya pun jadi teringin.   Bila dinyatakan harganya, terduduk juga tapi keinganan shopping mengatasi segalanya. :P  Benih tersebut akan dijual dengan harga biasa, dan terhad kepada 10 pek sahaja bagi setiap orang kerana jumlah yang terhad.  Kalau sawi ini benar2 sebagaimana yang diwarwarkan, mungkin saya akan stok banyak.  Harap bersabar hingga Jumaat depan.

Ya benih yang dipamerkan dalam panel kanan di dalam menu "Benih Untuk Dijual" semuanya ada dalam stok.
  

Rabu, 26 Disember 2012

RESEPI -- BUFFALO WING


Ayam Goreng Buffalo Wing



Buffalo Wing adalah kepak ayam goreng yang popular di upstate New York.  Di tempat saya menuntut dulu, Buffalo Wing lazimnya dijual ketika pesta di musim bunga dan musim luruh serta di musim perayaan.  Tak sangka pula ada rangkaian restoren yang menghidangkan Buffalo Wing dalam menu mereka.  Buffalo Wing mudah disediakan.

Hidangan untuk 4 orang.

Bahan-bahan     
16 kepak ayam
2 ulas bawang putih dihiris
2 ulas bawang merah dihiris
2 sudu besar sos BBQ
2 sudu besar sos worscestershire
5 sudu besar sos tomato
5 sudu besar sos cili thai (kurangkan jika tidak suka pedas)
1 cawan minyak masak untuk menggoreng

Cara Membuat
  1.  Sayap ayam dipotong dua, iaitu pada bahagian sendi.  
  2. Buang bahagian depan yang tajam.  Basuh dan toskan sayap ayam. 
  3. Panaskan minyak masak.  
  4. Goreng kepak ayam sehingga garing pada kedua-dua belah lebih kurang  3 hingga 4 minit di setiap belah.
  5. Angkat dan toskan.
  6. Untuk sos, panaskan 2 sudu minyak masak.  
  7. Tumis bawang putih selama 30 saat. 
  8. Masukkan  bawang merah dan tumis selama 1 minit lagi.
  9. Kecilkan api, masukkan sos tomato, sos cili thai, sos BBQ dan sos Worscteshire.  Kacau hingga rata.
  10. Masukkan kepak ayam  dan kacau hingga rata.  
  11. Angkat dan hidangkan ketika masih panas. 

Selasa, 25 Disember 2012

Stok Baru Salad dan Peria

Semua benih salad kini telah ada dalam stok.  Salad Cina (chinese lettuce), salad hawaii, salad top star, salad titanic, salad looseleaf summer green,   salad green parade, dan salad merah fiery red.

Peria jantung masih belum diterima, tapi peria top form kini telah ada stok.  Jumlah terhad.

Isnin, 24 Disember 2012

Gambar Hari Ini -- Peria Jantung


Putik buah peria jantung yang lekat.

Bunga jantan peria jantung.

Suatu ketika dulu, Puteri Purnama pernah menyarankan supaya kita tukar nama peria katak kepada peria jantung kerana nama katak tidak enak untuk makanan.  Rupa-rupanya, peria jantung memang wujud, jadi peria katak tidak boleh dinamakan peria jantung kerana ini akan mengelirukan semua orang.  Peria jantung menghasilkan buah sebesar tapak tangan dengan bentuk jantung.  Buahnya memang cantik.  Saya hanya dapat 10 biji benih.  Benih tersebut akan dikirim kepada Puteri Purnama apabila Puteri Purnama pulang daripada bercuti nanti.  Saya dah pesan benih dalam kuantiti yang banyak, malangnya buat masa ini belum available.  Apa-apa pun kita tunggu, ada rezeki ada lah tu.

Puteri (anak kecil saya), hari ni ada mood nak posing dengan pokok peria jantung.




Ahad, 23 Disember 2012

Gambar Hari Ini -- Jagung Manis, Zea mays

Jagung manis yang hampir matang.


Satu daripada jagung manis dalam patch selebar 2 X 2 m.  Tak lama lagi dapatlah tuai jagung tersebut.  Saya tanam jagung dari beberapa jenis termasuk jagung manis isi putih dan jagung manis top star.  
Kebiasaannya jagung manis jarang ditanam di rumah.  Saya dapati jagung manis juga sesuai ditanam di rumah sebgaimana sayur yang lain.  Keistimewaan jagung tanam sendiri rasanya yang manis lembut tidak dapat ditandingi oleh jagung manis daripada pasaraya.  Ini kerana jagung manis yang segar belum menukar gula dalam jagung kepada kanji.  Jagung manis di pasaraya kurang manis kerana gula di dalamnya telah ditukar menjadi kanji.


Semaian Bendi

Cambahan Bendi OP selepas 5 hari disemai.

Semaian bendi dari baka kampung (bendi OP) kali ini agak tinggi (leggy) kerana kekurangan cahaya.  Maklum sajalah, sekarang musim hujan, cuaca sentiasa redup.  Saya tak letak di tempat cerah kerana bimbang terkena hujan.  Walaupun begitu, apabila pokok kukuh nanti, masalah tersebut akan jadi semakin kurang ketara.  Cuma ketika cambahan masih kecil perlu berhati-hati kerana cambahan yang terlalu tinggi mudah patah.  

Bendi OP bercambah dalam masa 24 jam selepas direndam dalam air suam selama 4 jam.  Selain daripada benih bendi OP, tanamsendiri ada menyimpan beberapa jenis bendi yang lain.

Dapatkan Benih Bendi

Resepi Minggu Ini

Wah nampaknya semua dah bercuti sempena musim perayaan.  Hujan-hujan ni, asyik nak makan saja.  Apa lagi bila suasana musim perayaan, teringat masakan kampung dan masakan western yang ada kaitan dengan musim hujan dan cuti perayaan akhir tahun.  Resepi yang ditonjolkan untuk minggu ini termasuklah salad kohlrabi ubi kentang, singgang asam pedas kepala ikan tong san,   dan pai epal kulit kayu manis.  Untuk rakan-rakan yang ingin masak ayam belanda (sebab ayam belanda banyak dijual di pasar sekarang), yang penting ialah gravy mesti sedap.  Saya akan ulang post resepi tersebut pada minggu depan.  Resepi masakan yang disenaraikan juga akan dipostkan di blog bermula dari hari Isnin.


Pai Epal Kulit Kayu Manis, Apple Cinnamon Pie

Ayam Goreng Buffalo Wing

Salad Kohlrabi Ubi Kentang (Kohlrabi Potato Salad)

Singgang Asam Pedas Kepala Ikan Tong San.




Sabtu, 22 Disember 2012

Semaian Kobis Summer Autumn

Cambahan Kobis Summer Autumn pada hari ke 3 selepas disemai.
Kobis Summer Autumn adalah benih baru yang diterima dan diedarkan melalui tanamsendiri.com. Sukar juga nak dapatkan benih kobis yang tahan panas.  Lama saya pesan, kini baru menerimanya. Benih ini disemai dalam bekas yang dikenali sebagai Jiffy-7.  Ok juga, benih mula menunjukkan aktiviti percambahan pada hari pertama disemai.  Gambar ini diambil pada hari ke 3 selepas disemai.  Pokok dikatakan akan matang selepas 60 hari.  Kalau kena caranya, setiap kobis yang dihasilkan mampu mencecah sehingga 2 kg.  Benih amat terhad, kalau ingin tanam kobis yang membentuk jantung yang mampat, dapatkan benih ini dengan segera.



Makhluk Perosak -- Anak Dara Cina, Dysdercus cingulatus

Wah, setelah sebulan hujan setiap petang, musim mengawan kekabuh timun telah berakhir.  Mungkin sekarang serangga tersebut berada di kawasan lain meneruskan aktiviti dalam kita kehidupan.  Apa-apa pun saya meerasa lega kerana masa inilah saya mampu menanam pelbagai jenis timun tanpa perlu berperang dengan makhluk tersebut.

Tanaman menjalar/memanjat  yang ada, kini dapat terus tumbuh tanpa diratah makluk tersebut.  Petola segi, petola sarang, kacang golok, chayote, dan peria jantung dapat menghasilkan bunga dan mungkin dalam masa beberapa minggu llagi, insyaAllah kami sekeluarga akan dapat menikmati tuaian yang lumayan.

Pokok labu Fajar, baru belajar berbunga.

Pokok petola segi dengan daun yang sempurna.

Bagaimanapun, berkebun secara organik tidak akan mencabar dan seronok kalau tiada cabarannya. Musim cinta kekabun telah berakhir, kini tiba musim cinta Anak Dara Cina.  Oh, saya bukan rasis... itu nama panggilan serangga yang cantik rupanya yang selalu mengganggu pokok dari keluarga hibiscus di kampung saya.  Di lembah Kelang, ia dipanggil Kepinding Bendi.  Minggu ini beratus ekor telah singgah ke pokok bendi untuk menikmati cairan daripada buah serta batang bendi sambil  mengawan untuk memastikan zuriat tiddak putus.  Beginilah lumrah alam.  Tapi kehadiran serangga ini tidak perlu dirisaukan sangat.  Saya selesaikan dengan semburan larutan pencuci dan minyak masak.  


Serangga Dysdercus cingulatus yang singgah di buah bendi sedang mengawan.

Khamis, 20 Disember 2012

Mengendali Tanah Secara Organik, Bahagian 14 Daripada 26


Air Dalam Tanah
Tanah mesti mengandungi air yang cukup.  Maksud saya, tanah perlu lembap.  Ia bukan sahaja diperlukan oleh tanaman, malah hidupan lain yang ada di dalam tanah.  Bagaimanapun, tanah yang terlalu basah boleh menyebabkan tanah ‘mati’.

Kadang tanah yang kita kerjakan menakung air.  Ini sebenarnya bukan menandakan kawasan tersebut mengandungi air yang cukup.  Ia mungkin kerana tanah tidak mempunyai ruang untuk menyimpan air, jadi air yang disiram (atau air hujan) gagal meresap ke dalam tanah.  Jadi, ia bertakung di permukaan tanah.

Satu daripada cara untuk mengekalkan kelembapan tanah adalah dengan melutup permukaan tanah dengan sungkup.  Daun reput atau keratan daun/jerami boleh dijadikan sungkup organik.  

Rabu, 19 Disember 2012

Mengendali Tanah secara Organik, Bahagian 13 Daripada 26

Udara Dalam Tanah
Pengudaraan di dalam tanah adalah sumber hayat tanah.  Tanah yang mengandungi udara ‘hidup’ kerana akar dan organisma yang memanfaatkan tanaman perlukan udara, terutamanya oksigen.

Tanah yang gembur serta mengandungi banyak ketulan atau gumpalan mengandungi banyak udara kerana ada ruang kosong.  Anda boleh bekalkan udara dengan membaiki struktur tanah, menambah bahan organik, menggembur dengan berpada-pada, serta menanam tanaman yang membaiki mutu tanah.

Saya perhatikan, sayur yang ditanam menggunakan tanah yang kurang udara mempunyai pertumbuhan yang amat perlahan.  Jika tanaman terbantut, baiki struktur tanah supaya dapat menyimpan lebih banyak udara. 

Gambar Oleh Rakan TanamSendiri -- Puan Zamzurina Zulkafli

Gambar kali ini adalah kiriman Puan Zamzurina Zulkafli.  Sawi Menang, Kobis Cina (Sayur Putih) dan Ulam Raja.  Semuanya enak dimasak atau dijadikan ulam.  Saya perhatikan daun sayur tersebut sempurna tanpa kesan serangan belalang.  Terima kasih kerana berkongsi gambar.


Tuaian Puan Zamzurina.  Segar dan enak.  Gambar milik Puan Zamzurina Zulkafli ([email protected])  Jangan guna tanpa kebenaran dari pemilik gambar.    

Selasa, 18 Disember 2012

Tuaian Hari Ini -- Lobak Kampung (Lobak Putih)


Lobak Kampung (Lobak Putih}


Ada lobak yang dah matang, tapi ada juga yang masih muda.


Lobak kampung adalah antara sayur yang semua bahagian daripada pokoknya boleh dimakan.  Kalau begitu, mengapa lobak putih di pasaraya tidak dijual bersama daun?  Sayur di pasaraya dijual dalam keadaan kelihatan segar, tapi sebenarnya telah dituai beberapa hari atau beberapa minggu.  Kalau daun tidak dibuang, daun yang layu akan menyebabkan lobak kelihatan kurang segar.  Kalau daun dibuang, lobak putih kelihatan sentiasa segar.

Saya gemarkan sayur ini kerana cambahannya, daun dan lobaknya enak dimakan.  Selain daripada dimasak terus, lobak putih juga enak dijeruk dalam cuka asli.

Sayur ini paling mudah ditanam.  Ia sesuai dijadikan sayur tanaman pertama kanak-kanak.

Oh ya, buku Mudahnya Tanam Lobak Putih juga telah sedia.  Bersabar menanti kelahirannya di bulan januari nanti.





Buah Tomato Bengkak Air, Tanda Kekurangan Mikronutrien

Buah tomato bengkak air, tanda kekurangan mikronutrien.

Dah lama tak menjaga pokok tomato.  Akhir-akhir ni pokok yang dihasilkan bengkak air kerana hujan.  Ini tanda pokok gagal serap mikronutrien.  Mungkin gagal serap kalsium dan boron.  Ini mungkin kerana pokok perlu dibaja menggunakan baja buah, atau pokok gagal serap mikronutrien kerana keadaan tanah atau akar dah rosak kerana terjeruk dalam air ketika hujan atau terlalu kering di waktu tengahari.  
Untuk selesaikan masalahh ini saya akan baja menggunakan baja foliar yang dirumus khas untuk bunga dan buah.

Mengendali Tanah secara Organik, Bahagian 12 Daripada 26

Hayat Tanah
Tanah yang idea mengandungi pelbagai organisma yang memanfaatkan tanaman, misalnya cacing tanah dan bakteria pengikat nitrogen.  Malangnya organisma ini kadang-kadang tiada dalam tanah.  Ini mungkin kerana tanah tidak sesuai, atau ada sebab lain.  Kalau tambah organisma tersebut sekalipun, ia akan mati tidak lama kemudian.

Jadi anda perlu baiki struktur tanah, tambah baja organik, gaul daun reput, gemburkan tanah supaya ada udara, siram dan sebagainya.  Selepas seketika anda akan nampak ada berlaku aktiviti kehidupan di dalam tanah.  Tanah akan mula ‘hidup’. 

Cacing tanah gemarkan pH yang hampir neutral iaitu sekitar 6.5, cahaya dan tanah yang poros, lembap dengan saliran yang elok.  Litup permukaan dengan sungkup rumpai yang telah dipotong atau daun reput untuk membekalkan makan kepada hidupan di dalam tanah.  

Isnin, 17 Disember 2012

Tanam Sendiri -- Kobis, Brassica oleracea



Kobis dipercayai berasal daripada selatan Eropah dan kawasan Mediterranean.  Kini ia ditanam di seluruh dunia terutamanya di kawasan tropika.  Lazimnya kobis tidak membentuk jantung kalau ditanam di kawasan panas.  Kini terdapat jenis kobis yang membentuk jantung. 

Menyemai
Cambahan kobis tidak tahan panas yang keterlaluan atau hujan.  Jadi, seeloknya jangan semai benih terus ke tanah.  Semai benih kobis di dalam bekas semaian atau dalam dulang semaian.  Gunakan tanah growmix atau tanah kompos yang mampu menyimpan air.  Basahkan tanah dengan menggunakan penyembur (spray) dan biarkan tanah lembap, tetapi jangan terlalu basah.

Buat lubang sedalam 1 cm dan masukkan hanya 1 biji benih dalam setiap lubang. Letakkan bekas semaian di tempat cerah tetapi tidak di bawah cahaya terus terutamanya di waktu tengahari.

Menyediakan Tanah
Kobis boleh ditanam di dalam bekas atau di atas tanah.  Gunakan tanah yang kaya dengan organik serta mempunyai saliran yang elok.  Seminggu sebelum mengalih, gaulkan tanah dengan baja organik atau kompos.  Kobis perlukan banyak nitrogen.

Mengalih
Alih cambahan selepas dua set daun tumbuh iaitu dua helai daun benih dan dua helai daun sebenar.  Pastikan akar tidak tercedera.  Jarakkan kira-kira 15 hingga 30 cm antara cambahan dalam semua arah.  Jika tanam dalam pasu, gunakan pasu sekurang-kurangnya 25 cm.  Tanam satu pokok sahaja dalam satu pasu.  Jika ingin tuai daun secara berterusan, boleh tanam hingga 2 pokok dalam satu pasu.

Membaja
Jika guna baja kimia, taburkan baja NPKMg dengan nisbah 12:12:17:2 setiap 2 minggu. Tabur kira-kira 150 cm keliling batang. Jika gunakan baja organik, taburkan baja kira-kira 1/2 cawan batang setiap 2 minggu.

Menyiram
Siram setiap pagi.  Air yang cukup amat penting dalam masa 2 minggu selepas anak pokok dialih.  Ketika ini jangan biarkan tanah kering terutamanya di waktu tengahari untuk memastikan pokok tidak terbantut.  Pastikan air tidak bertakung kerana ini akan menyebabkan pokok mati diserang penyakit reput batang.

Makhluk Perosak
Ulat serangga kupu-kupu hitam (diamond black moth) gemar menyerang pokok kobis.  Kutip dan buang apabila ditemui.
Kulat yang menyebabkan penyakit reput batang juga mudah menyerang jika tanah menakung air atau terlalu lembap.

Menuai
Tuai selepas 60 hari disemai. 

Dapatkan benih kobis:

Tuaian Hari Ini -- Sawi Renek Christmas Green

Sawi Christmas Green yang disemai daripada 1 pek benih kongsi.

Wah, puas hati, hanya selepas 3 minggu lebih semai dah dapat tuai.  Petuanya mudah aja.  Tanam menggunakan tanah yang digaul dengan baja organik atau kompos.  Siram setiap hari, tapi sekarang tak perlu siram kerana hujan setiap hari.  Dan yang paling penting letak tempat yang terima cahaya pagi.  Bila dah tumbuh dua helai daun sebenar, alih.  kalau tak mahu alih, jarangkan pada jarak 4 hingga 6 inci antara pokok.  Biasanya dalam masa satu atau dua minggu selepas tumbuh.  

Alih sebelah petang untuk elakkan pokok kekeringan di waktu tengahari ketika akar masih belum kukuh.  Selepas 2 hari pokok akan segah semula.  Dalam 10 hingga 14 hari kemudian pokok dah boleh dituai.  

Enak dibuat rencah mee goreng. 

Mengendali Tanah secara Organik, Bahagian 11 Daripada 26

 Petua Menggembur Tanah (Menyangkul atau Membajak)
Secara asasnya, ikut petua berikut.
1.  Jalankan penggemburan setakat yang perlu sahaja, iaitu untuk menanam tanaman.

2.  Jangan gemburkan jika tanaman dah elok ktumbuh dan subur.  Jangan lakukan penggemburan jika tanah terlalu basah atau terlalu kering.

3.  Jangan terbalikkan tanah ketika menyangkul.  Jika berbuat demikian, lapisan atas tanah akan menjadi lapisan bawah.  Ini menyebabkan organisma aerobik yang memerlukan udara dialih ke labisan bawah tanah.  Akibatnya, organisma tersebut akan lemas.  Organisma yang menyuat nutrien kepada akar tanaman lazimnya berada beberapa inci di bawah permukaan.  Kalau organisma tersebut mati, tanaman terpaksa bekerja lebih kuat untuk mendapatkan nutrien.  Ini boleh diatasi dengan menggunakan cangkul tiga mata.

Makhluk Perosak -- Lalat Putih

Musim serangan kekabuh timun dah habis.  Nampaknya bolehlah keluarkan benih timun dan semai.    InsyaAllah, akhir Januari nanti dapatlah makan timun yang segar.  Daun tomato kelihatan menggerutu.  Apabila diperhatikan, ia telah diserang lalat putih.  Larva lalat putih menghasilkan benang yang halus berwarna putih.  Masalah ini dapat diatasi dengan menyembur larutan pencuci pinggan dan minyak masak.   

Jika terkena serangan lalat putih, lakukan semburan setiap pagi selama 3 hingga 5 hari.  Lalat putih akan perpindah dari laman jika terkena semburan selama beberapa hari.  Ia mungkin akan kembali dalam masa 2 atau 3 minggu lagi.  Ketika itu, ia tetap akan disembur lagi.



Daun tomato diserang larva lalat putih.

Ahad, 16 Disember 2012

Cara Menghindar Kucing Daripada Merosakkan Tanaman


Saya ada bincangkan beberapa cara untuk menghindari kucing daripada membuat "jamban" di kawasan semaian.  Ada yang bertanya, kalau tiada dawai mata punai, ada tak cara lain?

Kita boleh gunakan cara yang sama, cuma gantikan dawai mata punai dengan bahan yang lain, misalnya, saya gunakan ranting kering untuk menggantikan dawai mata punai.  Patch kosmos ini beberapa kali rosak akibat diganggu kucing.  Selepas membersihkan patch tersebut, kami rentang dengan ranting kering sebagaimana dalam gambar.  Kucing tidak lagi mengganggu patch ini kerana sukar nak menggali.  Pokok pun dah mula membesar.


Bila patch dah dipenuhi tanaman nanti, ranting kayu boleh dikeluarkan.

Ranting kayu digunakan untuk menghalang kucing daripada menggali dan mencakar kawasan tanaman.

Mengendali Tanah secara Organik, Bahagian 10 Daripada 26


Keburukan Menggembur Tanah
Walaupun ada banyak kebaikan menggembur tanah, ada juga keburukan jika tanah sentiasa digembur atau cangkul.  Ini kerana apabila menggembur, bahagian dalam topsoil didedahkan kepada cahaya matahari.
Penggemburan yang berlebihan merosakkan struktur tanah, mengoksida nutrien dan mengurangkan kandungan sebatian organik.  Ini kerana jumlah oksigen yang berlebihan menggalakan aktiviti penguraian bahan organik oleh organisma.

Aktiviti menggembur juga mengorek keluar benih rumpai dan menyebabkan ia aktif semula dan bercambah.
 Saya tak kata menggembur tanah tak elok.  Ia sangat elok, tetapi penggeburan yang terlelau kerap tidak elok. 

Soalan Pembaca -- Rupa Kohlrabi

Soalan Pembaca
Bagaimanakah rupa kohlrabi, dan mudah tanam kah?  Nak juga tanam tapi tapi tak tahu caranya.

Ulasan Tanamsendiri.com
Kohlrabi adalah daripada keluarga kobis (Brassica) yang menghasilkan batang yang gemuk.  Sayur ini juga dikenali sebagai 'turnip cabbage'.

Masih belum ada pokok kohrabi yang matang.  Tapi boleh lihat rupa kohlrabi pada pautan ini.

http://www.brooklynbeet.com/blog/what-to-do-with-kohlrabi

Bahagian yang dimakan ialah batangnya.  Dari pengalaman saya menyemainya, ia mudah tumbuh dan dijaga.

Sebagaimana tanaman kobis yang lain, kohlrabi kuat makan baja.  Sebelum mengalih anak pokok, gaul tanah dengan kompos atau baja organik yang banyak.  Kohlrabi tumbuh subur dalam tanah berpasir dan tanah liat.  Jika guna tanah liat, pastikan saliran elok sebab kalau air bertakung, pokok akan kena penyakit reput batang.  Tumbuhan ini boleh dikatakan versatile.

Cara menanam adalah sama dengan menanam kobis.

Sabtu, 15 Disember 2012

Soalan Pembaca -- Tentang Bendi

Saya dah tanam dalam pasu dan berbuah tetapi buah nya keras. Yang muda pun keras, tak boleh dimakan.  Mengapa agak nya? 

 Ulasan tanamsendiri.com
 Mungkin yang muda tersebut sebenarnya bukan muda tetapi buah lambat membesar. Bendi yang lembut biasanya terbentuk pada hari keempat selepas bunga mekar. Kalau tunggu sehingga satu minggu, buah dah liat dan berserat, walaupun saiz masih kecil. Satu daripada sebab mengapa buah liat ialah pokok pernah kering ketika buah terbentuk. Jangan biarkan tanah kering ketika pokok berbunga dan berbuah. Saya perhatikan bendi emas cepat matang berbanding bendi singa.

Jumaat, 14 Disember 2012

Dah lama Tak Semai Kobis

Awal tahun dulu, bila saya sebut aja idea untuk tanam kobis di rumah, kebanyakan pembekal benih akan mematahkan idea tersebut.  Tak jadi kalau tanam di tanah rendah.  Saya tanya, kalau semai tumbuh tak?  Kalau tumbuh, bagi benih satu pek kecil dulu.  Nak cuba.

Bila buka aja pek benih, ada 6 hingga 8 biji benih sahaja dijual dengan harga RM3 satu pek.  "Mahalnya..." saya merungut.

"Mestilah, ini kobis.  Harga lebih mahal daripada sawi." 
  
Rakan-rakan  pasti ingat gambar yang saya pernah letak, sebagaimana berikut.


Kobis dalam bekas.  Kobis jenis tanah tinggi, daun tak tertutup kalau ditanam di rumah.  Gambar posting 7 Februari, 2012.


Kobis dalam bekas, posting 23 Mac, 2012.  Walaupun tak tertutup, isinya tetap enak. 

Kobis tersebut tidak membentuk jantung kerana kobis sepatutnya ditanam di tempat sejuk.  Kalau panas daunnya tidak tertutup.  Tak kisahlah, asal menjadi.

Walaupun nampak seperti liat, sebenarnya tidak langsung.  Isinya meaty dan sangat enak.  Inilah kelebihan kalau tanamsendiri.  Tuaian segar dan sayur pasaraya tak akan dapat melawan keenakan sayur tanamsendiri.  

Walaupun saya beli dengan harga yang mahal, bila rakan-rakan minta beli, saya jual juga, hmmmm.... dengan harga yang lebih rendah daripada harga beli.  Tak apalah sebab niat saya ketika itu nak berkongsi.  Lagipun banyak juga yang saya pelajari hasil daripada pengalaman rakan-rakan menyemai kobis ketika itu.  Lagipun, harga tersebut diimbangi dengan benih lain, jadi saya tak rugi.

Oleh kerana rasanya yang enak, saya minta pek besar daripada pembekal benih.  Malangnya dia tak mahu jual kerana katanya benih tersebut hanya sesuai untuk tanah tinggi atau tempat yang ada musim sejuk, dan pastinya di lembah Kelang tak ada salji.  Ok, nanti bila lembah Kelang bersalji saya datang lagi.  Itu pesan saya kepada pembekal tersebut.

Dua minggu lepas saya menerima satu batch kobis merah (Sunny Side), bunga kobis flocoli (Green Harmony), dan kobis tahan panas (Summer Autumn) yang dah lama saya pesan. Memang betullah mahal, walaupun diibeli dengan kuantiti yang banyak.  Tiga benih tak sampai 500g mencecah 4 angka harganya.  Tapi tak apalah, puas hati sebab kali ni benih sesuai untuk rumah yang tak ada "salji".  Lagi pun dapat beri peluang kepada rakan-rakan untuk tanam kobis yang tahan panas.  Kalau nak beli sendiri tanpa berkongsi, rasanya tak berbaloi kecuali kalau ada kebun yang luas.  Kalau setakat tanam di rumah tak kan nak berbelanja sebanyak itu untuk satu jenis benih kobis.

Besok, saya akan semai benih 3 jenis brassica yang dah lama ditunggu, yang mampu membentuk jantung.  InsyaAllah enam puluh hari lagi dapat makan kobis yang segar. Mmmmm... tak sabar.

Ya, benih masih ada lagi, walaupun lebih daripada separuh dah terjual.  Jangan tunggu lama, kalau habis, tak tahu bila lagi boleh dapat benih ni.




Tak Suka Tanam Bendi.... Buah Berlendir

Ada sahabat lama baru belajar nak menanam di rumah, minta saya syorkan benih yang mudah tumbuh, mudah dijaga, tahan penyakit, berkhasiat dan mudah dimasak.  Bunyinya seperti sejenis tanaman yang sempurna.

Benih apa ya?  Mata saya pun melilau seperti tercari sesuatu tapi tidak pula fokus ke sasaran tertentu.  Maklum saja lah, sedang buat search kat data bank dalam otak yang dah mula berkarat.

Bendi!

Itu kata kunci yang keluar.


Pokok bendi yang mengandungi buah yang dah boleh dipetik.
"Hah! Bendi?  Tak suker arr... buah berlendir!"  Bentak sahabat lama, lengkap dengan memek muka sekali.

Pulok doh! 

"Weh, tahu ker dok?  Bendi kat luar negara sana popular sebab lendirnya.  Mereka buat sup.  Gumbo namanya.  Kalau bendi tak berlendir, tak dibuat gumbo!"

Pokok lain tak boleh suggest ker?  Lagipun daun berbulu, gatal!

Sekali, lagi... Pulok doh! 

"Weh tahu ker dok?  Daun bendi kat luar sana dimasak macam daun lobak putih atau dandelion.  Kalau nak balut tapai ubi pun ok."

Tapi kali ni saya sendiri pun jadi waswas.  Masak daun bendi?  Silap silap tergaru garu lidah.

Akhir akhir ni memang ada juga rasa bosan sebab tuaian bendi banyak.  Tanam untuk makan sendiri aja.  Kalau tanam untuk jual kira ok juga kalau tuaian banyak.  Tapi kalau tanam untuk makan, lama-lama bosan juga. 

Tapi bendi boleh simpan lama, boleh jeruk.  Cara masak pun berbagai.  Lagi pun bendi tanamsendiri boleh tuai masa muda dan rangup.  Sebenarnya ada cara boleh dilakukan untuk hilangkan lendir.

Kalau tanam bendi emas dan rasa bosan dengan rasanya, boleh diganti dengan bendi singa.  Kalau dah bosan bendi singa, boleh diganti dengan bendi OP.  Kalau dah bosan dengan semua, tuai buah dan preserve untuk dimakan di masa yang akan datang.  Bendi yang dipreserve boleh disimpan dan masih segar untuk dimakan walaupun telah disimpan selama 9 bulan.  Kalau begitu, preserve aja bendi yang melambak tu dan tanam sayur lain dulu.

"Jadi ada tak benih lain yang nak disyorkan?" 

Ada, jenguk-jenguk lah blog aku tu, tanamsendiri.com


Oh ya, kalau nak tahu cara mudah tanam bendi, bila nak tuai, cara memasak, cara simpan supaya tahan lama, cara kurangkan lendir, dan 1000 persoalan lagi (taklah sampai seribu) tentang bendi, dapatkan buku MudahNya Tanam Bendi yang bakal keluar di pasaran.  Oh ya, benih diberi secara percuma bersama buku.  Sabar ya.... kejap aja lagi.  Buku tengah printing tu.  

Semaian Baru -- Cambahan Bendi

Semalam mula rendam 120 biji bendi, untuk disemai di ruang depan rumah.  Sasaran saya 100 pokok bendi baru dari baka kampung (OP).  Ada terima benih bendi baru, baka buah lebat dengan kulit yang licin, tapi belum semai lagi.  Bendi emas masih galak berbuah.  Tiba masa untuk belajar preserve bendi supaya tahan lama.

Benih bendi OP yang telah direndam selama 12 jam.  Tanda percambahan kelihatan.

Gambar Hari Ini -- Ipomoea, Seri Pagi

Bunga Seri Pagi

Pokok Ipomoea adalah daripada keluarga yang sama dengan kangkong dan keledek.  Ia mengandungi  bahan yang berguna dalam perubatan moden dan tradisi.  Ada bahagian pokok   digunakan dalam ramuan julap.  Ada yang mengatakan bunganya, ada yang mengatakan akarnya, saya tak pasti.  Ada bahan kimia psychoactive dalam bunga digunakan sebagai ramuan dalam ubat.  Dalam perubatan Ayurveda, akarnya digunakan sebagai aphrodisiac, bukan dimakan, tetapi disapu di bahagian tertentu.  Kalau makan, pasti berulang ke tandas!  Akar Ipomoea (dikenali sebagai John the Conqueror) yang berbentuk separa bulat menyerupai testis digunakan sebagai ubat sapu di "situ" dan dari bacaan saya, pemakainya tidak pernah "kecewa".  Di beberapa negara, pokok ini ditanam untuk mendapatkan akarnya.      

Saya tanam kerana rupa bunganya yang cantik.... tiada niat lain. ;P 


Rabu, 12 Disember 2012

Gambar Hari Ini -- Jagung Menghasilkan Bunga Betina

Bunga betina pokok betina.
Kira-kira seminggu hingga 2 minggu selepas bunga jantan muncul, bunga betina mula kelihatan.  Bunga betina keluar daripada bahagian sisi batang.  Bahagian stigmanya kelihatan seperti bulu yang tebal.  Ketika ini agak kritikal untuk penghasilan buah yang bermutu.  Jika hanya sebahagian daripada ovum (benih) didebunga, buah jagung yang terhasil mempunyai isi yang jarang atau "rongak".

Isnin, 10 Disember 2012

Mengendali Tanah Secara Organik, Bahagian 9 Daripada 26

Penggemburan Tanah
Penggemburan tanah yang saya maksudkan adalah aktiviti menyangkul, membajak serta aktiviti mengerjakan tanah yang lain.  Aktiviti tersebut sudah pasti ada kebaikannya, kalau tidak masakan petani mengamalnya.  Bagaimanapun aktiviti tersebut ada juga keburukannya, terutamanya jika kita amalkan penanaman secara organik.

Kebaikan
Lazimnya tanah terlalu padat dan sukar untuk akar memecah masuk.  Dengan aktiviti menggebur, ia memudahkan pertumbuhan akar.  Apabila sistem akar kukuh, pokok akan tumbuh dengan galak dan subur.  Ya sudah tentu pokok masih perlukan nutrien, air dan udara.  Aktiviti penggemburan tanah juga menyediakan ruang udara, air serta memecahkan mineral dan nutrien.  Dengan adanya ruang tersebut, udara dan air mudah masuk.  Nutrien juga mudah dilarutkan oleh air dan sedia untuk diserap oleh tanaman melalui akarnya.

Penggemburan tanah juga membantu memudahkan proses membaja kerana baja akan dibenam dalam lapisan yang digemburkan.  Bayangkan kalau lapisan kematu tidak dipecahkan.  baja akan hanya terkumpul di atas lapisan tersebut.

Aktiviti menggembur juga memecahkan serta menimbus rumpai serta tumbuhan lain yang pereputannya mampi menaikkan mutu tanah.

     

Ahad, 9 Disember 2012

Mulberi Terus Berbuah

Alhamdulillah.  Walaupun selepas dipetik, ranting ini tetap lebat, dengan putik baru menggantikan buah ranum.  Mulberi yang disemai menggunakan keratan mengeluarkan putik sebaik sahaja ia tumbuh.  Bila akar dah settle dalam 3 hingga 6 bulan, ia akan berbuah tak putus putus.  Yang perlu, suap dengan baja organik, siram selalu dan ketika semai, semai tempat cerah, cahaya matahari sepenuhnya.  Kalau semai tempat teduh, pokok bercambah sekejap, kemudian mati.


Mulberi, lebat.

Gambar Hari Ini -- Salad Cina

Salad Cina, dah lama sedia untuk dialih.
Sya perhatikan cambahan salad cina, kalau nak pertumbuhan yang cepat perlu dialih.  Patch ni belum di jarangkan atau dialih.  Rumpai pun dah mula cuba cuba tumbuh.  Adabahagian dah dijarangkan oleh siput babi.  Mujurlah belalang tak kacau.  Nanti bila ada masa terluang, anak salad cina ini akan dialih ke dalam pasu.  Seronok tanam salad cina.  Rasanya pahit pahit manis.  Kalau nak kurangkan pahit, sebelum dituai, alih pokok ke tempat teduh, dalam satu minggu.  Sebab itu saya gemar tanam pokok ni dalam pasu -- mudahalih.  Kalau terus biarkan atas tanah pun tak mengapa.  Seminggu sebelum tuai, tutup dengan sungkup supaya terima kurang cahaya.

Sabtu, 8 Disember 2012

Gambar Hari Ini -- Kobis Cina

Kobis Cina

Kobis Cina dari baka Mikey menghasilkan jantung iaitu jenis yang tertutup.  Oleh kerana pokok ditanam di tempat panas, jantung yang terhasil tidak sepadat kalau ditanam di tempat yang ada musim dingin. 


Resepi -- Bendi Goreng Berempah

Bendi goreng berempah adalah antara masakan yang dapat disediakan dengan cepat.  Resepi ini amat sesuai untuk memasak bendi emas yang berbuah dengan lebat.  Masakan ini amat "laku" di rumah saya, begitu cepat habis.  Susah kalau nak jaga badan kalau lauk enak-enak macam ni. :)

Bendi Goreng Berempah... yummi.


Bahan-bahan
4 ulas bawang putih
10 biji bendi tanamsendiri, saiz sederhana
3 sudu besar serbuk rempah kari daging
2 sudu teh gula
1 sudu teh garam
4 sudu minyak masak

Cara
1. Basuh bendi dan keringkan.
2. Hiris bendi, nipis nipis.
3. Gaulkan bendi hiris dengan serbuk rempah.  Jangan dicampur air.
4.  Tumbuk untuk lumatkan bawang putih menggunakan alu dan lesung.
5.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bawang putih sehingga garing.
6.  Maukkan bendi yang telah digaul di dalam rempah.
7.  Goreng selama 5 minit atau sehingga bendi masak.
8.  Masukkan garam dan gula.
9.  Kacau hingga rata.
10. Angkat dan hidangkan bersama nasi ketika masih panas.

 


Stok Benih -- Kobis Cina Marco Dah Habis

Benih Kobis Cina dari jenis Marco dah habis.  Bagi rakan-rakan yang pesan kobis cina jenis Marco, saya akan gantikan dengan Kobis Cina jenis Mikey.  Kepada rakan-rakan yang ingin cuba tanam kobis cina jenis yang tertutup, dapatkan benih segera sebelum habis. 

Jumaat, 7 Disember 2012

Tuaian Hari Ini Bendi

Puteri dengan bendi yang dituai hari ini.

Dari 10 pokok bendi emas dan bendi singa, hari ini dapat tuai 41 buah bendi.  Ok lah untuk makan bersama keluarga.  Bendi kalau digoreng atau direbus dan diperah lemon, tabur serbuk lada hitam.... mmmm.

Ketika menuai pastikan pada sarung tangan kain yang tebal serta baju lengan panjang kerana bulu halus pada batang bendi boleh menyebabkan rasa gatal dan kurang selesa.



Benih Baru Untuk Dijual

Alhamdulillah, sebahagian daripada benih yang dipesan telah tiba.  Benih yang dimaksudkan ialah
Labu Manis Fajar, baka F1, 1122 (seakan-akan Butternut dengan kulit berbatik hijau dan kuning kemerahan),
Labu Manis Superior Pumpkin, baka 0526,
Bayam merah sepenuhnya, dinamakan Red Field, baka N888, 

Ramai yang meminta sayur kobis dan bunga kobis yang tahan panas.  Sukarnya nak dapatkan.  Akhirnya tercapai juga impian.  Hari ini kita tambah 3 jenis ke senarai benih untuk dijual iaitu
Kobis Merah Sunny Side, baka F1,
Kobis Summer Autumn, baka F1, 633
Bunga kobis, Cauliflower, Green Harmony, baka F1, 509.

Dapatlah rakan-rakan cuba sayur dari jenis yang sukar diperolehi yang biasanya tidak dijual kepada home gardener.  Jangan tunggu lama, benih terhad, tak tahu bila lagi boleh dapat.

Khamis, 6 Disember 2012

Benih Untuk Dijual -- Keratan Mulberi

STOK BARU
Pokok Mulberi pada asalnya ditanam di negara kita di ladang yang membela ulat sutera.  Daunnya dijadikan makanan ulat sutera.  Kini pokok mulberi ditanam di halaman rumah kerana ia menghasilkan buah beri yang enak dengan rasa masam manis.  Jus boleh dijadikan perisa pengganti cuka atau buahnya diproses untuk dibuat jem.  Daun mulberi dibuat teh.  Ada yang memakan pucuk mulberi sebagai salad.

Pokok mulberi ditanam menggunakan keratan batang.  5 keratan mulberi dijual dengan harga RM10.  Jumlah keratan adalah terhad. Untuk pesanan keratan batang, sila tambah RM10 untuk kendalian poslaju.

Keratan mulberi cepat tumbuh dan menhasilkan buah.
Cara Memesan Benih

Benih Cili Wangi Telah Habis Dijual

Benih cili wangi telah habis dijual.  Benih Cili Wangi akan dikeluarkan daripada senarai sehingga kami mendapat stok yang baru. harap maklum. 

Rabu, 5 Disember 2012

Gambar Hari Ini -- Bendi Emas


Bendi dari baka bendi emas.
Bendi Emas adalah dari jenis yang lebat berbuah.  Perhatikan buah yang tumbuh di setiap ketiak.  Saya perhatikan pokok ini tidak tinggi.  Buahnya saiz sederhana, gemuk, dan kulit berbaldu.  Selain dari benih dari jenis ini, tanamsendiri.com ada juga menyimpan benih OP, atau bendi kampung.  Buahnya juga kecil dan saya perhatikan amat cepat berbuah.  Jika inginkan buah yang panjang, cuba benih bendi singa. Bendi ini panjang dan lambat tua.  Buahnya boleh mencecah sehingga 30 cm dan tetap tidak lembut. 
Untuk pengetahuan rakan-rakan, saya juga ada menerima benih bendi dari baka yang berbuah lebat.  Buah dari baka yang baru ini sama lebat dengan bendi emas, cuna kulitnya lebih licin, tidak berbaldu seperti bendi emas.  Sekarang saya perlu uji cambah benih terlebih dahulu.  InsyaAllah saya akan beritahu melalui blog apabila benih ini sedia untuk diedarkan.
Buat masa ini saya menanam 10 pokok bendi yang saya tuai setiap dua hari.  Setiap kali tuai, saya dapat kumpul sehingga 35 buah bendi.  Banyak tu.  Jadi untuk hilangkan rasa bosan, saya cuba berbagai masakan.
Memasak bendi tak cerewet, dan ia enak dimakan.  Berkhasiat pula tu.  Cuma yang lecehnya, pokok bendi mempunyai bulu halus yang boleh menyebabkan rasa gatal jika tersentuh.  Jika menuai buah bendi, elok pakai baju lengan panjang dan sarung tangan kain untuk mengelakkan kulit daripada terkena bulu halus pada batang dan daun bendi.

 

Selasa, 4 Disember 2012

Resepi -- Daun Bayam Celup Tepung

Bayam celup tepung, enak kalau cicah sos cili atau cuka keropok.  Kena pula dengan kopi.  Mmmmm....


Bayam celup tepung adalah antara sayur celup tepung yang popular zaman saya belajar dulu.  Zaman itu, 5 keping dengan cuka keropok, harganya 5 sen. Coke satu botol, 15 sen.  Waktu itu pun rakyat bising tentang inflasi.  Good ol days.  Apa-apa pun bayam celup tepung memang enak.

Kena pula sekarang musim hujan.  Bayam tumbuh segar dan daun cukup besar.  Jom, sama-sama kita masa bayam celup tepung untuk minum petang hari ni.  Ramuan untuk kerak mudah aja persediaannya, cuma sukatan air biar betul untuk pastikan tepung celup tepung lekat elok pada daun bayam.


Daun bayam yang besar dan segar enak dibuat bayam celup tepung.


Hidangan untuk 4 orang.



Bahan-bahan
20 hingga 30 helai daun bayam
2 cawan tepung beras
3/4 cawan tepung jagung
2 sudu makan jintan manis
2 susu makan air kapur
1 biji telur
1 sudu the garam
1/4 sudu the serbuk kunyit
3 cawan air
2 cawan minyak untuk menggoreng.

Cara-cara
1.  Campurkan tepung beras, tepung jagung, jintan manis, kunyit  dan garam.  Gaul hingga sebati.
2.  Masukkan  air, air kapur, dan telur.  Kacau hingga sebati dan tidak berketul.
3.  Panaskan minyak di dalam kuali.
4.  Celupkan daun bayam satu persatu dan masukkan dalam minyak panas.  Pastikan setiap daun terasing dan tidak terlekat sesame sendiri.
5.  Goreng sehingga kekuningan dengan api sederhana (lebih kurang 1 – 2 minit). 


Goreng ketika minyak panas supaya tepung tidak bengkak minyak.



Hidangan
Hidangkan ketika masih panas bersama sos cili atau cuka keropok terengganu.
 

Hidangan untuk minum petang, bayam celup tepung dan kopi kiriman sahabat blogger, Puteri Purnama.... Mmmmm....


Belum tanam bayam?  Boleh dapatkan benih sekarang.  Mudah aja tanam bayam.
Bayam Hijau Daun Tajam, baka f1 088
Bayam Merah 788, Autumn
Bayam Merah, Fiery Red
Bayam Putih Daun Bulat, Baka F1 423